Bukan Berita Online Biasa

PETUNJUK TERBAHARU.. Imej menyerupai bangkai kapal yang ditemui ketika pencarian MH370 di Selatan Lautan Hindi.

Bangkai Kapal Karam, Petunjuk Terbaharu Pencarian MH370

in Hangat

PENCARIAN pesawat MH370 Malaysia Airlines (MAS)  yang sudah dua tahun berlangsung menemukan petunjuk kedua paling memberangsangkan setakat ini, iaitu objek berupa bangkai kapal di Selatan Lautan Hindi.

Penemuan ini diperoleh pasukan penyiasat yang diketuai oleh Australia, setelah meneruskan kerja pencarian MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing di lokasi terakhir pesawat itu berada iaitu di Selatan Lautan Hindi, sebelum ianya lenyap tanpa kesan.

Pada Julai tahun lepas sebahagian sayap flaperon sepanjang dua meter yang telah disahkan milik pesawat tersebut, turut dijumpai terdampar di pantai sebuah pulau di Lautan Hindi sekaligus jadi petanda kukuh bahawa penerbangan yang membawa bersamanya 239 penumpang termasuk anak kapal itu berkemungkinan besar berakhir dengan tragedi di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun tiada sebarang petunjuk ditemui dijumpai sejak itu, walaupun pencarian dilakukan lebih 80,000 kilometer persegi di dasar laut hinggalah penemuan terbaharu ini.

Kapal karam yang diperbuat daripada besi atau keluli yang ditemui itu berada di kedalaman 3,700 meter.

“Pada 19 Disember 2015, satu gelombang sonar ganjil telah dikenal pasti semasa pencarian di dasar laut dijalankan dan analisis menunjukkan objek itu mungkin buatan manusia, mungkin juga sebuah kapal karam,” kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC).

Salah sebuah daripada tiga kapal yang digunakan dalam pencarian MH370, Havila Harmony telah menggunakan kenderaan bawah air automatik untuk menjalankan kajian lebih mendalam terhadap objek yang ditemui itu lantas mengesan imej sonar beresolusi tinggi.

Muzium Galeri Kapal Karam Australia Barat yang menjalankan kajian awal berdasarkan beberapa imej sonar memberitahu, kapal tersebut mungkin diperbuat daripada keluli atau besi dari awal abad ke-19,” jelas JACC.

Ini adalah kapal karam kedua yang ditemui sejak pencarian MH370 dilakukan.

Pada Mei tahun lalu, imej sonar turut mendedahkan satu objek menyerupai sauh, bersama-sama beberapa objek lain yang dikenalpasti penyelidik merupakan buatan manusia dan mungkin juga ketulan arang batu.

Penyelidik percaya bahawa MH370 telah kehabisan bahan api sebelum terhempas di satu lokasi di selatan Lautan Hindi, menjadikan kehilangan pesawat negara ini salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.

Spekulasi yang beredar turut mengaitkan kegagalan mekanikal atau struktur, rampasan atau keganasan dan tindakan sabotaj juruterbang sebagai punca pesawat malang itu berakhir dengan tragedi seterusnya lenyap sampai sekarang.

Walaupun bukti satelit menunjukkan pesawat MH370 menjunam sebelum hilang, waris penumpang dari China hingga ke hari ini masih ragu-ragu dengan bukti tersebut dan yakin ahli keluarga mereka mungkin masih hidup namun berada di lokasi yang tidak diketahui.

Penyelidik berkata, misteri kehilangan MH370 hanya akan terungkai dengan menentukan lokasi kemalangan seterusnya menemukan kotak hitam pesawat malang tersebut. – MYNEWSHUB.CC

Sumber: THE AUSTRALIAN

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terkini dari Hangat

Go to Top