Bukan Berita Online Biasa

Tag archive

bola sepak

Kemasukan Shafiq Ahmad Ubah Corak Permainan Kedah

in Sukan/Terkini

ALOR SETAR – Kemasukan pemain gantian, Muhammad Shafiq Ahmad kembali menyuntik semangat pasukan Lang Merah selepas terikat seri 1-1 di babak separuh masa kedua dalam perlawanan Liga Super Kedah menentang Pulau Pinang di Stadium Darul Aman malam tadi.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mengakui anak buahnya hilang fokus pada separuh masa pertama sehingga pasukan Pulau Pinang mengambil peluang itu dan menjaringkan gol awal pada minit ke-18 menerusi jaringan pemenang Anugerah Puskas, Mohd Faiz Subri.

“Babak kedua permainan kita memasukkan Shafiq dan ternyata, beliau bukan sahaja dapat menjaringkan gol kedua pada minit ke-74, tetapi merubah rentak permainan lebih terbuka, kemas dan teratur, dan menyuntik semangat pasukan,” katanya.

Tan berkata, pasukan Pulau Pinang bermain dengan baik terutama di bahagian pertahanan dan serangan sehingga sukar untuk anak buahnya menembusi pertahanan lawan.

“Kita tahu pasukan Pulau Pinang bila datang ke sini, misi mereka untuk mencuri satu mata atau mahu kemenangan, tetapi kita telah bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, Kedah dijangka tidak dapat menurunkan Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani pada perlawanan menentang Selangor pada 1 Mac ini kerana mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, katanya, pasukan Kedah akan terus bekerja keras dan memberi tumpuan kepada perlawanan demi perlawanan agar kekal di tangga teratas liga.

Dengan kemenangan malam tadi, Kedah kini mengumpul 14 mata mendahului Pahang (13 mata) dan Selangor (11 mata). – BERNAMA

Kelantan Tewas Kali Ketiga Di Gelanggang Sendiri

in Sukan/Terkini

KOTA BHARU – Prestasi pemain bukan pada tahap sebenar menjadi punca Kelantan sekali lagi tewas di halaman sendiri pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV ketika menentang Selangor malam tadi.

Sebelum ini, pasukan tersebut yang juga dikenali sebagai The Red Warriors (TRW) turut tewas kepada pasukan Kedah dan Melaka United pada saingan Liga Super di stadium sama minggu lalu.

Penolong Jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh berkata para pemain banyak melakukan kesilapan bermula pada minit awal permainan hingga membuka peluang pasukan pelawat menjaringkan gol pada minit ke-3.

“Selepas Selangor menjaringkan gol pertama, ia menyebabkan pemain kita (TRW) hilang keyakinan diri dan tertekan, mereka tidak memberikan tumpuan kepada perlawanan sehingga pelawat sekali lagi menjaringkan gol pada separuh masa kedua perlawanan,” katanya kepada pemberita di sini.

Pasukan TRW bimbingan Zahasmi Ismail tewas 0-2 hasil jaringan penyerang import Selangor Juliano Mineiro Fernandes pada mint ke-3 dan minit ke-63 perlawanan.

Beliau berkata pasukannya perlu melakukan sesuatu untuk bangkit pada perlawanan akan datang sama ada di tempat sendiri mahupun di gelanggang lawan, untuk mencari kemenangan.

Beliau berharap kekalahan tiga kali berturut-turut di gelanggang sendiri akan menjadikan pemain lebih bermotivasi, dapat meningkatkan keyakinan diri dan bermain dalam keadaan tiada tekanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, P. Maniam berkata kemenangan ke atas pasukan TRW itu adalah hasil daripada komitmen tinggi daripada pemainnya bagi memperoleh tiga mata penuh di tempat lawan.

“Ia satu perlawanan sukar terutamanya bermain di Kota Bharu, namun saya puji dengan tahap disiplin kesemua pemain saya sehingga kami dapat menjaringkan dua gol di sini (Kota Bharu).

“Kemenangan tiga mata penuh ini adalah buat presiden baru kami (Persatuan Bola Sepak Selangor) iaitu Datuk Seri Subahan Kamal dan pihak pengurusan kami,” katanya. – BERNAMA

TMJ Kata Tiada Masalah Kena ‘Tackle’

in Sukan/Utama & Sensasi

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi jaminan baginda akan bersikap profesional sewaktu beraksi untuk pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Malaysia bermula Mei ini.

Titah Tunku Ismail, baginda pernah dikasari dan kaki baginda ditendang oleh pemain lain sewaktu mewakili pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) satu waktu dahulu.

“Awak tanyalah kepada seluruh rakyat Johor ketika saya bermain untuk JMF dahulu berapa ramai yang telah mengasari dan menendang kaki saya.

“Saya tiada masalah. Saya ‘sporting’. Tetapi jangan lupa, saya juga boleh mengasari mereka. Haha..,” titah baginda dalam satu wawancara yang disiarkan di laman Facebook rasmi JDT hari ini.

Baca: Catat Sejarah… TMJ Bakal Jadi Pemain JDT!

Mynewshub petang ini melaporkan sejarah bakal tercipta apabila Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak JDT akan menjadi salah seorang pemain pasukan itu sewaktu jendela perpindahan pemain dibuka Mei nanti.

Hal itu terlebih dahulu dilaporkan oleh laman Facebook JDT.

Sebilangan netizen bagaimanapun mempersoalkan sama ada pemain pasukan lain berani berhadapan dengan baginda di atas padang termasuk mengasari baginda bagi mendapatkan bola.

Tunku Ismail berkata, baginda berhasrat menjadi pemain JDT kerana ingin mencabar diri dan berkemungkinan menandatangani kontrak selama enam bulan dengan pasukannya sendiri.

“Kita tunggu dan lihatlah nanti. Jika dapat masuk bermain seminit dua sebelum perlawanan tamat pun sudah memadai. Dapat juga saya merasa memakai jersi JDT,” titah baginda.

Tunku Ismail seterusnya menyatakan baginda memiliki 42 kejuaraan Polo di seluruh dunia tetapi tidak di senaraikan untuk bermain di Sukan Sea.

“Tetapi individu yang tidak pernah menang pertandingan Polo dan tidak pandai bermain sukan Polo boleh bermain di Sukan Sea, takkan saya pula tidak boleh bermain di Liga Super?” titah baginda.

Baginda dipercayai membuat kenyataan itu bagi menyindir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sebelum ini dilaporkan akan mewakili negara dalam Sukan Sea bagi acara polo.

Tunku Ismail sebelum ini mendakwa Menteri Belia dan Sukan memberi sokongan kepada bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu.

Tunku Ismail dan Annuar merupakan dua calon yang terpilih untuk mengisi jawatan itu. – MYNEWSHUB.CC

Pertahanan Kuantan FA Perlu Diperkuat – Zulhamizan

in Sukan/Terkini

KUANTAN – Skuad Kuantan FA perlu menguatkan barisan pertahanannya supaya tidak mudah dibolosi dalam menghadapi saingan musim ini, kata pengendalinya Zulhamizan Zakaria.

Beliau berkata akibat kesilapan bahagian pertahanan pasukannya itu ketika permainan menentang UiTM FC di Stadium Darul Makmur di sini semalam telah menyebabkan pihak lawan memperoleh satu gol.

“Kita berjaya menghasilkan tiga gol namun akibat kesilapan bahagian pertahanan ia telah memberikan pihak lawan peluang untuk menjaringkan satu gol.

“Kelemahan tersebut perlu diperbaiki segera kerana kami akan bertemu Negeri Sembilan pada Jumaat ini yang kini berada di puncak liga,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan berkenaan.

Zulhamizan berkata berikutan jadual perlawanan yang ketat dalam tempoh dua hari ini pasukannya perlu membuat persiapan tambahan daripada aspek fizikal dan mental.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih UiTM FC Wan Mustafa Wan Ismail berkata beliau tidak menjangkakan pasukan bimbingannya itu tewas kepada Kuantan FA kerana mereka beraksi secara konsisten sejak awal musim.

