Laman Utama Tags Posts tagged with "Tsunami"

Tsunami

462

PADA Jumaat, 11 Mac 2016, Jepun memperingati ulang tahun kelima tragedi gempa bumi di luar pantai Lautan Pasifik wilayah Tohuku yang yang mencetuskan tsunami mega, dan seterusnya bencana nuklear.

Kawasan pertanian yang terbiar di Naraha setelah penduduk terpaksa meninggalkan lokasi itu selepas dicemari kesan radioaktif terburuk lima tahun lalu.

Kesan radioaktif itu berpunca daripada gempa bumi yang berlaku di luar pantai Pasifik Wilayah Tohuku yang mencetuskan tsunami dan memusnahkan Loji Janakuasa Nuklear Fukushima Daiichi.

Gempa bumi dasar laut bermagnitud 9.0 serta tsunami yang menyusulinya membawa kemusnahan besar sehingga 16,000 orang terbunuh, dan ramai yang dilaporkan hilang sehingga hari ini.

Badai tsunami dahsyat itu mencapai ketinggian 15.5 meter menyebabkan kemusnahan besar pada loji janakuasa 4,700MW terletak di pantai wilayah Fukushima, dan menyebabkan sisa radioaktif merebak ke persekitaran.

fuku3

Beribu-ribu penduduk tempatan terpaksa dipindahkan dengan banyak daripada kejiranan bertukar menjadi bandar tinggal. Hari ini tempat-tempat yang terjejas kerana gempa bumi dan tsunami hampir pulih sepenuhnya.

Sehinggakan kawasan yang terjejas kerana kesan radioaktif, di luar lingkungan 12 kilometer dari reaktor Fukushima, kehidupan beransur-ansur pulih.

Tsunami yang berlaku membawa kemusnahan besar bangunan dan infrastruktur di sepanjang pantai sejauh beratus-ratus kilometer merentasi banyak daerah dari Aemori hingga Iwate, Miyagi dan Fukushima yang kesemuanya di Honshu, pulau utama Jepun.

Hampir kesemua kawasan yang musnah itu kini telah pulih seperti sedia kala. Bagaimanapun, kesan radiasi di kawasan bencana nuklear masih menimbulkan kebimbangan ramai.

Loji Janakuasa Nuklear Fukushima Daiichi milik syarikat utiliti elektrik terbesar di Jepun, iaitu, Tokyo Electric Power Company, Inc. (Tepco), menjadi perhatian dunia sejak kejadian kemalangan nuklear itu.

fuku4

Tsunami itu membanjiri loji janakuasa itu dan menjejaskan pam kecemasannya yang mengepam air untuk menyejukkan reaktor nuklear yang secara automatik berhenti beroperasi apabila berlaku gempa bumi.

Menurut Hideaki Noro, Pengurus Besar Perhubungan Raya Fukushima Daiichi Decontamination and Decommissioning Engineering Company, sebuah anak syarikat Tepco, loji itu direka bentuk supaya dapat bertahan terhadap tsunami setinggi 5.7 meter dan tidak lebih daripada itu.

Bagaimanapun, loji itu tenggelam di bawah ombak tsunami setinggi 15.5 meter. Tepco memiliki enam reaktor nuklear di loji Fukushima itu tetapi semasa kejadian tiga daripadanya di bawah penyelenggaraan berjadual dan hanya tiga lagi yang beroperasi.

Laporan menunjukkan pancaran radiasi mencapai hampir 400 milli-sieverts sejam (mSv/h) di loji itu semasa tempoh kemuncak berbanding antara 0.02-0.06 mSv/h sebelum kejadian.

Awal bulan ini (Mac 2016), semasa ulang tahun kelima Fukushima semakin hampir, bacaan pancaran radiasi lebih 300 mSv/h direkodkan di tempat kejadian.

fuku5

Mengenang semula insiden 2011 itu, Noro berkata kawasan dalam lingkungan 20 kilometer dari loji janakuasa itu pada awalnya tidak dapat didiami kerana kesan radioaktif.

Menurut laporan, kira-kira 300,000 orang di kawasan-kawasan terjejas terpaksa meninggalkan kediaman mereka dengan hanya sehelai sepinggang.

Mereka terpaksa meninggalkan kesemua barangan milik kerana dicemari kesan radioaktif. Kediaman, kenderaan, tanah dan sehinggakan anjing dan kucing peliharaan mereka turut ditinggalkan.

Bagaimanapun, selepas hampir lima tahun, kawasan terjejas kini mula menyaksikan aktiviti manusia. Terima kasih kerana kerja-kerja dekontaminasi yang dijalankan oleh Tepco.

