Penajaan Program Haji 1MDB Libatkan Lebih RM56 Juta 

KUALA NERUS – Penajaan  Program Khas Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB)  yang melibatkan lebih RM56  juta  sejak  2011, memberi manfaat kepada  5,711 orang  di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Program berkenaan,  Datuk Jailani Ngah  berkata  jumlah tersebut tidak termasuk subsidi  yang disediakan pihak kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa komited untuk meneruskan program itu meskipun  melibatkan jumlah  yang besar  dan dikecam pelbagai pihak.

Katanya  jumlah bayaran  bagi mengerjakan  Haji tahun ini ditetapkan sebanyak  RM9,980 manakala subsidi  diberikan sebanyak  RM9,570 bagi seorang jemaah.

“Tahun ini seramai  1,100 jemaah telah  ditawarkan menyertai  program ini. Antara calonnya  ialah  Imam, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Yayasan Pondok, Guru Tahfiz…ada juga  di kalangan pengamal  media dan tok batin,”  katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  majlis  penyerahan  surat  jemputan  program berkenaan  yang disampaikan  oleh  Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di sini hari ini.

Mengikut rekod,  program tersebut  melibatkan seramai  111 orang  pada  2011 dan  400 orang  (2012) serta    776 orang  (2013)  manakala  tiga tahun selepasnya  masing-masing  melibatkan seramai  984 orang, 1,181 orang dan 1,090 orang.

Sementara itu, menerusi majlis hari ini,  seramai 87 orang menerima  surat tawaran masing-masing  dan dijangka berlepas  ke Madinah menerusi penerbangan terakhir antara  9,10 dan 11 Ogos  sebelum ke Makkah.

Sementara itu, menerusi majlis hari ini,  seramai 87 orang menerima  surat tawaran masing-masing  dan dijangka berlepas  ke Madinah menerusi penerbangan terakhir antara  9,10 dan 11 Ogos  sebelum ke Makkah.

Empat orang pengamal media turut menerima  surat  tawaran hari ini dan rata-rata mereka mengucapkan syukur kerana berpeluang menunaikan  Haji menerusi tajaan tersebut.

Tuan Azam Tuan Johan, 65, yang merupakan  wartawan sambilan Bernama, berkata  jika  menunggu giliran  sepertimana ditetapkan Tabung Haji, beliau  perlu menunggu  10 tahun lagi untuk ke Tanah  Suci.

“Tidak terkata gembiranya apabila menerima tawaran ini. Setelah pencen saya bukan sahaja menjadi wartawan sambilan  tetapi juga merupakan  Pengerusi JKKK di kampung  Seberang Tuan Chik, di sini dan peluang ini akan dimanfaatkan   sepenuhnya bukan  semata-mata untuk beribadah tetapi  juga  membantu  pihak pengurusan sekiranya diperlukan nanti,”  katanya.

Pengamal media lain ialah  Ruslan Abdul Rahman  iaitu  Timbalan Pengarah  (Operasi) Unit Komunikasi  Negeri, Mohd Yassin Embong  (Pemasaran  akhbar  New  Straits  Times) dan Khalid Abdullah (RTM). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *