Bukan Berita Online Biasa

Tag archive

Banjir

Kota Marudu, Beluran Pula Dinaiki Air

in Terkini

KOTA KINABALU – Tiga kampung di Kota Marudu, kira-kira 131 kilometer dari sini, dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak tengah malam tadi, kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin.

Muliadi yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata kampung terlibat ialah Kampung Longob, Kampung Beliajung dan Kampung Bengkongan.

Beliau berkata tiga kampung berkenaan terjejas berikutan bacaan paras air di dua sungai berhampiran iaitu Sungai Bongon dan Sungai Bandau masing-masing berada pada paras bahaya dan paras amaran.

“Sungai Bongon berada pada paras 8.3 meter (m); melebihi tahap paras bahaya 7.9m, manakala Sungai Bandau menunjukkan bacaan 6m iaitu pada paras amaran. Trend air menaik adalah disebabkan hujan lebat dan renyai sejak 11.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Satu pusat pemindahan dibuka di Dewan Mini Kampung Longob, namun setakat 8 pagi tadi, belum ada mangsa yang dipindahkan.

Katanya lima laluan utama di kawasan terbabit tidak dapat dilalui kenderaan ringan dan hanya boleh dilalui kenderaan berat serta pacuan empat roda sahaja.

Sementara itu di Beluran, sebuah kampung iaitu Kampung Jaya Bakti turut dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak 10 malam tadi, katanya. – BERNAMA

Ribut Landa UIAM Gombak, Pokok Hempap Kereta Staf

in Utama & Sensasi

HUJAN lebat yang berterusan telah mengakibatkan beberapa kereta tenggelam serta pokok tumbang akibat banjir kilat yang melanda kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak sebentar tadi.

Tular di laman sosial Facebook beberapa foto kejadian yang berlaku di UIAM.

Menerusi foto yang tersebar yang dimuat naik oleh netizen menerusi laman itu, beberapa buah kereta dipercayai milik staf UIAM turut dihempap pokok dalam kejadian yang berlaku.

Malah beberapa buah kenderaan lain dilihat terkandas di dalam perkarangan UIAM akibat beberapa jalan di universiti itu ditenggelami air banjir kilat.

Ribut Landa UIAM Gombak, Pokok Hempap Kereta Staf

Ribut Landa UIAM Gombak, Pokok Hempap Kereta Staf

Ribut Landa UIAM Gombak, Pokok Hempap Kereta Staf

Selain itu, ribut yang melanda juga turut merosakkan beberapa kediaman pelajar sehinggakan terdapat atap daripada kolej kediaman yang tercabut diterbangkan ribut serta kemusnahan harta benda yang lain.

Ribut Landa UIAM Gombak, Pokok Hempap Kereta Staf

Ribut Landa UIAM Gombak, Pokok Hempap Kereta Staf

Sebuah video dimuat naik oleh laman Careta menerusi Facebook memaparkan beberapa anggota bomba dari Balai Bomba Selayang dan Gombak Selatan serta Pasukan Bomba Sukarela dan Jabatan Pertahanan Awam Sentul bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja pembersihan memotong pokok-pokok tumbang yang menghalang laluan keluar masuk di universiti tersebut.

Tambah laman itu lagi, setakat ini tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan berhubung insiden tersebut. – MYNEWSHUB.CC

Elakkan Renjatan & Kemalangan Elektrik Pasca Banjir

in Terkini

KUALA LUMPUR – Para penduduk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah yang dilanda banjir pastinya kini sibuk membersihkan kediaman masing-masing, hendaklah lebih berhati-hati dalam pengendalian peralatan dan barangan elektrik yang terkena banjir.

Suruhanjaya Tenaga menasihatkan mereka agar sentiasa waspada dan memberi perhatian kepada peralatan elektrik di dalam rumah yang ditenggelami banjir sama ada ia masih selamat digunakan.

Pengarah Kawal Selia Keselamatan Elektrik Suruhanjaya Tenaga (ST) Mohd Elmi Anas, selepas banjir benar-benar surut, penduduk seharusnya memastikan suis utama di papan agihan dan semua palam serta soket yang bersambung sudah dimatikan dan dicabut terlebih dahulu, sebelum bekalan elektrik disambung oleh syarikat utiliti.

GUNA JURUELEKTRIK BERDAFTAR

Selain itu, penting bagi penduduk untuk memeriksa dan memastikan tiada peralatan elektrik yang berada di dalam air atau bersambung dengan palam yang aktif bagi mengelakkan sebarang kemalangan berkaitan renjatan elektrik.

“Ini kerana walaupun banjir surut, tidak semestinya semua tempat betul-betul kering, mungkin ada tinggalan selut dan masih basah, maka kena pastikan setiap suis soket dimatikan dahulu kerana dikhuatiri walaupun suis utama ditutup tetapi suis ‘individually’ tidak dimatikan.

“Ini kerana apabila kita hidupkan suis utama, arus elektrik secara automatik akan terus mengalir ke suis yang tidak dimatikan. Bahaya sekiranya suis itu ataupun barangan elektrik yang bersambung dengannya berada di dalam air atau basah kerana boleh mengakibatkan renjatan terhadap orang yang berhampiran,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengingatkan bahawa sifat air sebagai pengalir elektrik tidak seharusnya dipandang remeh dan penghuni tidak sepatutnya membuat anggapan bahawa rumah mereka benar-benar selamat selagi pemeriksaan menyeluruh tidak dilakukan.

“Sebelum menghidupkan semula suis utama, pastikan pendawaian dan pembumian rumah diperiksa, dibaiki dan diuji oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST… dikhuatiri jika ada pendawaian rumah yang terbuka atau rosak akibat banjir teruk,” katanya.

Mohd Elmi menegaskan agar tidak sesekali cuba menguji atau membaiki sendiri peralatan elektrik yang ditinggalkan ketika banjir terutamanya yang terendam air.

Beliau berkata jika masih mahu menggunakan peralatan tersebut, hendaklah dikeringkan terlebih dahulu kemudian diperiksa, dibaiki dan diuji keselamatannya oleh kontraktor atau juruelektrik yang pakar dan kompeten serta ditauliahkan ST.

Beliau mengingatkan agar orang ramai mengelakkan daripada memijak lopak air berhampiran talian elektrik yang putus atau jatuh dan sentiasa memakai kasut berlapik getah sekiranya terpaksa berdiri di dalam air atau tempat basah.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan umum agar menguji pemutus arus baki yang terdapat di kotak suis utama bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

“Ia perlu diuji setiap bulan… hanya tekan punat dan sekiranya ia jatuh maknanya ia berfungsi. Tetapi sekiranya tidak jatuh, mungkin ada masalah lain, kemungkinan pendawaian putus atau menggunakan alat yang tidak asli.

“Ia bagaikan jantung kepada sistem pendawaian di rumah, jika tidak berfungsi maknanya penghuni menghadapi risiko tinggi berlakunya renjatan atau kemalangan elektrik,” katanya.

