Bukan Berita Online Biasa

Tag archive

Penjara

Curi Pelbagai Barang, Bapa Seorang Anak Dipenjara Sehari

in Jenayah/Terkini

KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri pelbagai jenis barangan termasuk coklat di sebuah pasar raya, bapa seorang anak dipenjara sehari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mahyudin Mohamad Som memerintahkan Mas Indera Sahrudin, 33, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada Jumaat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh mengaku mencuri termasuk empat botol coklat, 16 kotak coklat Tablerone, dua botol syampu dan sepasang kasut yang kesemuanya bernilai RM310.96 milik syarikat Econsave, Jalan Klang Lama di sini pada 6.30 petang, 13 Jan lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, dan bagi kesalahan kali kedua atau yang seterusnya hendaklah dihukum dengan penjara atau denda atau sebat.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dengan alasan dia menyara seorang anak tetapi Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. – BERNAMA

Remaja 18 Tahun Diliwat Rakan Satu Sel Di Jasin

in Jenayah/Utama & Sensasi

JASIN – Misteri katil ‘bergegar’ yang dialami oleh seorang pesalah juvenil ketika waktu malam akhirya terjawab selepas dia dipercayai menjadi mangsa liwat oleh salah seorang seniornya di sebuah pusat tahanan di sini, Rabu lalu.

Mangsa, 18, baru sahaja beberapa bulan menghuni pusat terbabit dipercayai diperlakukan dengan perbuatan tidak senonoh itu oleh senior terbabit dalam kejadian kira-kira 11.30 malam.

Memetik laporan Sinar Online, kejadian itu disedari oleh penghuni lain di dalam sel yang menempatkan lebih 20 penghuni itu sebelum memaklumkan kepada pegawai penjara keesokan harinya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, pegawai penjara itu kemudian membawa mangsa untuk pemeriksaan sebelum pengawai perubatan mengesahkan terdapat kesan perlukan tidak senonoh terhadap anggota tubuh mangsa.

“Keadaan mencurigakan itu disedari penghuni lain yang masih belum tidur tanpa suspek sedari. Penghuni berkenaan kemudian memberitahu pegawai penjara sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kira-kira jam 4.45 petang Khamis.

“Siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai pertama kali dilakukan terhadap mangsa oleh suspek berusia 21 tahun dan dijadualkan tamat tempoh tahanan Februari ini,” katanya sebagaimana lapor Sinar.

Difahamkan, mangsa sudah menghuni pusat itu kira-kira enam bulan lalu menjalani hukuman atas kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan manakala suspek pula dijatuhi hukuman membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Suspek akan ditahan dalam masa terdekat untuk disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan luar tabii tanpa kerelaan,” tambahnya. – MYNEWSHUB.CC

5 Tahun Penjara Kerana Miliki Pisau

in Terkini

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang lelaki kerana memiliki pisau sepanjang 21 sentimeter di tempat awam, tanpa sebab yang sah.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah mengenakan hukuman itu terhadap Sani Ali, 42, setelah dia mengaku bersalah memiliki senjata berkenaan di Endah Parade, Sri Petaling di sini pada 2.30 pagi, 6 Januari.

Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan apabila polis menemukan pisau berkenaan di dalam saku belakang seluarnya. – BERNAMA

Kantoi Seludup BF Keluar Penjara Dalam Beg Pakaian

in Jenayah/Utama & Sensasi

BENARLAH kata pepatah bahawa cinta itu buta dan mampu menjadikan seseorang bertindak di luar kawalan gara-gara cinta.

Itulah yang dialami oleh seorang wanita dari Venezuela, Antonieta Robles Saouda, 25, apabila cubaan menyeludup keluar pasangannya dari penjara di dalam sebuah bagasi pakaian berwarna merah jambu terkantoi.

Teman lelakinya, Ibrain Jose Vargas Garcia sedang menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun di penjara Jose Antonio Anzoategui, timur laut Venezuela atas kesalahan melakukan rompakan kereta.

Kantoi Seludup BF Keluar Penjara Dalam Beg Pakaian

Saouda melawat Garcia bersama sebuah beg berwarna merah jambu. Namun tindakan Saouda menimbulkan keraguan beberapa pengawal penjara apabila dia dilihat bergelut dan bersusah payah untuk membawa beg itu keluar dari penjara tersebut.

Apabila siasatan dilakukan ke atas bagasi pakaian itu mendapati Garcia berada di dalamnya di sebalik beberapa pakaian yang digunakan untuk menyembunyikannya.

Susulan kejadian itu, Garcia dihantar semula ke penjara manakala Saouda ditahan untuk siasatan lanjut.

Seorang kanak-kanak perempuan yang menemani Saouda ketika melawat Garcia dihantar ke pusat kebajikan sementara menunggu siasatan kes itu.

Bagaimanapun identiti kanak-kanak itu tidak dapat dipastikan sama ada dia merupakan anak kepada pasangan tersebut ataupun tidak. – MYNEWSHUB.CC

Penjara 22 Tahun Kerana Curi Alat Kawalan Jauh TV

in Utama & Sensasi

SEORANG lelaki dihukum penjara selama 22 tahun selepas didapati bersalah mencuri alat kawalan jauh televisyen, di sebuah bangunan pangsapuri di Illinois, Amerika Syarikat.

Meskipun Eric Bramwell, 35, hanya mencuri alat kawalan jauh, namun disebabkankan jenayah lampau, hukuman berkenaan dilihat bersesuaian dengannya.

“Tanpa mengambil kira apa yang telah dicuri, Eric telah melakukan kesalahan berulang kali.

“Dia ambil apa yang diingininya, berulang kali dan menjangkakan dapat mengelak daripada kesannya. Namun bukan itu yang berlaku dan kini Eric tahu kesannya (melakukan jenayah),’’ kata pendakwaraya, Robert Berlin. – mynewshub.cc

Bapa 2 Anak Dipenjara 3 Hari Curi Susu Formula

in Jenayah/Terkini

KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri susu formula bayi di sebuah pasar raya, bapa dua anak dihukum penjara tiga hari dan didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mahyudin Mohamad Som turut memerintahkan T.Gopal, 34, menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia membayar denda itu.

Tertuduh mengaku mencuri empat kotak susu Enfalac dan dua tin Frisocal Gold yang kesemuanya berharga RM502.60 milik 99 Speedmart di Jalan Changkat Thambi Dollah di sini pada 8.05 malam, 6 Jan lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 6 Jan 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudiannya hendaklah dihukum dengan penjara atau denda atau sebat.