Pekan Naraha yang terletak di pinggir zon pemindahan di bahagian selatan loji Fukushima itu kini mula menyaksikan aktiviti manusia dengan lebih kurang lima peratus daripada 7,500 penduduknya pulang ke tempat mereka.

fuku6

Di Tomioka, satu lagi pekan yang terletak 12 kilometer dari loji nuklear itu, penduduk hanya boleh pulang ke situ pada sebelah siang dan perlu meninggalkan tempat itu sebelum malam, kata Noro.

Kawasan dalam lingkungan 12 kilometer loji nuklear itu terus kekal sebagai tempat yang tidak selamat bagi manusia memandangkan paras radioaktif masih tinggi, tambah Noro.

Kawasan yang dipindahkan itu kelihatan bagaikan terperangkap dalam relung masa dengan rumah, kedai, stesen minyak, kenderaan dan harta yang ditinggalkan itu terus kekal seperti lima tahun yang lepas, kecuali kini diliputi habuk.

Langsir rumah masih kelihatan separuh terbuka, di pasar raya produk-produk pengguna terus kekal di rak-rak, baju tergantung di penyangkut, kenderaan baru di bilik pameran diliputi habuk dan mesin jual layan diri lengkap dengan minuman di dalamnya kelihatan di tepi-tepi jalan.

Noro berkata Tepco kini melaksanakan kerja-kerja merobohkan loji janakuasa itu dan membersihkan kawasan sekeliling daripada kesan radioaktif dengan tugas itu boleh mengambil masa antara tiga dan empat dekad untuk siap.

fuku7

Sementara itu, Takehiko Mukaiyama, seorang pegawai Forum Industri Atomik Jepun (JAIF) Pusat Kerjasama Antarabangsa (JICC), berkata sebelum kejadian 11 Mac 2011 itu terdapat 54 loji janakuasa nuklear yang beroperasi membekalkan satu pertiga keperluan elektrik di Jepun.

Bagaimanapun, Mukaiyama berkata sejak kejadian 2011 itu operasi kesemua loji tenaga nuklear dihentikan sementara.

Selepas kejadian Fukushima, kerajaan Jepun mewujudkan Lembaga Kawalselia Nuklear (NRA), yang memperkenalkan garis panduan keselamatannya pada September 2014 bagi syarikat-syarikat utiliti yang mahu menyambung semula operasi loji nuklear masing-masing.

Yoshihiro Kamisawa, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Dasar Tenaga Nuklear Kementerian Ekonomi, Pembangunan dan Industri (METI), berkata sehingga hari ini NRA telah memberi lampu hijau kepada empat loji nuklear, dua di Sendai dan dua di Takahama.

Dalam memenuhi peraturan baru itu, Loji Nuklear Mihama di Tsuruga, di Wilayah Fukui, yang dimiliki oleh Kansai Electric Power Co. Inc., memiliki ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan dalam menghadapi bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi dan angin puting beliung.

fuku8

Syarikat juga menambah satu lagi ciri keselamatan baru pada lojinya itu untuk menangani ancaman pengganas, termasuk serangan menggunakan kapal terbang, dengan memperkuatkan bangunan-bangunan yang menempatkan reaktor nuklear dengan dinding yang lebih tebal.

Kamisawa berkata walaupun kejadian Fukushima sedikit sebanyak mencemarkan imej industri tenaga nuklear Jepun, negara itu tidak boleh mengetepikan peranan loji-loji tenaga nuklear ini untuk penjanaan tenaga masa hadapan. – Bernama

** Artikel ini ditulis oleh Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab

625

KUALA LUMPUR – Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku di barat daya Sumatera malam ini.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia setakat ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurut jabatan itu dalam satu kenyataan di sini malam ini, gempa bumi itu berpusat kira-kira 649 km Barat Daya dari Siberut, Indonesia, iaitu 1,163 km Barat Daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan pada 8.49 malam ini.

Berikutan kejadian itu, gegaran dirasai di beberapa tempat di Selangor dan Johor, menurut jabatan itu.

Jabatan itu kini sedang memantau perkembangan gempa bumi itu, dan akan memaklumkan maklumat terkini, menurut kenyataan itu.

Di JAKARTA, INDONESIA, siaran stesen televisyen memetik Ketua Badan Meteorologi Klimatologi dan Geosifika (BMKG) Andi Eka Sakya sebagai berkata gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter dilaporkan berlaku di perairan Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat pada pukul 7.58 malam waktu tempatan.

Menurut Andi, pihaknya telah mengeluarkan amaran potensi berlakunya tsunami.

Laporan televisyen juga menyebut gempa itu turut dirasai sehingga ke Padang di Sumatera Barat, Medan dan Aceh. Kawasan air di pantai Meulaboh di Aceh Barat pula dilaporkan surut secara tiba-tiba dan dikhuatiri sebagai tanda-tanda berlakunya tsunami.

Andi berkata, penduduk diminta tidak panik dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, ribuan penduduk di kawasan pantai di Padang dilaporkan bergerak ke arah kawasan tinggi di Kota Padang sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan dan keadaan di kota itu dilaporkan mengalami kesesakan yang teruk.

