Bukan Berita Online Biasa

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Pengubahsuaian Bajet 2016 di Pusat Konvensen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto BERNAMA

Najib Tegas Namun Prihatin Dalam Pengubahsuaian Bajet 2016

in Terkini

KUALA LUMPUR – Apabila berdepan masa sukar, perlu bertahan, kuatkan semangat dan harungi saat itu dengan berani.

Itulah pendekatan yang diambil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malah lebih banyak lagi apabila semalam beliau mengumumkan langkah-langkah berhemah dalam pengubahsuaian Bajet 2016.

Langkah mengurangkan kos mengurus dan pembangunan itu akan menjimatkan sebanyak RM9 bilion dan ‘berhemah’ kini menjadi perkataan penting tatkala kerajaan berusaha menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Perbelanjaan mengurus merupakan beban kewangan paling berat dipikul kerajaan kerana ia tidak seperti perbelanjaan pembangunan, sebagai contoh bayaran gaji bagi 1.4 juta penjawat awam tidak boleh dilewatkan atau dijadual semula.

Jaminan kerja telah menjadi ciri utama dan tradisi perkhidmatan awam Malaysia yang telah dicemburui oleh banyak negara membangun.

Najib membawa khabar paling gembira buat penjawat awam apabila pada majlis bersempena Hari Kastam Sedunia yang disambut pada hari yang sama dengan pengumumnan Pengubahsuaian Bajet itu, beliau memberi jaminan kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam termasuk golongan lantikan secara kontrak.

Kerajaan juga memberi jaminan pelaksanaan satu kenaikan gaji tahunan kepada penjawat awam seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2016.

Susulan laporan media tentang pemberhentian pekerja secara mendadak dalam sektor swasta, majikan mereka dinasihat mencontohi langkah kerajaan itu dengan menjadikan tindakan sedemikian sebagai langkah terakhir dan meminimumkannya dengan cara melaksanakan amalan berhemah.

Namun sebuah negara bukan semata-mata membabitkan penjawat awam walaupun ia adalah tunjang pentadbiran dan sistem penyampaian kerajaan, dan perdana menteri secara jelas menyatakan keutamaan beliau adalah untuk meringankan beban rakyat.

Dan beliau menegaskan, realitinya ekonomi Malaysia masih stabil dengan mencatat pertumbuhan kukuh serta berdaya maju dan kompetitif.

Dan situasi yang sedang dihadapi bukan atas sebab kegagalan kerajaan untuk merancang tetapi berpunca daripada faktor di luar kawalan kerajaan, terutamanya dalam industri minyak dan gas yang membawa kepada kejatuhan mendadak harga minyak mentah.

Apabila Najib, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Bajet 2016 pada Oktober lepas, keupayaan kerajaan untuk berbelanja berdasarkan unjuran harga minyak US$48 setong tetapi kini telah merudum kepada kira-kira US$30, dan mungkin akan turun lagi.

Seperti biasa banyak pihak yang mengkritik ekonomi Malaysia dan ini tidak asing dalam mana-mana negara yang mempunyai pembangkang yang kuat tetapi jangan biarkan kita terperdaya oleh ilusi atau persepsi khususnya apabila jelas terdapat pelbagai langkah berhemah diambil, yang mampu menanganinya.

“Pastinya, setiap keputusan yang kita ambil hari ini adalah demi kebaikan rakyat dan sudah tentu akan tercatat dalam sejarah. Lagipun, Malaysia bukannya sebuah negara yang gagal atau bankrap seperti didakwa,” kata Perdana Menteri.

Apabila Najib menyatakan apa yang diputuskan kerajaan hari ini akan tercatat dalam sejarah, tidak keterlaluan untuk mencadangkan bahawa apa yang beliau maksudkan adalah berhubung keputusan beliau untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April tahun lepas, disebalik mendapat bantahan banyak pihak.

Sekiranya perdana menteri mahu menjadikan faktor populis sebagai asas kepimpinan beliau, pastinya beliau telah membatalkan atau menangguhkan GST tetapi sebaliknya, menurut beliau ia telah membuktikan pihak yang mengkritik bukan sahaja silap malah telah silap besar.

Pada hari ini, sepertimana ditegaskan beliau semalam, GST telah menjadi penyelamat rakyat dan ini bukan sekadar retorik.

Bayangkan apa yang akan berlaku kepada negara sekiranya beliau mengikut rentak gerakan anti-GST yang popular itu?

Pasti berlakunya defisit serius dengan kekurangan besar sumbangan pendapatan daripada syarikat minyak negara Petronas terhadap simpanan negara yang akan membawa musibah kepada ekonomi.

Dalam tempoh hanya 10 bulan sejak GST dilaksanakan, Jabatan Kastam berjaya mengutip hampir RM24 bilion daripada sumber pendapatan cukai baharu ini sahaja.

Antara langkah penting dalam pengubahsuaian bajet diumumkan semalam termasuk mengurangkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 3% dari Mac 2016 hingga Disember 2017 dengan kadar caruman majikan kekal sama.

Langkah ini dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan awam sehingga sebanyak RM8 bilion setahun.

Kreativiti turut menjadi ciri dalam pelaksanaan pengubahsuaian bajet dan ia sesuatu yang baharu.

Buat julung kalinya, program MyBeras diperkenalkan dengan golongan miskin tegar akan dibekalkan 20kg beras setiap bulan sehingga akhir tahun ini.

Ini pastinya lebih bermanfaat dan kreatif berbanding keputusan populis kerajaan negeri Selangor yang memberikan rakyat negeri itu air percuma bagi 20 meter padu pertama sejak gabungan Pakatan Rakyat berkuasa di negeri itu pada 2018.

Kalangan aktivis pemuliharaan air menyatakan langkah pemberian air percuma itu telah menyebabkan pembaziran sumber air itu yang telah menyebabkan sering berlaku kekurangan dan gangguan bekalan air di Selangor.

Dan Najib turut membawa berita gembira kepada bakal pembeli rumah pertama apabila mengumumkan berkuat kuasa serta merta, penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 bagi semua projek perumahan baharu akan terhad kepada mereka sahaja.

Pada pandangan penulis, pembeli rumah pertama pasti amat berterima kasih kepada perdana menteri atas langkah itu kerana hanya mereka yang tahu akan “trauma” dalam cubaan untuk membeli rumah pertama sendiri apabila rumah-rumah dibeli oleh kalangan spekulator dan mereka yang mampu membeli beberapa buah rumah.

Dan berbalik kepada GST, lebih-lebih lagi dengan merudumnya harga minyak mentah dan penyusutan nilai ringgit, pastinya peranan penting dimainkannya dalam membantu ekonomi negara akan mula dapat diterima rakyat.

Ungkapan “When the going gets tough, the tough get going” yang bermaksud “apabila berdepan masa sukar, perlu bertahan, kuatkan semangat dan harungi saat itu dengan berani” diungkapkan oleh Joseph P. Kennedy, bapa bekas Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy, yang turut popular dengan ungkapan “Don’t ask what the government can do for you, ask what you can do for the government” atau “jangan tanya apa yang kerajaan lakukan untuk anda, tanya apa yang anda lakukan untuk kerajaan”.

Ungkapan terkenal bekas presiden itu mungkin cara terbaik untuk rakyat terus menyakini kebaikan GST tatkala kerajaan berusaha keras untuk menangani dan mengatasi kegawatan ekonomi. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]lAHrkL43qcE[/wpdevart_youtube]

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terkini dari Terkini

Go to Top