“Ini merupakan kekalahan pertama UiTM dan saya berharap anak buah saya akan kembali bangkit melakar kemenangan pada perlawanan seterusnya,” katanya. – BERNAMA

FAM Rujuk AFC Jika Wujud Ancaman Keselamatan

in Sukan/Utama & Sensasi

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya akan merujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) jika merasakan wujudnya ancaman keselamatan ketika berdepan Korea Utara dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.

“Setakat ini belum ada apa-apa lagi. Kita akan berhubung dengan AFC dan juga pihak kedutaan. Kalau FAM merasakan keadaan di sana tidak selamat, FAM akan berhubung dengan AFC.

“AFC yang akan tentukan. Setakat minggu lepas, segalanya masih okay. Kalau sampai ke satu tahap, AFC akan menentukan sama ada bermain di tempat berkecuali atau ditangguhkan,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Wisma Putra hari ini memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Pyongyang.

Skuad Harimau Malaysia dijadual menentang Korea Utara pada 28 Mac depan di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Utara, Hong Kong dan Lubnan. – BERNAMA

Kelantan Rombak Pemain Menentang MU Malam Esok

in Sukan/Terkini

KOTA BHARU – Kelantan terpaksa melupakan khidmat penyerang import, Mohammed Ghaddar dan Alessandro Padovani Celin untuk pertemuan menentang Melaka United dalam saingan Liga Super di laman sendiri esok.

Kedua-dua pemain itu yang masing-masing cedera di kaki, setakat ini belum yakin dapat beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Ini memaksa jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail melakukan rombakan dalam skuadnya, sekali gus mengadakan penggiliran agar ada pemain yang dapat direhatkan dalam mengharungi jadual musim ini.

“Sebenarnya penggiliran pemain amat sukar untuk dilakukan memandangkan mereka belum lagi serasi bersama tetapi ia terpaksa dibuat memandangkan Kelantan akan menghadapi lima perlawanan berturut-turut dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.

Pada masa sama, Zahasmi berkata beliau yakin skuad kendaliannya akan menebus maruah dengan memenangi perlawanan esok selepas tewas 0-1 kepada Kedah, Sabtu lalu.

“Kami mahu tiga mata kerana ia akan mengembalikan moral pemain dan juga penyokong kami.

“Saya yakin pemain mempunyai semangat untuk bangkit selepas kalah dua kali berturut-turut iaitu kepada PKNP FC dalam Piala FA dan Kedah dalam Liga Super,” katanya.

Aksi Kelantan dan Melaka United malam esok adalah perlawanan yang ditunda pada 21 Jan lepas akibat cuaca buruk di Kelantan. – BERNAMA

Jadual Ketat Jejas Fokus Pemain – Jurulatih T-Team

in Sukan/Terkini

KUALA TERENGGANU – Keletihan akibat jadual perlawanan yang ketat memberi kesan kepada pemain T-Team sehingga hilang fokus dan hampir menjejaskan peluang mereka dalam saingan Piala FA.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan mengakui faktor keletihan menyebabkan pemainnya terlepas banyak peluang untuk menjaringkan gol ketika berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Menurutnya, pemain mengambil masa yang terlalu lama untuk menjaringkan gol, namun beliau tetap berpuas hati dengan kesungguhan pemain sepanjang 120 minit perlawanan.

“Kita akui masa rehat agak terhad hanya dua hari berbanding pasukan lawan yang berkelebihan satu hari tapi semangat juang yang ditunjukkan pemain sangat tinggi.

“Walaupun letih mereka mampu mengatasi dan memberikan aksi yang baik biarpun terpaksa bermain dalam masa tambahan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Dalam perlawanan pusingan kedua itu, T-Team menang 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga ke waktu tambahan.

Mengenai penyerang import, Mohamadou Samassa yang gagal menyempurnakan dua sepakan penaltinya, masing-masing pada minit ke-112 dan penentuan penalti, Rahmad berkata beliau yakin pemain itu telah cuba melakukan yang terbaik. – BERNAMA

Terengganu Tekad Cemerlang Saingan Piala FA

in Sukan/Terkini

KUALA TERENGGANU – Sikap terlalu berhati-hati dan teragak-agak untuk merebut bola daripada pihak lawan mungkin menjadi penghalang kepada pasukan Terengganu untuk terus beraksi cemerlang dalam kempen Piala FA.

Justeru, Ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim berkata kelemahan itu perlu diperbaiki, dan sikap pemain terutama pada awal babak permainan juga perlu diubah andai mereka berhasrat melangkah jauh dalam saingan tersebut.

“…ada ketikanya pemain seolah-olah takut mengawal bola dan membuat hantaran dan terlalu berhati-hati. Saya harap pemain dapat mengatasi dan memperbaiki kelemahan ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi, Terengganu menumpaskan Felcra FC 1-0, sekali gus layak ke pusingan ketiga Piala FA 2017.

Irfan Bakti berharap anak buahnya dapat mengekalkan momentum pada perlawanan seterusnya. – BERNAMA

Annuar ‘Bertenang’ Daripada Keluarkan Kenyataan

in Sukan/Terkini

KUALA LUMPUR – Calon bagi jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berhasrat untuk ‘bertenang’ daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pemilihan tersebut.

Pemilihan jawatankuasa baharu badan induk bola sepak negara bagi penggal 2017-2021 akan diadakan semasa Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac ini. Annuar dalam entri Facebooknya berkata tempoh ‘bertenang’ itu bagi memastikan keharmonian suasana pemilihan terjamin daripada sebarang rasuah dan seterusnya melahirkan keadaan harmonis, bersih, berintegriti, terbuka dan penuh semangat kesukanan.

“Dengan ini saya berhasrat ingin meminimakan ulasan dan kenyataan sekurang-kurangnya dua minggu sehingga saya selesai mengerjakan umrah. Saya bersyukur melihat FAM bakal dipimpin oleh mereka yang betul-betul berminat dan sukarela berbakti dan bukannya proksi atau atas kehendak orang lain.

“Semua calon ternyata mempunyai rekod sebagai aktivis bola sepak tanah air dengan kelebihan masing-masing dan ini menjanjikan sesuatu yang positif bagi sukan bola sepak negara,” katanya.

Annuar yang mengesahkan pencalonannya pada 6 Februari lepas akan merebut kerusi panas jawatan presiden FAM dalam pertembungan satu lawan satu dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut mengesahkan pencalonan pada Isnin.

Dua lagi calon yang dinamakan sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat, tidak mengesahkan pencalonan mereka sehingga tempoh pencalonan ditutup petang semalam.

Khairy sebelum ini berkata beliau akan menarik diri sekiranya TMJ membuat keputusan untuk bertanding. Mengulas lanjut, Annuar mengakui bahawa mentadbir sebuah badan induk bola sepak negara tidak seperti menguruskan sebuah pasukan bola sepak negeri apabila seorang pemimpin itu memerlukan kerjasama berkumpulan bagi memastikan keberkesanannya.

Katanya FAM bukan hanya melibatkan pasukan Harimau Malaysia dan ranking dunianya semata-mata, tetapi ia bertanggungjawab kepada kemajuan, antara lain, futsal, bola sepak wanita, bola sepak pantai, pengurusan Liga Malaysia, Liga Rakyat, pembangunan teknikal dan kejurulatihan, pengadil, kelab penyokong dan penajaan.

Berdasarkan pemerhatian Bernama pada Isnin, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, merupakan dua calon jawatan timbalan presiden yang hadir ke Wisma FAM untuk mengesahkan pencalonan.

Turut dicalonkan bagi jawatan itu ialah Timbalan Presiden FAM sedia ada, Datuk Seri Afandi Hamzah; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; dan tiga calon lain.

Pemilihan semula barisan kepimpinan FAM itu diadakan susulan keputusan presidennya, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk meletak jawatan berikutan prestasi hambar skuad Harimau Malaysia. – BERNAMA

Razif Tolak Pencalonan Timbalan Presiden FAM

in Sukan/Terkini

KUALA NERUS – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini memutuskan tidak bertanding dan menolak pencalonan jawatan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu berkata penolakan itu bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada pentadbiran kerajaan negeri dan bola sepak Terengganu.