KEMALANGAN ELEKTRIK

Mohd Elmi menjelaskan dalam sektor tenaga elektrik, banyak kemudaratan dan kesan negatif berpunca daripada banjir termasuklah kerosakan pada pepasangan elektrik termasuk pencawang, talian atas putus, alat ubah rosak dan tiang elektrik tumbang.

“Akibat itu gangguan bekalan boleh berlaku, malah boleh menyebabkan peralatan elektrik pengguna rosak kerana voltan tinggi dan neutral putus.

“Lebih malang lagi apabila renjatan elektrik juga boleh berlaku, sekiranya ada yang menyentuh talian elektrik yang putus dan masih hidup, atau terpijak lopak air yang terdapat wayar elektrik hidup,” katanya.

Beliau berkata meskipun tahun lepas dan 2015 tidak merekodkan sebarang kes kemalangan elektrik pada musim banjir, namun pada 2014 terdapat dua kes tiang tumbang dihempap pokok dan satu kes serupa pada 2013.

Pada 2011, berlaku satu kes talian atas dihempap pokok, 2010 satu kes talian putus, 2009 empat kes melibatkan senggaraan tidak sempurna dan talian putus, 2008 dua kes talian putus dan jatuh, 2007 satu kes kerosakan peralatan elektrik, 2005 dua kes kerosakan peralatan elektrik dihempap pokok, 2004 satu talian atas putus, dua kes pada 2002 iaitu talian atas putus dan jatuh serta kerosakan peralatan elektrik manakala pada 2006 dan 2003 tiada kes.

“Contohnya, dalam kes di Sabah pada 2009, mangsa maut ketika cuba mengalihkan kabel talian voltan rendah yang putus dan terjuntai merintangi jalan utama di hadapan sekolah selepas ditimpa pokok buluh ketika hujan.

“Kejadian pada 2009 di Pulau Pinang pula menyaksikan seorang mangsa terkena kejutan elektrik berhampiran pengalir yang putus dan terdedah kepada bahaya, keadaan tempat yang basah menyebabkan arus mengalir di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berharap orang ramai tidak menghampiri kawasan-kawasan terdapatnya pencawang elektrik atau bilik suis elektrik yang ditelenggami air, menghampiri atau mengalih tiang elektrik yang tumbang dan talian elektrik putus atau jatuh di atas tanah.

“Kalau naik kereta dan nampak ada talian elektrik jatuh atas jalan, jangan redah walau beranggapan tayar getah akan selamat. Sebaiknya berhenti dan panggil syarikat utiliti, dan cari laluan lain,” katanya.

ST mengalu-alukan orang ramai agar melaporkan kecuaian utiliti yang boleh mengakibatkan renjatan elektrik apabila pepasangan tidak disenggara dengan kadar segera. – BERNAMA

Banjir Di Thailand Ragut 40 Nyawa

in Terkini

BANGKOK – Banjir luar musim di Thailand mengorbankan 40 orang di selatan negara itu, dengan hujan lebat dijangka berterusan untuk beberapa hari akan datang.

Ketua Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand, Chatchai Promlert, berkata hujan lebat berterusan pada musim yang sepatutnya kering mencetuskan banjir di seluruh selatan, menyebabkan jalan raya dan laluan kereta api terputus hubungan, mengancam tanaman serta menjejaskan kira-kira 1.6 juta orang.

“Keadaan buruk belum berakhir. Kami menjangka lebih banyak hujan minggu ini ketika usaha pembersihan dijalankan di lokasi banjir semakin surut,” katanya.

Jabatan Meteorologi di laman webnya berkata, hujan dijangka berterusan hari ini.

Musim hujan di Thailand biasanya berlaku antara Jun hingga November.

Banjir yang bermula 1 Januari lalu, diikuti hujan lebat luar musim.

Pihak berkuasa getah kebangsaan berkata, pengeluaran getah antara 2016 dan 2017 menurun kira-kira 10 peratus akibat banjir. – AFP/BH ONLINE

Hujan Lebat Dijangka Berterusan Di Selatan Thai

in Terkini

BANGKOK – Hujan lebat dijangka berterusan di Selatan Thailand dalam beberapa hari akan datang ketika kesan kerosakan pada infrastruktur dan kerugian dalam perniagaan akibat banjir hampir dua minggu di wilayah itu mula terungkai.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran bahawa kawasan di pantai timur dan barat di selatan Thailand diramal mengalami hujan lebat dalam beberapa hari akan datang, meskipun banjir di empat wilayah telah mula surut.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana berkata situasi di Yala, Pattani, Ranong dan Narathiwat kembali pulih, apabila air yang semakin surut membolehkan lebih ramai mangsa banjir pulang ke kediaman masing-masing manakala pihak berkuasa pula memeriksa kerosakan.

“Sejumlah 36 orang disahkan terkorban dan seorang masih hilang dalam bencana banjir ini,” kata ketua jabatan itu, Chatchai Promlert hari ini dan menambah, bencana itu yang melanda 12 wilayah di selatan Thailand, menjejaskan 1.2 juta penduduk.

Bencana ini mengakibatkan kerosakan kepada 17 agensi kerajaan, 592 batang jalan raya dan 106 jambatan, katanya.

Nakhon Si Thammarat adalah wilayah paling teruk terjejas banjir dengan merekodkan sembilan mangsa yang terkorban.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Apiradi Tantraporn dipetik oleh media tempatan sebagai berkata banjir buruk itu menjejaskan 68 peratus pengusaha perniagaan atau 43,000 perniagaan di selatan Thailand.

Pengusaha perniagaan ini, katanya, mewakili Baht100 billion (RM1=7.9Baht) dalam nilai perdagangan tetapi jumlah keseluruhan yang mereka alami berikutan bencana banjir itu belum dapat dipastikan.

Antara perniagaan yang terjejas adalah peruncitan dan perladangan, katanya.

Jabatan Lebuh Raya dalam penilaian kerosakan infrastruktur akibat bencana itu, berkata kira-kira Baht641 juta diperlukan untuk membaiki jalan dan infrastruktur berkaitan yang rosak akibat banjir.

Katanya 19 lebuh raya di selatan masih belum boleh dilalui berikutan bencana itu. – BERNAMA

Banjir Pulih, 3 Sekolah Ditumpat & Pasir Mas Dibuka Esok

in Terkini

KOTA BHARU – Tiga sekolah di Kelantan yang masih ditutup hari ini berikutan banjir sejak Sabtu lepas, akan dibuka esok setelah banjir di kawasan terlibat pulih.

Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) dalam kenyataan hari ini berkata sekolah berkenaan ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda Kajang Sebidang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan di jajahan Tumpat serta SABK Al Falah Siram di jajahan Pasir Mas.

Menurut jabatan itu, sekolah terbabit dibuka selepas laluan ke sekolah tidak lagi ditenggelami air. – BERNAMA

Sistem PRAB Akan Dilaksanakan Oktober – Wan Junaidi

in Terkini

DUNGUN – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar optimis terhadap sistem Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) akan dapat digunakan Oktober tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sistem yang sedang dibangunkan untuk meramal banjir kini telah 50 peratus hampir siap.

