Bukan Berita Online Biasa

Kontroversi Gol Selangor: Sah Atau Tidak?

Kontroversi Gol Selangor: Sah Atau Tidak?

in Hangat/Sukan/Utama & Sensasi

JARINGAN pemain tengah Selangor, Juliano Mineiro pada minit-minit akhir perlawanan ternyata menghampakan pasukan Kedah untuk mereka meraih tiga mata penuh.

Pelawat terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Selayang, malam Rabu.

Namun timbul persoalan sama ada jaringan pemain kelahiran Brazil itu wajar dikira sebagai sah selepas dia dikesan memasuki kawasan kotak penalti sebelum rakan sepasukannya, Victor Stelian Astafei melakukan sepakan.

Mengikut Undang-Undang 14: Sepakan Penalti, pemain lawan atau tuan rumah perlu berada di luar kotak sebelum pemain yang mengambil sepakan penalti menyentuh bola.

Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang itu, pengadil boleh membenarkan sepakan diteruskan tetapi jika bola masuk ke dalam gol, sepakan perlu diambil semula.

Sekiranya bola tidak masuk ke dalam gol, pengadil perlu memghentikan permainan dan memulakan perlawanan dengan sepakan percuma kepada pasukan lawan iaitu dalam kes ini adalah Kedah.

Kontroversi Gol Selangor: Sah Atau Tidak?
Antara luahan kelab penyokong Kedah terhadap keputusan kontroversi pengadil membenarkan gol Juliano. – Ihsan Facebook

Malah jika dilihat semula ulang tayang gol tersebut, pengadil utama perlawanan, Mohd Zohri Tajudin berada pada kedudukan jelas untuk melihat kesalahan yang dilakukan Juliano.

Selain itu, penjaga garisan juga boleh melihat dengan jelas pergerakan Juliano memasuki kawasan kotak penalti sebelum Victor melakukan sepakan.

Gol Juliano ternyata mengundang kontroversi apabila beberapa laman Facebook penyokong Hijau Kuning mempersoalkan keputusan pengadil membenarkan jaringan tersebut.

Antaranya laman Facebook Penyokong Bola Sepak Kedah dan Lang Merah Fan’s yang memuat naik rakaman detik-detik kontroversi tersebut.

Malah ada peminat Kedah yang mempertikaikan keputusan pengadil kerana terlepas pandang kesalahan yang dilakukan Juliano sebelum pemain berusia 31 tahun itu menjaringkan gol untuk membatalkan kelebihan Kedah yang mendahului dengan jaringan Sandro da Silva pada minit ke-79.

Jaringan tersebut menyaksikan Kedah gagal merampas kembali takhta Liga Super dan kini menduduki tangga kedua dengan 15 mata, hanya satu mata dipisahkan daripada pendahulu liga, Pahang. – mStar Online

Loading...

Terkini dari Hangat

Go to Top