Setakat ini, belum ada sebarang laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

Sementara itu, Pengarah Education Malaysia di Jakarta, Dr Juzhar Jusoh ketika dihubungi Bernama berkata, kesemua 314 pelajar Malaysia di Aceh dan 78 pelajar di Andalas, Padang diarah supaya berpindah ke tempat yang selamat.

Katanya, semua ketua-ketua pelajar telah dimaklumkan supaya mengikut arahan yang ditetapkan dan pihak Education Malaysia sedang menguruskan keperluan pelajar.

“Kita sedang memantau keadaan dan menghubungi ketua-ketua pelajar dan setakat ini kesemua pelajar telah tahu apa yang harus mereka lakukan. Mengikut laporan yang diterima, pelajar memberitahu gempa kali ini terasa kuat di Padang dan masa yang berlaku agak lama,” kata beliau.

Beliau berkata, ibu bapa di Malaysia tidak perlu bimbang kerana Education Malaysia mempunyai sistem prosedur bagi menghadapi sebarang bencana alam dengan melantik seorang ketua bagi setiap 10 orang pelajar.

Juzhar berkata, menerusi sistem itu, semua ketua pelajar akan memastikan anggota kumpulannya dapat berhimpun dan tiada sesiapa yang akan ketinggalan. – BERNAMA

 

 

958

KUANTAN – Fenomena ribuan kerang terdampar di Pantai Mempisang, Tanjung Gemuk, Rompin dan Pantai Sura, Dungun, Terengganu minggu ini tiada kaitan dengan tsunami seperti tanggapan sesetengah pihak.

Menurut Dekan Fakulti Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar, kejadian itu sebaliknya berkait rapat dengan ombak besar dan kejadian hakisan pantai.

“Dis tahun lepas di Pantai Mempisang juga dilaporkan tentang kejadian kepah naik ke pantai dan ketika itu berlaku ombak besar bersama hujan lebat.

“Begitu juga kejadian yang sama pada tahun ini di Pantai Sura dan Pantai Mempisang, ia berkait dengan faktor angin monsun yang kuat berserta ombak besar ditambah dengan hakisan pantai.

“Ia menyebabkan spesies kerang berbulu ini yang hidup berhampiran pantai bercampur sedikit lumpur terdampar ke pantai disebabkan arus pengangkut yang kuat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya spesies kerang berbulu, nama saintifiknya Anadara Spilula, adalah hidupan biasa yang boleh didapati berhampiran pantai dan turut mempunyai kaitan dengan spesies kerang lain seperti Anadara Granosa, Anadara Indica dan Anadara Inequiualuis.

“Jika hendak dikaitkan dengan petanda tsunami seperti yang berlaku di Pulau Pinang pada Dis 2004, ia berbeza kerana kebiasaannya sejam sebelum kejadian itu air laut akan surut luar biasa menyebabkan banyak spesies ikan laut terdampar di pantai,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita yang tidak tepat berhubung fenomena tersebut. – BERNAMA

265

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menyertai satu eksesais tsunami yang dinamakan Eksesais Gelombang Pasifik 2016 (PacWave16), Khamis ini, yang akan meliputi latihan komunikasi dengan penghantaran maklumat.

Untuk itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik atau mudah terpengaruh dengan sebarang khabar angin yang mungkin disebarkan melalui media sosial sepanjang eksesais itu dijalankan, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut jabatan itu, antara agensi kerajaan yang akan terlibat dalam program itu ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Program ini merupakan sebahagian daripada eksesais tsunami yang akan disertai 16 negara termasuk Malaysia di persekitaran kawasan barat laut Pasifik selama lima hari mulai esok, menurut jabatan itu.

“Ia bertujuan menguji prosedur pengurusan bencana setiap negara serta penggunaan produk ramalan Pusat Advisori Tsunami Barat Laut Pasifik (NWPTAC) di Jepun,” menurut jabatan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung latihan itu boleh menghubungi Pusat Amaran Awal Tsunami, MetMalaysia di talian 03-79678066 atau hotline 1-300-22-1638.

Sementara itu, kenyataan Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan berhubung program tsunami menyatakan eksesais secara meluas itu merupakan cara berkesan bagi menilai kesediaan Sistem Mitigasi dan Amaran Tsunami Pasifik (PTWS) negara-negara berkenaan dan mengenal pasti perubahan yang boleh meningkatkan keberkesanannya.

Eksesais itu akan menggunakan pelbagai senario di Pasifik disertai produk mesej tsunami dari Pusat Amaran Tsunami Barat Laut Pasifik (NWPTAC) dari Jepun.

