Bukan Berita Online Biasa

PEKIRA Mahu Diberi Peluang Bantu Jentera BN

in Politik/Terkini

KUALA LUMPUR – Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA), yang masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), mahu diberi peluang membantu jentera pilihan raya umum Barisan Nasional, untuk meraih sokongan usahawan seluruh negara.

Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah berkata keinginan tersebut dizahirkan kerana parti tersebut ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib usahawan dan peniaga kecil serta menyelesaikan masalah rakyat selaras dengan prinsip yang diperjuangkan BN selama ini.

“Ketika ini, kami memiliki kira-kira 15,000 ahli berdaftar seluruh negara sejak dua bulan penubuhan parti dan ketika ini sedang menyusun wakil-wakil di seluruh negara. Kita mensasarkan sekurang-kurangnya 200,000 keahlian sehingga hujung tahun ini.

Jadi, saya percaya, PEKIRA mampu memainkan peranan penting untuk membantu BN ketika ini dalam menerangkan isu berkaitan masalah rakyat dan juga sewaktu musim PRU agar masyarakat faham apa yang telah dan akan dilakukan kerajaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ridzuan berkata pihaknya juga akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat bagi mengemukakan permasalahan di kalangan usahawan selain cadangan berkaitan strategi memperkuat jentera BN.

Menurutnya situasi menang-menang antara BN dan PEKIRA ini mampu mengelak permainan persepsi negatif yang kononnya kerajaan tidak mengendahkan golongan usahawan dan isu berkaitan rakyat seperti harga minyak dan barangan keperluan harian. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Politik

Go to Top