Bukan Berita Online Biasa

Pelan Tindakan 4 Intipati Tingkat Hidup Kaum India

Pelan Tindakan 4 Intipati Tingkat Hidup Kaum India

in Politik/Terkini

PUTRAJAYA – Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India Malaysia, yang akan dilancarkan Ahad ini, menggariskan empat intipati bagi meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat itu khususnya permasalahan kumpulan 40 peratus isi rumah (B40) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata empat aspek itu adalah mengenal pasti permasalahan asas ; merealisasikan potensi setiap kanak-kanak; memperbaiki kehidupan dan kekayaan; dan isu sosial.

Dalam taklimat media di sini hari ini, beliau berkata pelan induk komprehensif cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merupakan pelan tindakan pertama bagi kaum India meliputi keperluan asas seperti pendidikan, keusahawanan, perumahan, pekerjaan, dokumentasi, perdagangan dan pembangunan sosial.

“Sebagai permulaan, kita telah mengenal pasti masalah-masalah ‘low hanging fruit’ yang boleh diberi bantuan bagi memperkasakan secara cepat agar kesejahteraan dan masa depan masyarakat India dapat dijamin bagi jangka masa sederhana dan panjang.

“Pelaksanaan pelan ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 yang mana kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada masyarakat India Malaysia, dan menyediakan pelbagai program untuk keperluan mereka,” katanya, sambil menambah pelan itu akan dirasmikan oleh Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 4 petang Ahad ini.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa satu unit khas yang dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India di bawah Jabatan Perdana Menteri akan bertanggung jawab sepenuhnya memantau dan melaksanakan pelan itu, yang akan dianggotai oleh penjawat awam sebagai pelaksana untuk merekod kejayaan intipati-intipati utama pelan itu secara setiap tahun.

“Di bawah unit ini, yang diketuai oleh seorang ketua pengarah, akan menggabungkan semua unit sedia ada seperti Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic), Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) dan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF),” katanya.

Beliau menerangkan sebelum ini, bekas Presiden MIC V.Manickavasagam Pillai dan beberapa badan bukan kerajaan pernah merangka pelan tindakan untuk kaum India tetapi gagal direalisasikan sebagai dasar kerajaan.

Dr Subramaniam memberi jaminan bahawa pelan itu telah direstui oleh perdana menteri selepas menerima pelbagai pandangan dan cadangan daripada lebih 23 pihak berkepentingan kaum India.

Ditanya apakah fokus utama dalam pelan itu, beliau berkata kesemua permasalahan yang dihadapi masyarakat India adalah fokus dan memberi tumpuan lebih kepada permasalahan kategori B40 untuk mengurangkan masalah kemiskinan kepada separuh isi rumah.

Dianggarkan sebanyak 227,600 masyarakat India di Malaysia berada dalam kumpulan B40 dengan pendapatan bulanan RM2,672. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Politik

Go to Top