PacWave16, eksesais serantau yang ditetapkan Pusat Tumpuan Amaran Tsunami (TWFP) bagi menerima Advisori Tsunami Barat Laut Pasifik (NWPTA) dari Pusat Advisori Tsunami Barat Laut Pasifik bagi Agensi Meteorologi Jepun (JMA NWPTAC).

Eksesais itu bertujuan untuk menyokong pembangunan prosedur tsunami yang lebih baik dan produk NWPTAC yang dipertingkatkan.

Maklum balas daripada PacWave16, dan daripada eksesais antarabangsa yang akan datang, PacWave17, akan digunakan untuk memuktamadkan Produk NWPTAC yang dipertingkatkan untuk dilaksanakan secara rasmi pada 2018.

Selain Malaysia, 15 negara lain yang mengambil bahagian adalah Brunei Darussalam, Kemboja, China, Micronesia, French Polynesia, Indonesia, Palau, Papua New Guinea, Filipina, Korea Selatan, Rusia, Singapura, Solomon Islands, Thailand, dan Vietnam. – BERNAMA

415

ALOR SETAR – Walaupun sudah lebih sedekad tragedi Tsunami 2004 melanda, namun Kedah terutamanya Pulau Langkawi dan Kota Kuala Muda masih berisiko untuk dilanda tsunami, kata Pengarah Meteorologi Kedah Rosli Zakaria@Che Kob.

Beliau berkata, ia disebabkan kedudukan geografi kawasan berkenaan yang berdekatan dengan kawasan sebelah Barat Sumatera yang merupakan kawasan aktif berlakunya gempa bumi.

Langkawi katanya, berisiko tinggi terkena tsunami terlebih dahulu, memandangkan tsunami pada 2004 menyaksikan jarak antara pusat gempa dengan Pantai Chenang lebih dekat.

“Mengikut jarak rentas (lurus) antara pusat gempa dengan Langkawi, kita anggarkan 550 kilometer, tapi kalau jarak sebenar ombak tsunami boleh bergerak ialah hampir 1,000 kilometer,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Malah beliau berkata kesan tsunami akibat gempa bumi di Lautan Hindi-Barat Laut Sumatera, pada 26 Dis 2004 menyaksikan Pantai Chenang di Langkawi mencatatkan ketinggian ombak 3.7 meter, dan masa ketibaan tiga jam 15 minit dan Kuala Muda pula mencatat ketinggian ombak 3.9 meter dengan masa ketibaan empat jam 32 minit.

Tsunami yang membadai beberapa negara pada 2004 turut menyebabkan Kedah terkena tempias tsunami, dengan 10 kematian di Kota Kuala Muda dan satu di Langkawi.

“Risiko tsunami sentiasa ada sebab kawasan di Utara dan sebelah Barat Sumatera memang kita panggil kawasan aktif disebabkan oleh pertembungan dua plat tektonik yang menyebabkan gempa bumi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau berkata, untuk tempias tsunami sampai ke negeri ini, gempa bumi yang berlaku perlulah melebihi magnitud 8.0 pada Skala Richter di kawasan Sumatera terlibat.

Kata beliau buat masa ini terdapat lapan stesen seismologi di negeri ini yang berupaya mengesan kejadian gempa bumi dan lapan siren tsunami yang berfungsi untuk memberikan amaran awal sekiranya ada kemungkinan tsunami akan berlaku.

Lima daripada siren itu katanya, berada di Langkawi iaitu Pantai Cenang, Padang Mat Sirat, Telaga Harbour, Kuala Teriang dan Pantai Pasir Hitam manakala tiga di tanah besar iaitu Kota Kuala Muda, Tanjung Dawai dan Kuala Kedah.

Rosli turut berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi penyelamat lain khusus dalam memastikan kesiapsiagaan sekiranya berlaku apa-apa juga bencana. – BERNAMA

647

GEORGETOWN – ‘Bayi ajaib tsunami’ S. Thulaasi bersyukur terselamat dalam gelombang pembunuh itu dan kini menyasarkan matlamat untuk meraih 8A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan.

Dia tidak mengingati hari malang itu, yang menghanyutkan tilamnya ke laut Batu Ferringhi oleh gelombang besar yang membadai Pulau Pinang pada ‘Boxing Day’ tahun 2004 sebelum ombak kedua, membawanya kembali ke kawasan pantai dalam keadaan masih nyenyak tidur di atas tilamnya.

Bagaimanapun dia yang baru berusia 22 hari ketika musibah tersebut berkata, dia tahu ianya adalah satu keajaiban untuk terus hidup pada masa itu seterusnya mengajar diri agar jadi lebih bersemangat dalam kehidupan.

Periang dan aktif, pelajar berusia 11 tahun yang menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ini, berazam mencapai 8A dalam UPSR tahun depan.

“Saya kini lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan meraih semua A dalam peperiksaan UPSR,” katanya kepada pemberita pada majlis kesyukuran dan doa yang dianjurkan oleh bapanya A. Suppiah di pantai itu.

