Ahmad Bashah

Sukar Berjumpa Di Kedah Punca Hilang Keyakinan

in Hangat/Politik

ALOR SETAR – Isu Menteri Besar Kedah yang didakwa lebih banyak berada di Kuala Lumpur dan sukar ditemui di Kedah, dilihat sebagai punca hilangnya keyakinan para pemimpin UMNO terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata isu itu seringkali dibangkitkan para pemimpin UMNO Kedah tetapi tiada sebarang perubahan atau tindakan dilakukan Mukhriz.

Ahmad Bashah berkata para pemimpin UMNO Kedah bimbang isu itu kelak akan menjejaskan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kami nak Pengerusi Perhubungan UMNO diganti, secara langsung Menteri Besar juga bertukar. Bukan saya seorang rasa, boleh tanya pemimpin lain dalam UMNO, MCA, MIC, Gerakan,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata di sini, hari ini.

Suasana politik di Kedah ‘panas’ sejak beberapa hari lepas apabila Mukhriz menerima tekanan daripada ADUN dan Anggota Parlimen UMNO Kedah, serta pemimpin kanan UMNO negeri diketuai Ahmad Bashah.

Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Ahmad Bashah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata berkata pada peringkat awal Mukhriz menjadi Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, UMNO Kedah dilihat cukup kuat.

“Namun selepas pemilihan UMNO (pada akhir 2013), mula terasa. Ramai dakwa susah jumpa dia. Tak tau dia yang susahkan atau orang sekeliling dia yang susahkan, sebab kena jumpa pegawai dia dulu.

“Pada satu ketika, mesyuarat perhubungan (UMNO Kedah) di Kuala Lumpur tahun lepas, 10 ketua bahagian (daripada 15) tidak hadir. Tetapi tiada usaha daripada beliau (Mukhriz) untuk mencari punca masalah itu,” katanya.

Beliau menafikan dakwaan kononnya beliau mendapat arahan pihak tertentu untuk secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Ahmad Bashah berkata kini terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang baharu.

“Jika ada anggap saya mahu sabotaj beliau, saya boleh lakukan dulu tetapi saya sokong dan beri laluan pada dia sedangkan sewaktu PRU dahulu saya adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengarah Pilihan Raya BN negeri,” katanya.

Sementara itu di Sungai Petani, ADUN Tanjung Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan Negeri berkata beliau percaya akan terdapat perubahan dalam pimpinan UMNO negeri dan kerajaan negeri.

“Kita percaya pucuk pimpinan parti akan buat pilihan terbaik, siapa saja dilantik kita terima,” katanya. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]rpFTGBcGWyw[/wpdevart_youtube]