Bukan Berita Online Biasa

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa

Kaji Semula Dasar Bank Negara Untuk Beri Pinjaman Pelajaran

in Terkini

ALOR SETAR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) meminta kerajaan mengkaji semula beberapa dasar Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memudahkan pelajar mendapatkan pinjaman pelajaran dari bank.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata ini kerana bank tidak boleh memberi pinjaman pelajaran kepada pelajar di bawah MARA kerana tertakluk kepada beberapa peraturan seperti jumlah bayaran balik dan tempoh masa yang singkat.

Beliau bekata pelajar yang membuat pinjaman menerusi Skim Bank MARA, mereka terpaksa membayar balik pinjaman mereka seperti pakej pinjaman peribadi dalam tempoh 10 tahun.

“Ini agak membebankan pelajar. Kita harap beberapa dasar di BNM akan diubah bagi memberi peluang kepada pelajar membayar kurang dari RM1,000 sebulan mengikut tiga atau empat fasa serta tempoh bayaran balik dipanjangkan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Penerangan UMNO Bahagian dan Sayap di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kedah di sini Sabtu.

Katanya, pihaknya telah menyiap dan menyerahkan kertas kerja kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk dibentangkan dalam kabinet dalam masa terdekat.

Annuar berkata menerusi Skim Bank MARA pihaknya akan menanggung faedah pinjaman oleh pelajar dan MARA akan menanggung jumlah keseluruhan pinjaman sekiranya pelajar tersebut memperoleh keputusan cemerlang (kelas atas).

Beliau berkata pihaknya juga meminta BNM menyediakan RM1 bilion kepada MARA bagi memberi peluang kepada pelajar MARA mendapatkan pinjaman.

“Setiap tahun kita ada dana sebanyak RM2 bilion untuk 75,000 pelajar MARA di bawah Institusi Pengajian Tinggi di bawah MARA. Kita sediakan skim Bank MARA untuk bantu pelajar bumiputera untuk teruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Mengenai dakwaan pelajar dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dikatakan berhenti belajar disebabkan masalah kewangan, Annuar berkata pelajar terbabit perlu tampil ke UniKL untuk menyambung kembali pengajian mereka.

“Saya telah beri arahan kepada UniKL untuk beri kelulusan automatik pinjaman kepada pelajar terbabit. Tak perlu berhenti belajar disebabkan faktor kemiskinan,” katanya.

Annuar turut mengakui terdapat kelewatan mengenai surat kelulusan pinjaman kepada pelajar MARA pengambilan Julai dan Sept dan perkara itu telah diselesaikan. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]u8OaqrL53LM[/wpdevart_youtube]

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terkini dari Terkini

Go to Top