Dalam kejadian itu, Thulaasi sedang nyenyak tidur di dalam biliknya apabila tsunami Lautan Hindi membadai 13 negara termasuk Malaysia, membunuh lebih 200,000 orang dan 1.7 juta kehilangan tempat tinggal.

Suppiah, 66; berkata anak perempuannya tidak takut dengan laut dan dia akan keluar berenang bersama saudara-maranya apabila mereka datang menziarah.

Beliau berkata setiap tahun, keluarganya akan mengadakan majlis kesyukuran dan keagamaan di tapak itu.

“Kami terselamat sehingga hari ini kerana kehendak Tuhan dan kami tidak akan melupakan tragedi ini, dan kami akan teruskan kehidupan ini dan juga berbangga dengan Thulaasi kerana beliau mendapat keputusan yang baik di sekolah,” katanya.

Pelancong, A. Thila, 40; dari Puchong, Selangor berkata mereka mengetahui mengenai bayi ajaib tsunami selepas mengunjungi kafe Suppiah, di sini.

Wanita itu berkata mereka tidak menyedari upacara keagamaan diadakan di tapak itu setiap tahun dan ini pertama kali mereka bertemu Thulaasi, bayi bertuah itu.

“Kami banyak belajar semasa tsunami kerana orang ramai berjuang untuk hidup dan ia mengajar kami untuk menghargai kehidupan kami,” kata pegawai bank itu.

Ombak gergasi tsunami tercetus berikutan gempa bumi berukuran 9.3 pada skala Richter di bawah dasar laut ke barat pulau Sumatera, Indonesia pada 26 Disember 2004, meragut lebih 200,000 mangsa di Indonesia, Thailand, India, Maldives dan Sri Lanka.

Ramai yang terbunuh adalah pelancong, menikmati cuti Krismas mereka di kawasan panas seperti Phuket di Thailand, manakala Aceh paling teruk mengalami kemusnahan kerana kedudukannya paling dekat dengan pusat gempa itu.- BERNAMA

1274

BERIBU-ribu ikan kecil yang kebiasaannya hanya berenang di tengah lautan dilihat berpusu-pusu melompat naik ke daratan.

Menerusi video yang dimuat naik pada 3 Ogos lalu, fenomena yang mengejutkan penduduk setempat ini berlaku di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.


Kejadian ikan menyerah diri di Teluk Sepanggar… by mynewshub

Kejadian ‘ikan menyerah diri’ ini dikatakan berlaku akibat peralihan air sejuk ke panas yang boleh menyebabkan haba dari mantel bumi bertindak lebih pantas berbanding kebiasaan.

Ikan di laut akan berlumba-lumba untuk naik ke atas daratan bagi mencari udara sejuk seperti mana kejadian yang sama juga dilaporkan pernah berlaku pada 2013 di persisiran pantai Kampung Tambisan Darat, Lahad Datu.

Sebelum ini, ada yang beranggapan bahawa kejadian aneh ini merupakan petanda awal mengenai kedatangan bencana alam Tsunami.

Di mana kejadian tsunami yang berlaku di Acheh pada 26 Disember 2004 juga turut mencatatkan tanda-tanda pelik sebelum berlaku bencana alam tersebut.

Namun perkara tersebut mungkin adalah kebetulan disebabkan tiada bukti kukuh bagi membuktikan kesahihannya.

Apa-apa pun, kita doakan tiada kejadian buruk yang berlaku dan setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmah yang dapat kita fikirkan bersama.-MYNEWSHUB.CC

Oleh: hzq

519

JUNEAU, Alaska – Ratusan tan serpihan marin dikumpul sepanjang pesisir pantai Alaska dan British Columbia menerusi penganjuran program pembersihan yang pertama seumpamanya.

Sebuah tongkang dilihat penuh dengan muatan beg, timbunan pembungkus makanan, botol, alatan memancing, ribuan boya, pelampung dan serpihan lain tiba di Seattle pada Khamis lalu selepas mengangkut muatan pertama di Kodiak, Alaska.

Sebahagian serpihan itu dipercayai dipukul ombak semasa kejadian tsunami pada 2011 di Jepun yang mengorbankan ribuan nyawa.

Bagaimanapun serpihan marin secara umumnya termasuk sampah seperti plastik dan pukat dilihat sebagai masalah alam sekitar yang berterusan.

Di Seattle, sukarelawan mula memunggah timbunan muatan itu dan mengasingkannya untuk tujuan kitar semula, malahan ada yang dibawa ke pusat perlupusan di Oregon.

Proses ini dijangka mengambil masa sehingga bulan depan, menurut Koordinator Serpihan Marin Tsunami, Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar Alaska, Janna Stewart.

