Dawos Serah Keputusan Tanding Kepada BN

in Politik/Terkini

KOTA SAMARAHAN – Anggota Parlimen Mambong, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit masih belum mendapatkan sebarang bayangan sama ada akan dicalonkan semula atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) susulan keadaan kesihatannya.

Beliau berkata keputusan itu diserahkan kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) berikutan hasratnya untuk tidak meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat selepas komplikasi kesihatannya telah menjejaskan tahap penglihatannya.

“Bukan saya sendiri yang boleh buat keputusan tetapi terpeluang kepada pemimpin parti…jika perdana menteri mahu saya perlu bertanding maka saya perlu mematuhi demi rakyat,” kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) itu ketika ditanya mengenai nasibnya pada PRU14 nanti.

“Bagaimanakah saya boleh meneruskan khidmat saya sebagai wakil rakyat dengan keadaan mata saya yang macam ini…penglihatan saya terjejas tapi saya sudah menjalani pembedahan.

“Doktor pesan selepas luka pembedahan dalam retina sembuh, saya boleh melihat semula. Inilah situasi semasa ini. Dalam keadaan semasa ini…sudah tentu tidak mahu meneruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Warga Sarawak di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, di sini hari ini.

Persoalanan mengenai masa depan Dawos, yang telah mewakili kawasan Parlimen Mambong selama empat penggal itu, mulai diperkatakan sejak beberapa bulan lalu apabila beliau dilaporkan mengalami masalah kesihatan, sehingga menjejaskan penglihatannya. – BERNAMA

Loading...