Bukan Berita Online Biasa

PLT menawarkan fleksibiliti peraturan dalaman melalui perjanjian di antara pekongsi yang terlibat.

Peniaga PLT Tak Perlu Gusar Hilang Aset Jika Bisnes ‘Lingkup’

in Gaya Hidup/Hangat

APABILA merujuk kepada pendaftaran perniagaan yang biasa dilakukan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ianya sama ada jenis Milikan Tunggal (Enterprise / Trading Co.), Perkongsian (Partnership) atau pun Sdn. Bhd. (Private Limited). 

Sebenarnya, terdapat satu lagi bentuk perniagaan alternatif yang boleh didaftar di SSM iaitu Limited Liability Partnership  atau Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT).

Dikawal selia di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, PLT yang menggabungkan ciri-ciri syarikat persendirian dan perkongsian konvensional lebih berstruktur jika dibandingkan dengan dua jenis perniagaan tersebut.

Ia memberikan status liabiliti terhad kepada para pekongsi dan menawarkan fleksibiliti peraturan dalaman melalui perjanjian di antara pekongsi yang terlibat, selain membenarkan operasi perniagaan dikawal mengikut perjanjian perkongsian.


llp

Berbanding syarikat yang tertakluk kepada pematuhan ketat di bawah Akta Syarikat 1965, PLT menikmati prosedur lebih mudah dan fleksibel baik dalam urusan penubuhan, penyenggaraan dan pembubaran.

Begitu pun, PLT yang sebelum ini telah diperkenalkan di beberapa negara antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, India dan Jepun masih merupakan satu bentuk perniagaan alternatif dengan ciri-ciri dinamik yang mampu bersaing di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Struktur PLT direka untuk semua jenis perniagaan yang sah di sisi undang-undang untuk mendapatkan keuntungan. Bukan sahaja peniaga dan usahawan, ia boleh dibentuk oleh golongan profesional seperti peguam, akauntan bertauliah dan setiausaha syarikat untuk menjalankan amalan profesional mereka.

PLT juga sesuai untuk usahawan baharu atau pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana konsepnya adalah membantu mereka mengembangkan perniagaan tanpa gusar kehilangan liabiliti dan aset peribadi, selain menyelesaikan masalah tidak mampu mematuhi keperluan pematuhan syarikat yang ketat.

Sememangnya, antara dilema buat peniaga adalah kebimbangan sekiranya bisnes tidak menjadi maka mereka akan kehilangan segala-galanya. Melalui PLT perlindungan liabiliti terhad sama seperti yang dinikmati oleh pemegang saham sesebuah syarikat akan diberikan.

Ini bermakna sebarang hutang dan obligasi PLT akan ditanggung dan dibayar daripada harta PLT tersebut dan bukan daripada harta rakan-rakan kongsinya. PLT mempunyai status undang-undang perbadanan pertubuhan yang boleh menyaman dan disaman atas nama PLT itu sendiri, memiliki aset atas namanya dan melakukan semua perkara lain yang sah di sisi undang undang atas namanya, sama seperti sebuah perbadanan pertubuhan yang lain.

Bagi tujuan memudahkan pengguna, SSM telah memperkenalkan portal MyLLP yang dapat memudahkan pelbagai urusan seperti di bawah:

  • Pendaftaran sebagai pengguna MYLLP portal
    ·   Permohonan penempahan  nama
    ·   Permohonan untuk pendaftaran PLT baru
    ·   Permohonan untuk pendaftaran PLT bagi amalan profesional (hanya dengan surat kelulusan daripada badan kawal selia yang berkaitan):

(a) Peguam Bela dan Peguam Cara
(b) Akauntan Bertauliah
(c) Setiusaha Syarikat

Selain portal MyLLP , perkhidmatan-perkhidmatan berikut boleh didapati di kaunter pejabat SSM:

.    Permohonan Untuk Pendaftaran PLT Asing
·    Permohonan Untuk Penukaran daripada Perkongsian Konvensional kepada PLT.
·    Permohonan Untuk Penukaran daripada Syarikat Persendirian kepada PLT
·    Permohonan Untuk Penukaran Nama
·    Pertukaran Alamat Pejabat Berdaftar
·    Pertukaran Alamat Tempat Perniagaan
·    Perubahan Jenis Perniagaan / Aktiviti Utama
·    Perubahan Butiran Pekongsi – Individu
·    Perubahan Butiran Pekongsi – Pertubuhan Perbadanan
·    Perubahan Butiran Pekongsi – Agensi Kerajaan
·    Perubahan Butiran Pegawai Pematuhan
·    Penyerahan Perakuan Tahunan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad

Di bawah pula, soalan lazim yang dapat memperjelaskan lagi tentang PLT:

Adakah terdapat had bilangan rakan kongsi sesebuah PLT?
PLT perlu mempunyai sekurang-kurangnya minimum 2 rakan pekongsi dan tiada had maksimum untuk bilangan rakan kongsi.

Siapa boleh menjadi rakan kongsi dalam PLT?
Individu (orang perseorangan) atau pertubuhan perbadanan sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya.

Perlukah ada perjanjian perkongsian?
Ya, berhubung apa-apa perkara yang dinyatakan dalam jadual Akta PLT 2012.

Bolehkah dua syarikat membentuk PLT?
Ya, boleh. Ini merupakan bentuk biasa usahasama.

Berapa lamakah SSM mengambil masa untuk memproses permohonan pendaftaran?
Suatu notis pendaftaran akan dikeluarkan serta-merta selepas penyerahan permohonan melalui Portal MyLLP dengan syarat semua keperluan pendaftaran dipenuhi.

Adakah perlu untuk setiap rakan kongsi itu merupakan “pemastautin” di Malaysia?
Tiada keperluan untuk pekongsi menjadi pemastautin di Malaysia tetapi terdapat keperluan agar pegawai pematuhan merupakan warganegara atau pemastautin di Malaysia.

Amat menarik bukan? Ternyata, PLT adalah jawapan kepada beberapa kekangan yang selama ini menyukarkan sesetengah kita menceburi bidang perniagaan.

Langkah SSM memperkenalkan perniagaan alternatif ini pasti bakal melahirkan lebih banyak usahawan yang berdaya saing di Malaysia. – MYNEWSHUB.CC

Oleh: Rem Ramzi

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top