Bukan Berita Online Biasa

Tag archive

Adenan Satem

PTD Di Filipina Hina PM, Arwah Tok Nan Dipanggil Balik

in Politik

KERANA mulut badan binasa, terlajak kata buruk padahnya… Seorang pegawai tadbir diplomatik (PTD) di Kedutaan Malaysia di Manila, Filipina disahkan telah digantung tugas dan diarah pulang.

Menurut sumber Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya yang dipetik beberapa portal berita tempatan, dia didakwa mencatat komen berbaur penghinaan atas kematian bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Sumber jabatan itu memaklumkan PTD tersebut digantung tugas serta-merta dan diarahkan pulang untuk siasatan lanjut susulan kenyataan biadap dikeluarkan setelah disiarkan menerusi laman Facebook ‘Wa Sengat Lu‘ kelmarin.

Katanya, pegawai berkenaan dijadualkan balik ke tanah air pada Isnin ini berdasarkan kepada peraturan PU(A) 395/1993 malah Wisma Putra juga telah mengeluarkan satu surat arahan untuk memanggil dia segera pulang.

“Tindakan tatatertib belum boleh diambil terhadapnya sehingga siasatan dan punca dia berani berbuat demikian dikenal pasti kerana mungkin akaun Facebook miliknya digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Allahyarham Adenan meninggal dunia sekitar 1.20 tengah hari Rabu di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak Kota Samarahan dalam usia 72 tahun dan jawatan itu digantikan oleh Datuk Abang Johari Tun Openg semalam.

ptd2

Sumber seterusnya berkata, pegawai berkenaan bukan berkhidmat dengan Kementerian Luar, sebaliknya PTD daripada sebuah kementerian lain yang mengikuti kursus dan ditempatkan tugas di Filipina sejak November 2015.

“Isteri dan anak kepada pegawai berkenaan dijangka pulang ke tanah air Ahad ini, sehari sebelum pegawai terbabit,” katanya. Kementerian Luar dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung kes berkenaan selepas siasatan dilakukan.

Pemerhatian beberapa portal tempatan bagaimanapun mendapati ini bukan kali pertama dia berani mengeluarkan komen jelik terhadap kepimpinan negara namun tiada sebarang tindakan dikenakan oleh pihak JPA selama ini.

Selain mengeluarkan kenyataan menghina allahyarham Adenan, pegawai tersebut melalui ruangan komen sebelum ini turut dilihat seperti memperlekehkan secara sinis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, mengesahkan tindakan sudah diambil ke atas PTD terbabit selepas komennya menjadi tular melalui media sosial dan dikecam teruk netizen sebagai agak keterlaluan.

“Tindakan telah pun diambil. Pegawai diarah balik segera ke Kuala Lumpur untuk tindakan tatatertib,” kata beliau tegas dalam entri menerusi kicauan akaun Twitter miliknya @DrAliHamsa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Penjawat Awam S’wak Digesa Teruskan Perjuangan Adenan

in Terkini

SIBU – Penjawat awam Sarawak, khususnya di Sibu, digesa meneruskan perjuangan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee berkata hala tuju itu telahpun ditetapkan oleh Adenan melalui 53 prinsip dan tindakan yang diumum Allahyarham sebelum dan semasa pilihan raya negeri lalu.

“Saya rasa ini perkara ini penting untuk dipikul oleh semua penjawat awam negeri, khususnya di Sibu, demi menjaga kepentingan rakyat,” katanya yang ditemui pemberita selepas memberi penghormatan dan menandatangani buku ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Ketua Menteri itu di Dewan Suarah Sibu hari ini.

Masyarakat di Sibu berpeluang memberi penghormatan terakhir dan menandatangani buku ucapan takziah tersebut dari 9 pagi hingga 9 malam selama dua hari bermula hari ini.

Adenan, 72, meninggal dunia pada Rabu di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching, berikutan komplikasi jantung. – BERNAMA

Antara Permintaan Terakhir Adenan Satem

in Terkini

PEMERGIAN Tan Sri Adenan Satem yang telah kembali ke rahmatullah pada Rabu, bukan sahaja ditangisi masyarakat Sarawak tetapi seluruh jutaan rakyat Malaysia.

Lihat sahaja luahan demi luahan sedih para netizen di timeline media sosial, jelas membuktikan pemergian ketua menteri Sarawak yang mesra dengan panggilan “Tok Nan” ini diratapi sebagai satu kehilangan besar.

Sesungguhnya, beliau pemimpin berjiwa rakyat yang telah banyak melakukan pelbagai usaha demi pembangunan Sarawak.

Dalam pada kehilangannya, netizen turut tersentuh mendengar kisah mengenai hajat terakhir Tok Nan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Diceritakan balu Tok Nan Puan Sri Jamilah Anu kepada seorang netizen, Efafazahra Ahmad Awang, Tok Nan dikatakan mengidam aiskrim dari sebuah kedai bernama Sunny Hill.

Difahamkan, Sunny Hill mempunyai nilai sentimental kepada Tok Nan. Ini kerana banyak kenangan yang telah dilalui oleh Allahyarham di kedai itu.

1

Sementara itu, setiausaha akhbar allahyarham, Ambrose Cheng turut mencoretkan luahan rasa sayu dengen kehilangan ketuanya apabila melihat pejabat pemimpin itu kosong.

1 (1)

“Tuan sudah tiada lagi tetapi akan sentiasa kekal dalam hati rakyat Sarawak sebagai pemimpin yang mempunyai prinsip keberanian,” tulisnya.

Allahyarham meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching pada 1.20 tengah hari, 16 hari sebelum hari lahirnya yang ke-73. – MYNEWSHUB.CC

Jenazah Adenan Selamat Dikebumikan

in Terkini

KUCHING – Jenazah Allahyarham Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem selamat dikebumikan dengan istiadat pengebumian Negeri di tanah perkuburan Islam Samariang di sini hari ini.

Keranda jenazah yang ditutupi bendera negeri dan diusung oleh pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia tiba di tanah perkuburan itu pada 2.05 petang.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Al Kurdi Taib, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai ribuan rakyat di upacara pengebumian tersebut.

Isteri Allahyarham Puan Sri Jamilah Anu dan anggota keluarganya serta sanak saudara turut berada di tanah perkuburan itu.

Adenan, 72, yang menjadi ketua menteri hampir tiga tahun meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Kota Samarahan dekat sini kira-kira 1.20 tengah hari semalam.

Menteri-menteri persekutuan dan negeri, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri, pemimpin-pemimpin masyarakat, persatuan, badan bukan kerajaan hadir di upacara pengebumian itu.

Mereka termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

Semasa upacara pengebumian itu, Imam Besar Masjid Jamek Sarawak Mustapha Kamal Ahmad Fauzi memimpin bacaan Talkin.

Anak-anak dan cucu-cucu Allahyarham kelihatan duduk di sekeliling kubur tersebut semasa bacaan Talkin itu.

Setelah bacaan Talkin, ketua pasukan pengusung kemudian menyerahkan bendera Sarawak sebagai penghormatan tertinggi kerajaan negeri dan rakyat kepada Yang di-Pertua Negeri yang kemudian menyerahkannya kepada Jamilah.

Selepas itu, Jamilah menyiram air mawar di pusara Allahyarham, diikuti Yang di-Pertua Negeri dan isteri, Sultan Brunei, Najib dan isteri.

Anak-anak serta cucu-cucu Allahyarham turut menyiram air mawar di pusara Allahyarham.

Terdahulu, solat jenazah diadakan di Masjid Jamek Sarawak, Petra Jaya di sini sebelum van jenazah membawa keranda Allahyarham ke tanah perkuburan itu, kira-kira dua kilometer dari masjid.

Orang ramai kelihatan berada di laluan dua kilometer itu untuk memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin mereka yang lebih mesra dikenali sebagai “Tok Nan”

Ribuan orang kenamaan dan orang ramai memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di masjid tersebut pagi tadi dan di kediamannya di Damai Jaya, Santubong dekat sini sejak semalam dan pagi tadi.

