Bukan Berita Online Biasa

‘Bah Kuning’.. Tragedi Tragis Dalam Lipatan Sejarah Kelantan

in Hangat

HAIRUL Nizam Baharin, jurufoto Bernama mengimbas semula perasaan dan pemandangan yang beliau lalui semasa ditugaskan membuat liputan di kawasan banjir di Kelantan, baru-baru ini.

KOTA BHARU – Kelantan Darul Naim, satu negeri yang agak sinonim dengan budaya Dikir Barat dan Ulek Mayang selain mempunyai beberapa tempat yang menarik seperti Rantau Panjang, Wakaf Che Yeh dan Pengkalan Kubor yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Menggambarkan tempat sebegitu, Rantau Panjang misalnya, dikenali sebagai ‘syurga’ membeli-belah yang penuh dengan deretan kedai menjual pelbagai barangan seperti pakaian, beg tangan dan kelengkapan dapur yang menggamit kehadiran pengunjung.

Keenakan masakan seperti nasi kerabu, sup belut, nasi berlauk, kuih akok, bunga tanjung, jala emas dan pulut panggang manis juga sering menjadi pilihan pengunjung ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

SEGALANYA BERUBAH

Menjejakkan kaki di Kota Baharu pada 20 Dis lepas dari Kuala Lumpur yang memakan masa 10 jam, penulis beranggapan bahawa banjir yang berlaku kali ini sama seperti keadaan mana-mana banjir yang melanda negeri lain sebelum ini.

Nyata, sangkaan penulis meleset sama sekali dan langkah kaki mulai longlai dan tidak bermaya menyaksikan segala-galanya berubah dengan sekelip mata apabila beberapa kawasan termasuk yang menjadi tarikan pelancong ditenggelami ‘bah kuning’ dengan cepat.

Malah daripada pengamatan penulis yang berkampung di negeri ini selama tiga minggu, ada juga beberapa perkampungan khususnya yang terletak di tepi jalan dari Kota Baharu ke Kuala Krai seakan ‘hilang’ dari peta Kelantan, akibat ditelan air.

Lebih menyedihkan beberapa laluan utama yang menghubungkan Kelantan dengan negeri lain terputus. Ada yang runtuh, ada juga yang dinaiki air, tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan termasuk kenderaan berat, sekaligus menyukarkan misi bantuan banjir pelbagai pihak.

Jambatan kereta api di Kemubu runtuh, jambatan yang menghubungkan Gua Musang-Jeli juga menerima nasib sama akibat dibaham ‘sang air’.

Terdetik di hati penulis ketika itu, MasyaAllah apa sudah jadi dengan Kelantan? Sudah menjadi sebuah pulau?

Tidak terlintas di hati penulis bahawa banjir kali ini bakal membawa episod duka yang mendalam dan berpanjangan bukan sahaja kepada mangsa yang terlibat bahkan individu yang hadir memberi bantuan.

PADANG JARAK PADANG TEKUKUR

Berada tiga minggu di Kelantan ketika mula banjir sehingga ia surut, yang disifatkan ramai pihak sebagai luar biasa dan paling buruk selepas 1967, amat memberi keinsafan dan pengalaman berharga buat diri penulis.

Melihat kesan peninggalan banjir di kawasan Manek Urai sahaja pun sudah cukup untuk membuat penulis menangis kerana ‘cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga’ dan ia boleh diibaratkan seperti padang jarak padang tekukur.

Apa tidaknya, sebaik sahaja memasuki kawasan itu, kelihatan rumah-rumah, surau, balairaya dan kedai runcit di Kampung Manik Urai Lama dan Kampung Manik Urai Baru, di Kuala Krai hampir semuanya ranap dilanda arus deras dan pokok-pokok sebesar tiga pemeluk, malahan kenderaan turut tersadai dan menindih antara satu sama lain.