“Pada peringkat awal ini ia memerlukan sedikit masa kerana bila kita nak pasang alat-alat di stesen-stesen, ia melibatkan kelulusan daripada kerajaan negeri.

“Untuk peringkat kedua dan seterusnya, prosesnya akan lebih cepat kerana ia melibatkan jabatan di bawah kementerian sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Dungun Datuk Mohd Yasim Awang dan Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam.

Wan Junaidi berkata projek perintis berkenaan dilaksanakan di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Melalui sistem ini, ramalan banjir akan dapat diketahui tujuh hari lebih awal sehingga dalam masa dua hari sebelum banjir, ketepatannya adalah 95 peratus.

“Insya-Allah musim tengkujuh tahun ini sistem ini akan dapat digunakan dan ia akan memudahkan pihak pengurusan banjir untuk merancang dan melaksanakan kerja-kerja pemindahan mangsa banjir lebih awal supaya banyak harta benda dapat diselamatkan,” katanya.

Wan Junaidi berkata pihaknya akan melihat keberkesanan sistem berkenaan dan akan mengembangkan pelaksanaannya di negeri-negeri lain di seluruh negara.

“Keberkesanannya akan dapat kita lihat dalam bulan Nov atau Dis, namun kita percaya ia memang berkesan dan kita akan laksanakannya di negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kos untuk projek di pantai timur ini menelan belanja RM150 juta tetapi untuk pelaksanaan di negeri-negeri lain kita jangkakan akan menelan belanja sehingga RM550 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut mengumumkan kelulusan RM1.9 juta untuk kerja-kerja menaik taraf sistem saliran di daerah ini.

“Kita luluskan sebanyak RM1.9 juta untuk projek menaik taraf dan membina sistem saliran di kawasan Durian Mentangau sebanyak RM200,000, Tanjung Hutan 1.2 juta dan Kampung Binjai RM500,000. – BERNAMA

Banjir Di Kelantan Pulih, Semua Pusat Pemindahan Ditutup

in Terkini

KOTA BHARU – Banjir yang melanda Kelantan sejak Sabtu lepas, kini pulih dengan kesemua pusat pemindahan ditutup petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata kesemua tiga pusat pemindahan di Jajahan Tumpat yang menempatkan 491 orang daripada 146 keluarga, ditutup pada pukul 3 petang.

“Kesemua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini,” katanya ketika dihubungi. – BERNAMA

Banjir: Semua Jajahan Di Kelantan Pulih, Kecuali Tumpat

in Terkini

KOTA BHARU – Banjir yang melanda Kelantan sejak Sabtu lepas bertambah baik apabila keadaan di semua jajahan kecuali Tumpat pulih setakat tengah hari ini.

Kesemua pusat pemindahan di Jajahan Pasir Mas ditutup pagi tadi.

Menurut Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir di negeri ini berkurangan kepada 491 orang setakat 1 tengah hari ini berbanding 836 orang pagi tadi.

Kesemua mangsa adalah daripada 146 keluarga dari Jajahan Tumpat yang masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Berdasarkan keadaan cuaca cerah tengah hari ini, dijangka lebih ramai lagi mangsa banjir di Jajahan Tumpat dapat pulang ke rumah masing-masing petang ini. – BERNAMA

Lebih 6,000 Pokok Pisang Musnah Akibat Banjir

in Terkini

KUALA BERANG – Kira-kira 6,400 pokok pisang milik seorang pekebun di Kampung Getang di sini musnah dalam banjir yang berlaku sejak sembilan hari lalu.

“Yang tinggal cuma daun pisang,” kata Tuan Ismail Tuan Muda, 45.

Beliau yang pertama kali menanam pisang berkata beliau kerugian kira-kira RM90,000.

“Kebun saya seluas 8 ekar dinaiki air sehingga dua meter. Semua pokok pisang saya sudah berbuah dan ada yang hampir masak. Sudah ada pun peraih yang mahu memborong pisang saya” katanya kepada Bernama.

Tanaman tersebut diusahakannya sejak lapan bulan lalu.

“Saya menghabiskan modal lebih RM30,000 untuk kos baja, pagar dan benih pisang,” tambahnya.

Antara pisang yang ditanamnya ialah pisang nangka, pengkalan berangan, pisang relung dan pisang raja.

Tuan Ismail berkata separuh daripada 500 anak kelapanya juga turut rosak.

“Ada yang dibawa arus,” katanya. – BERNAMA

Bina Bangunan Sekolah Lebih Tinggi Elak Peralatan Rosak

in Terkini

KUALA BERANG – Seorang guru besar hari ini mengesyorkan supaya kerajaan membina bangunan sekolah yang lebih tinggi bagi mengelak kerugian berulang akibat banjir apabila pelbagai peralatan sekolah perlu diganti saban tahun.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok, di sini, Harun Musa berkata demikian selepas melihat kerosakan pelbagai peralatan dan buku di sekolah berkenaan.

Beliau berkata banjir kali ini mengakibatkan kerosakan teruk yang menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

“Saban tahun banjir. Saya telah mengemukakan permohonan untuk membuat sekolah baru. Setiap tahun saya mohon. Tetapi oleh kerana ini sekolah kurang murid (SKM), mungkin sebab itulah tidak lulus.

“Mungkin juga kerana kos untuk membinanya (sekolah) melibatkan jutaan ringgit, jadi ia dianggap tidak berpadanan tetapi apabila dikira dengan nilaian yang rosak setiap tahun. Ia tetap merugikan,” katanya ketika ditemui pemberita di sekolah tersebut.

Tambahnya, kebanyakan peralatan akan diganti baharu sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun, dan selepas itu permohonan baharu akan dikemukakan sekali lagi terutama bagi kerusi dan meja selepas dilanda banjir.

“Apabila kita buat permohonan..kerajaan akan beri buku teks, peralatan pejabat, peralatan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), peralatan sukan dan kemahiran hidup.

“Begitu juga dengan peralatan di makmal sains. Tetapi sayanglah kita guna tidak sampai dua tahun, ia rosak. Kita harap bangunan baru dapat dibina segera,” katanya.

Menceritakan detik kejadian banjir di kawasan itu, Harun berkata air naik setinggi empat kaki sehingga menenggelamkan banyak prasarana kerana sekolah berkenaan setingkat sahaja.

Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok memulakan sesi persekolahan tahun 2017, pada hari ini ekoran kejadian tersebut.

Ia menempatkan seramai 73 orang pelajar, 12 orang guru termasuk Guru Besar dan dua orang pekerja pejabat. – BERNAMA

Banjir Di Selatan Thailand Semakin Buruk

in Terkini

BANGKOK – Hujan lebat terus memburukkan lagi keadaan banjir di selatan Thailand semalam ketika angka kematian akibat bencana itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 12 orang dan ribuan rumah ditenggelami air.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, bencana yang bermula sejak seminggu lalu kini menjejaskan lebih 700,000 penduduk.

Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan banjir itu juga menyebabkan banyak jalan raya terputus, kawasan pertanian musnah dan merosakkan lebih 1,500 sekolah di rantau itu.

Jabatan Meteorologi memberi amaran, hujan lebat dijangka berterusan dua hari lagi yang mungkin mencetuskan banjir kilat.

“Keadaan sangat teruk pada dua hari ini kerana hujan masih lebat,” kata pegawai meteorologi, Junjuda Pornsri.

Askar di beberapa pangkalan tentera di rantau itu juga digerakkan bagi membantu mangsa banjir, membina pusat perlindungan dan mengedarkan bantuan kecemasan.

Di wilayah Nakhon Si Thammarat yang paling teruk terjejas, dua helikopter tentera dikerahkan menyelamat penduduk kampung yang terperangkap selepas kediaman mereka ditenggelami air di daerah Cha-uat.

Seorang penduduk, Bapha Suthiphanya, 60, berkata, dia terpaksa berpindah ke pusat perlindungan selepas rumahnya hampir ditenggelami air.

“Saya sangat takut dan terkejut. Saya tidak pernah melihat banjir seperti ini dan saya juga tidak pandai berenang,” katanya. – AFP/myMetro Online

Mangsa Banjir Teruja PM Datang Buat Lawatan

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

TUMPAT – Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bunohan di sini, hari ini gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudi melawat mereka.

Sejumlah 646 mangsa banjir daripada 207 keluarga dari beberapa kampung sekitar Pengkalan Kubor, ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak Rabu lepas.

Selain meninjau pelbagai kemudahan yang disediakan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan terbabit, Perdana Menteri turut beramah mesra dengan mangsa bencana alam itu.

Misfina Awang, 50, dari Kampung Teluk Jering di sini, berkata kehadiran pemimpin utama negara itu menunjukkan Perdana Menteri seorang pemimpin yang prihatin dengan nasib rakyat yang ditimpa musibah.

“Kehadiran Perdana Menteri di sini, sedikit sebanyak memberikan kegembiraan, merawat kesedihan dan kegelisahan kami yang tinggal di sini sejak tiga hari lalu,” katanya.

“Kami berasa bertuah kerana beliau (Najib) sudi melawat kami dan dalam masa sama beliau sempat mendengar luahan masalah yang dihadapi oleh kami setiap kali tiba musim tengkujuh,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Misfina yang bekerja di sebuah kilang di daerah itu terpaksa berpindah ke pusat pemindahan tersebut pada Rabu lepas bersama empat orang anaknya berusia 18 sehingga 26 tahun apabila rumahnya dinaiki air.

Hamid Seman, 55, dari Kampung Palas Merah di sini, pula berkata kehadiran Najib membuktikan kerajaan sangat prihatin terhadap nasib rakyat.

“Dalam situasi sebegini, kami memerlukan perhatian daripada pemimpin oleh itu dengan kehadiran Perdana Menteri menunjukan beliau dan pemimpin lain sentiasa mengambil berat nasib rakyat,” katanya.

Nurliza Hamid, 22, dari kampung sama, gembira buat kali pertama dapat bertemu dengan Perdana Menteri secara dekat.

“Walaupun Perdana Menteri datang sekejap, sudah cukup buat kami, golongan muda, merasakan kami turut diberikan perhatian oleh Perdana Menteri,” katanya.

Sempena lawatan itu, Perdana Menteri menyatakan kerajaan akan meneliti cadangan supaya sebuah jambatan dibina di Jalan Kasban di Kampung Nibong di sini, bagi menyelesaikan isu ‘banjir termenung’ yang berlaku setiap kali musim tengkujuh di kawasan berkenaan.

Banjir di Tumpat dipanggil banjir termenung disebabkan air yang terkepung dan tidak dapat mengalir keluar.

Najib berkata pembinaan jambatan berkenaan akan membolehkan sebuah saluran air dibina untuk mengalirkan air banjir dari kawasan Pengkalan Kubor di sini dengan lebih cepat ke Sungai Golok. – BERNAMA

Sukarelawan Bantu Bersih Sekolah Di Hulu Terengganu

in Terkini

KUALA BERANG – Lebih 500 sukarelawan pelbagai agensi hari ini bergabung tenaga membersihkan enam sekolah yang terjejas teruk akibat banjir di Hulu Terengganu.

Kerja gotong-royong tersebut bermula sejak 8 pagi bagi memastikan sekolah di daerah tersebut dapat kembali beroperasi setelah empat hari sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan akibat banjir teruk yang melanda.

Antara yang turun padang ialah Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu dan Marang, sukarelawan Orang Kuala Berang, Bomba dan Penyelamat, pelatih Giatmara Marang, sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu, pelajar sekolah, guru dan penduduk kampung.

Turut sama menyertai gotong-royong tersebut ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dan barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Hulu Terengganu.

Mohd Aiman Farhan Ismail, 16, daripada Giatmara Marang, berkata dia bersama rakannya turut sama menyertai gotong-royong tersebut kerana pernah berdepan dengan situasi banjir di kediamannya.

“Saya sendiri pernah menjadi mangsa banjir. Saya tahu macam mana perasaan mereka serta bagaimana mereka diuji semasa dan selepas banjir.

“Hari ini kami tolong bersihkan bilik darjah, kantin, dewan dan tempat lain yang dipenuhi lumpur…memang agak banyak tempat yang nak dibersihkan, tetapi semuanya jadi senang kerana bergotong-royong,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu Jalaluddin Ismail berkata pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang berganding tenaga membersihkan sekolah di daerah tersebut.

“Jutaan terima kasih buat semua yang turun padang membersihkan sekolah yang terjejas. Kalau kami nak bersih sendiri tak terdaya kerana banjir kali ini agak teruk dengan lumpur tebal.

“Hari ini sebanyak enam sekolah yang dibersihkan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kua, SK Getang, SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Imtiaz dan SMK Agama Mahmudiah.

“Sejak semalam lagi ramai yang datang membantu dan insya-Allah semua sekolah di daerah ini akan dapat beroperasi esok,” katanya.

Jalaluddin berkata sebanyak tujuh lagi sekolah di daerah tersebut turut dinaiki air antaranya SK Teris, SK Lubok Periuk, SK Kuala Ping, SK Matang, SK Tengkawang, SK Bukit Tadok dan SK Ajil.

Beliau berkata pihaknya mengalami kerugian kira-kira RM1.1 juta akibat kerosakan fizikal dan aset di 12 sekolah yang ditenggelami banjir.

“Kita telah menghantar laporan kepada kementerian yang mana RM633,000 melibatkan kerosakan fizikal seperti pagar sekolah runtuh, pintu rosak dan bangunan… selebihnya pula kerosakan aset yang meliputi kerosakan meja dan kerusi, perabot serta komputer,” katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama di sekitar daerah ini mendapati cuaca panas membolehkan penduduk mula membersihkan kawasan rumah masing-masing. – BERNAMA

Najib Tinjau Keadaan Mangsa Banjir Di Terengganu

in Terkini

KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meninjau keadaan mangsa banjir di daerah Kuala Terengganu.