“Saya mahu memberi tumpuan kepada kerajaan negeri dan pasukan bola negeri Terengganu. Itu lebih baik dan insyaAllah pada masa akan datang saya akan tengok macam mana nanti.

“Saya berharap yang terpilih nanti akan dapat menjalankan kerja dengan sebaiknya sebab harapan rakyat Malaysia terhadap bola sepak adalah sangat tinggi. Jadi kepimpinan baru diharap dapat memulihkan persembahan pasukan negara kita,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat kawasan sekitar pantai kampung Kolam, Mengambang Telipot di sini yang mengalami hakisan akibat ombak besar beberapa hari lalu.

Mengenai hakisan tersebut, Ahmad Razif berkata sehingga kini keadaan persekitaran adalah terkawal dan pelbagai langkah telah diambil oleh Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Antaranya, kata beliau, ialah menggunakan kaedah lapis lindung batu (rock revetment) sepanjang 200 meter bagi mengelak hakisan merosakkan jalan berhampiran.

“Keadaan ini berlaku ekoran fenomena cuaca yang tidak menentu. Kebiasaannya ombak besar ini tamat pada bulan Feb namum kini ia dijangka berlanjutan sehingga Mac.

“Sebenarnya kita (kerajaan negeri) telah ada beberapa persediaan untuk menyelesaikan isu ini namun ia memerlukan tempoh masa.

“Kajian ini melibatkan teknikal dan kita perlu melihat fenomena ini bila akan berakhir.

“Setakat ini kerajaan negeri telah membelanjakan RM5.5 juta untuk melindungi sebahagian (kawasan) tetapi masih ada lebih kurang satu kilometer lagi daripada kawasan terjejas ini,” katanya.

Tambah Ahmad Razif, penduduk yang terjejas akan dikenalpasti untuk dibantu sewajarnya sama ada perlu dipindahkan atau menerima bantuan lain.

“Kita akan cuba mencari penempatan sesuai untuk mereka yang terjejas.

“Fenomena ombak besar dijangka berakhir esok dan dalam masa sebulan fenomena itu telah menghakis 70 meter kawasan pantai,” katanya. – BERNAMA

FAP Janji Pastikan Insiden Kekecohan Tidak Berulang

in Sukan

GEORGE TOWN – Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) hari ini meluahkan rasa kecewa dengan kekecohan yang berlaku di Stadium Negeri Batu Kawan malam tadi dan berjanji akan memastikan insiden serupa tidak berulang.

Presidennya Zairil Khir Johari berkata FAP juga terkejut dengan tindakan ganas segelintir penyokong pasukan bola sepak Pulau Pinang itu dan sedia bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan.

“Pihak FAP akan mengambil langkah-langkah untuk memastikan kejadian ini tidak berulang dan pada masa yang sama, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas, khususnya pihak polis, yang berjaya mengawal keadaan.

“Kepada para peminat Pulau Pinang yang setia, jutaan terima kasih kami ucapkan dan semoga terus memberi sokongan dalam usaha FAP meningkatkan tahap pasukan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya demi rakyat dan negeri, pasukan bola sepak Pulau Pinang akan terus berusaha untuk mencapai keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.

Dalam kejadian malam tadi, enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung rusuhan di luar stadium berkenaan sejurus tamat perlawanan Liga Super Pulau Pinang menentang Sarawak pada 11 malam.

Kekecohan dikatakan tercetus apabila penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang itu bertindak liar selepas menyaksikan pasukan mereka tewas 0-1 kepada Sarawak. – BERNAMA

Aksi Kelantan Belum Capai Tahap Maksimum

in Sukan/Terkini

MARAN – Prestasi pemain Kelantan yang semakin meningkat memberi kelegaan kepada jurulatih pasukan, Zahasmi Ismail walaupun keserasian pemain masih belum mencapai tahap yang dikehendakinya.

Namun beliau percaya aspek itu mampu dimantapkan dalam setiap perlawanan sepanjang Liga Malaysia musim ini, apa lagi Kelantan baru mengharungi dua aksi Liga Super berbanding pasukan lain yang sudah bermain empat kali.

“Tiga mata yang dikutip malam ini (tadi) dalam aksi di tempat lawan sememangnya sesuatu yang melegakan,” katanya selepas menyaksikan skuadnya menundukkan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak di sini.

Mengulas perlawanan itu, Zahasmi mengakui ia bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi apabila tuan rumah menyamakan kedudukan 1-1 sebelum meraih kemenangan seminit sebelum permainan tamat menerusi gol Mohammed Mahmoud Ghaddar.

Skuad The Red Warriors membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi Indra Putra Mahayuddin, sebelum penyerang import dari Liberia, Zah Rahan Krangar menyamakan kedudukan pada minit terakhir babak pertama.

Zahasmi berkata pemainnya perlu lebih berwaspada dan meningkatkan tahap permainan pada perlawanan seterusnya bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan pasukan elit lain.

“Pemain import juga sudah membuktikan keupayaan apabila memberi komitmen yang tinggi dan bermotivasi untuk memburu kemenangan malam ini,” katanya yang kini sudah memastikan Kelantan menang kedua-dua perlawanannya.

Sementara itu, pemangku jurulatih The Fighters, Mohamad Nik berkata anak buahnya telah mempamerkan permainan yang baik tetapi gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri.

“Pada babak pertama, pemain kami masih mencari rentak namun situasi bertukar pada separuh masa kedua apabila mereka mula dapat bermain seperti yang diarahkan.

“Saya akan memastikan persiapan pasukan ini benar-benar mantap agar Felda United mampu terus menjadi pencabar,” katanya yang memangku tugas itu selepas pengunduran Azmi Mohamed dua hari lalu. – BERNAMA

Penyokong P.Pinang Amuk Tewas Kepada Sarawak

in Slider/Sukan/Utama & Sensasi

BATU KAWAN – Kekalahan pasukan Pulau Pinang pada aksi Liga Super menentang Sarawak malam ini, menimbulkan kekecohan di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini.

Kekecohan dikatakan tercetus apabila penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang merusuh di luar stadium selepas perlawanan tamat.

Sebelum itu ketika di dalam stadium sejurus perlawanan tamat, mereka turut menjerit kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Mereka kemudian berkumpul di luar stadium selepas pasukan RELA dan anggota polis tidak membenarkan mereka berada di perkarangan stadium, sambil bertempik kerana tidak puas hati terhadap Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Mereka turut membaling botol air mineral dan mercun ke arah pasukan RELA dan anggota polis yang berkawal di hadapan pintu masuk stadium.

Tindakan agresif penyokong pasukan itu menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Shamsuddin Mamat yang turut berada di stadium, berkata keadaan terkawal dan kesemua mereka telah diarahkan untuk bersurai.

Beliau berkata setakat ini, tidak ada tangkapan dilakukan.

Pada aksi malam ini, Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Sarawak, iaitu kekalahan keempat berturut-turut skuad Harimau Kumbang dalam empat aksi liga, setakat ini. – BERNAMA

Kedah Rampas Kedudukan Teratas Liga Super

in Sukan/Terkini

KUALA LUMPUR – Pasukan Kedah merampas kedudukan teratas Liga Super selepas membenam pendahulu sebelum ini, Pahang 4-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Kedah kini mendahului carta dengan lapan mata, manakala skuad Tok Gajah di kedudukan kedua menerusi kelebihan jaringan walaupun berkongsi tujuh mata dengan Perak dan T-Team selepas empat perlawanan.

Skuad Lang Merah membuka jaringan menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit terakhir babak pertama, sebelum pemain import dari Denmark, Ken Ilso Larsen menggandakan jaringan pada minit ke-66, diikuti jaringan Muhammad Farhan Roslan lapan minit kemudian.

Pahang berjaya mengurangkan defisit menerusi pemain import dari Brazil, Matheus Alves Leandro pada minit ke-89, namun Larsen sekali lagi menghukum kesilapan benteng pertahanan pasukan pelawat menerusi jaringan keduanya, seminit kemudian.

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, jaringan lewat penyerang import dari Lebanon, Mohammed Mahmoud Ghaddar pada minit ke-89 membantu Kelantan mengatasi tuan rumah Felda United FC 2-1.