Semalam, Abang Johari mengumumkan hari ini sebagai hari kelepasan am bagi Sarawak dan tempoh berkabung selama tujuh hari dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang. – BERNAMA

Jenazah Allahyarham Adenan Dibawa Ke Tanah Perkuburan

in Terkini

KUCHING – Jenazah Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dibawa meninggalkan Masjid Jamek Sarawak di Petra Jaya di sini menuju ke Tanah Perkuburan Samariang, di sini.

Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia mengusung keranda ke dalam van jenazah pada 1.25 tengah hari untuk dibawa ke tanah perkuburan itu, kira-kira dua kilometer dari masjid tersebut.

Orang ramai kelihatan berada di sepanjang laluan untuk terus memberi penghormatan kepada Allahyarham.

Adenan, 72, yang hampir tiga tahun menjadi ketua menteri, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan dekat sini pada 1.24 tengah hari semalam.

Terdahulu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai ribuan jemaah menunaikan solat jenazah selepas solat Zuhur di masjid tersebut. – BERNAMA

Jenazah Adenan Satem Tiba Di Masjid Jamek

in Terkini

KUCHING – Jenazah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah tiba di Masjid Jamek Sarawak di Petra Jaya, di sini.

Van yang membawa jenazah tiba di masjid itu pada 10.55 pagi ini.

Keranda yang membawa jenazah kemudiannya diusung oleh pegawai dan anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia serta polis dan ditempatkan di pentas khas di tengah-tengah ruang solat masjid tersebut untuk membolehkan orang kenamaan dan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah dibawa dari kediaman ketua menteri di Damai Jaya, Santubong, kira-kira 30km dari sini.

Orang ramai kelihatan turut berada di sesetengah laluan untuk menyaksikan pergerakan membawa jenazah dan memberi penghormatan terakhir.

“Selamat tinggal hero kami,” kedengaran ungkapan yang dilaungkan orang ramai sambil melambaikan tangan ke arah van jenazah tersebut.

Adenan, 72, yang menjadi ketua menteri Sarawak hampir tiga tahun, meninggal dunia di Pusat Jantung Kota Samarahan di sini akibat komplikasi jantung pada 1.24 tengah hari semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai ribuan orang berada di masjid itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Menteri-menteri persekutuan dan negeri serta ketua-ketua menteri dan menteri-menteri besar, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri serta tokoh korporat, pemimpin persatuan, badan bukan kerajaan dan rakyat pelbagai lapisan turut berada di masjid itu.

Mereka termasuk Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Anggota keluarga dan saudara mara Allahyarham Adenan turut berada di masjid itu.

Solat jenazah dipimpin oleh Imam Besar Masjid Jamek Sarawak Mustapha Kamal Ahmad Fauzi pada 11.40 pagi.

Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Samariang di sini selepas solat Zuhur.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg mengumumkan hari ini sebagai hari kelepasan am bagi Sarawak dan tempoh berkabung selama tujuh hari dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang. – BERNAMA

Negara Hilang Pemimpin Berwibawa – Najib

in Terkini

KUCHING – Negara kehilangan pemimpin berwibawa berikutan pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata bagi rakyat Sarawak kehilangan tersebut amat dirasai berikutan Adenan seorang Ketua Menteri yang disayangi rakyat Sarawak.

“Selama tempoh pemerintahan banyak perubahan telah dilakukannya. Keputusan-keputusan dan sasaran yang dibuat membuatkan rakyat lebih sayang, yakin kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kemuncaknya, pada tahun sudah kerajaan BN menang dengan begitu cemerlang,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu Najib, dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa hampir 30 minit untuk menziarahi jenazah Adenan di kediaman Allahyarham di Damai Jaya, Santubong.

Mengulas lanjut, Najib berkata secara peribadi beliau kehilangan seorang rakan karib yang rapat dengannya.

“Bukan baru ini tetapi sekian lama saya sudah lihat perjalanan kerjaya beliau waktu senang, susah dan saya akan tetap kenang beliau sebagai seorang sahabat.

“Dan bagi saya dan isteri itu satu kehilangan yang amat dirasai,” katanya.

Najib berkata bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia beliau mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham.

Adenan, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan di sini, pada pukul 1.24 tengah hari semalam.

Hari ini, Najib dan isteri dijadualkan menghadiri majlis penghormatan terakhir terhadap Adenan di Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya pada pukul 10.30 pagi sebelum mengiringi jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya selepas solat Zuhur.- BERNAMA

Jenazah Adenan Dikebumikan Esok – Abang Johari

in Terkini

KUCHING – Jenazah Allahyarham Tan Sri Adenan Satem akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, di sini esok, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

Katanya jenazah Allahyarham akan dibawa dari kediaman peribadinya di Santubong ke Masjid Jamek Sarawak, Petra Jaya pada pukul 10 pagi di mana upacara penghormatan terakhir akan bermula 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.

“Orang ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir dinasihatkan berpakaian gelap,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Abang Johari berkata esok juga diumumkan sebagai hari kelepasan am bagi negeri ini dan tempoh berkabung selama tujuh hari dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada kira-kira 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Kota Samarahan. – BERNAMA

Adenan Pemimpin Politik Kesejahteraan Sarawak

in Politik/Terkini

KUALA LUMPUR – Lapan bulan menerajui Sarawak selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada Mei tahun lalu, seorang pemimpin yang berjaya menambat hati rakyat melalui pendekatan ‘politik kesejahteraan’, Tan Sri Adenan Satem, menghembuskan nafasnya yang terakhir hari ini.

Allahyarham Adenan meninggal dunia pada kira-kira 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan, Kuching.

Bakal menjangkau usia 73 tahun pada 27 haribulan ini, Allahyarham merupakan Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih tugas daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari 2014.

Pada PRN yang lalu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (BN-PBB) itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, menewaskan Jazolkipli Numan (PKR) dengan majoriti 5,892 undi.

Adenan, 72, meninggalkan seorang isteri, Puan Seri Jamilah Anu serta lima anak, empat perempuan dan seorang lelaki.

Dilahirkan pada 1944 di Kuching, Sarawak, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah St Joseph, Sarawak sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia.

Memulakan kariernya sebagai Majistret di Kuching pada 1970, Adenan pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak selama dua tahun sehingga 1987 dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2004.

Perjalanan karier Allahyarham sebagai Ketua Menteri bermula pada 2010 apabila beliau dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri sebelum menyandang jawatan Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak yang kebanyakannya mengendalikan isu berkaitan tanah.

Sebagai tokoh politik yang banyak menabur jasa dan khidmat khususnya dalam pembangunan negeri Sarawak, Allahyarham dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran termasuk Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran ‘Tan Sri’, selain Pingat Perkhidmatan Bakti Negeri Sarawak dan Johan Bintang Sarawak pada 1986.

Peningkatan taraf hidup masyarakat di Sarawak merupakan agenda politiknya yang utama dan pangkat bukanlah kayu ukur yang diguna pakai untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang nyata begitu disegani.

Mengimbas kembali bait-bait ucapannya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PRN-11 PBB Zon Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, April tahun lalu: “Sebagai seorang yang pernah memegang banyak jawatan penting dalam kerajaan sebelum dilantik menjadi Ketua Menteri, saya tidak ‘gilakan pangkat’.

“Apa yang saya mahu ialah melihat taraf hidup masyarakat terus dipertingkatkan, lihatlah apa yang telah dilakukan sepanjang dua tahun saya dilantik sebagai Ketua Menteri.” – BERNAMA

“Tok Nan” Ketua Menteri Sarawak Meninggal Dunia

in Politik/Terkini

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia pukul 1.20 tengah hari Rabu di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan dekat sini dalam usia 72 tahun.

Pemergian secara mengejut ke Rahmatullah amat dirasai kerana allahyarham yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sepatutnya bakal menyambut hari kelahiran yang ke-73 tahun pada 27 Januari depan.

Berita sedih ini disahkan oleh doktor peribadi pakar jantung beliau sendiri, Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian yang juga menteri Kabinet negeri itu dan Presiden SUPP, salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Jenazah kemudian dibawa balik ke rumahnya di Santubong jam 4 petang manakala pada pukul 7.30 pagi esok akan dibawa ke Masjid Jamek Petra Jaya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Samariang selepas solat zohor.