Peguam P.Muniswer, yang mewakili Gopal, merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya dikenakan denda minimum dengan alasan dia melakukan jenayah itu disebabkan kesempitan hidup.

“Dia curi susu formula itu untuk anak-anaknya yang berusia empat dan dua tahun. Ia merupakan kesalahan pertama tertuduh dan isterinya pula akan bersalin anak ketiga dalam masa dua minggu lagi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Di mahkamah sama, seorang pekerja kedai makanan didenda RM3,500 atau penjara empat bulan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki dengan menggunakan pisau potong kertas.

Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Mhuhilan, 31, selepas dia mengaku mencederakan P.Arun, 32, di kepala dan ibu jari kiri di kedai makan di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini pada 8.30 malam, 6 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu denda minimum dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama manakala pendakwaan memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA

Rasuah: Suami Dipenjara, Isteri Diarah Berkelakuan Baik

in Jenayah/Utama & Sensasi

ALOR SETAR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang isteri dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun manakala suaminya dipenjara sehari dan didenda RM170,251.25 selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah yang dilakukan pada 2012.

Hakim Zanol Rashid Hussain menjatuhkan keputusan itu terhadap Afizah Md Yusoff, 36, dan suaminya Mohamad Reduan Hussain, 39, yang kedua-duanya merupakan pensyarah di Kolej Komuniti Padang Terap.

Zanol Rashid juga memerintahkan jika Mohd Reduan gagal membayar denda itu tertuduh boleh dikenakan penjara selama enam bulan.

Hakim sebelum menjatuhkan keputusan itu menasihatkan pasangan berkenaan agar melakukan tindakan dengan betul sebelum membuat sebarang keputusan apatah lagi mereka merupakan penjawat awam.

“Kena fikir habis-habis sejak daripada awal lagi. Ini adalah satu kesilapan dan diharapkan keputusan ini memberikan peluang untuk kamu bertaubat,” katanya.

Afizah didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi syarikat adik kandungnya dengan menyediakan Pesanan Kerajaan bernombor P12000029 ke atas pembekalan alat-alat ganti kelengkapan elektrik bernilai RM34,250.25, pada 14 Jun 2012, di kolej berkenaan.

Ia diberikan kepada Syarikat RHA Sepakat Enterprise iaitu syarikat milik adiknya dan tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Suaminya, Mohd Reduan didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berkenaan dengan memperakui pesanan kerajaan itu pada 18 Jun 2012 di kolej sama, dan turut dihukum di bawah seksyen sama.

Sabit kesalahan mereka boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Ketika rayuan, kedua-duanya menangis teresak-esak dan memohon mahkamah mengurangkan hukuman selain isteri yang mempunyai empat anak yang masih kecil berusia 10 tahun hingga dua tahun dan menyusu badan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar. – BERNAMA

Teman Wanita Tikam Kekasih Sebab Curi Makan Keropok

in Jenayah/Utama & Sensasi

SEORANG wanita tergamak menikam teman lelakinya dengan pisau selepas berang dengan tindakan mangsa menghabiskan keropok kentang miliknya.

Dianne Margaret Clayton, 34, dari Blackburn, Lancashire, United Kingdom dikatakan bergaduh dengan kekasihnya, Simon Hill di rumah rakannya November lalu.

Dianne berang selepas keropok kentang yang dibawanya dihabiskan Simon lantas mengambil sebuah pisau di dapur dan terus menikam teman lelakinya di bahagian bahu.

Mengakui salah di atas kesalahan itu, Dianne telah dijatuhkan hukuman penjara selama 26 minggu oleh Mahkamah Majistret Blackburn, semalam. – MYNEWSHUB.CC

Militan Malaysia Tidak Mungkin Tinggalkan Guantanamo

in Jenayah/Terkini

KUALA LUMPUR – Sumber risikan menolak kemungkinan militan rakyat Malaysia, Mohd Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep dipindah keluar dari kem penahanan pengganas Teluk Guantanamo, Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Sebuah portal berita antarabangsa melaporkan bahawa Presiden Barack Obama merancang untuk memindahkan sekurang-kurangnya 18 lagi tahanan dalam beberapa hari selepas mengumumkan bahawa empat tahanan dihantar ke Arab Saudi.

Kumpulan yang dikeluarkan itu akan diambil di kalangan mereka yang ditahan di Guantanamo selama lebih sedekad.

Berdasarkan sumber tentera yang diberi taklimat mengenai proses itu, sejumlah 22 tahanan sedang dipersiapkan untuk dipindahkan keluar dari kem itu, sebelum 20 Januari.

Pada Khamis lalu, Pentagon mengumumkan pemindahan empat tahanan ke Arab Saudi iaitu Yemenis Salem Ahmed Hadi, Mohammed Ghanim, Mohammed Bawazir dan Abdullah al Shabli.

Portal tersebut turut memetik sumber sebagai berkata bahawa terdapat tiga lagi set pemindahan akan dilakukan sebelum Obama meninggalkan pejabatnya pada 20 Januari ini.

Bagaimanapun, sumber risikan menolak kemungkinan ketika ini mengenai Mohd Farik Amin, juga dikenali sebagai Yazid Zubair dan Mohammed Nazir Lep, dikenali sebagai Bashir Lap menjadi antara kumpulan seterusnya yang akan dibebaskan dari pusat tahanan itu.

“Ia merupakan satu proses yang panjang dan sukar. Kedua-dua negara mesti bersetuju dengan kaedah pemindahan dan lokasi yang sesuai serta tempoh untuk menahan banduan ini di Malaysia,” dedah satu sumber.

Difahamkan, pentadbiran Presiden Barack Obama sedang mengkaji untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman ke atas kedua-dua mereka di mahkamah tentera AS, untuk tempoh tertentu dengan baki hukuman akan dilaksanakan di Malaysia.

“Masalah pertama timbul kerana Malaysia tidak mengiktiraf kuasa mahkamah tentera.

“Masalah kedua, Malaysia mungkin mahu menahan mereka di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA), di mana AS tidak bersetuju dengan cara itu,” jelas sumber lain.

Walaupun tanpa halangan itu, masalah paling utama adalah tahap kebahayaan dua tahanan itu, melihat kepada penglibatan mereka dalam Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Mohd Farik adalah seorang pakar bahan letupan dan antara mereka yang bertanggungjawab dalam menyalurkan keperluan pembiayaan bagi serangan ke atas Hotel JW Marriot di Jakarta pada 2003.