“Selepas melalui perjalanan jauh, akhirnya tongkang ini tiba dan proses memunggahkan muatan dapat dimulakan dengan bantuan helikopter,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gulf of Alaska Keeper, Chris Pallister berharap sukarelawan dari Jepun dapat tampil untuk membantu mengenal pasti barangan dari negara itu supaya ia dapat dipulangkan ke tempat asal. – mStar

738

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini menafikan telah mengeluarkan amaran bahawa tsunami akan melanda Pulau Pinang, Langkawi dan Perlis seperti yang tersebar di internet.

Justeru, jabatan itu dalam kenyataan akhbar di sini menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang nasihat atau amaran yang tersebar dalam media sosial yang sumbernya bukan daripada MetMalaysia.

“Untuk pengesahan maklumat sila rujuk laman sesawang MetMalaysia di http://www.met.gov.my atau mobile web rasmi m.met.gov.my atau facebook https://www.facebook.com/malaysiamet,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai juga boleh merujuk laman twitter jabatan itu di https://twitter.com/malaysiamet atau hubungi MetMalaysia hotline di talian 1-300-22-1MET (1638).

Dakwaan mengenai tsunami akan melanda Pulau Pinang, Langkawi dan Perlis itu tersebar di laman sosial pada Jumaat. – BERNAMA

567

TOKYO – Jepun keluarkan amaran tsunami sehingga satu meter susulan gempa bumi 6.9 magnitud landa utara negara awal hari ini.

Agensi Meteorologi Jepun dalam kenyataannya meramalkan ombak setinggi satu meter itu dijangka melanda pantai utara jam 8.30 pagi ini waktu tempatan. – AFP

785

BANDA ACEH – Lebih 7,000 orang berhimpun di Masjid Agung Baiturrahman di sini bagi memperingati genap sedekad tragedi tsunami melanda ibu wilayah Aceh itu hari ini yang turut mengorbankan lebih 220,000 nyawa di 14 buah negara sekitar Lautan Hindi.

Suasana sekitar Masjid Agung Baiturrahman di Banda Aceh selepas bencana tsunami pada 26 Disember 2004.

Masjid berkubah hitam itu mula terkenal di seluruh dunia ekoran visual disiarkan stesen televisyen memaparkan suasana ngeri air laut deras membawa ribuan mayat dan runtuhan bangunan mengelilingi rumah ibadat tersebut yang masih teguh tidak terusik.

Selain penduduk tempatan, mangsa yang terselamat daripada musibah itu, petugas agensi kecemasan antarabangsa dan pelancong asing turut berkumpul di pekarangan masjid untuk bertafakur serta berdoa bagi mengenang mereka yang maut dalam peristiwa tersebut.

Tepat pukul 8 pagi (9 pagi waktu Malaysia), seluruh Aceh senyap sunyi seketika sebagai menandakan masa gempa bumi 9.3 skala Richter – ketiga terkuat di dunia; mula bergegar selama 10 minit pada 26 Disember 2004 sebelum disusuli tsunami setinggi 30 meter.

Gabenor Aceh, Zaini Abdullah dalam ucapan ringkas menyatakan terima kasih kepada masyarakat antarabangsa kerana membantu memulihkan semula wilayah itu selepas tragedi yang membunuh 170,000 orang khasnya di sekitar pulau Sumatera, Indonesia.

Beliau malah berkata, bencana dahsyat yang asalnya disebabkan gempa bumi itu membawa hikmah tersendiri apabila berjaya menamatkan konflik berdarah puluhan tahun antara gerakan pemisah kemerdekaan Aceh dengan pemerintah pusat Jakarta.

Dianggarkan kira-kira AS$13.5 bilion (RM47 bilion) dana pelbagai pihak dari serata dunia bagi membangunkan kembali wilayah Aceh yang hancur termasuk membina semula lebih 140,000 rumah penduduk, ribuan kilometer jalan raya, hospital dan sekolah baharu.

Selain Indonesia, turut dibadai tsunami terkuat dalam sejarah itu ialah Thailand apabila hampir 5,400 orang terkorban, India (18,000 maut), Sri Lanka (31,000 maut), Maldives (82 maut), Myanmar (61 maut), Malaysia (68 maut) dan Somalia (280 maut). – Agensi

869

SUNGAI PETANI – Sungguhpun 10 tahun sudah berlalu, namun kesedihan kehilangan insan tersayang serta tempat berteduh dalam bencana tsunami terus meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan penduduk Kota Kuala Muda di sini.

Kampung Kepala Jalan, Kampung Tepi Sungai dan Kampung Masjid Tsunami antara yang terjejas teruk oleh tsunami yang membadai pada 26 Dis 2004 manakala 11 individu terdiri daripada warga emas, dewasa, remaja orang kurang upaya (OKU), dan kanak-kanak, terkorban dalam bencana alam itu.