Allahyarham merupakan ketua menteri kelima negeri terbesar di Malaysia tersebut selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari 2014 untuk kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Datu selama tiga penggal itu meninggalkan seorang balu, Puan Sri Jamilah Anu dan lima orang anak iaitu Siti Rafidah, Abdul Aziz, Hayati Kamidah, Aziza Jasmin dan Azizul Anuar.

Graduan Universiti Adelaide, Australia itu mencipta sejarah tersendiri apabila BN Sarawak yang diterajuinya tanpa diduga berjaya catat kemenangan besar Pilihan Raya Negeri tahun lalu dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi.

Adenan yang mendapat pendidikan di sekolah rendah dan menengah St. Joseph di sini pernah bertugas sebagai wartawan, guru serta kemudian majistret sebelum menceburi arena politik dengan menyertai PBB sejak 1976

Allahyarham lebih mesra disapa sebagai Tok Nan juga diingati rakyat Sarawak kerana mempopularkan sebutan tempatan Ooo-Ha dan You-You yang sering digunakan beliau apabila ‘turun padang’ bertemu dengan masyarakat.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan meletakkan roh allahyarham pemimpin Sarawak ini dalam kalangan insan yang beriman. Inna lillah wa inna ilaihi rojiun. – Mynewshub.cc/HAA

Adenan Tak Pernah Ulas Polisi Kek Halal McDonald’s

in Terkini

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung polisi McDonald’s melarang pelanggan membawa masuk kek tidak mempunyai status tanda halal ke dalam premisnya, kata Ketua Setiausaha Politik kepada Adenan, Abdullah Saidol.

Beliau berkata kenyataan yang dibuat oleh seorang setiausaha politik kepada Adenan daripada Parti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berhubung polisi tersebut dibuat atas kapasiti peribadi beliau sendiri.

“Perlu diingatkan bahawa McDonald’s adalah sebuah entiti perniagaan, polisi yang diumumkan oleh McDonald’s adalah satu keputusan perniagaan mereka.

“Kerajaan negeri tidak ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan McDonald’s, maka tidak perlu untuk kita mencampuri urusan mereka, kecuali mereka ada melanggar mana-mana undang-undang atau garis panduan perniagaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Abdulllah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Semop berkata Sarawak adalah contoh terbaik sebuah negeri yang mempunyai tahap perpaduan berbilang bangsa serta toleransi yang tinggi.

“Kuching telah diumum sebagai “City of Unity” yang pertama di Malaysia. Kita sebagai anak negeri harus merasa bangga dengan imej unik dan kesatuan dalam kepelbagaian ini,” katanya.

Abdullah berkata, beliau tidak faham bagaimana isu kek halal itu boleh menjerumuskan ke arah unsur-unsur fanatik dan perkauman.

Beliau berkata, Adenan lebih mementingkan isu yang berkaitan dengan kebajikan serta keperluan rakyat terutama di luar bandar dan usaha untuk mendapat peruntukan yang lebih dari Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembangunan negeri.

“Saya percaya warga negeri cukup matang untuk tidak mudah terpengaruh dengan isu remeh ini. Negeri kita tidak akan menyambut sesiapa yang berfikiran atau bersikap suka berburuk-sangka serta ektremis.

“Semua warga negeri yang berbilang bangsa dan agama tanpa mengira fahaman politik bertanggungjawab untuk memastikan keharmornian dan keamanan dikekalkan lebih dari agenda politik,” kata Abdullah.

Beliau menegaskan sikap toleransi dan menghormati sensitiviti kaum serta agama lain mesti tertanam menjadi sebahagian daripada jati diri setiap anak negeri dan sesiapa yang gagal untuk menghormati sentimen itu dan sering menunjuk sikap antiperpaduan mesti dibenci dan dipinggirkan. – BERNAMA

Adenan Komited Pastikan Malaysia Terus Stabil, Bersatu

in Terkini

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini berkata beliau komited untuk memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara stabil dan bersatu padu, tanpa wujud perasaan benci-membenci dan curiga-mencurigai dalam kalangan rakyatnya.

“Bagaimanapun, sudah banyak kali saya nyatakan secara tegas bahawa saya juga tetap komited untuk melindungi dan mendapatkan kembali hak negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional Sarawak di sini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan majlis tertinggi parti pimpinannya, Pesaka Bumiputera Bersatu.

Mengenai perbincangan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Adenan berkata hasil positif dicapai mengenai isu utama seperti permintaan untuk menambah royalti minyak dan gas negeri serta penurunan kuasa pentadbiran.

“Saya akan jelaskan secara lebih terperinci tentang pencapaian kami setakat ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri dari 21 hingga 30 Nov nanti,” katanya. – BERNAMA

Ketua Menteri Sarawak Puji Pencapaian SAINS

in Terkini

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem memuji Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) bagi pencapaian diraihkanya buat Sarawak dan syarikat itu sendiri bagi tempoh 25 tahun lepas.

Beliau berkata SAINS telah memacu penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kerajaan negeri daripada pada tahap terendah kepada antara yang tertinggi di Malaysia ketika ini, sekali gus meningkatkan keefisienan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awamnya.

“Sarawak terkenal dengan penduduknya yang mesra dan peramah dan berbakat serta kaya dengan sumber asli dan amat gigih menjalankan perniagaan,” katanya pada majlis makan malam gala SAINS bersempena sambutan ulang tahun ke-25 syarikat itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.

Majlis makan malam itu turut dihadiri tetamu asing daripada New Zealand, Australia, Papua New Guinea, Filipina, Brunei Darussalam, Myanmar, China, Qatar dan Guinea, selain daripada Semenanjung Malaysia dan Sabah, yang merupakan pelanggan SAINS dan bakal pelanggan baharu serta rakan kongsi dalam usahasama saluran dan teknologi tempatan.

Ketua menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka kerana memilih untuk menjalankan perniagaan ICT dengan Sarawak, sambil berharap selain daripada menjalankan perniagaan ICT dengan negeri ini, mereka turut menyebarkan kepada rakan di negara masing-masing mengenai pengalaman mereka di Sarawak.

“Tiada apa yang lebih baik selain daripada kita saling mencapai hasil menang-menang menerusi usahasama mesra jangka panjang,” katanya.

Sehubungan itu, Adenan berharap SAINS akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk mencari cara bagaimana untuk mengoptimumkan bidang-bidang usahasama, termasuk dalam program teknousahawan ICT dari rumah luar bandar, penjagaan kesihatan bagi memupuk pertumbuhan ekosistem (CHANGE), maklumat bersepadu, berkualiti, saksama menerusi pembelajaran bagi kawasan Luar Bandar atau ‘Library in a Box’. – BERNAMA

Pejabat KM Sarawak Nafi Tulisan Dalam Facebook

in Politik/Utama & Sensasi

KUCHING – Pejabat Ketua Menteri (CMO) Sarawak hari ini membuat penafian tentang perkara yang tersebar melalui laman sosial yang menuduh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menyalahkan pihak berkuasa persekutuan bagi kebanyakan masalah yang menimpa negara ini.

Dalam kenyataan di sini hari ini, CMO berkata tulisan dalam laman sosial itu juga mendakwa Ketua Menteri mengancam untuk membawa Sarawak keluar daripada Malaysia sekiranya semua masalah yang didakwa wujud itu tidak diatasi.

“Tulisan itu dilaporkan berasal daripada akaun Facebook ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’,” menurut kenyataan itu.

“CMO menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa Ketua Menteri pernah membuat sebarang kenyataan umum yang bermaksud demikian dan menyifatkan tulisan itu sebagai tidak benar sama sekali serta suatu perbuatan yang secara terang-terangan bertujuan memberi gambaran buruk mengenai Ketua Menteri di mata Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Ketua Menteri telah berulang kali menegaskan bahawa Sarawak tidak akan sekali-kali berpisah daripada Malaysia, tetapi ia tidak bermakna negeri berkenaan tidak boleh memperjuangkan haknya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Laporan dan Cadangan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Sementara itu, ketika dihubungi bagi merujuk tentang tulsian itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dev Kumar M.M. Sree Shunmugam berkata, polis sedang menyiasat kes berkenaan. – BERNAMA

Adenan: Sarawak Tumpu Sedia Pendidikan Teknikal

in Terkini

KUCHING – Sarawak kini menumpukan untuk menyediakan pendidikan teknikal yang amat diperlukan oleh industri, bagi menyediakan peluang kerja lebih baik untuk siswazah, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata masalah siswazah menganggur ketika ini adalah kerana mereka tidak mempunyai kelayakan teknikal untuk merebut peluang kerja dalam pasaran itu.