Skuad ‘The Red Warrior’ membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi Indra Putra Mahayuddin, namun penyerang import dari Liberia, Zah Rahan Krangar menyamakan kedudukan pada minit terakhir babak pertama, sebelum Mohammed Mahmoud mengesahkan tiga mata buat Kelantan.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula terpaksa berkongsi satu mata dengan Selangor apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Pasukan T-Team pula mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas juara Liga Perdana 2016, Melaka United di Stadium Hang Jebat menerusi jaringan pemain import dari Mali, Mamadou Samassa pada minit keempat dan pemain import dari Uzbekistan, Farhod Tadjiyev, 10 minit kemudian.

Pemain import dari Korea Selatan, Jeon Woo-young membantu skuad Hang Tuah mengurangkan defisit pada minit ke-47.

Sementara itu, jaringan tunggal pemain import dari Filipina, Mark Andrew Hartmann pada minit ke-71 membantu Sarawak mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tuan rumah, Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan.

Terdahulu, pendatang baharu Liga Super, PKNS FC meneruskan rentak kemenangan dengan mencatat kemenangan kedua dalam empat aksi liga selepas menewaskan Perak 3-0 di Stadium Shah Alam.

Pemain import dari Argentina, Lucas Sebastian Espindola muncul wira pasukan apabila membuka jaringan pada minit ke-45 dan menggandakan jaringan dua minit kemudian, sebelum penyerang kebangsaan Mohd Safee Sali melebarkan kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-85. – BERNAMA

JDT Kempunan Ke Liga Juara-Juara Asia

in Sukan/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa menelan kepahitan terkandas di pusingan ‘play off’ Liga Juara-Juara Asia di tangan kelab Jepun, Gamba Osaka, hari ini.

Beraksi di Stadium Suita City Football, Osaka, Jepun, jelas memberi kelebihan buat pasukan tuan rumah yang sejak awal menguasai perlawanan.

Gamba Osaka membuka tirai jaringan menerusi Ademilson Braga Bispo Junior pada minit ke-26 dan berselang tiga minit selepas itu, penyerang Shun Nagasawa menambah derita JDT untuk menyumbat gol kedua pada minit ke-29.

JDT yang mendapat sokongan hampir 100 peminat setia ‘Boys of Straits’ yang hadir di stadium berkenaan cuba untuk bangkit di babak kedua namun Gamba Osaka ternyata berada pada kelas yang tersendiri.

Pemain pertahanan Genta Miura melengkapkan hari cemerlang Gamba Osaka apabila tenang menjaringkan gol ketiga pada minit ke-69 untuk menamatkan cabaran JDT yang terpaksa akur dengan kehebatan lawannya.

Dengan kekalahan itu bermakna JDT akan meneruskan cabaran pada saingan Piala AFC bersama dengan satu lagi wakil negara, Felda United.

Bagi saingan Piala AFC, JDT diundi berada dalam Kumpulan F bersama-sama dengan kelab Myanmar, Magwe FC; kelab Filipina, Global FC/Loyola Meralco Sparks FC dan pemenang ‘play off’ di antara kelab dari Laos dan Kemboja.

Felda United pula diundi berada dalam Kumpulan G bersama-sama kelab Vietnam, Hanoi T&T SHB Da Nang; kelab Filipina, Ceres Negros FC dan kelab Singapura, Tampines Rovers FC/Geylang International FC. – BERNAMA

Mario Gomez Bakal Jurulatih Harimau Malaysia?

in Sukan/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Laman Facebook rasmi kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini menyebut bekas jurulatih pasukan itu, Mario Gomez bakal menjadi jurulatih skuad kebangsaan.

Laman Facebook berkenaan dalam statusnya hari ini berkata demikian sewaktu merujuk kepada pertemuan antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Gomez hari ini.

“Tunku Mahkota Johor bersama bakal jurulatih pasukan kebangsaan, Mario Gomez mengucapkan selamat maju jaya kepada JDT dalam perlawanan petang ini menentang Gamba Osaka,” kata laman Facebook berkenaan.

Tunku Ismail sudah hampir pasti menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu dalam pemilihan akan datang.

Menurut laman Facebook berkenaan, baginda sudah sepatutnya memenangi jawatan itu tanpa perlu bertanding.

Ia berdasarkan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini menyatakan akan menarik diri jika Tunku Ismai bersetuju memegang tampuk pentadbiran FAM.

Begitu juga dengan Tan Sri Annuar Musa yang turut menyatakan kesediaan menawarkan diri sekiranya Tunku Ismail tidak bertanding.

Delegasi 14 ahli gabungan FAM yang diperkenan menghadap Sultan Johor semalam untuk tujuan mencalonkan Tunku Ismail untuk jawatan tersebut sudah pun ‘memenangkan’ baginda. – MYNEWSHUB.CC

JDT Mampu Cipta Kejutan Ke Atas Gamba Osaka

in Sukan/Terkini

JOHOR BAHRU – Di atas kertas, kelab Jepun, Gamba Osaka sememangnya lawan yang sukar, namun B Sathianathan percaya Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu membuat kejutan di pusingan kelayakan akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2017.

Baginya kelebihan bermain tanpa tekanan mampu membantu JDT menjinakkan Gamba Osaka biarpun akan beraksi di gelanggang lawan di Stadium Suita City, malam esok.

Keyakinan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Kebangsaan itu adalah bersandarkan prestasi JDT pada pusingan kedua kelayakan ACL pada 31 Jan lepas ketika menewaskan Bangkok United 5-4 menerusi sepakan penalti di Stadium Thammasat, Bangkok.

Beliau yakin skuad berkenaan yang dibarisi pemain muda dan beberapa pemain import yang lincah tidak mempunyai tekanan dalam menghadapi lawan, sekali gus meluaskan peluang bagi menyaingi antara pasukan terbaik Asia itu.

“Semua orang tahu Gamba Osaka ialah pasukan yang kuat tetapi bagi saya, JDT mungkin akan buat kejutan dan diharap semua pemain boleh beraksi dengan tenang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang JDT yang bakal bertemu Gamba Osaka di Stadium Suita City, Osaka, kira-kira pukul 7 malam esok waktu Malaysia.

“Daripada apa yang saya nampak dalam Liga Super, ada orang kata JDT lemah namun sebenarnya ia semakin kuat kerana pemain import barunya sama taraf dengan pemain terdahulu, Jorge Pereyra Diaz serta Juan Martin Lucero.

“Perlawanan itu turut memberi peluang kepada JDT untuk melangkah ke peringkat tertinggi memandangkan tidak banyak pasukan negara berpeluang bertemu kelab dari Arab Saudi, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

Bagi Sathianathan, kejayaan JDT bukan hanya kebanggaan kepada negara, malah dapat memperbaiki mutu bola sepak negara kerana rata-rata pemainnya terdiri daripada pemain muda, sekali gus memberi mereka pendedahan awal di peringkat antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

‘Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah’ Meninggal Dunia

in Sukan/Terkini

ALOR SETAR – ‘Bapa pembangunan bola sepak Kedah’ Kassim Saad, 78, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini malam tadi akibat angin ahmar.

Menurut anaknya Mohamad Izhar, bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri Salmiah Othman, 72, dan anggota keluarga pada kira-kira 11.45 malam setelah 11 hari dimasukkan ke HSB.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, seorang anak dan dua cucu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kodiang, Jitra pada 11.30 pagi tadi.

Sementara itu, Mohamad Izhar, 40, berkata bapanya banyak menyumbang dalam mencungkil dan membimbing bakat baharu dan pelatih sukan bola sepak negeri ini.

“Antara nama terkenal yang pernah mendapat sentuhannya ialah bekas ketua jurulatih Kedah Mohd Azrai Khor Abdullah, Radzi Mat Din, Azmi Mahmud, Kamal Idris Ali, Fadrizuan Che Hamid dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

“Allahyarham juga merupakan bekas pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar pada 1983 sehingga 1988 dan pada masa sama mengambil peluang tersebut menghimpunkan pelajar yang berpotensi dan berbakat untuk Kedah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Izhar berkata, rumah keluarganya di Jalan Golf di sini tidak ubah seperti akademi bola sepak apabila ramai pelajar yang dijadikan anak angkat oleh arwah bapanya untuk dibimbing sebagai pemain.