Tidak pernah terlintas di fikiran penduduk bahawa rumah yang dihuni sejak puluhan tahun akhirnya rebah ke bumi dihempas pukulan ombak besar yang datang secara tiba-tiba, sedangkan cuaca ketika itu baik dan cerah.

“Kuasa Tuhan, tiada siapa yang dapat menduga apa yang akan berlaku,” luah , Yaacob Ismail, penduduk Kampung Tepi Sungai kepada Bernama di sini, hari ini.

Yaacob, 58, bukan sahaja kehilangan rumah, malah ibu mentuanya yang lumpuh, Siti Aminah, 60-an, sewaktu ombak tsunami membadai kampung berkenaan.

Menceritakan detik yang memilukan itu, Yaacob berkata, ada tiga buah rumah yang mengadakan kenduri pada hari kejadian dan dia bergegas pulang dari sebuah daripada rumah kenduri itu selepas ombak pertama membadai.

“Ketika itu mak mentua saya berada di dalam rumah, saya dibantu dua anak lelaki cuba menyelamatkannya namun selepas ombak kedua membadai, keadaan menjadi kelam-kabut dan dia meninggal dunia tidak lama selepas kami berjaya mengangkatnya ke tempat selamat.

“Saya sendiri kesakitan apabila sebuah kereta yang dihanyutkan air laut, menghentam badan saya sewaktu cuba menyelamatkan diri. Sudah 48 tahun saya tinggal di sini dan tidak menyangka peristiwa sebegini akan berlaku,” katanya.

Berbeza pula kisah Yaacob Abd Rahman, 63, dari Kampung Masjid, yang mengalami masalah jantung, yang tiga kali pengsan pada hari kejadian akibat terkejut.

“Saya baru pulang daripada menziarah seorang penduduk yang meninggal dunia, lepas itu saya ke rumah kenduri yang berdekatan, sebelum balik semula ke rumah selepas digesa rakan yang bimbang dengan keadaan kesihatan saya selepas melihat muka saya yang pucat.

“Sampai di rumah, saya duduk termenung sebelum dikejutkan anak yang mengatakan air naik, saya dan isteri bersama tiga lagi anak terus lari menyelamatkan diri. Tiga kali saya pengsan hari itu akibat terkejut,” katanya.

Trauma dengan kejadian yang berkaku, Yaacob berkata lebih sebulan selepas kejadian baru dia berani mengagahkan diri untuk pulang ke rumah, dan kejadian yang berlaku itu menjadikannya lebih berhati-hati.

Seorang lagi penduduk Kampung Masjid, Abd Halim Abdullah, 61, berkata selepas gelombang kedua datang, banyak rumah yang runtuh dan dia keluar dari rumah untuk melihat keadaan sekitar.

“Apabila pulang semula ke rumah, saya terpisah dengan isteri dan anak-anak yang sudah pun bergerak ke tempat yang lebih selamat. Mujurlah kami bertemu semula selepas itu dan semuanya berada dalam keadaan selamat.

“Itu kisah 10 tahun lalu, ia jadi pengajaran dan peringatan kepada kami kerana jika berlaku gempa bumi, dalam tempoh tiga jam selepas gempa, kita perlu jauhkan diri dari kawasan pantai dan berada di tempat selamat,” katanya.

Bagi Norashikin Md Saad, 40, juga dari Kampung Masjid, dia pada mulanya tidak percaya apabila diberitahu anak-anaknya yang ketika itu berusia empat dan lima tahun, bahawa ada ombak besar dari pantai sehinggalah melihat sendiri air laut semakin hampir dengan rumahnya.

“Ketika itu, anak-anak bermain di tepi pantai dan terus berlari pulang untuk memberitahu saya, saya tidak percaya, bila nampak air dah dekat baru saya percaya dan terus mengajak ketiga-tiga anak saya, termasuk seorang lagi berusia 11 tahun lari ke tingkat dua rumah abang saya yang terletak tidak jauh dari rumah kami

“Rupanya lebih kurang 20 orang lain turut berada di situ. Hingga kini perasaan takut masih ada namun saya lebih bersedia termasuklah memastikan dokumen penting diletakkan di tempat selamat dan mudah dicapai,” katanya yang berharap agar kejadian sama tidak berulang.

Napisah Yusoff, 32, yang ketika kejadian masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim, dekat sini, berkata ketika kejadian dia baru sahaja bercuti selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Di sini memang tidak ada banjir namun selepas dilanda tsunami, saya sedar yang musibah itu boleh datang pada bila-bila masa,” katanya. – BERNAMA

887

SEORANG mangsa tsunami, L Annalmary, 52, masih lagi menyimpan pakaian yang dipakai bayinya, S.Thulasi ketika bencana itu berlaku 10 tahun lalu.

Memetik Sinar Harian, ombak tsunami membadai kedai minumannya yang terletak di Pantai Miami, Batu Ferringhi pada 26 Disember 2004.