Menyatakan ini merupakan “bencana” berikutan dasar pendidikan salah yang dilaksanakan beberapa tahun dahulu, beliau berkata ia masih belum terlambat untuk menangani perkara itu.

“Kami dapati bahawa jika anda lulusan pendidikan teknikal, anda dengan mudah dapat kerja dalam industri berkenaan,” katanya semasa merasmikan Sidang Kemuncak Ketiga Perniagaan dan Pelaburan Sarawak, di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.

Beliau berkata dunia sedang berdepan dengan “kemalapan” ekonomi, Sarawak mempunyai banyak ‘insentif’ menarik untuk ditawarkan, seperti bekalan elektrik murah, tanah dan keupayaan untuk menyediakan tenaga kerja terlatih.

Adenan berkata matlamat Sarawak adalah untuk menggalakkan pembangunan sosio-ekonomi sebagai pemangkin bagi perubahan, dan pelbagai projek dalam tahun-tahun kebelakangan ini telah berhasil menyumbang secara sihat kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara secara menyeluruh.

“Sarawak adalah penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Malaysia iaitu sejumlah RM118.9 bilion pada 2015,” katanya.

“Sektor pembuatan telah melalui banyak transformasi sejak 2003. Kami telah meliberalisasikan sepenuhnya pegangan ekuiti dalam semua projek pembuatan.

Pelabur asing boleh memegang 100 peratus ekuiti dalam semua pelaburan projek-projek baharu serta dalam pembesaran atau perluasan projek-projek oleh syarikat sedia ada tanpa mengira tahap eksport,” katanya.

Dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), sidang kemuncak itu bertujuan menghimpunkan pihak berkepentingan seperti pembuat dasar, pakar ekonomi, pemimpin korporat dan pemimpin negeri yang mempunyai kepentingan di Sarawak untuk berkongsi pandangan dan pemerhatian terhadap isu-isu penting dalam pembangunan Sarawak.

Ia juga berperanan sebagai platform untuk kerajaan negeri menyemak semula hala tuju strategiknya, susulan baru sahaja mendapat mandat untuk kekal menerajui negeri, dalam usaha terakhirnya ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi.

Sidang kemuncak sehari itu merangkumi lima sesi bagi membincangkan isu seperti penambahbaikan modal insan, meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan, memodenkan pertanian dan perkara lain berkaitan pembangunan Sarawak.

Antara penceramah ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kemudahan Awam Sarawak Datuk Seri Stephen Rundi, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia Dr Mohd Ghazali Abas yang mewakili menterinya Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Antara moderatornya ialah Menteri Muda Pelancongan Sarawak Datuk Talip Zulpilip, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) Tan Sri Wilson Baya Dandot dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang. – BERNAMA

Kerjasama Erat Mantapkan Usaha Mendaulatkan Islam

in Terkini

BETONG – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mahu jalinan kerjasama, persaudaraan serta gabungan erat semua pihak dimantapkan lagi dalam usaha mendaulatkan Islam sebagai agama terunggul.

Beliau berkata kerjasama di antara Majlis Islam Negeri Sarawak serta pelbagai agensi lain dalam menganjurkan Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak bagi Tahun 1438 Hijrah kali ini adalah satu contoh terbaik dalam merealisasikan kerjasama berkenaan.

“Selain memantapkan usaha mendaulatkan Islam, kerjasama itu juga dapat menjulang tinggi syiar agama Islam dan menjadikan umatnya sebagai masyarakat bertamadun yang mempunyai nilai-nilai berkualiti khususnya di negeri Sarawak.

“Ucapan tahniah dan syabas kepada Majlis Islam Sarawak dan pelbagai agensi di atas penganjuran satu perhimpunan yang terbaik dan penuh gemilang,” katanya.
Teks ucapan Adenan dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg pada majlis perhimpunan peringkat negeri di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, hari ini.

Majlis diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mantan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isterinya Tan Sri Empiang Jabu serta barisan kabinet negeri bersama kira kira 2,000 orang masyarakat setempat.

Pada perhimpunan yang sama, Abdul Taib turut menyampaikan anugerah Maal Hijrah Peringkat Negeri kepada tujuh penerima mengikut kategori masing-masing.

Mereka ialah Allahyarham Tuah Junaidi dan Hasiah Bunsu (Kategori Keluarga Contoh), Rektor UiTM Sarawak Prof Datuk Dr Jamil Hamali (Kategori Pegawai Awam Contoh) dan Masjid Darul Istiqamah Kampung Luak, Miri (Kategori Masjid Contoh).

Selain itu, Abdul Taib turut menyampaikan anugerah kepada Surau Darul Muafiqin, Saratok (Kategori Surau Contoh), Sekolah Kebangsaan (A) Majlis Islam Sarawak, Bintulu (Kategori Sekolah Agama Contoh), Askhairunisa Alwi (Kategori Pelajar STPM Cemerlang) dan Nurfatihah Binti Aidel (Kategori Pelajar SPM Cemerlang). – BERNAMA

Adenan Bayang Bajet Sarawak Orientasi Pembangunan

in Terkini

KUCHING – Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem membayangkan Bajet Sarawak 2007 akan sekali lagi lebih berorientasikan pembangunan, sama seperti tahun ini.

Beliau berkata daripada RM5.97 bilion yang diperuntukkan bagi Bajet 2016, 74 peratus dikhususkan kepada perbelanjaan pembangunan.

“Saya percaya Bajet 2017 berkemungkinan besar akan mengekalkan tema tahun sebelumnya dan terus menjurus kepada pembangunan, terutama bagi kawasan luar bandarnya (Sarawak).

“Adalah penting dasar yang memberi fokus kepada infrastruktur diteruskan hingga 2020 dan selepasnya,” kata beliau ketika merasmikan Forum Infrastruktur Bank Pembangunan Malaysia 2016 yang dihadiri kira-kira 100 peserta di sini hari ini.

Teks ucapan Adenan dibacakan timbalannya, Tan Sri Dr James Jemut Masing, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri.

Beliau berkata Sarawak kini merupakan antara destinasi pelaburan utama di Malaysia dan menarik pelaburan berjumlah RM11.9 bilion untuk menduduki tempat kedua selepas Johor dari segi nilai pelaburan projek yang diluluskan tahun lepas.

Bagaimanapun, kata beliau, Sarawak masih memerlukan lebih banyak pembangunan infrastruktur berikutan keluasan kawasannya serta taburan penduduk yang berselerak dan berkepadatan rendah.

Banyak kawasan luar bandar yang masih tidak mempunyai keperluan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta capaian kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan, katanya.

Adenan berkata sebagai langkah pertama, Sarawak perlu menyediakan ekosistem yang tepat untuk menarik pelaburan bagi mempercepatkan proses pengindustriannya.

“Maka, kami perlu menyediakan lebih banyak jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan dan kemudahan awam termasuk bekalan air, tenaga, telekomunikasi dan infrastruktur kerana ia merupakan perkara penting untuk merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan,” kata beliau. – BERNAMA

Sarawak Mampu Ulangi Kejuaraan Sukma – Adenan

in Terkini

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem percaya kontinjen negeri itu mampu muncul juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 yang berlangsung di Bumi Kenyalang.

Beliau berkata Sarawak pernah muncul juara keseluruhan temasya sukan itu sebanyak tiga kali berturut-turut pada 1990, 1992 serta 1994 dan tidak mustahil mampu mengulangi pencapaian tersebut kali ini.

“Sarawak akan menjadi tuan rumah yang ‘mesra’, tetapi tidak akan memberi peluang kepada lawan di gelanggang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sukma ke-18 di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini malam tadi.

Majlis perasmian itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini, Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata Adenan meletakkan sasaran untuk kontinjen negeri itu memenangi 72 pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan Sukma ke-18.