Beliau turut beramah mesra dengan penghuni di dua buah pusat penempatan banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, di sini, dan Sekolah Kebangsaaan Bukit Guntong, Kuala Nerus.

Lawatan pemimpin negara itu yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara Datuk Seri Shahidan Kassim, ternyata menceriakan mereka yang ditempatkan di situ sejak tiga hari lalu.

Seramai 461 mangsa daripada 112 keluarga ditempatkan di Sek Keb Banggol Peradong manakala seramai 422 orang daripada 96 keluarga di Sek Keb Guntong.

Zubaidah Ali, 52, yang ditemui pemberita berkata kunjungan Najib amat bermakna walaupun hanya sekejap kerana ia melambangkan keprihatinan pemimpin terhadap rakyat.

Dia bersama 10 anggota keluarganya berpindah ke pusat pemindahan Sek Keb Bukit Banggol ekoran rumah mereka di kampung Telari dinaiki air sehingga paras paha.

“Biasanya lihat perdana menteri di televisyen, hari ini dapat jugak tengok dari dekat, malah keramahannya menceriakan kami, biarlah walaupun sekejap,” katanya. – BERNAMA

Banjir: Hanya 4 Sekolah Di T’ganu Ditutup Esok

in Terkini

KUALA TERENGGANU – Hanya empat sekolah rendah akan ditutup esok, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Katanya dua sekolah berkenaan ialah di Kuala Nerus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak dan SK Bukit Guntong kerana kedua-duanya menjadi pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir.

“Sebuah sekolah di Setiu iaitu SK Sungai Las pula ditutup kerana masalah pendawaian elektrik yang tidak selamat dan sebuah lagi di Kuala Terengganu iaitu SK Banggol Peradong dekat Manir yang turut dijadikan pusat pemindahan banjir.

“Penutupan empat sekolah itu melibatkan 1,970 murid, 180 guru dan 28 kakitangan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semua sekolah di daerah yang terjejas teruk akibat banjir minggu lepas iaitu Hulu Terengganu dan Besut pula akan dibuka esok setelah sesi pembersihan selesai petang ini.- BERNAMA

Pusat Pemindahan Di Setiu Ditutup, Mangsa Berkurangan

in Terkini

KUALA TERENGGANU – Pusat pemindahan terakhir di Setiu iaitu di Surau Kampung Nyatoh ditutup sepenuhnya pagi tadi, sekali gus mengurangkan jumlah mangsa banjir kepada 1,372 orang setakat 1 tengah hari ini berbanding 1,473 orang pagi tadi.

Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi aplikasi Infobanjir melaporkan sebanyak 337 keluarga masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di tiga daerah iaitu di Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

Di Kuala Terengganu, jumlah mangsa kekal tidak berubah iaitu 1,199 orang daripada 286 keluarga sejak pagi tadi.

Di Dungun pula, 73 mangsa telah pun pulang ke rumah masing-masing menjadikan jumlah terkini 135 orang (39 keluarga) di dua pusat pemindahan iaitu Dewan Sivik Paka dan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau.

Seramai 38 mangsa daripada 12 keluarga masih berada di pusat pemindahan di SK Pasir Putih, Marang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka tiba di Kuala Terengganu pada pukul 3 petang ini untuk melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di daerah itu. – BERNAMA

FAMA: Bekalan Sayur, Buah Di Kawasan Banjir Tak Terputus

in Terkini

PETALING JAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan di negeri dilanda banjir seperti Kelantan serta Terengganu tidak akan terputus.

Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata FAMA mempunyai logistik yang mencukupi untuk menyalurkan bekalan dari Cameron Highlands ke negeri-negeri terlibat.

“FAMA bekerja sepenuh masa sepanjang musim banjir bagi memastikan rakyat khususnya di Pantai Timur tidak terbeban akibat terjejas bekalan makanan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga dan bekalan di Pasar Tani Kelana Jaya di sini, hari ini.

Badruddin berkata meskipun pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan berkurangan akibat banjir, beliau memberi jaminan bahawa harga yang dikenakan adalah berpatutan.

“Pengurangan harga lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran semasa itu masih kekal walaupun sekarang musim banjir, kerana pasar tani di seluruh negara memegang konsep susah senang bersama,” katanya.

Badruddin berkata FAMA juga melaksanakan Program Pasar Tani Khas Musim Banjir supaya pengguna di kawasan dilanda banjir dapat membeli barangan keperluan harian dengan harga berpatutan.

Katanya program itu dijalankan sejak semalam di outlet jualan terpilih iaitu di pasar tani, MyFarm Outlet, Pusat Transformasi Luar Bandar, Desaraya, Agrobazar Kedai Rakyat dan My Best Buy FAMA di 40 lokasi terpilih di Kelantan dan Terengganu. – BERNAMA

Banjir Di Kelantan Beransur Reda, Mangsa Menurun

in Terkini

KOTA BHARU – Keadaan banjir di Kelantan tengah hari ini menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan terus mencatatkan penurunan kepada 10,783 orang berbanding 12,064 orang pagi tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir, kini terdapat sebanyak 20 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di jajahan Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Jumlah mangsa paling ramai ialah di jajahan Pasir Mas iaitu sebanyak 6,741 orang daripada 2,608 keluarga yang ditempatkan di 12 pusat pemindahan, diikuti jajahan Tumpat sebanyak 4,015 orang daripada 1,286 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Terdapat 27 orang daripada lima keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Pasir Puteh.

Menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 9 meter (m), namun menunjukkan trend penurunan iaitu 9.34m berbanding 9.47m pagi tadi.

Paras air Sungai Kelantan pula kini berada di bawah paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 12.72m berbanding 12.62m pagi tadi (paras bahaya 16m) manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal.

Keadaan cuaca di negeri itu setakat ini dilaporkan cerah. – BERNAMA

Jambatan Dan Saluran Air Selesai Isu ‘Banjir Termenung’

in Terkini

TUMPAT – Kerajaan akan meneliti cadangan supaya sebuah jambatan dibina di Jalan Kasban di Kampung Nibong di sini, bagi menyelesaikan isu ‘banjir termenung’ yang berlaku setiap kali musim tengkujuh di kawasan berkenaan.

Banjir di Tumpat dipanggil banjir termenung disebabkan air yang terkepung dan tidak dapat mengalir keluar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembinaan jambatan berkenaan akan memboleh sebuah saluran air dibina untuk mengalirkan air banjir dari kawasan Pengkalan Kubur di sini dengan lebih cepat ke Sungai Golok.

Najib berkata berdasar anggaran awal, pembinaan saluran air dan jambatan sepanjang 100 meter itu dijangka menelan belanja antara RM9 juta hingga RM10 juta.

“Saya akan arahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengkaji cadangan tersebut dan jika sesuai, ia akan dibina dengan kadar segera,” katanya selepas meninjau 646 mangsa banjir daripada 207 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NaDMA) Datuk Zaitun Ab Samad.