Mohammed Nazir pula mempunyai kepakaran khusus dalam penggodaman dan sasaran individu penting AS di rantau ini.

“Mereka adalah ahli berkedudukan tinggi dengan pengaruh yang besar.

“Ada kemungkinan tinggi mereka akan kembali kepada kehidupan militan dan menyertai kumpulan lain terutamanya Negara Islam (IS),” katanya.

Jika Mohd Farik dan Mohammed Nazir berjaya dibawa pulang ke Malaysia, Ayob berkata, polis akan meletakkan mereka dalam program deradikalisasi sebagai usaha pemulihan.

“Program kami telah terbukti berkesan dan kedua-dua mereka pasti dapat melaluinya.

“Kami komited dalam menjalankan program pemulihan di deradikalisasi militan,” katanya.

Bagi seorang lagi tahanan Guantanamo, Riduan Isamudin, seorang warga Indonesia yang dikenali sebagai Hambali, Ayob berkata, ia akan menjadi satu cabaran bagi rantau ini jika dia dilepaskan, melihat kepada kepakarannya dalam merekrut ahli dan melakukan serangan.

“Dia tidak akan dipanggil sebagai Osama Bin Laden bagi Asia tenggara tanpa sebab. Dia dikenali dan mampu merekrut serta melancarkan serangan besar-besaran ke atas kepentingan Barat di rantau ini,” katanya.

Memandangkan ancaman semasa IS, Ayob berkata, pembebasan ketiga-tiga pengganas terkenal itu hanya akan merangsang kumpulan pengganas yang seterusnya.

“Risikan menyatakan bahawa kumpulan pengganas itu merancang untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia Tenggara.

“Jika mereka dibebaskan, IS akan mendapat satu ‘senjata’ berharga yang akan memperkukuhkan barisan mereka,” katanya.

Pada September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Mohammed Nazir mungkin dipindahkan ke Malaysia tetapi dia perlu meneruskan proses deradikalisasi dalam penjara. – mStar Online

Jaga Ceroboh Rumah Dihukum Penjara 4 Bulan

in Jenayah/Terkini

PETALING JAYA – Seorang pengawal keselamatan yang menceroboh dengan niat untuk mencuri pada hari pertama Tahun Baru dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Yee Kok Fah, 53, setelah dia mengaku bersalah menceroboh dengan tujuan mencuri di kediaman milik seorang koordinator sekolah, Loke Yew Wah, 62, di No 15D, Jalan Chantek 5/13, di sini pada 11 pagi, 1 Januari lepas.

“Kamu sebagai pengawal keselamatan sepatutnya menjaga keamanan kawasan, ini tidak, kamu pula yang menceroboh rumah orang…adakah ini salah satu daripada cara kerja kamu?,” kata Majistret itu sebelum menjatuhkan hukuman.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, boleh dihukum penjara dengan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh mengambil kira faktor dia telah berada di dalam kediaman itu yang dimasuki melalui tingkap berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Yee yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menyara tiga orang anak yang masih bersekolah manakala isterinya telah meninggal dunia. – BERNAMA

Penganggur Dipenjara Enam Minggu, Denda RM2,500

in Jenayah/Terkini

SHAH ALAM – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam minggu dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah mencuri wang tunai RM800 dan dua tong gas memasak di dua surau dan sebuah masjid di Sungai Buloh dekat sini.

Majistret P. Sarulatha menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Nor Azlan Shah Yahya, 32, mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Lelaki itu didakwa mencuri wang tunai kira-kira RM200 dan dua tong gas memasak milik Masjid An Nur di Jalan Seri Pagi 13, Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini, kira-kira 12.20 tengah hari pada 28 Sept 2015.

Bagi kesalahan itu, Sarulatha menjatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika dia gagal membayar denda.

Tertuduh juga didakwa mencuri wang tunai kira-kira RM200 milik Surau Makmuriah di Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor, Rumah Murah, Ladang Baru, Kuang, Sungai Buloh, kira-kira 3.45 petang pada 21 April lepas.

Bagi kesalahan itu, Nor Azlan Shah dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM500 atau dua minggu penjara jika gagal membayar denda.

Tertuduh turut didakwa mencuri wang tunai kira-kira RM400 milik Surau Al Falah di Jalan 13/2, Bandar Puncak Alam, Sungai Buloh kira-kira 8.33 pagi pada 16 Dis lepas.

Bagi kesalahan itu, Nor Azlan Shah dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda.

Sarulatha memerintahkan kesemua hukuman penjara itu dijalankan berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Dis lepas.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan atas alasan dia hidup dalam kesusahan dan perlu menanggung ibunya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pemenjaraan kerana sebagai penganut agama Islam, tertuduh tidak sepatutnya mencuri harta benda di surau dan masjid.

Beliau berkata alasan tertuduh bahawa ibunya seorang OKU juga bukan faktor untuk dia tidak mencari pekerjaan yang sah. – BERNAMA

Hukuman Penjara Bekas Pembantu Tadbir MARA Ditambah

in Terkini

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menambah hukuman penjara daripada 18 bulan kepada tiga tahun ke atas bekas pembantu tadbir kewangan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang didapati bersalah terhadap enam pertuduhan memalsukan dokumen, pada 2010.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Shahnon Mustapha, 33, dan mengekalkan sabitan yang diputuskan hakim Mahkamah Sesyen pada Oktober 2015.

Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Sesyen yang menolak pembelaan perayu yang merupakan rekaan semata-mata.

Katanya mahkamah juga mendapati pembelaan tertuduh bahawa dia dikhianati, tidak menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pihak pendakwaan.

“Ini kerana dokumen yang berkaitan dan nama-nama penerima penganjuran MARA adalah dalam kalangan adik-beradik dan isteri tertuduh serta terdapat tulisan tangan tertuduh pada dokumen berkenaan.

“Oleh itu, mahkamah mendapati dakwaan bahawa tertuduh dikhianati adalah tidak berasas,” kata Azman.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Jefri Jaafar yang mewakili Shahnon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu namun memaklumkan bahawa tertuduh boleh memfailkan permohonan penangguhan berkenaan secara rasmi di Mahkamah Rayuan.

Shahnon didakwa dengan tiga pertuduhan masing-masing memalsukan baucar bayaran iaitu meminda jumlah asal iaitu RM38,315 kepada RM126,325 bagi tujuan menyokong tuntutan Bayaran Balik Tunggakan Elaun untuk empat pelajar sedangkan mereka bukan pelajar tajaan MARA.

