Bukan Berita Online Biasa

Kemarau Kedah

Waspada Cuaca Panas, Fenomena El Nino Terkuat Landa Negara

in Hangat

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan cuaca panas akibat fenomena El Nino yang sedang melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, fenomena El Nino yang sedang melanda negara menyamai El Nino terkuat pada tahun 1997 dan 1998.

Menurut beliau, fenomena El Nino itu boleh memberi kesan kepada manusia seperti strok haba yang boleh mengundang kematian, jerebu akibat pembakaran terbuka atau hutan, krisis bekalan air dan penularan penyakit bawaan vektor, air dan makanan.

Berikut kenyataan penuh Ketua Pengarah Kesihatan mengenai fenomena El Nino yang sedang melanda Malaysia:


1. Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan status terkini El-Nino yang kuat sedang berlaku menyamai El Nino terkuat pada tahun 1997/98. Kesan El Nino kuat boleh mengakibatkan peningkatan suhu antara 0.5°C hingga 2.0°C pada pertengahan bulan Januari hingga April 2016. Adalah dijangkakan keadaan cuaca lebih kering terutama di Sabah, bahagian Utara Sarawak, bahagian utara dan pantai timur Semenanjung antara Januari hingga awal April 2016. Keadaan berjerebu tempatan kemungkinan berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal.

2. Cuaca panas adalah satu keadaan yang selalu berlaku di Malaysia di mana pendedahan yang berlebihan boleh memberi kesan buruk kepada manusia. Pada hari biasa (normal day) suhu maksimum adalah di antara 28.6°C dan 35°C manakala hari panas (hot day) adalah apabila suhu maksimum di antara 35°C dan 37°C. Kejadian cuaca panas yang berterusan boleh menyebabkan gelombang panas. Gelombang panas berlaku apabila suhu maksimum adalah pada atau melebihi 35°C  selama lima hari berturut-turut dan 2°C melebihi purata suhu maksimum jangkapanjang, atau tiga hari berturut-turut suhu maksimum pada atau melebihi 37°C.  

 3. Fenomena El Nino boleh memberi kesan kepada orang awam seperti kesan cuaca panas dan kering, jerebu akibat pembakaran terbuka atau hutan, krisis bekalan air dan penularan penyakit bawaan vektor, air dan makanan. Pendedahan kepada cuaca panas boleh memberi kesan yang pelbagai kepada kesihatan manusia dari sederhana kepada teruk seperti strok haba yang boleh menyebabkan kematian.

4. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merangka tindakan yang perlu dilaksanakan di setiap peringkat pelaksanaan seperti berikut bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas di samping mengelakkan kejadian wabak penyakit;

i. Memastikan bekalan air di hospital mencukupi selama 2 minggu secara berterusan bagi menjamin kefungsian perkhidmatan yang bergantung kepada bekalan air bersih.

ii. Membuat pemantauan dan penilaian bekalan air bukit (Gravity Feed System – GFS) di negeri masing-masing secara berterusan bagi mengesan kekeringan sumber dan menguruskan bantuan bekalan air bersih dari pihak yang berwajib.

iii. Memperkukuhkan survelan penyakit termasuk kejadian penyakit yang sensitif kepada perubahan cuaca seperti penyakit berkaitan jerebu [Jangkitan saluran atas pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection), asma dan konjuntivitis], penyakit bawaan vektor (malaria, denggi dan leptospirosis), penyakit bawaan makanan dan air (keracunan makanan, tifoid dan taun) serta penyakit berkaitan cuaca panas seperti strok haba.

 iv. Mempergiatkan aktiviti pendidikan kesihatan kepada orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi di peringkat negeri dan daerah bagi menghadapi penyakit atau kesan kesihatan akibat El Nino. Langkah-langkah menangani kesan kesihatan akibat El Nino boleh diperolehi menerusi laman sesawang KKM.

v. Memastikan anggota KKM, ubat-ubatan dan peralatan di hospital dan klinik kesihatan sentiasa mencukupi supaya rawatan yang sempurna dapat diberikan kepada pesakit.

vi. Bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia dan agensi-agensi kerajaan yang lain bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan El Nino.

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya bersiap sedia dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menghadapi masalah ini. Nasihat kesihatan bagi krisis ini boleh diperolehi dari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang ramai juga digalakkan memantau suhu di kawasan sekitar masing-masing melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia.  - MYNEWSHUB.CC

Terkini dari Hangat

Go to Top