Sebelum ini, penduduk di kawasan berkenaan dilaporkan pernah mengadakan bantahan aman bagi menggesa kerajaan merobohkan Jalan Kasban-Rantau Panjang berhampiran Kampung Pohon Nibong dan menggantikannya dengan jambatan bagi memastikan banjir termenung di kawasan itu tidak berulang.

Wakil penduduk kawasan itu dipetik sebagai berkata langkah itu mampu menyelamatkan lebih 5,000 keluarga dari 13 buah kampung sekitar daripada menjadi mangsa banjir termenung, yang sering menyebabkan kawasan itu terputus hubungan kerana laluan ditenggelami banjir.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata kerajaan akan menyediakan kemudahan tambahan di sekolah-sekolah terpilih yang digazetkan sebagai pusat pemindahan banjir seperti tandas dan bilik mandi bagi memberi keselesaan kepada mangsa-mangsa banjir.

Najib berkata di luar musim banjir, kemudahan tambahan itu boleh digunakan oleh pelajar dan guru di sekolah berkenaan.

Mengulas mengenai pengurusan banjir di bawah NaDMA, Najib berkata beliau berpuas hati dengan usaha-usaha yang dijalankan dan setakat ini ia berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang terlibat.

“Walaupun ada beberapa perkara berbangkit yang kecil namun secara keseluruhannya, pengurusan bantuan kepada mangsa banjir berjalan dengan baik,” katanya. – BERNAMA

9,900 Kit Makanan Diedar Kepada Mangsa Banjir

in Terkini

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,300 set Kit Makanan Permulaan diedarkan di Terengganu dan 4,600 lagi diedarkan di Kelantan bagi membantu mangsa banjir di negeri itu setakat ini.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Zaitun Ab. Samad berkata, kit tersebut bertujuan memberi keselesaan kepada mangsa banjir terutama pada hari pertama mereka menetap di pusat pemindahan sementara.

“Kit ini dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai pembekal kit dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai agensi yang menguruskan pusat-pusat pemindahan banjir seluruh negara.

“Kit ini diisi dengan produk-produk FAMA berjenama Agromas yang sedia untuk dimakan segera tanpa perlu memasak. Antara produk yang dibekalkan ialah biskut gula, bubur nasi, minuman oat, minuman kopi 3 dalam 1, sardin, sapuan kaya, sapuan bilis serta barangan keperluan seperti cawan dan sudu plastik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zaitun berkata, Kit Makanan Permulaan diberikan kepada setiap keluarga mangsa banjir menerusi ketua isi rumah masing-masing sebaik mereka mendaftar masuk ke pusat pemindahan.

Jelas beliau, kit tersebut amat membantu mangsa kerana ada dalam kalangan mereka tinggal sehelai sepinggang kerana terpaksa berpindah dari rumah mereka secara tergesa-gesa akibat banjir.

“Pengedaran kit tersebut ini mula dilaksanakan sejak musim tengkujuh 2015/2016, dan merupakan salah satu SOP yang diambil daripada Model Kemaman Siap Siaga. Model ini telah diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana di peringkat tempatan,” katanya. -MYNEWSHUB.CC

Wow! Pasangan Naik ‘Motor Selam’ Redah Banjir

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

BANJIR yang melanda di kawasan Pantai Timur sejak minggu lalu dilaporkan semakin pulih dengan penurunan jumlah mangsa berbanding petang semalam.

Bagaimanapun di media sosial, rakaman aksi pasangan menaiki motorsikal yang telah diubahsuai sambil meredah air berjaya mencuri tumpuan netizen di media sosial.

Menerusi rakaman video berdurasi satu minit 23 minit, pasangan tersebut dilihat begitu santai dengan wajah yang tersenyum sambil merakamkan aksi mereka menunggang ‘motor selam’.

Motorsikal jenis Honda C70 itu biarpun dilihat hampir tenggelam, namun modifikasi yang dilakukan oleh mereka membuatkan kenderaan itu tetap kukuh meredah banjir.

Rata-rata pengguna laman sosial turut memuji tindakan pasangan berkenaan yang kreatif dan tidak kurang juga menasihati untuk sentiasa berhati-hati dalam menghadapi banjir.

Paling menarik mereka turut mengunakan lagu ‘Jomblo Happy’ sebagai lagu latar untuk rakaman tersebut.

Bagaimanapun, Mynewshub tidak dapat memastikan tarikh dan lokasi video tersebut dirakam. – MYNEWSHUB.CC

Banjir: 3 Sekolah Masih Ditutup Di Pitas Esok

in Terkini

PITAS – Tiga daripada 11 sekolah yang ditutup di sini hari ini, masih ditutup esok berikutan banjir yang melanda di sekitar kawasan sekolah berkenaan belum pulih sepenuhnya.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul berkata sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kusilad, SK Sosop dan SK Dallas.

“Namun lapan lagi sekolah yang ditutup hari ini akan dibuka esok. Sekolah terlibat ialah SK Pandan Mandamai; SK Pinggan-Pinggan; SK Mandurian; SK Pinapak; SK Nibang, SK Rukom, SK Kinabungan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabungan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Maimunah berkata Jabatan Pendidikan Negeri juga akan sentiasa memantau keadaan banjir di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa. – BERNAMA

Banjir Di Terengganu Hampir Pulih, Mangsa Terus Menurun

in Terkini

KUALA TERENGGANU – Cuaca baik sepanjang hari di Terengganu terus menyaksikan penurunan ketara mangsa banjir iaitu hanya 2,576 orang berada di pusat pemindahan setakat pukul 6 petang ini berbanding 4,174 orang tengah hari tadi.

Sebanyak 29 pusat pemindahan juga sudah ditutup menjadikan jumlah yang dibuka ketika ini hanya di 34 lokasi yang menempatkan 674 keluarga.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi aplikasi Infobanjir, daerah Besut yang hampir pulih sepenuhnya terus mencatatkan penurunan jumlah mangsa iaitu hanya 28 orang daripada sembilan keluarga masih berada di dua pusat pemindahan berbanding 804 orang (226 keluarga) sebelum ini.

Penutupan empat pusat pemindahan di Hulu Terengganu menjadikan jumlah mangsa terus menurun kepada 625 orang (175 keluarga) berbanding 970 orang (290 keluarga) tengah hari tadi.

Di Setiu pula, 10 pusat pemindahan ditutup menjadikan jumlah mangsa petang ini hanya 234 orang (50 keluarga) berbanding 661 orang (168 keluarga) sebelum ini.

Daerah Kemaman hanya mencatat sedikit penurunan iaitu 437 orang (116 keluarga) ketika ini berbanding 489 orang (131 keluarga) dan jumlah pusat pemindahan kekal di lima lokasi.

Begitu juga di Dungun, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 812 orang (212 keluarga) berbanding 935 orang (247 keluarga) diikuti Marang hanya 39 orang (13 keluarga) berbanding 42 orang daripada 14 keluarga.

Bagaimanapun, daerah Kuala Terengganu terus mencatat peningkatan mangsa kepada 401 orang (99 keluarga) berbanding 278 orang (71 keluarga) sebelum ini.