Dia juga didakwa dengan tiga pertuduhan memalsukan dokumen Bayaran Balik Tunggakan Elaun Untuk Pelajar dengan menambah nama empat pelajar yang bukan pelajar tajaan MARA.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Bahagian Kewangan, Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut di sini antara 19 April 2010 dan 6 Oktober 2010 serta didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afifah Yusof daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – BERNAMA

2017: Jangan Masuk Jel Lagi Kawan

in Utama & Sensasi

TAJUK di atas serius bunyinya. Tetapi yang punya diri pasti senyum kalau dia baca. Menjelang Tahun Baharu, pasti semua orang ada azam. Pastinya mahu move on. Harap anak muda dalam artikel ini juga move on. Dia nampak sukses sekarang.

22 tahun lalu, ketika baru berusia 18 tahun, anak muda ini sudah menunjukkan ciri-ciri watak ganas luar biasa. Sangat panas baran. Apa lagi rakan-rakannya juga samseng semacam.

Di padang bola, dalam satu perlawanan permainan merebut bola bertukar jadi keganasan luar biasa.

Kejadian 1994 di padang flat sekitar Cheras. Ketika bermain dalam perlawanan separuh akhir, pengurus pasukan lawan menjerit menyindir anak muda ini dengan kata-kata: Bangang!

Habis saja perlawanan, pemain ini mencapai sebatang kayu pengikat tali khemah, lalu dibelasahnya pengurus pasukan lawan yang mengutuknya.

Setengah mati, dibantainya dengan kayu sebelum dileraikan anggota Rela yang bertugas.

Beberapa tahun kemudian, anak muda ini ditangkap kerana kes rompakan berkumpulan menggunakan parang di sebuah siber kafe di Setapak.

Nasib malang, semuanya kantoi kena jel antara 12 hingga 36 bulan.

Siapa kumpulannya?

Separuh dari pasukan bola terbabit. Mereka berkawan sejak usia remaja. Sudah bosan bersukan, pasukan bola bertukar menjadi gengster.

Sepanjang dua dekad aktif menyamun, banyak kali anak muda ini keluar masuk jel. Majoriti kes tentunya samun dan serangan bersenjata.

Akhirnya masa berlalu. Wajah anak muda ini tampil semula, dengan berita melangsungkan perkahwinan.

Sangat mengejutkan. Setelah top sebagai ketua samseng, anak muda ini akhirnya berkahwin. Lebih gempar bosan menyamun, dia sudah mengubah cara hidup. Lepas kahwin jadi drebar.

“Aku nak tukar hidup. Menyesal arwah ayah mati, aku dalam penjara.” Katanya ketika ditemui di kedai kopi kecil sekitar flat Cheras.

Sukar untuk dipercayai. Gengster yang pernah hidup senang dengan kerja mengugut dan mengutip duit perlindungan puluhan ribu sebulan, kini hanya makan gaji tidak seberapa. Gaji pula mungkin hanya seribu dua sebulan.

Apa lagi ketika umur masih menyala; tubuh masih sasa dan parut masih menyilang di lengan kanannya.

Kini sudah lima tahun jadi drebar. Masih berkerja. Ada terserempak anak muda ini solat Jumaat di Cheras. Wajahnya nampak tenang dan berjalan pun menunduk sedikit. Tapi rasanya, cara dia melangkah masih boleh bawa mati kalau belasah orang.

Menjadi anak muda tercicir pendidikan di sekitar flat Cheras tidaklah mudah. Apa lagi ketika dunia gengster sekarang sangat popular. Kerja menindas dan kutip duit perlindungan sangat mudah. Sepanjang Jalan Cheras, Bandar Tun Razak, Bandar Sri Permasuri dan Maluri – peniagaan tumbuh subur. Banyak perniagaan ertinya banyak duit perlindungan boleh dikutip gengster dari pemilik kedai.

Sebahagian kawan-kawan anak muda ini masih aktif jadi gangster. Ada yang khabarnya sudah memiliki pistol dan pernah menembak orang. Ada yang pernah diserbu polis dan terjadi tembak menembak, tetapi masih selamat tanpa kecederaan.

Waktu ternampak anak muda ini ketika solat Jumaat dua minggu lalu, segan pula hendak menegurnya. Cuma dari kejauhan terharu juga menjeling dia menadah tangan berdoa.

Kawasan Perumahan Cheras 20 tahun lalu melahirkan banyak jaguh keganasan. Malah, nama-nama besar yang menggerunkan di KL kini, pun banyak lahir dan membesar di kawasan ini.

Melihat anak muda ini di masjid ketika kawan-kawannya masih aktif jadi penjenayah – terasa seperti satu keajaiban. Apa lagi, hidupnya pula sekarang, gaji tidaklah seberapa. Jadi lima tahun bertahan tanpa jenayah – memang satu keajaiban.

Sekadar berkongsi. Esok Jumaat. Kalau terjumpa dan ucap Selamat Tahun Baharu dan jangan masuk jel lagi, bunyi macam tidak kena.

OK. Tukarlah. Elok berdoa saja. Agar anak muda ini istiqamah kerja drebar. Istiqamah solat Jumaat dan menjaga solat waktunya. Harap Allah murahkan rezeki dan jauhkan dia dari jenayah. Paling penting, doakan perkahwinanya bahagia ke jannah. Sebab dengar cerita – cinta telah mengubah hidup anak muda ini.

Insyaallah. Moga Allah rahmati dan berkati hidupnya. – MYNEWSHUB.CC

Lelaki Tempatan, 2 Warga Asing Dijel Hingga 30 Bulan

in Jenayah/Terkini

TAWAU – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhi hukuman penjara 30 bulan dan denda RM10,000 terhadap seorang lelaki tempatan selepas mengaku bersalah kerana memiliki 26 kad pengenalan palsu.

Turut dijatuhi hukuman sama adalah seorang wanita rakyat Filipina yang mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Amir Shah Amir Hassan memerintahkan Brahim Awang Anak,51, dan Ateng Jalil, 30, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di sini kira-kira 10.30 malam pada 21 Dis lepas.

Dalam pertuduhan berasingan, mahkamah sama menjatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM10,000 terhadap empat sekeluarga rakyat Indonesia selepas mereka mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu di sebuah rumah di Kampung Sri Menanti, Jalan Tanjung Batu Darat kira-kira 11.50 malam, 21 Dis lepas.

