Bukan Berita Online Biasa

DAP Tak ‘Sentuh’ Bangunan Haram Sebelum 2008

in Politik

GEORGE TOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak pernah mengambil tindakan terhadap semua bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram dan wujud sebelum 2008.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata perkara itu dijadikan sebagai dasar kerajaan DAP selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008.

“Kami ambil keputusan bahawa semua bangunan haram termasuk kilang tidak akan disentuh kecuali jika ia mengganggu orang awam dan aliran trafik sehingga satu penyelesaian dapat dicapai.

“Kami tidak mengehadkan tempoh untuk penyelesaian yang baik antara semua pihak. Tapi kami selalu sebut kami cuba kurangkan ambil langkah mitigasi untuk kurangkan mana-mana kesan negatif sekiranya timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir di perkarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan.

Ia sebagai memberi sokongan dan solidariti kepada exco kerajaan negeri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram.

Selain itu, turut ditahan lelaki dua beranak masing-masing berusia 70 tahun dan 37 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan melibatkan kilang tersebut di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.S

SPRM menahan exco itu pada 3.35 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama peguambela RSN Rayer selepas pejabatnya di Tingkat 53, bangunan Komtar, di sini dikunjungi lima pegawai SPRM pada 11.30 pagi.

Lelaki berusia 70 tahun itu pula ditahan pada 6.05 petang manakala anak lelakinya ditahan 20 minit kemudian di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap mana-mana bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram selepas 2008, bagaimanapun ia bergantung kepada keperluan.

Berikutan itu, beliau mempersoal tindakan SPRM menahan exco kanan kerajaan pimpinan DAP itu, Phee Boon Poh memandangkan ADUN berkenaan hanya melaksanakan dasar kerajaan negeri.

“Dalam kes ini saya belum dapat maklumat terperinci. Kilang itu berada atas tanah sendiri dan bukan di atas tanah kerajaan. Sudah tentu ini diluluskan oleh YB (Yang Berhormat) itu sebagai anggota exco,” kata Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan negeri percaya ADUN itu tidak menerima sebarang suapan kerana beliau hanya jalan tugas sebagai exco, selain tiada kepentingan peribadi malah hubungan keluarga dengan pemilik kilang itu.

“Semua tahu YB itu sebelum menjadi anggota exco adalah seorang yang kaya, malah beliau anggota exco yang paling kaya.

“Itu atas warisan keluarganya yang berjaya dan kaya, dia tidak menerima suapan. Semua orang yakin dan percaya. Beliau punya bisnes keluarga sendiri yang tiada kaitan dengan kilang ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Politik

Go to Top