Tiga pusat pemindahan baharu turut dibuka di daerah itu petang ini. – BERNAMA

ATM Siap Siaga Hadapi Situasi Banjir Terburuk

in Terkini

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia kini bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir buruk di Kelantan dan Terengganu berikutan hujan lebat masih berterusan.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika dihubungi Bernama di sini hari ini berkata aset ATM seperti helikopter dan anggota tentera telah dikerah ke lokasi banjir.

“Kami akan meningkatkan tenaga kerja dari semasa ke semasa dan beberapa divisyen telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia,” katanya.

Raja Mohamed Affandi juga berkata selain Kelantan dan Terengganu, ATM juga memantau situasi banjir di Pahang.

Kami bekerja rapat dengan Jabatan Meteorologi dan diberi taklimat harian daripada petugas di lokasi. Kami juga telah merangka pelan kontigensi,” katanya.

Sehingga tengah hari ini, bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Kelantan meningkat kepada 14,132 orang berbanding 12,636 pagi tadi dan dijangka jumlah itu akan terus meningkat.

Di Terengganu, bagaimanapun jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 4,174 orang berbanding 8,313 orang pagi tadi.

“Kami telah bersedia untuk segala-galanya berikutan banjir buruk yang berlaku pada 2014. Saya percaya pengurusan banjir kali ini lebih baik. Kami akan cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik,” kata Raja Mohamed Affandi. – BERNAMA

KPT Siap Siaga Hadapi Banjir

in Terkini

SEPANG – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT), kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT Datuk Kamel Mohamad.

Beliau berkata kementerian telah menyelaraskan aspek penyampaian maklumat melibatkan semua IPT yang berisiko dilanda banjir terutama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia bagi memudahkan koordinasi dan penyaluran bantuan.

Katanya berdasarkan pengalaman menghadapi banjir besar dua tahun lepas, kementerian akan bekerjasama dengan semua agensi terlibat, selain menggerakkan sukarelawan kementerian.

“Dari segi komunikasi, pihak pengurusan di IPT akan menyampaikan maklumat terkini terutama di Pantai Timur seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta politeknik dan kolej komuniti berkaitan.

“Dua tahun lepas kita banyak terlibat dan kita akan gunakan pengalaman tersebut. Setakat ini keadaan masih terkawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar “Organisational Success: Breaking Wall and Building Bridges” di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengenai seminar itu, Kamel berkata ia penting bagi menerapkan semangat kerjasama antara semua IPT selaras dengan konsep kekolejan yang ditekankan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

“Dalam konteks ini, kita bukan sahaja mahu kerjasama antara sesama universiti awam tetapi juga dengan universiti swasta serta IPT lain seperti politeknik di mana kita ada 33 politeknik di seluruh negara.

“Kita tak boleh bergerak secara individu (silo), jika mahu sesuatu program memberi impak besar, kita mesti bekerjasama,” katanya.

Seorang ahli akademik terkemuka dari Malaysia yang berkhidmat di Eastern Kentucky University, Amerika Syarikat, Prof Dr Faridah Awang turut menyampaikan ceramah pada seminar anjuran bersama Politeknik Nilai, Negeri Sembilan dengan Scope Research and Training Consultancy. – BERNAMA

Banjir Di Kelantan Buruk, Terengganu Semakin Pulih

in Terkini

KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di pantai timur terutama Kelantan bertambah buruk dengan hampir 21,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan pagi ini.

Sejumlah 12,636 penduduk daripada 4,307 keluarga di Kelantan ditempatkan di 62 pusat pemindahan di lapan jajahan.

Sementara sebanyak 45 sekolah di Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh ditutup.

Situasi di Terengganu semakin baik dengan 8,313 mangsa daripada 2,414 keluarga ditempatkan di 117 pusat pemindahan di tujuh daerah.

Keadaan yang semakin pulih itu membolehkan 41 daripada 63 buah sekolah yang ditutup semalam dibuka seperti biasa hari ini.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang pula dilapor masih melepasi paras bahaya iaitu sembilan meter (m) (10.17m paras bahaya), namun menunjukkan trend penurunan pagi ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di ttp://ebanjir.kelantan.gov.my.

Di Sabah, jumlah mangsa di daerah Pitas kekal 281 orang daripada 67 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul berkata 10 buah sekolah di Pitas ditutup hari ini selepas dilanda banjir sejak semalam.

Paras Sungai Kebatasan berada pada paras berbahaya iatu 5.98 meter manakala Sungai Bengkoka berada pada paras amaran 3.91 meter. – BERNAMA

Banjir: Kelantan, Persekutuan Perlu Kerjasama Holistik

in Terkini

PASIR MAS – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan negeri Kelantan dan Persekutuan perlu bekerjasama secara holistik mencari langkah jangka panjang bagi menangani masalah banjir yang berlaku saban tahun di negeri ini.

Ahmad Zahid berkata beliau harap kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dapat berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menyelesaikan masalah tersebut bagi membantu meringankan beban rakyat yang saban tahun terpaksa berdepan dengan musibah berkenaan.

“Cara terbaik paku alam iaitu hutan, sungai dan gunung-ganang hendaklah dipertahankan. Oleh yang demikian kita harap jalinan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah banjir secara holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melawat 1,441 mangsa banjir daripada 653 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yassin.

Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut ketika ditemui pemberita, Ahmad Zahid berkata beliau akan mengarahkan Mustapa dan Shahidan agar duduk semeja dengan Ahmad bagi memperincikan bentuk koordinasi yang boleh dilakukan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menangani masalah banjir di Kelantan.

“Saya minta Datuk Seri Mustapa dan Datuk Seri Shahidan untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Yakob dan mencari jalan dengan mengadakan mesyuarat memperincikan apakah koordinasi yang dapat dilakukan.

“Bukan hanya dari segi bantuan ketika banjir dan pasca banjir tetapi penyelesaian jangka panjang harus dicari sebagai tanda istiqamah dan komitmen dalam bentuk tabayun antara kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata berkata antara langkah awal yang dapat dilakukan oleh kerajaan negeri dalam menangani bencana banjir di negeri ini adalah dengan melaksanakan penebangan hutan secara berstruktur dan terpilih, selain mengurangkan aktiviti pembalakan untuk dijadikan kawasan ladang.

Beliau berkata kegiatan pembalakan hanya akan menyebabkan hakisan tanah yang mengundang kepada berlakunya dasar sungai yang cetek, sekali gus akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan Persekutuan dalam menjalankan projek mendalamkan dasar sungai.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut menafikan kejadian banjir yang berlaku di selatan Thailand ketika ini menjadi penyumbang kepada bencana sama yang berlaku di Kelantan ketika ini.

“Siasatan telah dilakukan dan didapati bahawa masalah hujan lebat juga berlaku di kawasan mereka (Thailand) dan berlaku juga kenaikan paras air di sungai-sungai di Thailand.

