Dr Ahmad Zahid Hamidi meneliti model Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia selepas merasmikan Konvensyen Perumahan Penjawat Awam 2016 di Menara MITI pada Rabu.
  - Foto BERNAMA

Kerajaan Setuju Teliti Semula Dasar Perumahan Negara

in Terkini

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju meneliti semula Dasar Perumahan Negara terutama berkaitan aspek harga hartanah itu yang dicadang ditentukan kerajaan, bukan semata-mata oleh aktiviti permintaan dan penawaran dalam pasaran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh melakukan kawalan harga secara berhemah dengan mengambil kira elemen-elemen tertentu seperti lokasi dan jenis rumah.

“Ini adalah munasabah bukan hanya untuk kepentingan (anggota) Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhdimatan Awam), tapi pembelaan untuk orang ramai juga walaupun mereka di luar bidang Cuepacs tetapi saya fikir Cuepacs mewakili 1.6 juta penjawat awam.

“Lontaran (cadangan) sedemikian bukan bertujuan menolak dasar kehendak pasaran tapi melihat harga yang meningkat dengan kadar segera yang tidak memberi kemampuan kepada bakal pembeli akan menyebabkan dasar pemilikan rumah gagal,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Perumahan Penjawat Awam 2016 di sini pada Rabu.

Terdahulu pada majlis itu, dalam ucapannya, Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda mencadangkan agar kerajaan mengkaji dan merombak semula Dasar Perumahan Negara yang dilihat sudah tidak relevan terutama kepada penjawat awam untuk memiliki rumah.


Azih turut mengemukakan beberapa cadangan lain termasuk meminta campur tangan kerajaan dalam menentukan harga rumah dan mahu kerajaan menubuhkan bank tanah untuk membeli tanah di kawasan strategik untuk pembinaan perumahan penjawat awam pada masa akan datang.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memansuhkan caj duti setem yang dikenakan kepada penjawat awam yang membeli rumah pertama menerusi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam.

Dalam ucapan perasmian majlis itu, Ahmad Zahid berkata adalah amat munasabah untuk kerajaan memberi respons terhadap semua cadangan daripada pihak Cuepacs demi kepentingan penjawat awam untuk memiliki rumah.

Katanya beliau sendiri akan membawa semua cadangan dan pandangan Cuepacsitu sebagai kertas nota ke mesyuarat jemaah menteri pada minggu depan untuk dipertimbangkan.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, Ahmad Zahid berkata adalah wajar untuk menubuhkan bank tanah bertujuan memperoleh tanah-tanah di kawasan strategik bagi membina perumahan penjawat awam pada masa akan datang.

Langkah itu, katanya, juga bagi memenuhi azam kerajaan yang berhasrat memastikan 100 peratus penjawat awam dapat memiliki rumah sendiri sebelum bersara nanti.

“Dalam hal ini, apa yang disebut oleh Datuk Azih tadi bahawa Dasar Perumahan Negara kurang relevan pada masa sekarang, saya amat menyokong terutama berkaitan penjawat awam yang kurang mampu untuk membeli.

“Saya tidak mahu kumpulan B40 dan M40 dilihat sebagai pemakai kain singkat, tarik kain bahagian bawah nampak bahagian atas, tarik bahagian atas nampak bahagian bawah, jangan jadikan penjawat awam pemakai kain singkat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menggesa Jabatan Perumahan Negara segera mengambil tindakan terhadap 18 projek perumahan di bawah tanggungjawab jabatan itu yang terbengkalai di mana kebanyakannya telah dibeli penjawat awam termasuk anggota tentera.

Katanya, projek berkenaan termasuklah 12 daripadanya di Kelantan, terbengkalai, menyebabkan pembeli terbeban kerana terpaksa membayar ansuran pinjaman bagi rumah yang belum dapat diduduki dan perbelanjaan sewa rumah bagi kediaman semasa.

“Oleh demikian kita jangan meletakkan kesalahan ini kepada kerajaan tapikita hendaklah menentukan pemaju perumahan telah gagal siapkan rumah berkenaan dan pembeli terbeban kerana terpaksa bayar kos pinjaman dan kos sewa rumah,”katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menggesa pembeli rumah projek terbengkalai berpakat beramai-ramai mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat pemaju yang gagal menyiapkan projek tersebut.

Konvensyen Perumahan Penjawat Awam dua hari anjuran Cuepacs dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) bermula Rabu dan disertai lebih 1,000 penjawat awam.

Bertemakan ‘Rumah Idaman Menjamin Kualiti Hidup’ ia bertujuan membincangkan isu-isu dan permasalahan serta cabaran berkaitan perumahan untuk penjawat awam dan mengemukakan resolusi penyelesaian kepada kerajaan. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]dZ6cBX_5Moo[/wpdevart_youtube]