Bukan Berita Online Biasa

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

Nazri Minta Muhyiddin Letak Jawatan Timbalan Presiden UMNO

in Politik

TANJONG KARANG – Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO jika beliau tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sempurna.


Semasa membuat gesaan itu, beliau berkata Perlembagaan UMNO menyatakan dengan jelas bahawa tugas Timbalan Presiden parti itu adalah untuk membantu Presiden.

“Adalah menjadi satu kesalahan, jika Timbalan Presiden melakukan sebarang tindakan yang bertentangan dengan tugasnya itu,” kata Mohamed Nazri, yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Menurutnya Muhyiddin juga silap bila beliau menyatakan bahawa Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak mengambil tindakan terhadap beliau kerana tiada bukti tentang kesalahannya itu.

“Sebelum Perhimpunan Agung UMNO yang lepas, beliau (Muhyiddin) bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menganjurkan perjumpaan terbuka yang digunakan untuk menghentam Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Sekarang, beliau masih lagi mempersoalkan isu seperti sumbangan RM2.6 bilion yang diumumkan selesai oleh Peguam Negara dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih lagi dalam prosiding siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan kerja di sini ,hari ini.

Mohamed Nazri berkata semua perkara itu bukti nyata yang menunjukkan Muhyiddin tidak bersama presiden, dan perbuatannya itu boleh dikenakan tindakan.

“Muhyiddin juga tidak lagi menjalankan tugas seperti mana yang diharapkan oleh perwakilan yang mengundi beliau untuk menyandang jawatan itu,” katanya.

Mohamed Nazri berkata jika Muhyiddin enggan meletakkan jawatannya, beliau sendiri akan mengusulkan supaya Muhyiddin digantung keanggotaannya pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang akan datang. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]AAuT6LMCw7U[/wpdevart_youtube]

Tags:

Terkini dari Politik

Go to Top