Bukan Berita Online Biasa

Pencarum KWSP

Pengurangan Caruman KWSP: Ekonomi Rancak, Ringgit Kuat

in Terkini

KUALA LUMPUR -Pengurangan potongan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelepasan cukai yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membantu merancakkan ekonomi negara dan menguatkan kembali nilai ringgit, menurut pakar ekonomi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 di Putrajaya semalam mengumumkan kadar caruman KWSP pekerja bakal dikurangkan sebanyak tiga peratus bermula Mac depan sehingga Disember 2017, namun kadar caruman majikan dikekalkan. Langkah ini dijangka meningkatkan perbelanjaan pengguna sehingga RM8 bilion setahun.

Selain itu, kerajaan turut memberi pelepasan cukai RM2,000 kepada pembayar cukai individu yang berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015, sekali gus meningkatkan lebihan wang kepada kira-kira dua juta pembayar cukai.

JANA AKTIVITI EKONOMI

Menurut pakar ekonomi dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin, kedua-dua langkah terbabit adalah inisiatif yang dapat membantu merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi negara.


Beliau berkata apabila ekonomi negara rancak dan mampan, ia dapat mengelakkan ringgit daripada menjadi semakin lemah.

Rakyat pula bakal mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan terutamanya di dalam negara apabila kadar caruman KWSP pekerja dikurangkan.

“Langkah ini bagus untuk merangsang pertumbuhan ekonomi kerana ia akan meningkatkan kuasa beli pengguna dan penggunaan domestik isi rumah… kita
kena jana penggunaan dalam negara untuk menguatkan ringgit.

“Kita tidak mahu peniaga domestik tidak dapat berniaga kerana permintaan pengguna menurun akibat kurang wang untuk berbelanja… jadi sekiranya ada penggunaan, apa yang dijual peniaga domestik akan laku dan berkembang,” katanya kepada Bernama.

Amir Hussin berkata negara seperti Indonesia dan China menggalakkan perbelanjaan pengguna dalam negara bagi menggerakkan ekonomi mereka, justeru Malaysia juga sewajarnya mengaplikasikan langkah yang sama.

Pelepasan cukai yang diumumkan akan dapat meringankan beban pembayar cukai ekoran kemungkinan akan mempunyai lebihan wang selepas dikenakan cukai pendapatan yang lebih rendah kepada yang layak.

Mengenai caruman KWSP, beliau menyifatkan tindakan kerajaan tidak mengusik langsung kadar caruman majikan menunjukkan kerajaan peka dan tidak mahu simpanan untuk masa depan rakyat terjejas.

“Meskipun potongan KWSP pekerja dikurangkan namun kadar caruman majikan kekal… ini akan dapat membantu rakyat mempunyai lebihan wang bulanan dan dalam masa yang sama tidak berkompromi dengan simpanan pada hari tua,” katanya.

PERNAH DILAKSANAKAN

Susulan pengumuman Najib, KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan pekerja boleh membuat pilihan untuk mengekalkan kadar caruman syer pekerja pada 11 peratus atau mengurangkan kadarnya kepada lapan peratus dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun.

Amir Hussin berpendapat kadar caruman yang sama dikenakan kepada pencarum memandangkan kadar itu hanya akan berjalan dalam tempoh 21 bulan bagi memudahkan para majikan, KWSP dan pencarum.

Pengarah Pusat Penyelidikan Sekuriti Sosial Universiti Malaya, Prof Datuk Norma Mansor berkata sepatutnya tidak timbul sebarang isu atau masalah kepada pekerja sekiranya caruman mereka dikurangkan tiga peratus, memandangkan kadar caruman majikan tidak berkurangan.

Lagipun langkah yang diumumkan itu bukanlah perkara baharu, memandangkan ia pernah dilaksanakan bermula Januari 2009 selama dua tahun yang bertujuan menambah pendapatan boleh guna pekerja.

SIMPAN ATAU BELANJA

Norma berpendapat dengan lebihan wang di dalam kocek pencarum, ia boleh meningkatkan kuasa beli pengguna untuk menjana aktiviti ekonomi negara atau juga disimpan sebagai tabungan kepada mereka yang enggan menggunakannya untuk berbelanja.

“Sebenarnya, saya tidak bersetuju (pengurangan caruman) kerana kita memerlukan 30 peratus simpanan daripada gaji bulanan sekiranya mahukan kehidupan yang selesa pada masa depan. Sekarang ini tabungan wajib untuk hari tua adalah kira-kira 23 peratus di mana tujuh peratus lagi perlu menabung sendiri.

“Kerajaan memberi peluang untuk rakyat dalam mengharungi zaman kejatuhan nilai ringgit dan pelbagai komoditi dengan memberikan lebihan wang dalam tangan,” katanya.

Beliau berkata Singapura dan Australia misalnya pada 2008 turut memperkenalkan langkah hampir serupa kepada rakyat mereka mempunyai lebihan wang untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara masing-masing.

“Hanya ada dua pilihan iaitu kerajaan simpan atau belanja… tetapi dalam hemat saya, pengguna lebih bijak untuk menentukan apa yang mereka hendak buat, apa yang mereka hendak belanja.

“Jadi kerajaan bagi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan perbelanjaan…,” katanya. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]RZbpV-UBSmw[/wpdevart_youtube]

Tags:

Latest from Terkini

Go to Top