Bukan Berita Online Biasa

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

Najib Kesal Fitnah Terhadap TH Hingga Resahkan Rakyat

in Hangat/Politik

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan penyebaran kenyataan tidak tepat tentang Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga mewujudkan suasana tidak tenteram dalam negara dan merugikan rakyat.

Beliau berkata penyebaran berita dan khabar angin mengenai TH dalam laman sesawang dan media sosial oleh golongan tidak bertanggungjawab atas kepentingan politik dan peribadi semata-mata, juga menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan masyarakat di Malaysia terhadap institusi-institusi kewangan dan kebajikan Islam.

“Jika ada dalam kalangan umat Islam yang terpengaruh dengan kenyataan tidak tepat ini sehinggakan mengeluarkan simpanan mereka di dalam Tabung Haji, ini amat mendukacitakan saya kerana mengikut terma yang telah ditetapkan.


“Pelabur-pelabur kini mengalami bukan sahaja kerugian dari segi pulangan pelaburan dan simpanan malah dari segi peluang untuk menunaikan ibadah haji ke Makkah,” kata beliau dalam catatan terbaharunya di blog NajibRazak.com hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata satu daripada peranan TH adalah sebagai badan pelaburan dana Islam yang membolehkan umat Islam di Malaysia menyimpan dan melabur wang simpanan secara halal serta berteraskan syariat Islam.

Beliau berkata disebabkan pelbagai kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab terhadap TH, sekiranya ada umat Islam yang bertindak mengeluarkan simpanan, mereka kini tidak dapat lagi menikmati pulangan oleh TH.

“Lebih malang lagi, mereka yang berbuat sedemikian juga mungkin kehilangan giliran menunaikan haji,” katanya.

Perdana menteri menjelaskan TH ditubuhkan pada 1963 dengan matlamat utamanya untuk membolehkan rakyat Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Kerajaan telah dan akan terus berusaha untuk membolehkan seramai mungkin umat Islam di Malaysia berupaya menunaikan fardhu haji, satu caranya ialah melalui subsidi bagi mereka yang menunaikan haji buat kali pertama.

“Bagi 1437 Hijrah, kos sebenar menunaikan haji adalah RM18,890 seorang tetapi jumlah yang perlu dibayar oleh bakal haji cuma RM9,980. Selebihnya sebanyak RM8,910 ditanggung oleh Tabung Haji,” jelas beliau.

Beliau berkata jika dibandingkan dengan negara-negara lain, kos menunaikan haji bagi rakyat Malaysia adalah antara yang paling rendah.

Perdana Menteri juga berkata hasil hubungan diplomatik erat antara Malaysia dan Arab Saudi, kerajaan negara itu dari semasa ke semasa memberikan kuota tambahan jemaah kepada Malaysia.

“Tahun lalu, misalnya, Malaysia mendapat tambahan kuota sebanyak 2,100 lagi jemaah haji muassasah, berbanding kuota asal sebanyak 22,320.

“Walaupun begitu, Insya-Allah, pada masa sama, kerajaan akan terus berusaha untuk menambah lagi kuota jemaah haji Malaysia,” kata Najib.

Beliau berkata pengurusan haji cemerlang oleh Malaysia dan juga sahsiah diri jemaah haji Malaysia yang sangat berdisiplin dalam beribadah dan menunaikan kewajiban kepada Allah, sering dipuji pihak berkuasa di Arab Saudi.

Justeru itu, katanya, amat rugi sekali seandainya semua kerja keras, hubungan baik, pengiktirafan serta kelebihan menunaikan ibadah haji ini menjadi sia-sia akibat kenyataan tidak bertanggungjawab yang disebarkan oleh ahli politik dan pengguna media sosial.

“Ada yang telah menyimpan lama di dalam Tabung Haji, sudah menghampiri umur senja, tetapi dek termakan kenyataan berbelit-belit, hilang giliran menunaikan haji mereka. Bukankah teramat rugi dan sayang sekali?

“Saya faham ada sesetengah pihak yang berniat mencatur langkah politik dengan mempermainkan serta mencetuskan kebencian rakyat namun, saya nasihatkan agar kesemua ini dihentikan,” tegasnya. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]QN1XC8TcgqM[/wpdevart_youtube]

Terkini dari Hangat

Go to Top