Bukan Berita Online Biasa

buku

Kisah Najib, Pahit Maung 40 Tahun Dalam Politik Dibukukan

in Gaya Hidup/Hangat/Politik

29 FEBRUARI yang istimewa kerana hadir sekali setiap empat tahun, turut menjadi tarikh pilihan bagi pelancaran buku Najib Razak Berjiwa Besar, Empat Dekad Menongkah Arus Kepimpinan dan Politik (1976 – Kini).

Dirasmikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, buku terbitan Fort Yayasan Penyelidikan Transformasi, karangan Prof Dato Wira Dr Hj Khairil Annas Jusoh dan Dr Sabri Muhammad Shariff ini dilancarkan dalam satu majlis meriah di Hotel Royale Chulan, jam 2.45 petang tadi.

Buku ini menceritakan pahit maung Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang 40 tahun bergelar pemimpin sebaik karier politiknya bermula pada 1976.

Dr Khairil Annas, 44, yang pernah menerima anugerah Buku Perdana 2010 dan menjadi editor bagi 16 buah buku berkata, pada mulanya beliau menulis buku ini atas tujuan menyiapkan phD pengajiannya berkaitan kepimpinan Perdana Menteri.

Beliau yang sudah 19 tahun bersama Najib dan turut memiliki tarikh lahir serupa sempat berkongsi pandangan peribadi ketika bekerja dengan PM.

“Sepanjang saya ikut PM secara rasmi mahupun tidak dan mengamati perangai beliau, hanya tiga kali sahaja beliau pernah marah saya itu pun paling teruk cuma ketap gigi. Tak pernah tinggi suara, very cool person, ujar Dr Khairil.


Menyentuh tentang isteri PM, beliau berkongsi kisahnya bertemu Datin Seri Rosmah Mansur baru-baru ini, selepas tiga tahun tidak duduk bersama.

“Hari tu saya tanya Datin, kalau ada apa-apa yang nak dibagi tahu sebelum saya finalised buku. Katanya beliau percaya pada rezeki Allah dan katanya lagi, “Orang tak kenal kita Nas, orang boleh cakap macam-macam..”.

“Sepanjang 30 tahun hidup dengan PM dan berkongsi kelambu beliau akui suaminya seorang yang sangat baik.

“Sepanjang hidup bersama dah tentu ada hal terguris di hati tapi semua diluahkan tanpa selindung. “Kalau tak berkenan dia diam dan paling-paling telinga dia merah” kata Datin,” ungkapnya.

Dalam pada itu, Dr Khairil menyatakan perasaan berbesar hati atas kesudian Pak Lah merasmikan majlis pelancaran buku pada hari ini.

Beliau menambah, buku yang dilancarkan pada tarikh istimewa hari ini turut didedikasikan kepada dua kekanda yang merupakan tulang belakang buat jabatan dalam Pejabat Perdana Menteri namun takdir menentukan mereka ‘pergi’ lebih awal iaitu allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan allahyarham Datuk Azlin Alias. Al-fatihah. – MYNEWSHUB.CC

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top