“Minat arwah terhadap bola sepak tidak pernah pudar dan baru-baru ini arwah sempat mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Kedah yang menjuarai Piala Malaysia walaupun tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan bola sepak di peringkat negeri,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azrai menyifatkan Allahyarham sebagai bapa pembangunan bola sepak Kedah yang tidak didendangkan.

“Jasa beliau dalam pembangunan bola sepak Kedah tidak ternilai harganya kerana ramai pemain Kedah yang berbakat mendapat didikan dan dorongan daripada arwah hingga menjadikan Kedah pasukan yang disegani,” katanya. – BERNAMA

JDT Bakal Kuasa Besar Bola Sepak Asia Tenggara

in Sukan/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang meningkat untuk menjadi antara kuasa besar dalam bola sepak Asia Tenggara.

Pengarah Sukan Kelab Bola Sepak JDT, Alistair Edwards berkata, ia ekoran kejayaan JDT menewaskan Bangkok United dalam kelayakan ke pertandingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

“Kemenangan ini bermakna kami hanya perlu satu lagi perlawanan untuk melayakkan diri ke pertandingan ACL yang diimpikan.

‘Thailand mempunyai liga yang terbaik di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JDT baru-baru ini menewaskan Bangkok United menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan.

Kemenangan itu melayakkan JDT ke perlawanan penentuan Liga ACL yang akan berlangsung pada 7 Februari 2017.

JDT menegaskan kejayaan itu secara tidak langsung meletakkan JDT sebagai penanda aras baru bola sepak tanah air. – MYNEWSHUB.CC

Liga Super: Pertemuan JDT Ujian Getir Buat Kelantan

in Sukan/Terkini

KOTA BHARU – Pertemuan Kelantan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini adalah ujian penting bagi skuad The Red Warriors menilai kemampuan mereka.

Penyerangnya Indra Putera Mahayuddin berkata perlawanan itu menguji pemain untuk menunjukkan kemampuan serta kualiti sebenar mereka apabila berdepan lawan yang dianggap mantap ketika ini.

“Ia sudah tentu perlawanan yang dinantikan semua pihak, baik pemain mahupun penyokong. Malah ia juga merupakan satu perlawanan berat yang perlu dihadapi kami.

“Apa yang penting adalah semangat berpasukan yang akan membawa kejayaan serta hasil yang positif,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Penyerang berpengalaman itu berkata kemenangan pada perlawanan pertama ke atas PKNS 3-1 Jumaat lalu adalah suntikan moral yang baik bagi rakan sepasukannya untuk mencipta kemenangan ke atas JDT nanti.

“Saya yakin persefahaman antara pemain import dan tempatan pada perlawanan pertama tempoh hari boleh ditingkatkan lagi bagi beraksi lebih baik pada Sabtu ini.

“Kami perlu banyak berkomunikasi dan membantu antara satu sama lain bagi menguatkan pasukan. Saya juga yakin pemain muda yang diturunkan nanti mampu menjalankan tugas dengan cemerlang walaupun berdepan pasukan kuat seperti JDT,” katanya.

Ditanya kekuatan skuad JDT, Indra Putra berkata kelebihan utama yang dimiliki pasukan dari selatan tanah air itu ialah kerjasama yang terbentuk ketika beraksi di atas padang.

Menurutnya dalam dua perlawanan pertama JDT, pasukan itu bermain baik sebagai satu pasukan dan saling membantu bagi memastikan kemenangan.

“Dari segi kelemahan itu tidak banyak, namun sekiranya kami bermain lebih baik daripada mereka, tidak mustahil kami dapat tewaskan mereka di laman sendiri nanti,” katanya. – BERNAMA

Dari English Premier League ke Liga Premier Malaysia

in Sukan/Utama & Sensasi

PENYERANG muda kelab Liga Inggeris, Queens Park Rangers (QPR), Brandon Adams mengesahkan penyertaannya sebagai pemain pinjaman untuk pasukan bolasepak Perlis.

Menurt laporan portal BBC, pemain berusia 19 tahun itu telah bersetuju untuk menyertai Singa Utara secara pinjaman selama satu musim selepas mengikat kontrak lanjutan selama setahun bersama QPR.

Dari English Premier League ke Liga Premier Malaysia

Brandon sebelum ini beraksi bersama pasukan bawah 23 tahun QPR dan pernah dipinjamkan ke Staines Town yang beraksi di Liga Premier Ryman League di England awal musim ini.

Merupakan antara penyerang muda paling berpotensi bersama QPR sejak 2014, prestasi semasanya meyakinkan kelab milik usahawan Malaysia, Tony Fernandes untuk terus mengekalkannya sehingga musim 2018.

Dalam pada itu, Perlis memulakan kempen Liga Perdana mereka dengan keputusan seri 1-1 dengan PDRM di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar Jumaat lalu. – MYNEWSHUB.CC

JDT Diramal Terus Dominasi Liga Malaysia 2017

in Sukan/Terkini

KUALA LUMPUR – Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) diramal terus mendominasi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017 yang bermula esok.

Sekalipun ketua jurulatih Mario Gomez yang menggemudi untuk kejuaraan hatrik Liga Super tidak lagi bersama pasukan itu, JDT tetap dilihat konsisten sebagai calon utama untuk muncul juara musim ini.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee berkata kehadiran beberapa pemain baharu seperti penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri dari Selangor dan Mohd Safawi Rasid dari T-Team, akan memberi lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan JDT untuk merencana strategi dalam setiap perlawanan.

“Saya juga tidak nampak kesan ketara dari segi corak permainan JDT susulan keputusan Mario Gomez untuk ‘berpisah’ dari pasukan itu kerana pengganti beliau, Benjamin Mora dari JDT II sudah kenal dengan pemain JDT I selain memahami falsafah permainan di JDT.

“Saya yakin mereka mampu meraih beberapa trofi musim ini,” kata Kim Swee.

Bagaimanapun pengendali kelahiran Melaka itu berkata dua pendatang baharu Liga Super – Melaka United dan PKNS FC selain Kedah dan Perak, dilihat akan menjadi pencabar utama kepada JDT untuk musim ini.

Bekas pemain kebangsaan, Mohd Azuan Zain turut menyifatkan persefahaman mantap di antara pemain tempatan dan import akan membantu JDT meneruskan rentak cemerlang seperti dilakukan musim lepas.

“Saya yakin JDT mampu meraih sekurang-kurangnya dua trofi pada saingan Liga Malaysia musim ini,” kata Mohd Azuan yang pernah mengendalikan beberapa pasukan seperti Johor FC dan UiTM FC.

Bekas jurulatih Sime Darby FC, Ismail Zakaria pula berpandangan juara Piala Malaysia musim lepas, Kedah akan menjadi pencabar utama dalam memburu kejuaraan Liga-M musim ini.

JDT akan menentang Kedah pada perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, esok.

Perlawanan berkenaan dikira sebagai saingan pertama Liga Super 2017, selain turut melibatkan enam aksi Liga Perdana. – BERNAMA

Liga Malaysia: Hattapon Tekad Bantu TRW

in Sukan/Terkini

KOTA BHARU – Bekas penyerang Kuala Lumpur FA, Hattapon Bun An yang kini bersama skuad Kelantan, tekad untuk membantu pasukan barunya itu mencatat keputusan cemerlang pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017.

Justeru, Hattapon, 26, penyerang keturunan Siam berasal dari Jitra, Kedah, akan berusaha keras menempatkan diri dalam kesebelasan utama pasukan The Red Warriors (TRW) dalam setiap perlawanan bergandingan dengan pemain muda dan lama yang lain.

“Saya perlu bersungguh-sungguh semasa latihan yang dirangka Ketua Jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail dan memberi sepenuh komitmen bagi membolehkan saya terpilih beraksi pada setiap perlawanan,” katanya di sini, hari ini.