Amir Shah turut memerintahkan Asna Satuan, 22, Asman Satuan, 22, Takin Satuang, 26 dan Junia Gasang, 50, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Kesemua enam tertuduh mengaku bersalah mengikut Peraturan-Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Amir Shah juga memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap dan manakala Asna, Asman, Takin, Junia dan Ateng perlu dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman itu.

Mengikut fakta kes, kesemua enam tertuduh ditahan dalam dua serbuan oleh anggota penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis pada hari berkenaan.

Pemeriksaan mendapati kesemua kad pengenalan dan dokumen, yang dalam pemilikan mereka, tiada dalam data simpanan JPN.

Pegawai Pendakwa JPN Mohd Fazdhly Abdul Razak mengendalikan pendakwaan kes itu. – BERNAMA

SPRM Tahan 2 Pegawai Penjara Disyaki Terlibat

in Jenayah/Terkini

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan dua pegawai Jabatan Penjara kerana disyaki menerima rasuah RM3,000 daripada seorang bekas banduan.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusof berkata seorang daripada pegawai terbabit yang berpangkat Inspektor, ditahan antara 7 malam dan 12 tengah malam tadi.

Wang terbabit dipercayai bagi melepaskan sabitan ujian saringan air kencing terhadap beberapa banduan yang didapati positif dadah, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum 20 tahun penjara dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, katanya. – BERNAMA

Buruh Dipenjara 2 Bulan, Denda RM1,000 Ceroboh Surau

in Jenayah/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Akibat menceroboh masuk ke dalam sebuah surau di sini, Ahad lepas, seorang buruh binaan dihukum penjara dua bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Khairul Rashid Mohd Roslan, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah menceroboh Surau Madrasahtul Bakariah, Sentul, pada 2.40 pagi.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 4 Dis lepas dan penjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mohd Khairul Rashid, yang berkerusi roda akibat pergelutan ketika kejadian, didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, penduduk setempat menangkap tertuduh yang bersenjatakan kayu selepas menceroboh masuk ke dalam surau itu dan mengalami kecederaan ketika berlaku pergelutan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farith MuhdFaizal manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

12 Model Iran Dihukum Penjara Kerana Sebar Budaya Barat

in Jenayah/Utama & Sensasi

12 model di Iran telah dihukum penjara hingga enam tahun selepas didapati bersalah kerana menyebarkan budaya barat iaitu berbogel dan menggalakkan pelacuran.

Mereka yang terdiri daripada lapan wanita dan empat lelaki itu juga dilarang daripada bekerja dalam industri fesyen selepas menamatkan hukuman dan tidak dibenarkan meninggalkan bandar Shiraz.

Kesemua mereka tidak mengaku salah dan akan mengemukakan rayuan.

Mereka dikenakan hukuman penjara antara lima bulan hingga enam tahun. Menurut laporan, mereka yang ditangkap termasuk Melikaa Zamani, Niloofar Behboudi, Donya Moghadam, Dana Nik, Shabnam Molavi, Elnaz Golrokh dan Hamid Fadaei.

Awal tahun ini beberapa model telah ditangkap kerana memuatnaik gambar tidak bertudung di dalam media sosial.

Salah seorang daripadanya adalah jelitawan Elham Arab, yang terkenal sebagai model untuk gaun pengantin. Dia telah disiasat kerana menyebarkan budaya barat. – MYNEWSHUB.CC

8 Lelaki Rompak Kapal MT Orkim Harmony, Dipenjara

in Jenayah/Utama & Sensasi

KOTA TINGGI – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara 15 dan 18 tahun terhadap lapan lelaki warga Indonesia yang merompak secara berkumpulan kapal MT Orkim Harmony di perairan Tanjung Sedili pada Jun, tahun lepas.

Tertuduh dikenali sebagai Ruslan, 63 dan Kurniawan, 50 dijatuhi hukuman penjara 18 tahun manakala Abner Loit, 29; Jhon Danyel Despol, 39; Anjas, 28; Randy Aditya, 20; Fauji Adha, 28 dan Hendry Andaria, 40, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.

Hakim Salawati Djambari menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar pengakuan bersalah daripada kesemua suspek serta mengambil kira pelbagai faktor antaranya melibatkan kepentingan orang awam.

Mahkamah juga memerintahkan hukuman tersebut dilaksanakan mulai hari ini dengan lima daripda mereka iaitu Abner, Jhon Danyel, Anjas, Randy, Fauji dan Hendry turut dikenakan sebatan sebanyak lima kali manakala Ruslan dan Kurniawan pula dikecualikan.

Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Jun 2015 di kedudukan 12.4 batu nautika Timur Pulau Tokong Yu dalam perairan Tanjung Sedili, kira-kira pukul 9 malam.

Kapal berkenaan dengan 22 kru yang dalam perjalanan dari jeti Sungai Udang, Melaka menuju ke Pelabuhan Tanjung Gelang, Kuantan membawa 5,879 metrik tan minyak petrol RON95 bernilai kira-kira RM11 juta.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 397 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Dalam rayuan, kesemua tertuduh memohon agar diringankan hukuman memandangkan ada daripada mereka sudah berkeluarga dan menyesali perbuatan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan tertuduh patut diberikan hukuman setimpal kerana kes melibatkan isu keselamatan perairan negara yang mendapat liputan meluas pihak media.

Pendakwaan juga berkata kes telah mengakibatkan kerajaan menanggung kos hampir setengah juta untuk melakukan beberapa perkara termasuk menghantar semula kapal berkenaan dari Vietnam ke pelabuhan Kuantan, Pahang (selepas ditemui) serta ektradisi kesemua tertuduh dari Vietnam ke Malaysia.

Pendakwaan kes itu dikendalikan enam timbalan pendakwa raya diketuai Mohamad Abazafree Mohd Abbas manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Turut hadir semasa pendakwaan ialah Konsul dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Wino Sumarno. – BERNAMA

Curi Duit Tabung Surau, Penganggur Dipenjara 2 Bulan

in Terkini

PETALING JAYA – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, setelah mengaku bersalah cuba mencuri duit tabung sebuah surau Selasa lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Saidina Mohd Asri, 18, dan seorang remaja berusia 14 tahun selepas mereka mengaku bersalah bersama-sama cuba mencuri duit tabung Surau Nurul Hidayah, Taman Batu 3, Jalan Berlian, Subang Jaya di sini, pada 2.45 pagi, 22 Nov lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran namun Muhammad Saidina yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman penjara ringan atas alasan tidak mampu membayar denda tinggi.