Adenan, dalam pada itu, mengalu-alukan kehadiran atlet ke Bumi Kenyalang dan menasihatkan supaya mereka berusaha gigih dalam perjuangan masing-masing.

Katanya Sarawak mempunyai banyak keunikan dan kepelbagaian untuk disajikan kepada para atlet yang datang dari jauh semata-mata untuk memajukan sukan untuk negara.

Beliau menasihatkan mereka supaya merebut peluang beraksi di temasya kali ini untuk dijadikan sebagai platform bagi melangkah lebih jauh dalam mengharumkan nama negara satu hari nanti.

Sementara itu, Khairy berkata banyak atlet negara yang berjaya mengukir nama di persada antarabangsa mula menggilap bakat mereka menerusi pembabitan dalam Sukma.

Beliau berkata komitmen serta kesungguhan kerajaan negeri yang menjadi penggerak utama temasya sukan dwitahunan itu amat penting dalam memupuk kesungguhan atlet-atlet muda mempamerkan bakat masing-masing, sebelum melangkah ke arena antarabangsa.

Katanya, beliau melihat Sukma ke-18 ini jelas menampakkan komitmen tinggi kerajaan Sarawak memastikan kejayaannya mencungkil bakat-bakat baru yang bakal menjadi legenda sukan negara.

Menurutnya dengan bantuan kerajaan Persekutuan, selain membangunkan gelanggang baru untuk beberapa acara sukan di sini, Sarawak juga gigih menaik taraf stadium sedia ada khusus untuk Sukma, dan juga demi pembangunan sukan negara.

” …saya tidak dapat fikir negeri lain, selain Sarawak ini yang dapat menerajui misi kita dalam menjayakan usaha mengharumkan nama negara menerusi arena sukan,” katanya.

Khairy seterusnya menasihatkan atlet yang mengambil bahagian pada temasya kali ini supaya menggunakan platform yang disediakan kerajaan ini untuk terus cemerlang dalam arena masing-masing. – BERNAMA

Adenan Mahu Sarawak Muncul Juara SUKMA Ke-18

in Sukan/Terkini

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mahu kontinjen Sukma Sarawak memenangi 72 pingat emas dan sekali gus muncul sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia edisi ke-18 itu.

Bagaimanapun, kata beliau, sebagai tuan rumah, Sarawak amat mengalu-alukan kedatangan tetamu dari semua negeri di Malaysia serta Brunei ke temasya sukan itu.

“Kita tidak mahu jadi nombor dua atau nombor tiga, kita mahu jadi nombor satu dan kita sudah membuktikannya banyak kali sebelum ini bahawa kita boleh melakukannya kerana anda mempunyai potensi, keazaman, kesungguhan dan kemudahan,” katanya pada majlis penyerahan bendera negeri kepada kontinjen Sukma Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini.

Adenan juga mengumumkan kerajaan negeri akan memberi ganjaran kepada atlet yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada sukan tersebut iaitu dari RM2,000 hingga RM5,000 bagi setiap pingat.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan atlet Sarawak supaya tidak menjadikan insentif itu sebagai motivasi utama untuk memenangi pingat, tetapi keazaman untuk mencapai kemenangan.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa induk Sukma 2016, Datuk Seri Michael Manyin Jawong menyifatkan Adenan sebagai pendorong semangat paling hebat yang menetapkan sasaran tinggi dan sukar untuk dicapai kontinjen negeri ini.

“Sasaran itu memang sukar, tapi janganlah mengecewakan beliau (Adenan) kerana beliau mahu kita menjadi juara keseluruhan bagi mengulangi kejayaan pada 1990, 1992 dan 1994,” kata Manyin, yang juga Menteri Belia, Sukan dan Perpaduan Sarawak.

Lebih 5,000 atlet dari 15 kontinjen, termasuk Brunei, akan menyertai Sukma Ke-18 dari 17 hingga 31 Julai.

Sebanyak 24 jenis sukan akan dipertandingkan dan daripada jumlah itu, 19 merupakan sukan wajib iaitu akuatik, memanah, olahraga, badminton, boling, berbasikal, bola sepak, hoki, karate, boling padang, belayar, menembak, silat, skuasy, sepak takraw, taekwondo, angkat berat, wushu dan bola tampar.

Kontinjen Sarawak akan menyertai kesemua jenis sukan yang dipertandingkan. – BERNAMA

Penurunan Kuasa: Perbincangan Lanjut Perlu Diadakan

in Terkini

KUCHING – Perkara berkaitan penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Sarawak akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat teknikal yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Persetujuan mengenainya dicapai dalam perjumpaan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu menyebut bahawa dalam mesyuarat teknikal itu kelak, Peguam Negara akan mewakili Kerajaan Persekutuan manakala Peguam Besar Negeri Sarawak pula mewakili Kerajaan Negeri Sarawak.

Adenan menemui Najib untuk membincangkan berkenaan penurunan kuasa, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan serta laporan Suruhanjaya Cobbold bagi memperkukuhkan tadbir urus Kerajaan Negeri Sarawak.

Ini bagi mendukung semangat Malaysia sebagai sebuah persekutuan dan Sarawak sebagai sebuah daripada negeri yang aman dan makmur di dalam Malaysia.

Adenan turut menyampaikan memorandum tentang pendirian kerajaan negeri berhubung perkara itu kepada Najib.

Kenyataan berkenaan menyebut pertemuan itu mengambil maklum tentang beberapa perkara tadbir urus yang memerlukan perbincangan teknikal yang lebih lanjut di antara kedua-dua pihak.

Hasil pertemuan itu membuktikan jalinan erat dan hubungan yang baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan sesebuah negeri akan dapat memacu tadbir urus yang efektif dan mengelola dasar yang memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan berkesan. – BERNAMA

Adenan Satem Jumpa Perdana Menteri Hari Ini

in Terkini

PUTRAJAYA – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Kenderaan rasmi yang membawa Adenan dilihat memasuki bangunan Perdana Putra, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, pada 9.05 pagi untuk pertemuan itu yang dijadualkan pada 9.30 pagi.

Kenderaan yang dinaiki Adenan kelihatan keluar dari perkarangan Bangunan Perdana Putra pada 10.45 pagi.

Beliau hanya melambai ke arah media yang menunggu sejak 8.30 pagi untuk mendapatkan maklum balas beliau mengenai pertemuan itu.

Pejabat Ketua Menteri ketika dihubungi berkata kenyataan rasmi berhubung pertemuan itu mungkin akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri semalam, perkara yang dibincangkan pada pertemuan itu adalah mengenai penurunan kuasa, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan cadangan-cadangan, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Menurut kenyataan itu lagi, Adenan juga menyerahkan dua memorandum kepada Najib mengenai pendirian kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan.

Pada 21 Jan lalu, Adenan yang mengambil alih tampuk kepimpinan Sarawak daripada Tun Abdul Taib Mahmud sejak Februari 2014, menyenaraikan 13 perkara yang dipersetujui oleh kerajaan persekutuan dalam penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri.

Dalam fasa pertama rundingan penurunan kuasa adalah antara kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan dengan rundingan fasa kedua akan menyentuh tentang hak negeri ini (pencerobohan persekutuan terhadap kuasa negeri), dan fasa ketiga mengenai permohonan royalti minyak dan gas.

Pada 26 Jun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata sebuah jawatankuasa teknikal mengenai penurunan kuasa ditubuhkan selepas mesyuarat peringkat tinggi pertama pada 13 Jun lepas.

Jawatankausa itu mengandungi wakil yang dicalonkan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah bersama-sama wakil kerajaan persekutuan dan sejarawan dari dua negeri tersebut.

Sebelum itu, kabinet persekutan melantik Nancy dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk meneruskan rundingan fasa kedua penurunan kuasa atas hak-hak di bawah perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 bersama Jabatan Peguam Negara. – BERNAMA

Sarawak Isytihar Cuti Pada 8 Julai Jika Raya 6 Julai

in Terkini

KUCHING – Sarawak turut mengikut keputusan Kerajaan Persekutuan dengan mengisytiharkan 8 Julai sebagai pelepasan khas daripada bertugas kepada penjawat awam di negeri ini sekiranya Aidilfitri jatuh pada 6 Julai, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini.