Ditanya mengapa menyertai Kelantan walaupun Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menghadapi kemelut kewangan sebelum ini, Hattapon berkata beliau mahu memenuhi impiannya beraksi bersama pasukan yang mempunyai nama besar dalam Liga M seperti Kelantan.

“Walaupun ia (Kelantan) mempunyai masalah, ia tidak penting bagi saya dan kerja saya ialah bermain bola sepak, masalah itu biar pihak pengurusan (KAFA) yang menguruskannya,” kata beliau.

Hattapon, sebelum ini pernah menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2014 dan Kuala Lumpur FA pada 2015 sehingga 2016. Beliau antara beberapa pemain tempatan yang berhijrah ke Kelantan.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) Mahizi Mahmood mahu pemain TRW meningkatkan prestasi bagi memenangi setiap perlawanan dalam Liga M.

“Sebagai penyokong, kami mengharapkan pemain dan pihak pengurusan dapat melakukan terbaik sepanjang beraksi dalam saingan liga musim ini bagi membuktikan segala halangan dan rintangan dihadapi di awal musim bukan satu yang melemahkan pasukan,” katanya.

Beliau berkata TRW perlu menarik semula keyakinan penyokong yang dilihat agak pudar pada musim lepas.

Kelantan akan bertemu Melaka United dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini, pada Sabtu ini. – BERNAMA

JDT Sahkan Perletakan Jawatan Mario Gomez

in Sukan/Utama & Sensasi

JOHOR BAHRU – Kelab bola sepak JDT telah mengesahkan perletakan jawatan ketua jurulatihnya Mario Gomez, hanya dua hari sebelum Liga Super Malaysia 2017 dijadualkan bermula.

Melalui kenyataan dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Presiden kelab berkenaan YAM Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim bertitah:

“Saya ingin membuat satu pengumuman bahawa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan Mario Gomez telah bersetuju untuk membawa haluan masing-masing. Keputusan ini dibuat demi kebaikan kelab kerana falsafah dan matlamat kelab lebih penting dari segala-galanya.

“Walaubagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada jurulatih legenda JDT diatas sumbangan besar beliau kepada kelab ini sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. Kami akan sentiasa mengingati pencapaian beliau yang berjaya membawa JDT menjuarai Piala Sumbangsih (2016), Piala FA (2016), dua kejuaraan liga (2015 dan 2016) dan Piala AFC pada tahun 2015. Selamat maju jaya buat beliau dalam karier kejurulatihan pada masa akan datang.

“YAM Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim, Presiden Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.”

Berita ini menjadi satu kejutan luar biasa untuk peminat boa sepak tanah air oleh kerana perlawanan perisai amal JDT bersama pasukan Kedah dijadualkan untuk berlangsung cuma dua hari sahaja lagi.

(Berita lanjut akan menyusul.) – MYNEWSHUB.CC

Pelajar Hantar 1,000 Poskad Kepada Mohd Faiz Subri

in Gaya Hidup/Terkini

BANGI – Seribu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi di sini hari ini, bermuafakat menghantar poskad dengan mesej penuh ilham kepada pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri.

Pelajar tingkatan tiga hingga lima itu membawa poskad masing-masing, kebanyakannya buatan sendiri, dan membeli setem daripada wakil Pos Malaysia Berhad yang berada di sekolah, sebelum mengirim poskad yang dialamatkan kepada Mohd Faiz Subri, Penang FA, No 9, Jalan Scotland, 10450 Pulau Pinang.

Program sehari ‘Kepada Faiz Subri dengan Ingatan Mesra, Terima Kasih Encik Posman’ itu dianjurkan oleh Panel Bahasa Inggeris dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah, bertujuan meningkatkan kemahiran menulis dan bahasa Inggeris pelajar, selain mendedahkan mereka kepada perkhidmatan pos, poskad dan Pos Malaysia.

Guru bahasa Inggeris Nurul Azilah Mohd Saad, 47, berkata idea menganjurkan program itu tercetus selepas beliau mendapati sebahagian pelajarnya tidak tahu tentang poskad.

“Ini satu program yang bagus untuk pelajar yang merupakan anak-anak era Internet dan tidak tahu langsung bagaimana hendak menggunakan perkhidmatan pos,” katanya.

Mohd Faiz, pemain Pulau Pinang, menjadi tumpuan global menerusi gol luar biasa beliau yang terhasil daripada sepakan percuma semasa perlawanan menentang Pahang dalam aksi Liga Super pada Februari tahun lalu.

Pemain kelahiran Kedah itu juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama memenangi anugerah yang dinamakan sempena legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas.

Antara mesej yang dihantar kepada Mohd Faiz termasuk harapan agar pemain itu terus menghasilkan gol luar biasa dalam perlawanan akan datang. – BERNAMA

Pertimbang Rayuan Bermain Tanpa Penyokong – Pafa

in Sukan/Terkini

IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) memohon supaya Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat menimbangkan rayuan berhubung arahan bermain tiga perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri.

Presiden Pafa Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata persatuan itu berharap FAM sekurang-kurangnya menangguhkan hukuman untuk perlawanan pembukaan.

“Kami telah kemukakan rayuan tetapi hingga sekarang masih belum ada keputusan. Apa pun kami akan terus berdoa minta yang terbaik untuk pasukan.

“Kami ada tiga perlawanan penting berturut-turut iaitu bertemu Pahang pada perlawanan pembukaan (21 Jan) kemudian Melaka dan Johor Darul Takzim (JDT),” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan skuad ‘The Bos Gaurus’ dan jersi 2017 di Stadium Perak di sini.

November lepas, FAM mengarahkan pasukan Perak bermain tiga perlawanan rasmi tanpa penonton di gelanggang sendiri ekoran penyokong The Bos Gaurus bertindak di luar kawalan semasa perlawanan Liga Super 2016 antara Perak dan JDT di Stadium Perak, 6 Ogos 2016.

Selain halangan bermain tanpa penyokong, Pafa turut dikenakan denda RM10,000 dan RM37,500 bagi dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Pafa didapati bersalah kerana melanggar Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Tanggungjawab Bagi Kelakuan Penonton dan dibaca bersama dengan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Pelanggaran Berulang.

Pertuduhan kedua pula ialah melanggar Artikel 68 (e) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Penganjuran Perlawanan dan dibaca bersama dengan Artikel 69.2 berkenaan Kegagalan Mematuhi dan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Pelanggaran Berulang.

Sementara itu, ditanya mengenai #satukelainan yang menjadi tema skuad pimpinan Karl-Heinz Weigang, pengurus pasukan Perak Jamal Mohd Aris berkata ia mencerminkan kelainan skuad The Bos Gaurus pada saingan liga tahun ini.

“Kalau dulu pasukan Perak tidak mempunyai pemain simpanan, kalau cedera kami kurang pemain, namun kali ini setiap posisi akan ada dua orang. Kali ini juga kami gabungkan pemain senior, remaja dan berpengalaman untuk memantapkan lagi pasukan.

“Walaupun banyak muka baharu namun berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan yang kami lalui, saya percaya pasukan Perak akan lebih berjaya tahun ini dan kami sasarkan berada dua teratas untuk saingan liga,” katanya. – BERNAMA

Penajaan Bola Sepak Bukan Satu Pembaziran – Annuar

in Sukan

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa kesal kerana konsep penajaan dalam sukan bola sepak kini telah dianggap sebagai satu salah guna kuasa dan pembaziran wang rakyat.

Katanya, situasi itu menjadikan beliau serba salah untuk menggunakan perkataan penaja apabila ramai pihak termasuk `orang besar’ keliru dengan istilah itu yang didakwa mereka konon sebagai salah guna wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Justeru, beliau yang juga penaja pasukan Kelantan belum membuat keputusan sama ada memenuhi jemputan KAFA menghadiri Majlis Pelancaran Jersi The Red Warriors (TRW) musim ini kerana bimbang disalah anggap sekali lagi.

