Bukan Berita Online Biasa

Kes-Anjing-Gila

Tidak Mudah Dapatkan Semula Status Bebas Rabies

in Terkini

KUALA LUMPUR – Wabak penyakit anjing gila (rabies) yang menular di utara Semenanjung sejak Ogos lalu, bukan sahaja mengejutkan rakyat negara ini malah sekali gus merampas status Malaysia sebagai negara bebas penyakit itu.

Setelah mengambil masa selama 13 tahun untuk mendapat status berkenaan daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) setelah wabak terakhir pada 1999, berapa lama pulakah tempoh yang diperlukan Malaysia untuk mendapatkan kembali status itu?

Bekas Penolong Pengarah dan veterinar Zoo Negara, Prof Madya Dr. S. Vellayan berkata wabak rabies yang menular baru-baru ini merupakan satu episod yang amat ‘mengejut dan menyedihkan’ bagi negara ini terutamanya setelah berjaya mendapatkan status bebas rabies sebelum ini.

“Persoalannya sekarang, bilakah OIE akan dapat mengisytiharkan Malaysia bebas rabies lagi? Banyak yang perlu dilakukan oleh kementerian (Kesihatan) dan pihak-pihak berkuasa serta NGO (badan bukan kerajaan), malah orang awam untuk mendapatkan semula status ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Negeri-negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies pada bulan lalu selepas ujian mendapati anjing-anjing liar yang ditangkap di negeri-negeri berkenaan positif virus rabies, penyebab penyakit tersebut.

Virus rabies mula dikesan di Perlis pada hujung Julai diikuti beberapa kes lagi pada Ogos sebelum merebak ke Pulau Pinang dan Kedah pada September.

Virus rabies boleh berjangkit kepada manusia apabila anjing gila – atau haiwan lain seperti kelawar, musang, tikus dan monyet – menggigit manusia atau apabila air liurnya bersentuhan dengan luka, lelasan atau kesan calar.

KESEDARAN MENGENAI RABIES

Vellayan, yang mendakwa bahawa pihak berkuasa telah menimbulkan rasa ‘ketakutan dan paranoid yang tidak wajar’ di kalangan orang ramai berhubung wabak rabies, berkata sepatutnya tumpuan diberikan kepada usaha-usaha menjalankan kempen mendidik orang ramai mengenai penyakit tersebut dan menggalakkan supaya haiwan peliharaan divaksinkan.

“Apa yang lebih penting sekarang bukan sahaja untuk memberi kesedaran mengenai rabies malah perkara-perkara berkaitan kebajikan dan tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan,” katanya.

Vellayan yang merupakan Penyelaras Makmal Kemudahan dan Pengurusan Haiwan, Fakulti Farmasi di Universiti Teknologi MARA, Kampus Puncak Perdana, menyelar tindakan pemusnahan anjing-anjing liar di negeri-negeri berkenaan sebagai langkah membendung penyebaran rabies.

“Pelaksanaan pemusnahan bukan sahaja tidak praktikal malah tidak berkesan. Satu kempen vaksinasi besar-besaran akan lebih berkesan.

“Anjing yang disyaki dijangkiti perlu ditangkap dan diuji untuk penyakit rabies. Jika anjing berkenaan tidak mati dalam masa 10 hari dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda rabies, ia boleh dikuarantin, divaksin dan kemudian dibebaskan,” katanya.

Sehingga 18 Oktober, sejumlah 7,656 anjing liar dan yang berlesen divaksinkan iaitu 1,701 di Pulau Pinang; 4,117 di Kedah; dan 1838 di Perlis manakala jumlah yang dimusnahkan adalah 2,224 di Pulau Pinang, 2,002 di Kedah dan 302 di Perlis.

Pada 9 Oktober, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan negeri berkenaan bebas rabies dan menghentikan tindakan menghapuskan anjing mengikut Perintah Kawasan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015.

LEBIH RAMAI LAPORKAN GIGITAN ANJING

Sementara itu, statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada 1 Oktober, mendapati daripada 211 sampel otak anjing yang diambil sejak awal wabak, sebanyak 11 sampel (gigitan) dan 31 sampel (survelan) didapati positif rabies. Ujian seterusnya mendapati tidak ada peningkatan.

Semenjak tercetusnya wabak itu, ketiga-tiga negeri menyaksikan terdapat peningkatan laporan kes gigitan anjing. Antara 17 September dan 1 Oktober, sebanyak 178 kes dilaporkan, meningkat kepada 265 pada 9 Oktober dan 312 pada 18 Oktober.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr. Zailan Datuk Adnan berkata walaupun terdapat peningkatan mendadak kes gigitan anjing, ‘bukanlah bermakna lebih banyak anjing yang menggigit manusia’ sebaliknya kerana peningkatan kesedaran mengenai wabak berkenaan di kalangan orang ramai serta pengamal perubatan.

Sehubungan itu, kata beliau, orang ramai perlu menghadapi wabak berkenaan dengan tenang.