Sekiranya Aidilfitri jatuh pada 6 Julai, 6 dan 7 Julai akan menjadi hari cuti umum manakala 8 Julai pula cuti tambahan, sekaligus memberikan penjawat awam cuti rehat selama lima hari termasuk hujung minggu pada 9 dan 10 Julai.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan pelepasan khas daripada bertugas pada 8 Julai ini kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan sekiranya Hari Raya diisytiharkan pada 6 Julai.

Bagaimanapun, katanya pelepasan khas daripada bertugas itu tidak terpakai sekiranya Aidilfitri diisytiharkan pada 5 Julai.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata kerajaan negeri telah memutuskan untuk memberi bantuan kewangan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam di Sarawak seperti mana yang dilakukan Kerajaan Persekutuan.

“Ada yang telah dibayar manakala bakinya akan mendapat bayaran mereka tidak lama lagi sebelum Aidilfitri,” katanya.

Bayaran khas itu akan memberi manfaat kepada 28,000 penjawat awam, katanya pada sidang media selepas menghadiri raptai beberapa aspek Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 yang mana Sarawak menjadi tuan rumah bermula 22 hingga 31 Julai ini. – BERNAMA

Ketua Menteri Sarawak Sambut Baik Kenyataan Nancy

in Terkini

KUCHING – Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri mengenai penurunan kuasa pentadbiran dan perlembagaan bagi negeri Sarawak.

Ini adalah berkaitan permintaan kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan Laporan Suruhanjaya Cobbold dan cadangannya, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan cadangannya serta Akta Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Ini bermakna ada maklum balas daripada kerajaan pusat terhadap permohonan kami untuk mengadakan rundingan berhubung perkara ini.

“Saya menyambut baik pendekatan ini dan rundingan harus dimulakan dengan segera,” kata Adenan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata ia akan mengambil sedikit masa kerana ‘prosesnya yang kompleks dan panjang tetapi kita dah mulakan sekarang’. – BERNAMA

Tunaikan Janji Lama Sebelum Tawar Janji Baharu

in Terkini

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengingatkan anggota barisan Kabinetnya supaya menunaikan semua janji yang dibuat pada Pilihan Raya Negeri Sarawak, Mei lepas, sebelum menabur janji baharu kepada penduduk di negeri itu.

Beliau berkata mana-mana menteri Kabinet negeri yang tidak mahu menunaikan tanggungjawab dengan baik patut lepaskan jawatan mereka.

“Kita perlu menunaikan janji kita yang lama sebelum membuat janji yang baharu,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa anak-anak Sarawak bersama Ketua Menteri di sini, hari ini.

Program anjuran Yayasan Sarawak dan Persatuan Anak Sarawak Semenanjung bertujuan untuk merapatkan hubungan anak-anak Sarawak yang menetap di Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam ucapannya, Adenan juga menasihati pelajar Sarawak di Semenanjung supaya belajar bersungguh-sungguh supaya boleh berbakti kepada negeri.

Hadir sama dalam majlis berbuka puasa itu ialah isteri Ketua Menteri, Puan Seri Jamilah Anu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri. – BERNAMA

Ketua Menteri Sarawak Mulakan Tugas

in Terkini

KUCHING – Dua hari selepas memperoleh kemenangan bergaya dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sudah kembali ke pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini untuk memulakan tugas hari ini.

Ketibaan beliau pada 9.30 pagi disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengarah Unit Pengurusan Sumber Manusia Sarawak Dr Sabariah Putit dan beberapa pegawai dari pejabat Ketua Menteri.

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa ia kemudiannya diikuti dengan satu majlis kesyukuran di pejabat Adenan.

Sabtu lepas menyaksikan Barisan Nasional Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi dalam PRN-11, kejayaan hebat berbanding kemenangan 55 daripada 71 kerusi pada PRN-10. – BERNAMA

Propaganda DAP “Undi Adenan = Undi Najib” Makan Diri

in Hangat/Politik/Utama & Sensasi

 

OLEH: Mohd Puad Zarkashi.

DAP akan mencari berbagai alasan kenapa jumlah kerusi mereka merosot jauh daripada 12 kerusi di PRN 10 kepada 7 di PRN ke 11.

Paling ketara, DAP percaya Najib adalah liabiliti kepada BN. Di mana-mana roundabout akan terdapat billboard, banting dan poster yang tertulis perkataan “Undi Adenan = Undi Najib”.

Rupanya rakyat Sarawak sudah muak dengan cara kempen yang tidak beradasarkan kepada polisi, dasar dan komitmen. Satu lagi, slogan lapuk DAP “Ubah” juga tidak laku. DAP dan pembangkang seolah olah kehabisan modal kempen.

Isu kononnya GST akan dinaikkan 10 peratus kalau BN menang besar memang menggusarkan BN di peringkat awal. Tetapi isu itu termasuk isu 1MDB dan RM2.6 Bilion dianggap “Dry” kepada rakyat Sarawak.

Ternyata “Politik Jaminan” lebih penting kepada rakyat Sarawak. Kejayaan TS Adenan melaksanakan 51 touch points dalam tempoh 2 tahun menyakinkan rakyat Sarawak iaitu Adenan boleh menjamin masa depan yang lebih baik kepada Sarawak.

Hubungan yang erat antara Adenan dan Najib juga mendapat endorsement daripada rakyat Sarawak. Ia juga satu bentuk “Jaminan”. Kekerapan Najib datang ke Sarawak di samping penglibatan sepenuh masa beliau sepanjang kempen meyakinkan rakyat Sarawak bahawa Najib memang perihatin dan komited untuk membangunkan Sarawak.

Di PRN ke 10, SUPP hampir dipukul maut. DAP mendapat 12 kerusi. Ada yang buat kesimpulan, ia signal berlakunya tsunami Cina di PRU ke 13 yang mengakibatkan MCA dan GERAKAN hampir dipukul maut juga. Kini apakah sejarah akan berulang dalam PRU ke 14 nanti?

Apakah pengundi Cina di Semenanjung juga akan membuat pertimbangan sama seperti di Sarawak iaitu lebih terjamin jika sekiranya MCA dan Gerakan diberi mandat selesa untuk berkongsi kuasa dalam kerajaan pusat BN?

Kalau “Jaminan” yang menjadi harapan mereka. Maka kerajaan BN boleh memberikan jaminan tersebut. Apabila DAP dan PKR bertembung sesama sendiri di 6 kawasan, itu bermakna Pakatan Harapan tidak boleh memberi jaminan kepada sebuah kerajaan yang adil dan bermesyuarah.

Politik “Simpati” juga gagal mempengaruhi trend pengundi Sarawak kali ini. Walaupun DAP cuba mengeksploitasi keluarga mangsa culik asal Sibu oleh kumpulan lanun daripada Filipina, tetapi DAP tetap kehilangan kerusi Dudong dalam Bahagian Sibu. Di saat akhir ada yang meramalkan Dr Sim Presiden SUPP juga tidak akan berjaya untuk menawan Batu Kawah kerana dikatakan calon DAP Christina Liew mengalami keguguran anak. Ia menimbulkan rasa simpati kepada pengundi. Tetapi akhirnya Dr Sim menang dengan majoriti di luar dugaan iaitu 2085 undi.

Maka apakah pengundi sudah mula bosan dengan politik persepsi yang menjadi senjata penting kepada pembangkang di PRU ke 13 yang lalu?

Kit Siang Ucap Tahniah Kepada Adenan Satem

in Politik/Terkini

KUCHING – Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Barisan Nasional Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan pasukannya atas kemenangan besar dalam pilihan raya negeri ke-11 semalam.

Beliau berharap Adenan akan berpegang kepada janji #AdenanTeam dan #AdenanWay.

Mengulas kegagalan DAP mempertahankan lima daripada 12 kerusi yang dimenanginya dalam 2011, Lim berkata DAP tidak harus takut untuk kalah dalam pilihan raya dan perlu belajar daripada kekalahan teruk itu untuk menjadi lebih kuat.

Katanya DAP komited untuk melakukan perubahan politik melalui proses demokrasi dan harus bersedia untuk menghadapi kemenangan dan kekalahan melalui peti undi.