“Terima kasih KAFA kerana menjemput saya hadir Majlis Pelancaran Jersi TRW 2017 pada 20 Januari ini. Pelancaran jersi ini sudah tentu terkait dengan kami pengiklan dan pelanggan pakej komersial KAFA,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Annuar kemudian menjelaskan bahawa penajaan ke atas sukan bola sepak oleh mana-mana sektor atau institusi bukan derma kosong sebaliknya mempunyai nilai pelaburan yang baik.

Beliau memberi contoh iklan satu muka surat akhbar untuk siaran cuma sehari kira-kira RM100,000 dan kemudian esok akhbar itu akan dibuang.

Bagaimanapun, katanya, satu tajaan RM300,000 kepada skuad Kelantan akan mendapat publisiti selama bertahun-tahun pada jersi, Facebook, Instagram dan lain-lain medium.

“Hampir 20 perlawanan sepanjang tahun dengan papan sekeliling stadium di hadapan ratusan ribu penonton. Iklan dilihat pada siaran langsung, streaming, internet dan banyak lagi.

“Ini menjadikan penjenamaan dan pemasaran melalui pasukan yang paling murah dan berkesan. Tapi kini gambaran ini sudah di selubungi kabus tebal, membazir dan salah guna kuasa. Euphoria populis ini telah menafikan usaha bertahun memajukan industri ini,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Alahai Bolasepak: Caca-Marba Jadinya!

in Sukan/Utama & Sensasi

SENSASI bolasepak tempatan kini bukan lagi pada isu nasional mengenai ranking tercorot Harimau Malaya dalam carta Fifa. Atau isu hooligan yang mencapai tahap menakutkan sejak tiga musim yang lalu.

Tema debat bolasepak kini beralih menjadi caca-marba. Sudah menghala ke arah perang moral untuk saling menjahanamkan satu sama lain.

Agak sedih melihat nasib Tan Sri Annuar Musa. Perang psikologi dalam bolasepak kini menjurus pada serangan pembunuhan karektor. Bolasepak dalam debat popular hari ini telah menyeret sukan dunia ini sebagai medium jenayah dan skandal.

Annuar diserang kerana isu kononnya menggunakan kedudukan untuk mendapatkan penajaan. Bahawa, kedudukannya sebagai Pengerusi Mara telah dikaitkan dengan dana meragukan dalam menaja pasukan Kelantan.

Anehnya, pernahkah kita berfikir: Kalau Annuar dianggap menggunakan wang awam untuk membantu bolasepak Kelantan – apakah Felda menggunakan dana dari langit untuk pasukan Liga Supernya?

Apakah Kedah membelanjakan bajet RM30 juta setahun hasil tajaan komersil sektor korporat? Apakah semua skuad yang ada dalam Liga Malaysia mempunyai dana penaja dan bebas penggunaan wang awam?

ATM dan Polis menggunakan dana dari mana? Sabah dan Sarawak: Apakah dananya berasaskan sumbangan yang bebas daripada akaun Kerajaan Negeri?

Kes Annuar unik dan klasik. Annuar mengetuai persatuan yang tidak mendapat dana Kerajaan Negeri. Bukan salah Kerajaan Negeri pun, kerana berdasarkan bajet yang ada – Kerajaan Kelantan tidak mampu membantu skuad TRW.

Menyerang dan meletakkan Annuar dalam keadaan seperti penjenayah sukan adalah tidak wajar. Mengaitkan tajaan institusi sebagai pengkhianatan terhadap wang awam adalah pertuduhan terpilih.

Tuduhlah Felda, Kedah, ATM dan PDRM sekali gus. Malah, semua pasukan negeri pasti akan ada akaun sumbangan yang berkaitan dana awam.

Justifikasi Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim bahawa penajaan ke atas JDT kerana pasukan itu terkemuka di Asia dan memenangi banyak piala, adalah alasan komersil.

Ia bukan kenyataan yang berjiwa besar. JCorp nampaknya hanya berbangga menaja JDT kerana ia pasukan popular. Kalau itulah mentaliti penajaan sektor korporat, ia gambaran dinasaur yang tidak mengenali erti ehsan.

Bolasepak di negara ini belum pun sukan berkelas Asia mahu pun dunia. Sekali anda merangkul piala cap ayam Asia, bukanlah bererti anda ayam laga terbilang!

Bolasepak memerlukan lebih dari semangat menumpang glamor. Penaja harus ada sikap menyumbang pada sukan yang menjadi alat penyatuan. Bolasepak sukan yang mengangkat keamanan dan perpaduan. Malah kini menjadi agen pelindungan kepada kanak-kanak. Nilai komersil bolasepak dunia dibangunkan oleh jenama yang berasaskan pada aspirasi kemanusiaan.

Tanyalah penaja-penaja besar dunia: Apakah mereka memikirkan soal duit semata-mata?

Realitinya, jenama besar menyertai sukan ini kerana tarikan nilai kemanusiaan dalam agenda sejagatnya.

Lihatlah bolasepak dengan jiwa besar. Anda boleh kelihatan seperti bos mafia dalam iklan komersil. Namun, sikap mafia bukan keadah dalam menguruskan bolasepak.

Anda boleh menang Piala Kelab Dunia pun. Namun bolasepak bukan soal piala semata-mata. Brazil menjadi hebat kerana bolasepak dilihat sebagai sukan aspirasi pada anak-anak miskin yang kurang berjaya dalam pendidikan.

Di Eropah, walaupun model pelaburan bolasepak kini sudah komersil, namun naratifnya tetap bersifat konservatif.

Ia mengenai maruah kelab domestik dan imej negara bangsa.

Sudahlah! Hentikan debat caca-marba. Tidak kiralah anda siapa. Raja atau menteri. Anda memimpin bolasepak dan bukan gengster bolasepak. Hormati bolasepak sebagai sukan yang mempunyai intergriti. Bukan menjadikan bolasepak sebagai sukan kemegahan diri.

Anda Johor atau Perlis. Anda Kelantan atau Sabah. Ia hanya sempadan negeri. Kita semua bekerja untuk bolasepak Malaysia dan bolasepak dunia. Ini kerana bolasepak adalah sukan yang mendokong keamanan dan perpaduan dunia.

Ingat! Bolasepak sedang melindungi berbilion kanak-kanak dunia. Anda jangan merosakkannya. – MYNEWSHUB.CC

Bernhardt Pilih Lapan Muka Baharu Untuk Sesi Latihan Pusat

in Sukan/Terkini

KUALA LUMPUR – Lapan muka baharu adalah antara 27 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat skuad bawah 22 tahun (B-22) negara menghadapi pasukan B-22 Vietnam pada aksi persahabatan di Ho Chi Minh, 7 Feb ini.

Mereka adalah Matthew Davies (Pahang), Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (Johor Darul Ta’zim II), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Muhammad Shahrul Hakim Rahim dan Muhammad Danial Ashraf Abdullah (Kelantan).

Pemain lain adalah Mohd Zarulizwan Mazlan (T-Team), Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak) dan pemain Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad, demikian menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini.

Senarai itu menyaksikan 19 pemain dikekalkan daripada skuad 21 pemain yang dipanggil untuk kem latihan pusat sebelum ini bagi menentang skuad B-22 Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 9 Dis yang berkesudahan seri 0-0.

Dalam pada itu, jurulatih negara Frank Bernhardt berharap 27 pemain yang dipanggil berada pada tahap kecergasan terbaik berbanding kem latihan bagi perlawanan menentang Filipina di mana kebanyakan mereka kurang cergas.

“Buat masa ini, saya tidak pasti sama ada Faris Shah Rosli dan Ariff Farhan Md Isa (masing-masing mengalami kecederaan lutut) sempat sembuh sepenuhnya bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017,” katanya.

Pengendali kelahiran Jerman itu turut bimbang kerana ada pasukan yang enggan melepaskan pemain mengikuti latihan pusat termasuk mengumpul pemain di luar kalendar FIFA bagi tujuan kem latihan jangka pendek, walaupun perbincangan sudah diadakan Ogos lepas.

“Saya masih berharap semua pasukan memberi pelepasan kerana saya perlukan masa dan persiapan yang cukup bersama pemain untuk menghadapi Sukan SEA dan juga kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018,” jelas Bernhardt.