Diselaputi lumpur setebal betis kaki di keseluruhan kampung, selain timbunan runtuhan rumah dan sampah bawaan air seperti kayu balak dan pokok buluh berada di merata-rata tempat termasuk di atas rumah, ada kediaman yang terbalik, runtuh menyembah bumi, rumah di atas rumah malah ada juga yang lenyap terus kerana dihanyutkan air deras semasa banjir.

Pada pemikiran penulis, bagaimanakah mampu untuk mereka memulakan semula kehidupan sementelah kehilangan tempat berlindung dan mata pencarian. Bagaimana mahu menyelesaikan soal persekolahan anak yang persiapannya telah rosak dan hanyut ditelan air bah kuning?

“Astagfirullah, dah macam tsunami,” kata penulis sambil menahan sebak.

Mata penulis yang berkaca ketika itu juga turut tertumpu kepada sekumpulan anak kecil yang kelihatan riang bermain dan tidak mengerti keperitan dirasai ibu bapa dan keluarga masing-masing, malah dalam kunjungan sukarelawan, mangsa banjir masih mampu menguntumkan sebuah senyuman yang menyembunyikan seribu kesedihan.

IKAN PULANG KE LUBUK

Suasana suram juga dapat dirasai apabila hampir kesemua mangsa yang pertama kali kembali ke rumah mereka ibarat ‘ikan pulang ke lubuk’ dalam keadaan hiba, mencari sisa-sisa barangan yang masih boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan seharian.

Benarlah kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tiada patah perkataan yang sesuai diungkap apabila melihat seorang ibu memangku anak berusia enam bulan sambil memasak cekodok di bawah khemah yang didirikan sendiri menggunakan barangan buangan akibat kemusnahan kediaman.

Kesempatan yang ada turut membolehkan penulis melawat Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama yang dikhabarkan melalui berita palsu kononnya runtuh akibat dimamah air bah.

Hakikatnya, sekolah yang tercatat kisah lebih 400 mangsa terperangkap di aras empat bangunan itu masih gah dan utuh di tempat asalnya.

TERUS RAKAM ‘SEJARAH’ BANJIR

Dari Manek Urai, penulis menuju ke Dabong dan Kemubu bagi merakamkan lagi ‘sejarah’ yang mungkin tidak akan berlaku lagi dengan izin Allah pada masa hadapan dan akan kekal dalam ingatan semua mangsa dan mereka yang terlibat.

Perjalanan yang memakan masa selama dua jam ke Dabong tidak dirasai kerana penulis juga berkongsi perasaan yang sama meskipun tidak mempunyai pertalian saudara dengan mangsa banjir di negeri ini.

Keadaan yang sama juga dapat disaksikan di Dabong yang boleh disifatkan sebagai ‘total lost’.

Di tengah keasyikan merakam gambar, kedengaran hingar-bingar dalam kalangan mangsa yang mulai sibuk membersihkan kediaman masing-masing menggunakan air sungai selain mencuci longgokan pakaian dan pinggan mangkuk yang boleh diguna lagi.

Semangat mangsa banjir untuk membersihkan kediaman mereka demi kelangsungan hidup pada masa hadapan amat meruntun jiwa penulis, namun mereka sedikit pun tidak mengeluh dengan dugaan besar itu.

Keadaan juga serupa di Kemubu dan Limau Kasturi, namun yang menyayat hati, seorang ibu tunggal berusia 64 tahun kelihatan termenung dan merintih sedih kerana kehilangan tempat berteduh dalam sekelip mata.

Apa yang boleh penulis simpulkan, semangat kesepaduan dalam kalangan mangsa banjir kelihatan sangat tinggi. Ujian yang hadir nyata tidak mematahkan semangat mereka untuk terus menetap di kawasan yang musnah itu.

Untuk rekod, Kelantan mencatatkan angka mangsa banjir tertinggi iaitu 134,139 orang yang telah dipindahkan di pusat pemindahan sementara akibat ‘bah kuning’ tempoh hari.

– BERNAMA

Loading...
Tags:

Terkini dari Hangat

Go to Top