“Masalah dalam perjuangam hidup ialah bukannya semasa jatuh, tetapi keupayaan untuk bangkit semula selepas jatuh, bagaimana teruk pun jatuh itu dan meneruskan perjuangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

DAP hanya menang tujuh daripada 31 kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya negeri semalam sementara BN memenangi 72 kerusi dan PKR mengekalkan tiga kerusi. – BERNAMA

Pencapaian BN Dalam PRN-11 Di Luar Jangkaan – Adenan

in Politik/Utama & Sensasi

KUCHING – Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata pencapaian Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Sarawak ke-11 adalah jauh di luar jangkaannya.

Beliau memberitahu persidangan media di sini bahawa ini kerana sebelum hari pengundian, beliau menjangkakan BN akan menang 65 atau 66 kerusi, tetapi menyaksikan BN kembali berkuasa dengan kemenangan yang begitu meyakinkan 72 kerusi daripada 80 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sebaik BN diisytihar menang PRN-11 malam tadi Adenan yang berusia 72 tahun mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Pada persidangan media bersama Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, Adenan berkata keputusan pilihan raya itu membuktikan DAP telah kehilangan sokongan di kawasan bandar.

Pengerusi BN Sarawak itu menarik perhatian kepada kemenangan BN di Batu Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau dan majoriti undi yang dikurangkan calon BN dalam kawasan yang masih dikekalkan pembangkang.

“Ini menunjukkan sokongan telah berubah kembali kepada BN. Kami juga banyak memperoleh undi popular,” kata Adenan yang mengetuai kerajaan negeri buat pertama kali dalam pilihan raya sejak memegang jawatan ketua menteri dua tahun lepas.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata selain kehilangan sokongan di kawasan bandar, pembangkang juga gagal dalam usaha untuk menembusi kawasan luar bandar.

“Impian Sarawak (slogan DAP untuk mendapatkan sokongan) luar bandar adalah suatu kegagalan kerana ia suatu muslihat semata-mata,” katanya. Beliau berkata pengaruh yang dibawa Adenan telah mencipta vibe positif untuk menarik pengundi ke arah BN dalam pilihan raya ini.

“Rakyat telah melihat ketua menteri membawa banyak perubahan dan manfaat untuk mereka,” katanya. – BERNAMA

Adenan, Abang Johari Mengundi Di SK Merpati Jepang

in Terkini

KUCHING – Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan isterinya, Puan Sri Jamilah Anu, pagi ini mengundi di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di kawasan Dewan Undangan Negeri N8 Satok di sini.

Beliau tiba di pusat pengundian itu pada kira-kira pukul 9.10 pagi dan disambut oleh calon BN N8 Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kerja Raya yang juga Anggota Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof.

Abang Johari juga mengundi di pusat pengundian yang sama manakala Fadillah mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Rakyat Haji Bolhassan, yang terletak bersebelahannya.

Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak merupakan penyandang kerusi DUN kawasan N8 Satok sejak 1983.

Dalam pilihan raya negeri kali ini, beliau ditentang calon PKR, Mohammad Salleh Shawkatali yang merupakan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan. – BERNAMA

Buat Keputusan Terbaik Demi Masa Depan Sarawak – Adenan

in Terkini

KUCHING – Menjelang hari pengundian esok, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem membuat rayuan yang penuh perasaan kepada rakyat Sarawak dengan menyeru mereka membuat ‘keputusan terbaik’ demi masa depan rakyat dan negeri itu.

Dalam surat luahan hatinya, diterbitkan dalam pelbagai bahasa di akhbar tempatan hari ini, Adenan meminta pengundi menyokong Barisan Nasional (BN) dan memberi peluang kepada Pasukan Adenan (TeamAdenan) membentuk ‘Sarawak yang lebih sejahtera untuk semua’.

Berikut catatan surat Adenan:

—————————-

Beri Peluang kepada TeamAdenan

#the AdenanWay

Barisan Nasional

Seruan kepada semua pengundi di Sarawak.

Rakyat Sarawak yang dikasihi

Menjelang hari mengundi esok, saya menyeru kepada anda agar membuat keputusan yang terbaik demi diri anda sendiri, demi keluarga anda, demi komuniti anda dan demi negeri Sarawak yang kita cintai.

Undi anda esok akan menentukan sejauh mana kita dapat mempertahankan perpaduan yang dinikmati kini serta terus memperkukuhkannya demi generasi akan datang.

Undi anda akan membantu mengekalkan keharmonian yang kita hargai di dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, yang hidup bersama dalam suasana aman, serta berganding bahu bekerjasama demi masa depan Sarawak yang lebih cerah.

Undi andalah yang akan membantu Sarawak mencapai lebih banyak kuasa autonomi bagi merealisasikan aspirasi bersama, untuk menjadi rakan kongsi yang lebih bermakna dalam Persekutuan Malaysia, seperti yang diimpikan oleh pemimpin-pemimpin negara kini pada tahun 1963.

Esok, undi anda akan memastikan kemakmuran di Sarawak terus disemarakkan agar semua rakyat Bumi Kenyalang dapat menikmati faedah daripada ekonomi Negeri yang stabli dan yang dirancang dengan lebih tersusun.

Mempertahankan perpaduan, memelihara keharmonian, mencapai lebih banyak kuasa autonomi dan memastikan kemakmuran Sarawak adalah tanggungjawab kerajaan Barisan Nasional, yang terus dilaksanakan dan ditegakkan sehingga ke hari ini.

Harus diingat, kita perlu terus berjuang demi perpaduan, keharmonian, serta autonomi dan kemakmuran Sarawak.

Jika tidak, segala yang telah kita pertahankan selama ini akan hilang begitu sahaja.

Hakikatnya, Sarawak adalah sebuah negeri yang bertuah kerana perjuangan kita mendapat sokongan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional yang telah memberikan komitmen sepenuhnya dalam merealisasikan aspirasi kita.

Kami dalam TeamAdenan sentiasa komited meneruskan perjuangan demi kesejahteraan Sarawak. Berilah kami peluang berjuang untuk anda, demi membina Sarawak yang lebih sejahtera untuk kita semua.

Saya menyeru kepada anda hari ini untuk memberi peluang kepada TeamAdenan.

Undilah demi Sarawak yang sejahtera.

Undilah Barisan Nasional.

……………..

Adenan Satem

Ketua Menteri Sarawak/Pengerusi Barisan Nasional Sarawak.

– BERNAMA

PRN Sarawak: Mencongak Sentuhan Magis ‘Apai Besar’

in Politik/Utama & Sensasi

CERITA peminat politik Sarawak kini bukan lagi soal siapa menang, tetapi kini lebih menjurus kepada persoalan jumlah kerusi yang boleh dimenang parti bertanding pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11.

Sana sini orang mula mencongak jumlah kerusi yang bakal dikuasai pasukan ‘apai besar’, Tan Sri Adenan Satem, khususnya selepas usaha kerasnya memenangi kembali hati pengundi di kawasan majoriti Cina.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abang Johari Tun Openg yakin parti itu akan menyapu bersih 40 kerusi yang ditandingi mereka.

Ia termasuk lima kerusi baharu yang ditandingi PBB iaitu N17 Stakan, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Telian dan N63 Bukit Goram.

Kelima-lima kerusi ini adalah pecahan daripada kerusi yang dimenangi PBB ketika PRN ke-10 pada 2011.

Selain lima kerusi itu, Abang Johari juga yakin 35 kerusi lagi milik PBB mampu dikekalkan.

Untuk mentadbir semula kerajaan, BN perlu menang sekurang-kurangnya 55 daripada 82 kerusi bagi membentuk majoriti mudah dua per tiga.

Angka itu mungkin bukan mimpi di siang hari jika tiga lagi parti komponen BN iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) berjaya mempertahankan kedudukan masing-masing.

Berdasarkan congakan mudah, kemenangan akan berpihak kepada BN jika semua kerusi yang dimenangi sebelum ini berjaya dipertahankan dengan syarat SUPP dan SPDP tidak mensabotaj calon langsung BN yang terdiri daripada serpihan mereka akibat perpecahan dalaman.