Pihak pendakwaan turut mencadangkan ikat jamin RM1,000 terhadap seorang lagi tertuduh yang berusia 14 tahun kerana dia masih di bawah umur dan kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Kanak-Kanak.
 
Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, mengikut fakta kes, seorang penduduk kampung yang sedang melalui jalan berdekatan surau tersebut telah melihat dua lelaki (kedua-dua tertuduh) sedang menyeluk tabung surau itu berbekalkan sebuah lampu picit.

Beliau kemudian terus meminta bantuan penduduk kampung untuk mengejar kedua-dua tertuduh namun usaha itu gagal.

Beliau kemudian membuat laporan di balai polis berdekatan sebelum kedua-dua tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Rompak Kereta: Mekanik Dipenjara 5 Tahun, 1 Sebatan

in Terkini

PETALING JAYA – Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas dia mengaku salah merompak sebuah kereta di Subang Jaya, Jun lalu.

Lim Kwang Peng, 26, bersama-sama seorang lagi yang telah meninggal dunia dituduh melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sepucuk pistol ke atas Azizan Ahmad, 53, dan melarikan kereta Volkswagen bernilai RM80,000 milik wanita itu di hadapan rumah mangsa di Jalan USJ 2/5B, Subang Jaya pada 9.45 pagi, 23 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Esther Tan yang mewakili Lim memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara yang minimum. – BERNAMA

Rompak Kereta: Mekanik Dipenjara 5 Tahun, 1 Sebatan

Tukang Cat Dipenjara 20 Bulan Kerana Mencuri

in Jenayah/Terkini

PETALING JAYA – Seorang tukang cat yang tidak insaf atas kesalahan lampaunya, dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan dan wang tunai di sebuah rumah.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Ong Chong En, 38, yang mengaku mencuri pelbagai barangan yang bernilai keseluruhan RM4,000 di kediaman Lee Lih Siang, 40, di Jalan Mutiara Subang 7, Taman Mutiara Subang, Subang Jaya, di sini antara 11 pagi hingga 5 petang, 16 Mei lalu.

Antara barangan itu ialah sebuah komputer riba, sebuah televisyen, wang tunai RM400, seutas gelang tangan emas, beberapa keping kad kredit dan sebentuk kunci peti simpanan keselamatan.

Ong yang mempunyai empat rekod kesalahan lampau membabitkan kesalahan sama didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah berulang.

Bapa kepada dua anak yang tidak diwakili itu peguam merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan dia merupakan penanggung utama keluarga dan perlu menjaga bapanya yang menghidapi penyakit kanser. – BERNAMA

Lelaki Tiduri 100 Wanita Untuk Penyucian Jiwa Dipenjara

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

SEORANG lelaki Malawi yang menghidap HIV dan telah meniduri sekurang-kurangnya 100 gadis dan wanita dalam amalan penyucian roh, telah dihukum penjara selama dua tahun selepas didapat bersalah dalam amalan yang membahayakan itu.

Eric Aniva dihukum penjara atas arahan Presiden Peter Mutharika selepas perbuatannya dikecam ramai.

Eric bertindak sebagai `hyena’ iaitu amalan sebahagian penduduk di selatan Malawi di mana hyena akan dibayar untuk melakukan seks dengan janda bagi membuang roh jahat dalam badan.

Manakala bagi gadis pula, ibu bapa mereka akan membayar hyena untuk melakukan seks dengan anak mereka yang pertama kali datang haid, sebagai menandakan mereka telah memasuki alam kewanitaan.

Amalan berkenaan dikatakan dapat melatih seorang gadis untuk menjadi isteri yang baik teutama di dalam bilik tidur.

“Sesetengah gadis hanya berusia 12 atau 13 tahun tetapi saya lebih suka yang tua. Semua mereka gembira dan menjadikan saya sebagai hyena. Mereka bangga dan memberitahu semua orang bahawa saya adalah lelaki sebenar, yang tahu untuk memuaskan wanita,’’ kata Eric ketika ditemubual oleh BBC sebelum ini.

Dia ditangkap pada Julai lalu. Malawi merupakan sebuah negara yang paling teruk dijangkiti HIV di dunia, dengan kira-kira 27,000 orang meninggal dunia akibat penyakit terbabit. – MYNEWSHUB.CC

Jumlah Banduan Di Penjara Malaysia Melebihi Kapasiti

in Jenayah/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Jumlah banduan di penjara seluruh Malaysia melebihi 6,292 orang daripada kapasiti yang mampu ditampung Jabatan Penjara iaitu seramai 45,310 orang.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini berkata sehingga 4 Okt 2016, jumlah banduan yang berada di penjara adalah 51,602 orang.

Menurut kementerian, antara tindakan yang diambil Jabatan Penjara bagi menangani situasi itu adalah memindahkan banduan daripada penjara yang sesak ke penjara tidak sesak serta mengubahsuai penjara sedia ada bagi menampung kapasiti banduan yang semakin meningkat.

Kementerian itu menjawab pertanyaan N. Surendran (PKR-Padang Serai) berhubung jumlah terkini banduan dalam penjara di seluruh negara.

Kementerian itu berkata Jabatan Penjara turut menggiatkan pelaksanaan Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib dan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan yang melibatkan 38,391 banduan menjalani pemulihan di luar penjara.

“Keberkesanan pemulihan dan latihan bagi mengurangkan kemasukan semula banduan ke penjara selepas dibebaskan juga dipertingkatkan,” menurut KDN. – BERNAMA

Penjara, Sebatan Ragut Dan Langgar Kepala Wanita

in Terkini

KLANG – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana meragut beg tangan seorang wanita sehingga mangsa terjatuh di atas jalan dan kemudian melanggar kepala wanita malang itu di Kapar di sini, pada bulan lepas.

Hakim Darmafikri Abu Adam memerintahkan tertuduh, Fairuz Jemadi, 34, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 25 Okt.

Darmafikri turut menjatuhi hukuman penjara enam bulan ke atas Fairuz selepas dia mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan memiliki barang curi dan hukuman juga berkuat kuasa dari tarikh tangkapan.

Kedua-dua hukuman penjara diperintah berjalan serentak.

