Bukan Berita Online Biasa

japan taxi

Ramai Pemandu Teksi Jepun Bawa Hantu Mangsa Tsunami

in Hangat

TOKYO — Pengalaman tujuh pemandu teksi di Jepun berikut ini menyegarkan kembali kenyataan bahawa memang ada kehidupan setelah kematian, lapor akhbar berpengaruh tempatan, The Asahi Shimbun pada Khamis.

Pada awal musim panas tahun 2011, seorang pemandu teksi yang bekerja di Ishinomaki, Prefektur Miyagi; yang telah hancur akibat tsunami dahsyat beberapa bulan sebelumnya, mengalami satu pertemuan cukup misteri.

Seorang perempuan yang mengenakan kot tebal menaiki teksinya dekat stesen Ishinomaki. Perempuan itu memberitahukan arah tujuannya kepada pemandu: “Tolong hantarkan saya ke daerah Minamiyama.”


Si pemandu, yang berusia 50-an tahun terkejut lantas bertanya: “Daerah itu sunyi, apakah itu tidak apa-apa?” Perempuan itu kemudian berkata dengan suara gementar: “Apakah saya telah meninggal dunia?”

Terkejut dengan pertanyaan spontan wanita berkenaan, pemandu teksi tersebut cuba melihat semula ke kerusi belakang, namun dia mendapati bahawa tidak ada siapa pun yang duduk di tempat belakang kereta itu.

Seorang penuntut tahun akhir Fakulti Sosiologi di Universiti Tohoku Gakuin, Yuka Kudo, telah memasukkan pengalaman pemandu itu dalam tesis penulisannya, sebagaimana dan kemudian disiarkan The Asahi Shimbun.

Kudo menyatakan, sejumlah tujuh pemandu teksi dilaporkan telah mengangkut sendiri ramai penumpang ‘hantu’ susulan tragedi gempa bumi dahsyat yang diikuti dengan bencana tsunami di Jepun pada Mac 2011 lalu.

Penuntut berusia 22 tahun itu dilaporkan setiap minggu pergi ke Ishinomaki pada tahun pertama pengajiannya semata-mata untuk mewawancara ramai pemandu teksi yang menunggu penumpang di daerah itu.

Dia mengajukan pertanyaan terhadap lebih daripada 100 pemandu teksi dengan soalan cepumas buat mereka: “Apakah anda pernah memiliki pengalaman yang agak luar biasa setelah bencana tersebut?”

Kebanyakan daripada mereka mengabaikan pertanyaan Kudo malah ada juga yang menjadi berang. Namun, tujuh orang pemandu teksi tampil menceritakan pengalaman misteri mereka secara sukarela kepadanya.

Seorang pemandu teksi lain yang berusia 40-an tahun menceritakan pengalamannya yang tidak biasa dijelaskan dan mendakwa seorang lelaki yang tampak berusia 20-an tahun masuk ke teksinya.

Ketika pemandu tersebut melihat ke cermin pandang belakang, penumpangnya itu menunjuk ke arah depan lantas pemandu ini berulang kali bertanya kepada penumpangnya tentang destinasi tujuannya.

Kemudian, penumpang itu hanya sekadar menjawab: “Pergi sahaja ke (gunung) Hiyoriyama”. Ketika teksi berkenaan tiba di sana, orang tersebut tiba-tiba menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

Menurut Kudo, laporan tujuh pemandu itu tidak dapat dengan mudah diabaikan sebagai bentuk ilusi. Ini kerana jika seorang penumpang naik teksi mereka, pemandu mulai memasang meter tambang, dan hal itu tercatat.

Jika para penumpang itu sekali pun memang benar adalah ‘hantu’, mereka tetap dihitung sebagai penumpang. Akibatnya, para pemandu terlibat terpaksa membayar tambang untuk mereka yang gagal dijelaskan itu.

Beberapa daripada tujuh pemandu itu turut menuliskan pengalaman mereka menerusi catatan peribadi kepada Kudo. Seorang menunjukkan catatannya, yang menyatakan bahawa ada tambang yang belum dibayarkan.

Disebabkan ‘hantu-hantu’ yang ditemui para pemandu teksi terbabit semuanya kelihatan berusia agak muda, mereka diyakini merupakan jelmaan roh daripada mangsa korban bencana tahun 2011 itu.

“Anak-anak muda (hantu) ini kemungkinan besar berasa sangat sedih dengan kematiannya apabila mereka tidak dapat bertemu lagi dengan orang yang mereka cintai masih hidup di alam dunia.

“Ketika mereka ingin menyampaikan kepedihan itu, mereka mungkin memilih teksi, yang seperti bilik peribadi, sebagai media untuk melakukan hal tersebut,” jelas Kudo kepada The Asahi Shimbun.

Hal yang membuat Kudo terkesan adalah semua pemandu itu tidak berasa takut terhadap ‘penumpang hantu’ berkenaan malah tetap memperlakukan mereka dengan layanan penuh hormat seperti manusia hidup.

Mereka menganggap pertemuan itu sebagai pengalaman penting yang harus dihargai dan pemandu teksi tersebut dapat merasakan kesedihan sehari-hari penduduk di Ishinomaki.

Itu adalah tempat banyak penduduk terkorban akibat tsunami. Seorang pemandu teksi menyatakan, dia juga kehilangan seorang anggota keluarga dalam bencana dahsyat tersebut.

Seorang pemandu lain pula menyatakan: “Bukan hal aneh melihat hantu di kawasan sini. Jika saya bertemu hantu lagi, saya tetap akan menerima mereka sebagai penumpang saya.”

Kudo berasal dari Prefektur Akita, yang tidak dilanda tsunami. Sebelum mewawancara pemandu teksi terbabit, dia hanya menganggap mangsa korban sebagai “ribuan orang” yang telah meninggal dalam bencana itu.

“Hasil melalui wawancara ini, saya belajar bahawa kematian setiap mangsa merupakan hal penting,” katanya. “Saya ingin menyampaikan hal itu kepada orang lain pula.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Tags:

Terkini dari Hangat

Go to Top