Maknanya kerusi yang ditandingi calon langsung BN iaitu N1 Opar, N19 Mambong, N33 Engkelili, N47 Pakan, N53 Bawang Assan, N71 Bekenu, dan N80 Batu Danau juga perlu dipertahankan walaupun mereka sebelum ini bertanding atas tiket SUPP dan SPDP.

Pada tahap ini, angka paling munasabah untuk dimenangi BN ialah antara 60 hingga maksimum 66 kerusi.

Maknanya congakan tersebut berdasarkan perkiraan 40 dimenangi PBB, PRS (8), SPDP (3), SUPP (2) dan tujuh bagi calon langsung menjadikan jumlah kerusi yang berpotensi menjadi milik BN adalah 60.

BN perlu mencari enam lagi kerusi jika ingin menyekat kemaraan pembangkang agar mereka tidak menguasai lebih daripada 16 kerusi di DUN Sarawak.

Enam kerusi yang berpotensi dimenangi BN ialah kerusi baharu yang dipecahkan daripada kawasan dimenangi parti pemerintah itu iaitu N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N78 Mulu, N66 Murum, N70 Samalaju dan merampas semula kerusi N61 Pelagus yang sebelum ini dimenangi wakil Bebas.

Kerusi N78 Mulu, N66 Murum dan N70 Samalaju menyaksikan PKR dan DAP bertembung sesama sendiri.

Tambahan kemenangan bonus bagi BN jika kerusi baharu N13 Batu Kitang boleh dimenangi wakil SUPP, Lo Khere Chiang ekoran pertembungan sesama sendiri antara Abdul Aziz Isa Marindo (DAP) dan Voon Shiak Ni (PKR) yang terperangkap dalam saingan empat penjuru bersama seorang lagi calon Bebas, Datuk Seri Othman Bojeng.

Selain itu, tiga lagi kerusi berpotensi jatuh ke tangan BN ialah N14 Batu Kawah (DAP), N52 Dudong (DAP) dan N81 Ba’kelalan (PKR). Ketiga-tiga kerusi ini dimenangi DAP dengan majoriti tipis pada pilihan raya yang lalu.

Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian diberi tanggungjawab untuk merampas semula kerusi kelabu di N14 Batu Kawah daripada Chstina Chew Wang See (DAP) yang menang dengan majoriti kecil iaitu 543 undi.

Dr Sim dan Christina berhadapan saingan tiga penjuru susulan kemunculan seorang calon Bebas, Liu Thian Leong.

Sementara itu satu lagi kerusi yang mungkin berpaling kepada BN ialah N52 Dudong yang dimenangi Yap Hoi Liong DAP dengan majoriti 317 undi.

Seterusnya satu lagi kerusi kelabu ialah di N81 Ba’kelalan yang dimenangi tipis Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dengan majoriti 473 undi.

Seorang wartawan kanan tempatan yang berpusat di Kuching berkata, congak-congak pemimpin BN negeri untuk memberi kemenangan sehingga 70 kerusi kepada Adenan mungkin agak bercita-cita tinggi.

Katanya, agak mustahil bagi BN menembusi kerusi dikuasai pengundi Cina dan Bumiputera yang dimenangi DAP dengan undi majoriti lebih 1,000 pada pilihan raya lalu.

“Nak menang semula kerusi-kerusi berkenaan agak mustahil. Tapi tidak mustahil BN membuat kejutan dengan mengurangkan majoriti DAP khususnya di kawasan pinggir bandar,” katanya. – mStar Online

Adenan Satem, Wadah Bagi Penduduk Sarawak – Salleh

in Terkini

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem merupakan wadah bagi penduduk Sarawak dan telah berjaya membawa pembaharuan penting kepada negeri ini walaupun hanya baru dua tahun memimpin kerajaan negeri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sejak mengambil alih sebagai ketua menteri pada 28 Feb 2014, pihak pembangkang sendiri terpaksa mengakui bahawa Adenan telah melaksanakan tugasnya dengan baik.

“Anda boleh lihat daripada kempen pilihan raya Sarawak bahawa tidak banyak yang pembangkang boleh kritik mengenai Adenan,” katanya dalam catatan blog sskeruak.blogspot.my, semalam.

Salleh berkata adalah jelas bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan sokongan penuh terhadap Adenan dan memperakui semua usaha ketua menteri.

“Adenan ialah wadah bagi penduduk Sarawak dan yang paling penting perdana menteri turut mendengar.

“Ini memberikan pengundi Sarawak keyakinan bahawa Najib dan Adenan adalah sebuah pasukan yang baik, seorang di persekutuan dan seorang lagi di negeri, dan bahawa Barisan Nasional akan mampu memberikan apa yang Sarawak mahukan,” katanya.

Sambil menarik perhatian kepada kelebihan Adenan, Salleh berkata ketua menteri itu telah memperkenalkan banyak dasar baharu, yang dianggap amat penting bagi Sarawak atau penduduk Sarawak, dan yang paling utama dasar ‘Anak Sarawak’.

“Dasar ini menegaskan kesaksamaan bagi semua penduduk Sarawak tanpa mengira kaum etnik dan agama. Tiada lagi terdapat perkataan ‘lain-lain’ sementara Cina yang lahir di Sarawak tidak dikategorikan sebagai pendatang.

“Isu ini sahaja telah menjadi perbalahan ramai rakyat Malaysia sejak lama dulu dan Adenan telah dapat menyelesaikan perkara itu,” katanya.

Satu lagi isu perbalahan yang Adenan mahu ia diselesaikan ialah pengiktirafan terhadap sekolah Cina dan Sijil Peperiksaan Bersepadu bagi pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak serta kemasukan ke dalam perkhidmatan awam.

Salleh menambah kata sekolah-sekolah persendirian Cina menerima RM3 juta bantuan kerajaan dalam 2014, RM4 juta tahun lepas dan telah dinaikkan kepada RM5 juta tahun ini.

Sarawak mengurangkan kadar elektrik dan kadar tambang perkhidmatan feri serta menghapuskan bayaran tol jambatan Lanang dan Baram sementara tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan terhadap perkhidmatan majlis perbandaran, katanya.

“Sarawak tidak lagi mengeluarkan lesen balak dan perladangan sementara lesen pembalakan sementara telah dibatalkan atau tidak lagi diperbaharui.

“Lebih 30 kilang papan yang mengendalikan pembalakan haram telah ditutup dan 10 peratus tanah hutan akan dijadikan taman-taman negara,” katanya sambil menarik perhatian bagaimana seriusnya Adenan mengenai pemuliharaan hutan.

Mengenai hak tanah adat yang dianggapnya isu amat sensitif, Salleh berkata Sarawak sedang menambahkan tanah komunal sementara dalam masa yang sama mengiktiraf tanah Hak Adat Bumiputera.

Beliau berkata untuk mencapai kejayaan terhadap usaha ini, Sarawak mengadakan tinjauan perimeter dan kaji selidik individu untuk membolehkan tanah itu didaftarkan.

Negeri ini juga membuka peluang bagi kaum Bumiputera untuk membangunkan tanah mereka atas dasar komersial sementara pindaan terhadap Kanun Tanah Sarawak membolehkan Bumiputera Sarawak memperoleh tanah NCR di luar kelompok masyarakat mereka.

“Ini merupakan beberapa perkara daripada banyak perubahan di Sarawak sejak dua tahun lepas apabila Adenan mengambil alih jawatan sebagai ketua menteri.

“Penduduk Sarawak secara umumnya amat gembira dengan pembaharuan ini dan kebanyakan mereka berpendapat bahawa Barisan Nasional patut diberikan lima tahun lagi untuk menyaksikan apa lagi yang Adenan boleh lakukan untuk Sarawak dan bagi penduduk Sarawak.”

Salleh berkata kebanyakan penduduk Semenanjung tidak berapa kenal siapa Adenan kerana beliau selama ini memang menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak terlalu menonjol diri sepanjang karier politiknya.

“Hanya dua tahun memegang tampuk kepimpinan negeri, ramai orang, malah dari Semenanjung juga kini memahami kenapa Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak melantik beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak,” katanya.

Hari ini, ramai yang berkata Najib tidak mungkin membuat pilihan yang lebih baik daripada itu, katanya. – BERNAMA

1 2 3 5
Go to Top