Sependapat dengan Dr. Zailan, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail, berkata walaupun terdapat peningkatan jumlah gigitan, sehingga kini tiada laporan kes rabies di kalangan manusia.

Jabatan berkenaan memantau perkembangan mangsa-mangsa gigitan secara rapi dan menasihatkan mereka agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami masalah seperti demam, sakit kepala atau kelesuan otot.

Mangsa gigitan dinasihatkan supaya membersihkan luka dengan sabun dan air selama kira-kira 15 minit sebelum mendapatkan rawatan lanjut suntikan anti-tetanus dan vaksin anti-rabies secepat mungkin. Pesakit selalunya dirawat sebagai pesakit luar namun perlu mengambil empat dos vaksin dalam tempoh dua minggu.

Dr. Zailan berkata mangsa mungkin tidak mengalami sebarang simptom serta-merta kerana lazimnya, virus rabies akan melalui tempoh inkubasi di antara 10 hari hingga enam bulan.

“Sama ada kes mangsa gigitan anjing itu menunjukkan tanda lebih awal atau lambat bergantung kepada bahagian gigitan. Jika digigit pada bahagian dekat dengan otak, maka lebih tinggi risiko jangkitan sebagai contoh gigitan di bahagian leher, berbanding di bahagian kaki,” tambahnya.

LANGKAH BERJAGA-JAGA

Mengulas lanjut, Dr. Norhizan menjelaskan simptom awal adalah demam, sakit, lenguh serta lemah badan, sakit kepala, kelesuan otot dan tidak boleh mengawal pergerakan anggota badan.

“Seterusnya apabila virus menyerang sistem saraf, pesakit akan mengalami gejala-gejala seperti resah gelisah, insomnia, kekeliruan, gangguan mental dengan berhalusinasi dan menjadi agresif.

“Pada tahap serius, pesakit mengalami gejala hidrofobia (takut air) ataupun aerophobia iaitu kesukaran menelan air dan bernafas akibat otot tertentu gagal berfungsi dengan baik,” jelas beliau lagi sambil menegaskan bahawa rawatan segera sangat penting kerana dapat memberikan pemulihan dan perlindungan lebih 90 peratus bagi mangsa gigitan anjing rabies.

Jika langkah-langkah segera tidak dipatuhi oleh mangsa gigitan, kadar kematian adalah sangat tinggi.

Dr. Norhizan berkata apabila kes rabies mula dilaporkan, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan ‘alert’ (amaran) kepada semua klinik dan hospital kerajaan serta swasta berhubung kejadian berkenaan.

Selain itu, memandangkan tempoh inkubasi virus rabies boleh memakan masa lama, anggota kesihatan diarah supaya memastikan mangsa gigitan membuat rawatan susulan selain memantau kesihatan dan segera ke klinik jika mengalami gejala-gejala rabies.

Klinik Kesihatan dan hospital di negeri-negeri terbabit perlu melaporkan kes gigitan haiwan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat dan PKD pula melaporkan kepada pejabat Perkhidmatan Veterinar negeri untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, Jabatan-jabatan Kesihatan negeri telah menganjurkan pelbagai kempen kesedaran mengenai wabak rabies termasuk memberi penerangan kepada orang ramai serta mengedarkan risalah-risalah.

JPV turut melaksanakan langkah-langkah kawalan seperti menggalakkan pemilik mengurung haiwan mereka di dalam kawasan rumah; meningkatkan immuniti haiwan peliharaan terutama anjing dan mengawal populasi anjing-anjing liar.

KUARANTIN MANDATORI

Vellayan pula berkata haiwan yang telah menggigit manusia atau haiwan domestik lain perlu menjalani tempoh kuarantin mandatori selama 10 hari.

Katanya kuarantin ditetapkan selama 10 hari kerana haiwan yang dijangkiti rabies hanya boleh menyebarkan penyakit itu selepas terdapatnya tanda-tanda klinikal.

“Biasanya haiwan itu akan mati dalam masa 10 hari setelah mendapat tanda-tanda ini. Jika ia hidup melebihi tempoh itu, bermakna ia tidak menghidapi virus rabies pada masa berlakunya gigitan.

“Tetapi jika haiwan itu mati sebelum hari ke-10, bedah siasat mesti dijalankan untuk mengesahkan virus berkenaan. Jika ujiannya positif, manusia yang menjadi mangsa gigitannya perlu mendapatkan suntikan vaksin pasca pendedahan,” katanya.

Vellayan berkata, sekiranya haiwan peliharaan yang tidak divaksin digigit oleh binatang liar atau terluka akibat gigitan yang tidak diketahui, ia perlu dikuarantin selama enam bulan untuk memastikannya bebas rabies sebelum dibenarkan kembali berhubungan dengan manusia atau haiwan lain.

Haiwan peliharaan yang telah divaksin, tidak perlu dikuarantin walaupun jika digigit oleh haiwan liar, tegas beliau. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terkini dari Terkini

Go to Top