“Maka saya fikir tuduhan itu tidak betul dan kita telah mendapat kerjasama cukup baik daripada kerajaan Thailand khususnya gabenor di wilayah-wilayah di selatan Thailand, dan kita harap perkara ini dapat diperbetulkan laporannya.

Terdahulu dalam ucapannya itu, Ahmad Zahid turut berkata beliau akan memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membeli lapan bot amfibia untuk ditempatkan di Kelantan dan Terengganu.

Dalam masa yang sama beliau akan mengarahkan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk menghantar lori jenis tetra bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa banjir di kawasan yang terjejas dengan bencana itu. – BERNAMA

Sistem Komunikasi Di Kawasan Banjir Masih Baik

in Terkini

KUALA BERANG – Sistem komunikasi di Terengganu dan Kelantan masih berada ditahap yang baik walaupun banjir teruk sejak semalam.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata terdapat sesetengah lokasi mengalami gangguan rangkaian internet ekoran kapasiti penggunaannya yang tinggi.

“Kita sentiasa memantau perkara ini namun bagi kawasan Terenganu dan Kelantan yang banjir setakat ini, telefon masih boleh digunakan untuk meminta bantuan mahupun laporan semasa.

“Selain itu, sukarelawan pemancar (radio amatur) turut membantu menyalurkan maklumat yang tepat berhubung insiden ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Kampung Tok Lawit, di sini, hari ini.

Johari berkata pihaknya telah melakukan persiapan awal sebelum ini termasuk meninggikan pencawang komunikasi khususnya di kawasan yang sering ditenggelami air bagi menggelak berlaku gangguan kepada pengguna.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar lama dan tidak sahih, yang boleh mengundang situasi panik kepada orang lain.

“Jika kita lihat ada gambar banjir yang lama serta di negara lain turut diviralkan…sedangkan banjir yang melanda ini tidaklah seburuk yang disebarkan itu,” katanya.

Jailani yang juga anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata kejadian banjir di beberapa lokasi di kawasan itu mungkin disebabkan masalah saliran atau sungai yang tidak lagi dalam untuk menampung taburan hujan lebat.

Tambahnya, bangunan pusat pemindahan banjir juga mungkin akan ditambah atau didirikan di lokasi lain, bergantung kepada saranan daripada jabatan terbabit.

“Bagi keperluan makanan memang kita sentiasa bersedia namun yang menjadi lambat sampai kerana tiada laluan selamat… mungkin juga boleh diwujudkan satu depoh untuk menempatkan bekalan keperluan ini di lokasi yang sering terjejas,” katanya. – BERNAMA

Ibu Dukung Anak 30kg Sakit Saraf Harungi Banjir

in Utama & Sensasi

KUALA BERANG – Demi keselamatan anak yang dikasihi, seorang ibu sanggup mendukung anaknya seberat 30 kilogram dan menghidapi sakit saraf mengharungi banjir ke pusat pemindahan.

Tina Abd Ghani, 36, yang juga ibu tunggal berkata beliau mendukung Danish Amjad Khairul Hasrizal, 10, sejauh 50 meter ke pusat pemindahan Menerong, di sini.

Ketika banjir berlaku, beliau yang bertugas sebagai pembantu perawatan kesihatan sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Klinik Kesihatan Kuala pada 7 pagi dan berpatah balik ke rumah sebaik mendapati air semakin naik di laluan utama.

Katanya Danish Amjad yang tidak mampu bergerak itu dijaga ibunya Jijah Said, 60, di kediaman mereka di Kampung Felcra Gunung Menerong, di sini.

“Ketika itu air mula memenuhi kawasan rumah dan saya tidak berfikir panjang, terus menukar uniform kerja sebelum memindahkan mereka ke pusat pemindahan Menerong.

“Saya mendukung anak meredah banjir berserta hujan. Ketika itu yang saya hanya fikirkan untuk menyelamatkan mereka sahaja.

“Selagi terdaya saya akan pikul anak saya walau beratnya mencecah lebih daripada 30 kilogram,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Sementara itu di Besut, rata-rata penduduk menganggap kejadian banjir kali ini agak luar biasa dan lebih teruk berbanding 2014.

Sesetengah kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini juga terjejas malah tinjauan Bernama mendapati semakin ramai yang terpaksa berpindah ke tempat selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Gong Kemuntong, di sini, Mat Noor Mat Din berkata sejak pagi tadi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu memindahkan mangsa dari beberapa buah kampung sekitar Jerteh untuk ke pusat pemindahan banjir di Masjid Hadhari, Jerteh.

“Kebanyakan mangsa terdiri daripada penduduk kampung sekitar bandar Jerteh seperti Kampung Cabang Tiga, Mak Sara, Tandak dan Gong Kemuntong,” katanya hari ini. – BERNAMA

PM Harap Semua Beri Kerjasama Kepada Anggota Keselamatan

in Terkini

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap semua pihak memberi kerjasama kepada anggota keselamatan yang bertugas membantu dan memindahkan mangsa banjir.

“Semoga Allah SWT permudahkan dan beri kekuatan untuk harungi musibah ini, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri di laman Facebook dan Twitternya hari ini.

Beliau yang sudah mendapat laporan terkini mengenai keadaan banjir di Pantai Timur, iaitu di Kelantan dan Terengganu, berkata agensi kerajaan telahpun mengambil pelbagai langkah untuk membantu mangsa banjir, dan juga memastikan keselamatan mereka.

Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan semakin bertambah buruk berikutan musim Monsun Timur Laut, dengan hampir 23,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan setakat tengah hari ini.

Selain itu, 135 orang daripada 27 keluarga daripada 10 kampung di utara Sabah turut dipindahkan ke tempat selamat di Kampung Rukom Ulu dekat Pitas berikutan hujan berterusan. – BERNAMA

Banjir: Kerugian Pertanian Masih Dalam Penilaian

in Terkini

PASIR MAS – Kerajaan masih menilai kerugian yang dialami sektor pertanian berikutan bencana banjir yang melanda pantai timur ketika ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin berkata kerajaan sedang menunggu laporan penuh berhubung kerosakan dan kerugian yang dialami petani daripada agensi pertanian di negeri-negeri yang terlibat dengan bencana itu.

“Kita masih belum menerima laporan lengkap berhubung kerosakan tanaman dan kerugian yang dialami petani kerana banjir masih belum surut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Kit Bantuan Makanan MOA kepada mangsa banjir di sekitar Kampung Kedap dan Kampung Lubok Gong di Rantau Panjang di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Md Alwi Che Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang merangkap Anggota Dewan Negara Senator Datuk Abdullah Mat Yassin.

Mengulas lanjut Tajuddin berkata kementeriannya boleh membantu petani dengan menyediakan benih dan baja jika tanaman mereka terjejas kerana banjir.

Beliau berkata selain itu kementerian turut mempunyai Tabung Ehsan banjir bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.

Ditanya mengenai harga ikan yang meningkat antara RM1 hingga RM15 ketika musim tengkujuh ini, beliau berkata pihak kementerian sedang memantau perkembangan semasa berhubung perkara itu. – BERNAMA

1 2 3 24
Go to Top