Bukan Berita Online Biasa

PKR-DAP

Pakatan Kian Serabut Hadapi PRN Sarawak

in Hangat/Politik

KUCHING – Nampak gaya parti pembangkang yang tampil dijenamakan semula sebagai Pakatan Harapan semakin berserabut dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang dijangka diadakan pada April.


Terbaharu kisah PKR tetap enggan melayan tuduhan jahat pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, bahawa ‘PKR lebih pentingkan diri’ dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang PRN itu.

Naib presidennya, Dr. Shaharuddin Badaruddin bertegas PKR tetap mempertahan bilangan kerusi diperuntukkan kepada partinya sebelum ini pada PRN 2011 lalu dengan 49 kerusi manakala DAP sebanyak 15 dan PAS hanya 5.

Malah PKR hanya akan bertolak ansur jika berlaku pertembungan di 11 kerusi DUN melibatkan pemecahan selepas persempadanan kawasan baharu seperti yang diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Awal bulan ini, Abdul Aziz Isa, pembantu Chong Chieng Jen mendakwa PKR “sangat mementingkan diri sendiri dan hanya memenuhi kehendak sendiri” selepas bertegas mahu mempertahankan kerusi DUN Tupong di Kuching.

Bukan itu sahaja, Abdul Aziz juga dilaporkan oleh portal propembangkang sendiri tergamak menuduh PKR sebagai parti yang ‘tanpa kepala, tanpa arah dan keliru dengan konsep’ serta ‘sentiasa sukar untuk didekati’.

Dia bagaimanapun kemudiannya menarik balik kenyataan tersebut tanpa memberi sebarang sebab munasabah menyebabkan Shaharuddin menyindir dengan berkata: “Suara itu (Abdul Aziz) datang daripada pemimpin kecil.

“Bukannya daripada peringkat tertinggi. Pemimpin tempatan yang berhasrat untuk bertanding di peringkat DUN, namun tidak memahami perjanjian dan perkara-perkara yang perlu diselesaikan di peringkat bawahan.

“Kalau bertindih pun, biarlah di 11 kawasan baharu. Tetapi kawasan-kawasan lain yang tradisinya ditandingi oleh PKR dan contohnya kini DAP pula nak bertanding di kawasan itu, maka kena diselesaikan melalui rundingan.

“Janganlah (Abdul Aziz) cuba buat kenyataan yang bukan-bukan dengan mendakwa PKR konon sebagai tidak boleh bertolak-ansur dan seumpamanya,” kata beliau lagi dipetik oleh sebuah portal tempatan.

Shaharuddin menambah, kerusi DUN Tupong yang diidamkan Abdul Aziz sebenarnya ialah kerusi tradisi PKR sejak 2011 dan ia kebetulan adalah kawasan majoriti pengundi Melayu dikuasai oleh PBB sebagai wakil BN.

DAP Sarawak dilaporkan merancang untuk menamakan Abdul Aziz sebagai calon DUN itu tetapi PKR bertindak pantas sebagai dimaklumkan dengan mencanang meletakkan ahli exco wanitanya, Nurhanim Hanna Mokhsen.

PKR juga bertegas mana-mana kerusi yang diperuntukkan kepada partinya pada PRN 2011 tidak boleh dirunding. Sikap sombong PKR menyaksikan ia hanya menang 3 kerusi berbanding DAP menang 12 kerusi pada PRN itu.

“Tupong merupakan kawasan yang PKR tandingi sejak 2001. Jadi tidak timbul soal PKR mengambil kerusi DAP kerana mereka pun tidak pernah bertanding di kawasan Melayu dan sering bertanding di kawasan majoriti Cina.

“Jadi isu yang kata PKR cuba ambil tempat pernah ditandingi DAP tidak betul. Sebelum DAP mengumumkan tempat yang mereka nak tandingi, kena berbincang dahulu di peringkat Pakatan Harapan,” ujar Shaharuddin.

Beliau memberitahu sehingga kini pakatan pembangkang masih berbincang mengenai pembahagian kerusi untuk PRN Sarawak tetapi tidak menyebut sama ada ia turut melibatkan penyertaan bekas sekutu mereka iaitu PAS.

Ini kerana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 19 Februari mengesahkan mereka akan bersaing di 11 kerusi, bukan lima seperti mana ketika PRN lalu dan ia diumumkan tanpa berunding dengan PKR, DAP atau PAN.

Ketika Shahruddin sibuk menasihati sekutunya agar bersabar dan tidak mengeluarkan kenyataan ‘bukan-bukan’ yang boleh menjejaskan kerharmonian kerjasama antara parti, persoalannya bolehkah mereka ini dipercayai?

Untuk rekod pada PRN 2011, BN yang bertanding di kesemua 71 kerusi telah kekal majoriti dua pertiga dengan 55 kerusi; namun hilang lapan kerusi manakala pembangkang menawan 15 kerusi iaitu bertambah lapan kerusi.

Dua komponen BN Sarawak iaitu SUPP dan SPDP masing-masing hilang enam dan dua kerusi kepada calon pembangkang sekali gus menyaksikan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berundur pada 2014 lalu.

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Terkini dari Hangat

Go to Top