Tertuduh didakwa melakukan rompakan ke atas S. Aramah, 56, dengan menarik beg tangan wanita itu sehingga mangsa terjatuh di atas jalan dan kemudian melanggar kepala mangsa menggunakan motosikal Honda C100 bernombor pendaftaran WNX 8794, di lorong belakang deretan kedai di Jalan Klinik Off Jalan Besar, Kapar, kira-kira 3 petang pada 20 Okt.

Fairuz dihukum mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Selain itu, tertuduh didakwa memiliki 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai barang curi, di alamat Lot 26993, Lorong Haji Marzuki, Rantau Panjang di sini, kira-kira 4 pagi pada 25 Okt.

Bagi kesalahan itu, Fairuz dihukum mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Nithia.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa cedera di muka dan badan akibat kejadian itu yang berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Klinik Kesihatan Kapar.

Rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian turut tersebar di laman sosial. – BERNAMA

Permohanan Anwar Cabar Penjara Didengar 14 Februari

in Jenayah/Terkini

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 14 Feb tahun depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya bagi mencabar keputusan Penjara Sungai Buloh tidak membenarkan sentuhan fizikal dengan anggota keluarga ketika lawatan di penjara itu.

Penolong Kanan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Shahid Adli Kamarudin, mewakili Anwar sekeluarga. Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Pada 3 Nov lepas, Anwar dan keluarganya memperoleh kebenaran dari mahkamah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan berkenaan.

Selain Anwar, 68, turut bertindak sebagai pemohon ialah isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 63, empat anak perempuan mereka Nurul Izzah, 35, Nurul Nuha, 32, Nurul Ilham, 28, dan Nurul Iman, 25, serta empat cucu Anwar.

Mereka yang menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri selaku responden memohon perintah bahawa keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac lepas yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara Anwar dan kesemua anggota keluarga dibatalkan.

Mereka mendakwa semasa lawatan ke penjara yang dibenarkan setiap tiga minggu sekali, Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dipisahkan daripada mereka melalui dinding kaca dan percakapan hanya dibuat melalui telefon.

Anwar, melalui surat peguam caranya bertarikh 2 Mac lepas, telah memohon kepada ketiga-tiga responden supaya membenarkan sentuhan fizikal semasa lawatan keluarga ke penjara tetapi mendakwa pengarah Penjara Sungai Buloh menolak permohonan berkenaan melalui surat bertarikh 14 Mac. – BERNAMA

Peniaga Dipenjara 4 Hari, Denda RM800 Curi Coklat

in Jenayah/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga dihukum penjara empat hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah mencuri lebih 40 coklat di sebuah pasar raya, semalam.

Majistret Adira Adnan menjatuhi hukuman itu terhadap Shaiful Razmi Roslan, 28, kerana mencuri lima keping coklat Cadburry dan 40 kotak coklat Toblerone yang kesemuanya bernilai RM295.50 milik pasar raya Aeon di Quill Mall, Jalan Sultan Ismail di sini pada 4 petang, 6 Nov lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dihukum penjara dan denda atau sebat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara 14 hari jika dia gagal membayar denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda dikurangkan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga dan telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhd Faizal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA

Cubaan Rompak & Menyamar Polis, Peniaga Dipenjara

in Jenayah/Terkini

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba merompak seorang jurulatih badminton dan menyamar sebagai anggota polis.

Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Al Sufian Abdul Razak, 28, selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan bagi kesalahan cubaan merompak dan 24 bulan lagi kerana menyamar sebagai anggota polis.

Bagaimanapun, Muhammad Al Sufian hanya menjalani hukuman penjara selama 24 bulan selepas mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Julai lepas.

Dia didakwa cuba merompak Tung Kuan Xin, 19, di parkir kereta, Genting Court Condo Setapak, Wangsa Maju, di sini, pada 1.30 pagi, 15 Julai lepas mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Anak kedua daripada empat beradik itu juga didakwa menyamar sebagai anggota polis pada masa dan tempat sama mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi memohon hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda yang minimum dengan alasan dia penanggung utama keluarganya.

“Isteri saya sedang mengandung, saya juga menyara ibu dan adik-adik yang masih bersekolah selepas ayah meninggal dunia, saya mohon hukuman yang minimum dari tarikh saya ditangkap,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika pengadu sedang memakirkan keretanya, tiba-tiba datang seorang lelaki memakai vest berwarna hijau/kuning dengan tulisan ‘Polis’ dan memegang ‘T-Baton’ meminta wang daripadanya.

Pengawal keselamatan yang ternampak kejadian itu telah meminta tertuduh menunjukkan kad kuasa polis, namun dia enggan, lalu tertuduh ditahan. – BERNAMA

Curi 4 Bateri Generator, Bapa 2 Anak Dipenjara

in Jenayah/Terkini

KUALA LUMPUR – Seorang bapa dua anak dipenjara sehari dan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri empat bateri generator.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Arif Akbar Bacha, 25, selepas dia mengaku bersalah mencuri empat bateri tersebut yang bernilai RM1,000 milik pihak pengurusan Mahasa Villa Apartment.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dua lagi yang masih bebas di bilik Telekom Malaysia, Mahasa Villa Apartment, Jalan Persiaran Pelangi, Setapak, di sini pada 5.30 petang, 2 Sept lepas.

Mahkamah turut memerintahkan Muhammad Arif dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan dengan alasan dia perlu menanggung dua anak masih kecil.

Di mahkamah sama, seorang penganggur, Jaafar Mohd Khuzari, 35, dihukum penjara sehari dan denda RM2,500 selepas mengaku bersalah mencuri empat botol kismis jenama Sunmaid Natural California berharga RM75.96 milik Pasaraya UO Superstore, di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini pada 5.10 petang, semalam.

Ahmad Solihin memerintahkan Jaafar dipenjara 30 hari lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Terdahulu, tertuduh memohon denda yang minimum bagaimanapun, Norelynna Hanim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan itu bukan kesalahan pertamanya.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta bagi kesalahan kedua hendaklah diseksa dengan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat. – BERNAMA

Remaja Warga Asing Dipenjara Mengedar Dadah

in Jenayah/Terkini

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini memerintahkan seorang remaja perempuan warga Malawi, Afrika yang didapati bersalah mengedar dadah jenis methampethamine tiga tahun lalu, dipenjara selama tempoh perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Pesuruhjaya Kehakiman, Collin Lawrence Sequerah menjatuhi hukuman tersebut ke atas remaja itu mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan dia berusia 17 tahun, 11 bulan ketika melakukan kesalahan itu.

