Bukan Berita Online Biasa

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (tengah) melambaikan tangan kepada para penyokongnya di hadapan Bangunan Tunku malam ini. - Foto BERNAMA

Mukhriz Mahathir Enggan Lepas Jawatan?

in Politik

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mendakwa beliau dilantik memegang jawatan Menteri Besar kerana mandat yang diberikan oleh rakyat.

Justeru, beliau yang juga anak bekas Perdana Menteri, Tun Mahahtir Mohamad membayangkan tidak akan melepaskan jawatan yang disandangnya itu walaupun didesak berbuat demikian oleh UMNO Kedah.

Beliau turut menegaskan, pelantikannya sebagai Menteri Besar Kedah mendapat perkenan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sambil mendakwa cuma sebahagian Bahagian UMNO mahu beliau meletak jawatan.

“Saya mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh sebahagian daripada kepimpinan UMNO Negeri yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah di Alor Setar petang tadi.

“Kedudukan saya sebagai Menteri Besar adalah atas mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan juga atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah setelah dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Laporan media bagaimanapun menyebut hampir semua Bahagian UMNO Kedah sebulat suara menyatakan hasrat supaya Menteri Besar Kedah ditukar dalam satu sidang media di Alor Setar hari ini.

Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah atas cadangan Perdana Menteri kepada Sultan Kedah selepas BN memenangi semula Kedah daripada parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

UMNO Kedah menjelaskan mereka hilang kepercayaan terhadap Mukhriz kerana beliau gagal dalam mengetuai dan menggerakkan jentera parti selepas mengambil alih kepimpinan parti di Kedah.

Beliau juga dianggap gagal mengurus tadbir kerajaan negeri dengan berkesan dan tidak menyatukan kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat negeri atas sebab-sebab tertentu.

Mukhriz berkata, beliau menyerah kepada rakyat untuk menilai prestasi dan keberkesanannya bersama kepimpinan parti seluruh negeri sejak hari pertama Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Kedah. – Mynewshub.cc

[wpdevart_youtube]3ofh20cHUfc[/wpdevart_youtube]

[wpdevart_youtube]yOGv6de32nE[/wpdevart_youtube]

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terkini dari Politik

Go to Top