Lee Chong Wei Benam Lin Dan Mara Ke Final

RIO DE JANEIRO – Pemain badminton utama negara, Datuk Lee Chong Wei akhirnya berjaya menumbangkan musuh tradisinya, Lin Dan dari China pada perlawanan separuh akhir cukup mendebarkan di sini petang Jumaat.

Perlawanan tiga set yang memakan masa 78 minit itu cukup mendebarkan penonton selepas Lin Dan memenangi set pertama dan Chong Wei pula menguasai set kedua.

Pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu tewas dalam set pertama yang berkesudahan 15 – 21 apabila memihak kepada Lin Dan.

Pada set kedua yang berlangsung selama 19 minit, Chong Wei kemudian berjaya mengemaskan permainan beliau untuk mengalahkan Lin Dan 21 – 11.

Set penentuan cukup mendebarkan apabila Lin Dan berjaya menyamakan kedudukan setelah Chong Wie mendahului 20-17 untuk menamatkan permainan.

Ia sekali gus mengheret permainan apabila terikat 20 – 20 untuk menentukan pemain yang mara ke perlawanan akhir sebelum Chong Wei menang dengan 22 – 20.

Beliau bakal bertemu sama ada pemain Denmark, Viktor Axelsen atau pemain China, Chen Long. – Mynewshub.cc/HAA

Loading...