Menurutnya, pada masa kejadian Thulasi baru berusia 22 hari sedang tidur di atas timlam dalam sebuah bilik di kedai bapanya dihanyutkan ombak tsunami bersama tilamnya ke tengah laut.

Seolah-olah satu keajaiban apabila beberapa minit kemudian, anaknya kembali ke tempat asal mengikut arus ombak tinggi kedua yang melanda kawasan tersebut.

Sejak insiden itu berlaku, Thulasi mendapat nama timangan di kalangan masyarakat setempat sebagai Tsunami Baby. – MYNEWSHUB.CC

1483

10 tahun sudah berlalu sejak bencana Tsunami menyerang Acheh, Thailand, Sri Lanka dan Malaysia yang turut menjadi mangsa ombak ganas tersebut.

Dalam malapetaka paling dashyat dalam sejarah dunia itu, Acheh paling teruk terjejas dengan kebanyakan 227,898 mangsa korban merupakan penduduk Acheh.

Momen emosional ini paling dirasai wartawan saluran berita BBC, Andrew Harding yang telah pergi semula melawat Acheh selepas sedekad insiden itu berlaku.

Dan yang paling meninggalkan kesan buat dirinya pastinya ketika menemui semula seorang mangsa yang terselamat iaitu Mawardah Priyanka yang ketika itu baru sahaja berusia 11 tahun.

Mawardah dan kakaknya, Mutiyah bernasib baik terselamat tetapi mereka menjadi anak yatim piatu apabila kedua ibu bapa terkorban dalam insiden tersebut.

Dan kini berusia 21 tahun, Mawardah bertemu semula dengan wartawan yang suatu ketika dahulu membuat liputan mengenai bencana yang menimpa kawasan kejiranannya.

Memang mengharukan dan tsunami pastinya menyimpan kenangan tersendiri yang pastinya tidak akan pernah luput dalam minda Mawardah dan Andrew sampai bila-bila pun. – MYNEWSHUB.CC

bbc

Oleh:  JULIANA JOHAR 

 

234

NEW YORK – Simulasi tsunami yang diberi nama ‘Latih Amal Indian Ocean Wave 2014 (IOWave14) yang dilakukan dalam kalangan 24 negara termasuk Malaysia mendapati negara-negara berkenaan lebih bersedia menghadapi kemungkinan berlaku tsunami sekali lagi.

Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudyaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova, berkata ujian latihan itu dilakukan pada 9 dan 10 September lalu.

Beliau berkata, PBB telah membentuk sistem amaran untuk menilai aliran komunikasi dan kesediaan di wilayah Lautan Hindi dan ia didapati berfungsi dengan berkesan.

“Sistem itu adalah pencapaian besar dalam kerjasama saintifik global dan mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Hampir suku juta nyawa terkorban semasa kejadian tsunami di 12 negara di lingkaran Lautan Hindi sedekad lalu.

Bokova berkata, laporan susulan yang mengandungi butiran terperinci penilaian latihan akan diterbitkan November ini.

IOWave14 menggunakan dua senario iaitu berdasarkan gempa bumi berskala 9.1 di selatan Jawa, Indonesia pada 9 September dan gempa berskala 9.0 di Makran Trench, selatan Iran dan Pakistan.

Kedua-dua gempa itu boleh mendatangkan ancaman tsunami di Lautan Hindi. – BERNAMA

1180

JABATAN Meteorologi Malaysia meminta orang awam mengabaikan sebarang maklumat palsu berkaitan kejadian tsunami yang tersebar di media sosial kononnya bakal melanda kawasan pantai sekitar utara Semenanjung.

Kenyataan yang dikeluarkan melalui laman rasmi Facebook jabatan itu, Malaysian Meteorological Department.

tsunamitipu

Katanya, jabatan itu sedang menjalankan Latihan Komunikasi Exercise Indian Ocean Wave (IOWAVE) 2014 pada hari ini dan esok. Ia membabitkan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Sekiranya berlaku ancaman tsunami sebenar dalam tempoh latih amal pada 9 dan 10 September 2014, maka latih amal tersebut akan dihentikan,” katanya.

Sebanyak 24 negara terlibat dalam latihan menghadapi tsunami selepas 10 tahun kejadian tsunami melanda Acheh yang mengorbankan lebih 300,000 nyawa pada 2004.

Negara yang terlibat dalam latihan itu adalah Australia, Bangladesh, Comoros, France (Réunion), India, Indonesia, Iran, Kenya, Madagascar, Malaysia, Maldives, Mauritius, Mozambique, Myanmar, Oman, Pakistan, Seychelles, Singapore, Afrika Selatan, Sri Lanka, Tanzania, Thailand, Timor-Leste dan Yemen. :-MYNEWSHUB.CC

Oleh: SYA