Bukan Berita Online Biasa

Sikap Pasangan Punca Kes Penceraian Lambat Selesai

Kebanyakan Penceraian Dalam Tempoh 5 Tahun Ke Bawah

in Terkini

PUTRAJAYA – Kebanyakan penceraian berlaku dalam kalangan pasangan yang berkahwin dalam tempoh kurang dari lima tahun.


Sikap curang dan tiada persefahaman antara satu sama lain merupakan punca utama, demikian hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 (KPKM-5).

Menyatakan demikian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul berkata, “Usia perkahwinan dalam tempoh lima tahun merupakan waktu kritikal yang perlu diberi perhatian oleh setiap pasangan”.

Beliau berucap sempena pelancaran Laporan Penemuan Utama KPKM-5 itu di sini hari ini.

KPKM-5 dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dari Sept 2014 hingga Jan 2015 melibatkan 23,112 tempat kediaman dan 57,246 isi rumah.

Lima kumpulan sasaran yang terlibat dalam kajian ini termasuk wanita pernah berkahwin berusia 15 hingga 59 tahun, lelaki pernah berkahwin berusia 15 hingga 59 tahun, remaja belum pernah berkahwin berusia 13 hingga 24 tahun, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu bujang berusia 25 hingga 49 tahun.

Berikutan hasil kajian itu, kata Rohani, kementerian menerusi LPPKN akan memperhebatkan program intervensi perkahwinan seperti ‘Bulan Madu Kedua’.

Rohani berkata hasil kajian KPKM-5 juga menunjukkan keluarga di Malaysia berhadapan dengan kesukaran pengurusan perbelanjaan pendidikan anak serta keperluan keluarga.

“Kajian mendapati 6.9 peratus wanita berkahwin yang bekerja tinggal berjauhan dengan suami mereka,” katanya.

Kajian turut mendapati kebanyakan wanita berhenti kerja atas faktor masalah penjagaan anak di samping terdapat juga wanita bekerja yang memerlukan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, katanya.

Rohani berkata KPKM-5 berkaitan warga emas mendapati sebanyak 34 peratus warga emas mengalami kesunyian.

“Usaha yang lebih progresif untuk menggalakkan penuaan produktif seperti penglibatan yang aktif dalam komuniti perlu dipergiatkan.

“Kementerian akan sentiasa memberi perhatian serius terhadap golongan ini sejajar dengan perubahan struktur penduduk Malaysia yang bakal mencapai status penduduk tua pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]LZTywJ2LIVk[/wpdevart_youtube]

Terkini dari Terkini

Go to Top