Bukan Berita Online Biasa

MAS-Emirates

Perjanjian Malaysia Airlines-Emirates Langkah Strategik

in Hangat

KUALA LUMPUR – Penandatanganan perjanjian perkongsian kod penerbangan Malaysia Airlines-Emirates merupakan petanda baik kepada syarikat penerbangan negara memandangkan ia membuka peluang perluasan rangkaian laluan di hemisfera barat, demikian menurut seorang ahli akademik hari ini.

Pengarah Universiti Utara Malaysia kampus Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Rizal Mazlan berkata langkah itu juga membolehkan Malaysia Airlines menumpukan rangkaian penerbangan ke negara-negara yang sedang pesat membangun di Asia.

Beliau berkata kerjasama berkuat kuasa pada 15 Februari depan, mengorak strategi perniagaan baharu yang berbeza daripada langkahnya sebelum ini, yang mengelak untuk menghubungkan bandar-bandar di Eropah ke Australia, memandangkan laluan berkenaan mempunyai banyak persaingan.

Sebagai sebahagian daripada program rasionalisasi laluan Malaysia Airlines, ia telah mengurangkan kapasiti sebanyak 27 peratus susulan penamatan beberapa destinasi, termasuk Frankfurt, Istanbul dan Brisbane.

Destinasi terbaru yang akan digugurkan adalah penerbangan harian ke Paris dan Amsterdam, dijangka pada 1 Februari.

Malaysia Airlines, bagaimanapun akan mengekalkan penerbangan dua kali sehari ke London, satu-satunya destinasi Eropah dengan perkhidmatan penerbangan terus.

Selain itu, Malaysia Airlines akan menggantung laluan Kuala Lumpur-Dubai pada 15 Februari ini dan menempatkan semula penumpang melalui penerbangan berkongsi kod dengan Emirates.

“Kerjasama ini adalah alat penerbangan moden yang digunakan beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia, sama ada Qantas, Singapore Airlines atau Thai Airways. Ia menyediakan liputan rangkaian yang lebih luas untuk penumpang, tanpa perlu syarikat penerbangan menggunakan pesawat atau tenaga kerjanya.

“Ia juga melancarkan perjalanan ke bandar-bandar utama di seluruh dunia.

“Pakatan strategik Malaysia Airlines dan Emirates merupakan satu sinergi yang baik memandangkan kedua-dua pihak saling bergantung kekuatan antara satu sama lain. Malaysia Airlines Bhd. boleh memperoleh manfaat daripada kekuatan Emirates dan sebaliknya.

“Itu langkah bijak malah strategik yang turut menyaksikan kedua-dua pihak memanfaatkan kekuatan satu sama lain untuk memperluaskan rangkaian masing-masing dan dengan cara itu, meningkatkan trafik dua hala laluan masing-masing,” kata Ahmad Rizal.

Beliau berkata melalui perkongsian itu, Malaysia Airlines yang menempa satu kerjasama dengan syarikat penerbangan yang lebih kukuh seperti Emirates secara strategik, akan menguasai pasaran tanpa menggunakan pesawat dan tenaga kerjanya.

“Bagi saya ini adalah urus niaga menang-menang, bukan berat sebelah, dan ini satu langkah baik,” kata Ahmad Rizal.

mainheader2

Pakatan dengan Emirates akan memberi akses 38 destinasi Eropah kepada Malaysia Airlines, malah ada dua kali sehari ke bandar-bandar berkenaan, termasuk Rom, Frankfurt, Munich dan Barcelona.

Ia turut meluaskan capaiannya di Amerika Syarikat dan Asia Barat, Afrika dan Lautan Hindi.

Menurut Ahmad Rizal, kerjasama berkenaan juga membawa perniagaan yang baik memandangkan Emirates, satu daripada syarikat penerbangan yang berkembang pesat di dunia, telah membawa sejumlah besar penumpang ke Malaysia.

“Malah, pelanggan Malaysia Airlines kini mempunyai lebih banyak pilihan perjalanan dengan tawaran 38 destinasi Emirates di Eropah.

“Kerjasama itu bersedia menawarkan kesalinghubungan yang julung kali diwujudkan ke Eropah dan hampir ke setiap tempat di dunia yang sebelum ini tidak ditawarkan di laluan Malaysia Airlines.

“Walaupun menghentikan laluan antarabangsa, terutama ke Eropah, Malaysia Airlines masih boleh menjual tiketnya bagi destinasi Eropah dan lain-lain melalui Emirates. Inilah manfaat daripada perkongsian sinergi tersebut,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada transformasi perniagaan untuk kembali mencatat keuntungan pada 2018, Malaysia Airlines kini akan menumpukan semula rangkaiannya di Asia dengan lebih hebat dan menggunakan perkongsian sinergi tersebut dalam menawarkan pasaran perjalanan jarak jauh di luar rantau ini.

“Perkongsian itu turut membawa petanda baik kepada Malaysia Airports Holdings Bhd memandangkan syarikat itu boleh menawarkan Kuala Lumpur sebagai hab untuk laluan ke Asia Tenggara, dan Dubai untuk laluan ke Eropah, Asia Barat, Afrika Utara dan Selatan.

“Kerjasama strategik itu turut menawarkan rangkaian luas destinasi kepada pelancong dengan lebih keselesaan,” kata Ahmad Rizal. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terkini dari Hangat

Go to Top