Mengikut Seksyen 97 akta tersebut, seorang kanak-kanak yang didapati bersalah tidak boleh dikenakan hukuman mati dan akan dipenjarakan di satu tempat selagi tidak mendapat perkenan sultan atau raja.

Remaja itu yang bertudung kelihatan tenang dan kerap menggelengkan kepala semasa mendengar penghakiman yang dibuat terhadapnya ketika prosiding berlangsung.

Dia didapati bersalah atas dakwaan mengedar dadah methampethamine seberat 1,775.4 gram di ruang ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini pada 10.30 pagi, 5 Okt 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Collin dalam penghakimannya berkata keterangan daripada saksi pendakwaan tidak direka-reka serta bukan palsu.

Mahkamah juga mendapati dadah dijumpai di dalam beg yang dibawa tertuduh semasa berada di lapangan terbang.

Seramai 10 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan dijalankan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azrul Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid dan Anthony Chew. – BERNAMA

Rompak Bersenjata: Bekas Pekerja Snuker Dipenjara

in Jenayah/Terkini

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pekerja pusat snuker dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan rompak bersenjata di sebuah kedai serbaneka.

Hakim Zaman Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Shahrizal Azmi, 20, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 17 April lepas.

Tiga lagi rakannya, Muhammad Hafiz Ibrahim, 19, Muhammad Rapi Munir, 20, dan Muhammad Syahidan Shamsudin, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah menetapkan 11 Jan 2017 untuk perbicaraan kes mereka.

Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa bersama-sama merompak wang tunai RM466 dan 17 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM784.50 menggunakan parang, milik kedai serbaneka KK Mart, Jalan Sentul di sini, pada 2.35 pagi, 29 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal memohon hukuman setimpal dengan alasan kes-kes sebegitu kerap berlaku terutama di Lembah Klang.

Bagaimanapun, peguam Zulkifli Awang yang mewakili Muhammad Shahrizal, 20, merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya sudah insaf.

“Tertuduh sudah direman tujuh bulan, dia sudah menyesal atas perbuatannya. Dia juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan,” katanya. – BERNAMA

Tukang Cat Dipenjara 6 Tahun Kendali Harta Berkaitan Daesh

in Terkini

KUALA LUMPUR – Seorang tukang cat kereta dihukum penjara enam tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas dua pertuduhan iaitu mengendalikan harta dan memiliki bahan-bahan berkaitan dengan militan Daesh, Mac lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan memerintahkan Muhammad Aizam Mat Zin, 39, menjalani hukuman penjara empat tahun bagi kesalahan mengendalikan harta pengganas dan dua tahun penjara bagi kesalahan memiliki bahan-bahan berkaitan militan Daesh.

Mahkamah juga memerintahkan Muhammad Aizam menjalani hukuman itu secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap pada 22 Mac lepas.

Dalam keputusannya, Nordin berkata penglibatan tertuduh dalam kumpulan pengganas merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia, kerana ia boleh menyebabkan keadaan huru-hara.

“Kita memang ada ideologi sendiri tapi kita juga tidak mahu ideologi yang berbeza itu mendatangkan mudarat kepada orang lain,” katanya.

Muhammad Aizam yang berasal dari Negeri Sembilan didakwa dengan pengetahuan mengendalikan harta pengganas yang bernama Muhammad Joraimee Awang Raimee, 41, anggota Kumpulan Pengganas Abu Sayaf Group dengan cara memberikan wang sebanyak RM700 bagi kegunaan dan manfaat pengganas tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Ras Hartini Tom Yam Jalan 4/27A, Seksyen 2, Wangsa Maju, pada 11 malam, 26 Dis 2015, mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta tersebut.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga didakwa memiliki 65 keping kertas berukuran A3 dan tiga keping kertas berpelekat berukuran A4 berkaitan kumpulan militan Daesh di Nombor 27, Jalan PUJ 1/14, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor pada 6.20 pagi, 22 Mac lepas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan tersebut jika disabit kesalahan.

Pada 8 dan 10 Jun lepas, Muhammad Aizam didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan Mahkamah Majistret Ampang bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mula mengikuti perjuangan Islamic State (IS) sejak pertengahan tahun 2014 melalui carian dan kajian di media sosial, dia telah menyertai beberapa kumpulan ‘telegram’ berkaitan IS antaranya ‘Al-Qubro Generation (AQB)’,’perintis’, ‘Pantai Timur’ dan kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai ‘Rumah Sedekah Sahabat (RSS)’ dengan menggunakan gelaran ‘Abu Moosa’.

Antara anggota kumpulan telegram itu ialah PC Zamri atau nama sebenarnya Mohd Zamri Mat Zin, Mohd Fadzli Mohd Derus (Botak) dan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi (Wanndy) yang mempunyai aspirasi sama dengan tertuduh iaitu menyokong aktiviti berkaitan IS termasuk mencari infaq (derma) bagi manfaat kumpulan pengganas itu.

Ketika ditahan di rumahnya, beberapa bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS telah ditemui antaranya sebuah buku bertajuk ‘Misteri Pasukan Panji Hitam-Rahsia Thaifah Manahurah (Kumpulan Elit Pasukan Islam)’, empat keping kertas pelekat berukuran A4 yang bercetak logo IS dan 65 keping kertas berukuran A3 yang bercetak logo IS.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam memohon hukuman penjara yang berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan itu serius selain untuk memberi pengajaran kepada orang awam.

Peguam Mohd Fadhly Yaacob yang mewakili Mohammad Aizam merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah menyesal, insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama serta ingin kembali ke pangkuan keluarga. – BERNAMA

Pengawal Keselamatan Dijel Sehari Cekik Wanita

in Jenayah/Terkini

MELAKA – Akibat mendatangkan kecederaan dengan mencekik leher seorang wanita, seorang pengawal keselamatan lelaki dipenjara sehari dan diperintah membayar denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mohd Firdaus Saleh, ke atas tertuduh, Izharuddin Talib, 50, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada wanita berusia 23 tahun dengan mencekik leher mangsa pada jam 10 malam, 5 September lalu, di sebuah rumah di Lorong Hj Said, Bukit Katil, di sini.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashraf Abd Hamid, ketika pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, selain menanggung lima anak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula semalam dan denda RM1,200, namun jika gagal bayar membayar denda boleh dikenakan penjara sebulan, dan tertuduh membayar denda berkenaan. – myMetro Online

1 2 3 9
Go to Top