Bukan Berita Online Biasa

Pak Engku Hembus Nafas Terakhir Malam Tadi

in Artis

SHAH ALAM – Al-Fatihah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Raja Roslay Raja Mazlan atau lebih dikenali sebagai Pak Engku yang menghembuskan nafas terakhir pukul 9.10 malam tadi.

Terdahulu allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri sejak malam kelmarin ketika menerima rawatan di Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang yang dihidapinya selama ini.

“Pagi semalam saya dengar ibu dan bapa berbincang untuk pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerana keadaan bapa yang semakin kritikal.”

“Selepas pembedahan semalam, bapa tidak sedar diri hinggalah beliau meninggal dunia,” kata anak bongsunya, Raja Muhammad Harith Irfan ketika ditemui BH Online di rumahnya di Seksyen 8 di sini.

Allahyarham yang merupakan usahawan katering terkenal dan berusia 58 tahun itu pernah mengalami masalah kesihatan sejak bulan lalu dan pernah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Klang dekat sini.

Sejak keluar daripada hospital berkenaan, Pak Engku dikatakan mula tidak aktif dan segala urusan perniagaan diserahkan kepada seorang anak lelaki sulungnya iaitu Raja Muhammad Danial.

Allahyarham amat dikenali ramai apabila Kuzie Katering Sdn. Bhd. yang diusahakannya itu menjadi pilihan utama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib setiap tahun bagi acara rumah terbuka di kediaman rasmi, Seri Perdana.

Selain itu, pihak istana dan kalangan kenamaan tempatan turut menjadikan katering Pak Engku ini bagi menguruskan acara perkahwinan atau sebarang program rumah terbuka.

Allahyarham Pak Engku telah meninggalkan seorang isteri, Datin Ramziah Samah, 47, serta tiga lagi anaknya, Raja Muhammad Danial, 20, Raja Putri Zarith Sania, 18, dan Raja Muhammad Harith Irfan yang berusia 17 tahun.

Pak Engku juga pernah menerbitkan sebuah buku resepi masakannya serta pernah bergelar penyanyi apabila album lagu raya pertamanya yang berjudul ‘The Singing Chef’ berjaya dijual sebanyak 5,000 unit pada tahun lepas.

Difahamkan, jenazah Pak Engku akan dibawa ke rumahnya dulu di sini sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, hari ini. – MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah

Loading...

Terkini dari Artis

Go to Top