Kem latihan pusat skuad B-22 kebangsaan akan berlangsung selama tiga hari bermula 29 Jan ini di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil dan Bernhardt akan memilih 20 pemain terbaik sebelum berlepas ke Ho Chi Minh pada 6 Feb ini.

Senarai 27 pelatih:
———————

Penjaga gol: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan), Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Amierul Hakimi Awang (Terengganu).

Pemain Pertahanan: R. Dinesh (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Dominic Tan Jun Jin (Johor Darul Ta’zim/JDT), Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri dan Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar (T-Team), Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (JDT II), Mohd Adib Zainuddin (Felcra FC), Matthew Davies (Pahang), Muhammad Syazwan Zaipol Bahari (PKNP FC).

Pemain Tengah: Muhammad Danial Ashraf Abdullah dan Muhammad Shahrul Hakim Rahim (Kelantan), Muhammad Safawi Rasid (JDT), Muhammad Zarulizwan Mazlan (T-Team), Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri (Perak), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah), Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak).

Penyerang: Muhd Jafri Muhammad Firdaus Chew, Mohamed Syamer Kutty Abba, S. Kumaahran (Pulau Pinang), Adam Nor Azlin (Selangor), N. Thanabalan (Felcra FC), Muhammad Syafiq Ahmad (Kedah), Muhamad Arif Mohamed Anwar (Kuala Lumpur). – BERNAMA

Isak Cipta Rekod Penjaring Termuda Sweden

in Terkini

ABU DHABI – Pemain muda berbakat, Alexander Isak meraikan penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama Sweden apabila muncul selaku pemain termuda dalam negaranya yang meledak jaringan di sini, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan persahabatan antarabangsa itu, Isak yang juga pemain kelab AIK membantu Sweden membenam Slovakia 6-0 dengan meledak gol pada minit ke-19.

Perlawanan itu adalah penampilan keduanya selepas membuat kemunculan sulung ketika menentang Ivory Coast, Ahad lalu.

Berusia 17 tahun dan 113 hari, Isak memadamkan rekod dilakukan Erik Dahlstrom yang dilakukan lebih seabad lalu.

Dahlstrom pada ketika itu berusia 18 tahun dan satu hari lebih tua ketika dia meledak jaringan dalam perlawanan menentang Finland di Stockholm pada tahun 1912.

“Saya tidak memberi tumpuan terhadap perkara sebegini tetapi ia lebih baik berbanding menjadi golongan yang lebih muda. Kamu tidak mahu berada di tangga kedua,” kata Isak. – Reuters

Gadis Ayu Gelecek Bola Sepak Mula Jadi Tular

in Sukan/Utama & Sensasi

KOTA BHARU – Siapa sangka di sebalik kelembutan dan kecantikan wajah, seorang penuntut sebuah kolej, di sini, aktif bermain bola sepak, malah mewakili Kelantan sejak tahun lalu.

Ketangkasan penuntut Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kampus Kota Bharu, Nur Syahindah Mohd. Kamal menggelecek bola memberi kelebihan kepadanya untuk menyertai pasukan wanita negeri.

Katanya, dia mula meminati sukan bola sepak ketika di bangku sekolah rendah, namun dipendamkan sebelum minatnya bercambah selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tiga tahun lalu.

“Selepas SPM, saya bersama rakan-rakan aktif bermain futsal di sekitar Kota Bharu sebelum memasuki kolej ini.

“Di kolej, peluang semakin banyak apabila saya dilantik sebagai ahli jawatankuasa futsal dan menganjurkan banyak kejohanan peringkat kolej.

“Pada awal Disember tahun lalu, saya menerima pesanan WhatsApp daripada pengurusan bola sepak wanita Kelantan yang menawarkan peluang untuk menjadi pemain mereka.

“Tanpa berfikir panjang, saya mencuba dan menjalani latihan, malah lulus ujian sebanyak tiga kali,” kata Nur Syahindah, 20, ketika ditemui di sini, semalam.

Dia yang mempunyai kakak kembar, Nur Syakirah berkata, bapanya, Mohd. Kamal Hassim, 48, yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej dan ibunya, Norazma Ahmad, 45, suri rumah, memberi sokongan yang kuat.

Tinggal di Kampung Pintu Geng, di sini, Nur Syahindah berkata, ibu bapa memahami minatnya dan tidak menghalang asalkan dia mengutamakan pelajaran.

“Saya membahagikan masa sewajarnya antara pendidikan dengan bola sepak kerana tidak mahu memusnahkan harapan ibu bapa.

“Saya menetapkan jadual belajar dan mengikutnya kerana mahu berjaya dalam kedua-dua bidang,” kata Nur Syahindah.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga mengakui risau apabila gambarnya yang sedang bermain bola sepak menjadi tular di laman sosial Facebook beberapa hari lalu, namun berharap ia tidak menghilangkan fokusnya untuk belajar dan menjadi pemain profesional.

Sementara itu, Pengarah KPTM Kota Bharu, Mohd. Sahidi Yaakob berkata, pihaknya menyokong minat penuntut berkenaan dan bangga kerana dia terpilih sebagai pemain bola sepak wanita Kelantan.

“Pihak kolej juga memberi sokongan kepada semua penuntut supaya aktif dalam apa jua bidang yang akan membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Setakat ini, kolej memiliki pasukan bola sepak lelaki dan kemungkinan selepas ini akan mewujudkan pesukan wanita jika ramai yang berminat,” katanya. – myMetro Online

Jamal Tawar Diri Terajui FAS, Janji Selangor Setanding JDT

in Sukan/Utama & Sensasi

KELANA JAYA – Ketua kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunos tampil menawarkan diri bagi menerajui Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang teruk dilanda pelbagai masalah dalaman.

Beliau malah berhasrat hendak menggantikan Menteri Besar Selangor,  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah bertindak meletakan jawatan sebagai Presiden FAS secara mengejut pada 30 Disember tahun lalu.

Jamal merangkap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar hadir ke perkarangan pejabat FAS dengan muka bercat merah kuning simbolik kepada warna rasmi pasukan Selangor atau dikenali sebagai The Red Giant.

Menurut Jamal, jika beliau dilantik mengetuai FAS, perkara pertama yang akan dilakukan adalah membawa skuad ‘Gergasi Merah’ ke peringkat lebih tinggi dan menjadikan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai tanda aras.

Jamal Tawar Diri Terajui FAS, Janji Selangor Setanding JDT

“Hari ini saya menyerahkan surat kepada FAS untuk menawarkan diri menjadi presiden FAS.

“Hasrat dan tujuan saya hadir untuk menawarkan diri membantu Kelab Bola Sepak Selangor ke arah lebih maju setanding dengan kelab lain terutama dengan pasukan JDT.

“Kalau nak disebutkan, kelab JDT ini lebih maju ke depan, sekurang- kurangnya kami mampu bersaing dengan mereka,” katanya kepada media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jamal turut berjanji akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai FAS di samping menambah baik pengurusan serta meningkatkan semangat juang pemain bagi menghadapi musim ini.

“Saya memberi jaminan dalam waktu 14 hari setelah perbincangan diadakan dan saya dilantik, kita akan selesaikan semua permasalahan ini. Soal dana dan peruntukkan saya letakkan nombor dua.

“Masalah duit kalau kita letakkan di depan berapa banyak sekalipun wang kalau pengurusan tidak bagus ia tidak akan mendapatkan hasil yang baik.

“Paling mustahak bagaimana kita hendak meningkatkan semangat terhadap pemain supaya 2017 ini akan mencipta sejarah untuk Selangor,” jelasnya.

Turut hadir mengiringi Jamal ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shohaimi Shahadan dan Datuk Ahmad Azhar.

Terdahulu, FAS digemparkan dengan berita peletakan jawatan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR setelah disandang selama dua tahun sejak 2014 menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Keputusan meninggalkan FAS dibuat Azmin berikutan kecewa dengan beberapa Exco FAS yang dikatakan tidak bersedia untuk membawa perubahan kepada pasukan itu di samping masih dengan budaya lama yang terlalu bergantung kepada pemberian subsidi. – MYNEWSHUB.CC

1 2 3 12
Go to Top