Bukan Berita Online Biasa

7

Shahrom Mahu Kejayaan Kutub Selatan Jadi Inspirasi Belia Felda

in Gaya Hidup/Hangat

USAI mengharungi ekspedisi mencabar sejak awal Disember lalu, penjelajah negara ke Kutub Selatan, Shahrom Abdullah akhirnya pulang ke tanah air dengan membawa nama Malaysia yang saban tahun semakin gah di mata dunia.

Disambut dengan penuh meriah oleh ahli keluarga, ahli-ahli tertinggi Kelab Ekspedisi 7 Benua serta belia daripada kampung halamannya, Shahrom, 37, telah menempa kejayaan baru apabila beliau berjaya menamatkan misi sejauh 1,000 kilometer yang sepatutnya berlangsung dalam anggaran masa selama 60 hari kepada hampir setengah daripada durasi tersebut iaitu selama 37 hari 4 jam.

8
Shahrom berkata misi tersebut banyak mengajarnya erti kesabaran dan semangat berpasukan.

Ketika ditemui dalam satu sidang akhbar sejurus ketibaannya di perkarangan Balai Ketibaan Domestik KLIA, Sepang, kira-kira pukul 5.30 petang tadi, Shahrom berkata bahawa misi tersebut banyak mengajarnya erti kesabaran dan semangat berpasukan.

1
Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin amat berbangga dengan kejayaan Shahrom sebagai anak Malaysia pertama yang merentas Kutub Selatan menggunakan ski.

“Pada enam hari terakhir, saya hampir-hampir berputus asa dan nyaris enggan menamatkan espedisi ini. 

“Masalah kesukaran bernafas akibat cuaca yang mencecah -27 darjah Celsius pada ketinggian 2,750 meter amat mencabar, apatah lagi saya perlu membawa naik sledge atau papan luncur seberat 70 kilogram menyukarkan pergerakan. 


“Bukan sahaja itu, malah saya juga mengalami frost bite yang mengakibatkan luka di bahagian tepi pipi saya,” imbau anak jati Felda Chiku, Gua Musang, Kelantan ini kepada pihak media.

Apabila ditanya mengenai sumber tenaga sepanjang ekpedisi tersebut, Shahrom berkata beliau telah dibekalkan dengan makanan kering dan juga tajaan air minuman.

Shahrom turut membawa bekas air istimewa I-MIZU, tajaan daripada sebuah syarikat Bumiputera, yang membolehkan Shahrom menggunakannya untuk menukar air daripada salji yang dicairkan.

Teknologi itu memudahkan ia diminum sebagai air hidrogen beralkali khusus untuk memberi tenaga tambahan dan segala bahan mineral yang diperlukan oleh Shahrom sepanjang penjelajahannya itu.

Sementara itu, Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin berkata beliau amat berbangga dengan kejayaan Shahrom sebagai anak Malaysia pertama yang merentas Kutub Selatan menggunakan ski.

“Alhamdulillah, beliau dapat menamatkan ekspedisi ini dalam lingkungan masa yang ditetapkan, malah lebih awal. Kejayaan yang dicipta ini bukanlah kejayaan yang biasa kerana beliau telah mengharumkan nama negara, jadi kami amat berharap agar beliau dapat diberi peluang untuk menyahut cabaran-cabaran lain di masa akan datang.”

Shahrom yang berlepas dari tanahair ke Punta Arenas, Chile pada 12 November lalu, turut terkandas di Punta Arenas kerana cuaca tidak mengizinkan di Union Glacier.

Sebaik berjaya memasuki Union Glacier dengan pesawat komersial pertama melakukan penerbangan masuk ke Union Glacier, Shahrom terkandas lagi selama dua minggu disitu untuk ke Messner Inlet.

Tentang harapannya di masa akan datang, Shahrom berhasrat kejayaannya menempuhi penjelajahan penuh pancaroba ini bisa mencetuskan inspirasi kepada belia Felda lain untuk melakukan perkara positif untuk memajukan diri.

“Kepada anak-anak muda kelahiran Felda, saya berharap anda semua menjadikan ekspedisi saya sebagai contoh untuk membuktikan bahawa kita semua berpotensi untuk berjaya,” kata Shahrom, menutup perbualan.-MYNEWSHUB.CC

Teks: Sara Khalid

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top