Bukan Berita Online Biasa

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Pegawai Perlu Sentiasa Bersikap Mesra Media, Kata Wan Junaidi

in Terkini

KUCHING – Para pegawai pelbagai jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak sepatutnya menganggap wartawan daripada media cetak dan elektronik sebagai ancaman bagi mereka.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini kerana, golongan itu hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka apabila melaporkan tentang sesuatu kejadian, terutama yang melibatkan kepentingan awam serta yang memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

“Wartawan membuat laporan berdasarkan apa yang mereka lihat tentang sesuatu kejadian. Jika ada sesuatu yang tersasar, para pegawai bertanggungjawab untuk memberi penjelasan tentang perkara sebenar.

“Jangan berasa terancam kerananya. Sebaliknya, hubungilah mereka kerana mereka boleh dan akan banyak membantu tugas anda,” katanya pada majlis ‘Malam Media’ yang diadakan bagi menghargai sokongan yang diberi media cetak dan elektronik tempatan kepada kementerian itu di sini, malam tadi.

Di samping itu, beliau juga menasihati petugas media supaya menghasilkan laporan paling tepat tentang sesuatu isu.


Wan Junaidi berkata media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk persepsi, mentaliti dan sikap orang ramai.

“Sentiasalah sematkan di minda kita bahawa terdapat manusia yang agak mudah terpedaya dan terdorong untuk mempercayai perkara yang mereka baca di dalam akhbar atau menonton di televisyen. Laporan yang dibuat secara tidak berhemah boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan marah terhadap kerajaan serta pihak yang berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memuji media yang secara umumnya sentiasa tepat dalam tulisan mereka dan menyokong beliau serta kementerian itu dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi menjaga alam sekitar.

Wan Junaidi berharap amalan itu akan diteruskan bagi mengukuhkan lagi proses pembangunan negara. – BERNAMA

Latest from Terkini

Go to Top