Bukan Berita Online Biasa

khalwat

Pasangan Datuk, Nenek Khalwat Dalam Kontena

in Hangat

ALOR SETAR – Seorang nenek berusia 53 tahun yang tinggal di dalam sebuah kontena di Anak Bukit di sini, ditahan kerana berkhalwat dengan pasangannya berusia 62 tahun tengah malam semalam.

Kisah wanita yang tinggal bersama seorang anak lelaki orang kelainan upaya (OKU) berusia 19 tahun di dalam kontena sejak lebih setahun lalu, pernah mendapat liputan media kerana mengaku miskin dan memerlukan bantuan untuk meneruskan hidup.


Dia ditahan pada kira-kira jam 12.30 tengah malam apabila pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam negeri Kedah (JAIK) menyerbu kontena berkenaan dan mendapati seorang lelaki warga tua turut berada di situ.

Selain anak lelaki OKU wanita itu turut mempunyai seorang anak perempuan berusia sekitar 20-an namun sudah berkahwin dan tinggal berasingan.

Ketika operasi dijalankan, nenek kepada dua cucu itu yang hanya berkemeja T dan berkain batik, terkejut sebaik membuka pintu kontena berkenaan apabila melihat ramai anggota penguat kuasa JAIK di luar rumah.

Jurucakap JAIK berkata, hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki yang hanya berkain pelikat tanpa baju berada dalam rumah itu sedang tidur bersama anak lelaki wanita berkenaan.

Katanya, hasil siasatan mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang ikatan sah sebagai suami isteri atau mahram menyebabkan pasangan itu ditahan untuk siasatan kerana disyaki berkhalwat.

“Pasangan itu sebelum ini mendakwa kepada penduduk berhampiran mereka adalah suami isteri malah dipercayai menetap di situ sejak hampir setahun lalu.

“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awam mendapati mereka sebenarnya tidak mempunyai sebarang ikatan sah.

“Hasil siasatan awal mendapati wanita berkenaan sudah berpisah dengan suaminya sejak 10 tahun lalu namun menjalinkan hubungan dengan lelaki berkenaan selama kira-kira setahun,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berikutan itu, mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kota Setar untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. – BHarian Online

Tags:

Terkini dari Hangat

Go to Top