Bukan Berita Online Biasa

GAMBAR HIASAN

Isu Rider Piza Maut: Salah Sistem Atau Pelanggan Tidak Sabar?

in Hangat/Slider/Utama & Sensasi

STRATEGI pemasaran kebanyakan syarikat makanan segera terkenal yang menjanjikan penghantaran pesanan piza dalam masa hanya 30 minit menimbulkan isu baru-baru ini.

Ia menjadi sensasi selepas salah seorang penghantar piza maut akibat nahas sebelum sempat menghantar pesanan kepada pelanggan di Teluk Intan, Perak pada Jumaat lalu.

Mangsa yang bekerja di bawah francais piza yang tidak dinyatakan namanya atas sebab tertentu itu meninggal dunia selepas motor yang dipandunya gagal mengelak sebuah kereta.

Namun, ini bukanlah insiden kemalangan pertama yang melibatkan penghantar piza.

Pada tahun 2014 lalu, seorang lagi pekerja di Pulau Pinang nyaris maut apabila motorsikal yang dinaikinya berlanggar dengan sebuah kereta semasa dia sedang dalam perjalanan untuk menghantar pesanan.

Persoalannya, berbaloikah menaruh nyawa demi sekeping piza? Sampai bilakah syarikat makanan segera ini memandang enteng isu yang melibatkan ajal pekerja bawahannya?

Atau, siapa yang sebenarnya perlu dipersalahkan?

Tanpa menuding jari ke arah mana-mana pihak bagi mencetuskan satu topik perbualan terbuka,  Mynewshub akan mengupas isu ini dengan lebih mendalam sekali gus mengenal pasti di mana silapnya.

Isu ini timbul sama ada ianya wujud dalam sistem penghantaran itu sendiri ataupun atas kecuaian pekerjanya.

DILEMA MENGEJAR MASA

Menurut pengurus salah sebuah francais piza di negara ini, Nor Hidayah Binti Abu Bakar, 22, penghantar piza biasanya tertekan dengan jangka masa penghantaran tidak munasabah yang diberikan oleh pelanggan.

Oleh itu, mereka terpaksa memandu dengan lebih laju dan selalunya melebihi had kelajuan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.

1
Pengurus restoran, Nor Hidayah Bt Abu Bakar, 22: “Penghantar piza biasanya tertekan dengan jangkamasa penghantaran tidak munasabah yang diberikan oleh pelanggan.”

“Dalam hal ini, kredibiliti penghantar piza bukanlah isu yang sebenarnya. Ini kerana, kami tegas dalam mengambil rider atau penghantar yang mempunyai lesen motorsikal kelas B2 yang sah sahaja.

“Namun, volum pesanan daripada pelanggan yang tinggi setiap hari menyebabkan rider kami terpaksa memandu melebihi had laju dan ini adalah satu keadaan yang sukar dielakkan,” terang Nor Hidayah.

Mengakui bahawa nyawa rider ini diibaratkan bagai dipertaruhkan di atas jalan, Nor Hidayah berkata pelanggan sepatutnya faham situasi yang dialami penghantar.

“Dalam sehari, ada di antara rider kami yang terpaksa menghantar lebih 20 pesanan ke alamat yang berbeza, dan proses ini mengambil masa atas faktor-faktor tertentu.

“Namun, ada sesetengah pelanggan yang tidak faham lalu bertindak untuk memaki-hamun pekerja kami apabila penghantaran mengalami kelewatan, dan ini mengakibatkan tekanan kepada rider.

Seorang lagi pengurus cawangan syarikat piza berbeza yang kami temui, Khairudin bin Andikgauk, 26, juga menegaskan nahas maut berlaku kemungkinan besar bukanlah berpunca daripada kecuaian penghantar piza itu.

4
Pengurus, Khairudin Andikgauk, 26: “Had kelajuan yang perlu dipatuhi oleh penghantar piza adalah 60km/j sahaja dan mereka tidak dibenarkan untuk melanggar syarat tersebut serta peraturan jalan raya lain sama sekali.”

“Syarikat kami sediakan kursus untuk bakal penghantar piza bagi latih mereka sebelum kerja. Dalam kursus itu, mereka akan jalani taklimat mengenai keselamatan dan hak-hak mereka sebagai penghantar piza dan sebagainya.

“Selain itu, rider kami juga telah sedia maklum bahawa setiap pekerja mempunyai perlindungan SOCSO serta diberikan insurans kemalangan dan nyawa.

“Di samping itu mereka ada kad perubatan jika mengalami kecederaan semasa waktu bekerja. Jadi tiada isu pengabaian keselamatan dan kebajikan pekerja dalam hal ini,” jelas Khairudin lagi.

Khairudin turut menjelaskan bahawa had kelajuan yang perlu dipatuhi oleh penghantar piza adalah 60km/j sahaja dan mereka tidak dibenarkan untuk melanggar syarat tersebut serta peraturan jalan raya lain sama sekali.

“Segala peraturan telah termaktub di dalam prosedur operasi standard (SOP), jadi pelanggarannya akan dikenakan tindakan seperti diberikan kaunseling dan lain-lain,” tambah Khairudin.

PENGHANTAR TIDAK CELIK HAK

Seperti yang sedia maklum, setiap organisasi pasti mempunyai prosedur operasinya sendiri, begitu juga syarikat francais makanan segera.

Apabila dituju soalan, rata-rata daripada mereka ternyata tidak tahu langsung berkenaan hak mereka sebagai pekerja!

Bukan sahaja itu, malah mereka juga mengambil jalan mudah dengan menunggang motor berdasarkan had kelajuan terlalu tinggi dengan alasan tidak mahu dimarahi pelanggan.

“Kalau tak laju tak sampailah,” seloroh salah seorang penghantar yang dikenali sebagai Fitri.

Maka jelaslah di sini bahawa punca berlakunya kemalangan yang meragut nyawa penghantar piza telah terpecah kepada tiga faktor: tekanan daripada pelanggan, kekangan masa, dan kecuaian penghantarnya sendiri.

Namun, ketiga-tiga ini tidak boleh dipersalahkan secara total.

Syarikat francais itu juga sepatutnya bertindak lebih bertanggungjawab dalam memastikan sistem dan kepuasan pelanggan bertemu di satu titik tumpuan yang sama adil.

Ini kerana setakat ini masih belum ada sebarang makluman daripada pihak mereka untuk memastikan tindakan sewajarnya akan diambil agar tiada kemalangan meragut nyawa pekerja mereka berlaku lagi di masa akan datang.

Mynewshub telah cuba untuk menghubungi pihak yang berkenaan namun usaha kami untuk mendapatkan komen daripada syarikat francais piza itu masih belum berjaya. – MYNEWSHUB.CC

Oleh: Sara Khalid

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terkini dari Hangat

Go to Top