Bukan Berita Online Biasa

SEBAHAGIAN bangkai penyu hijau yang ditemui terdampar di Pulau Tiga, Kudat dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. - Foto ehsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

19 Bangkai Penyu Ditemui Di Pulau Tiga, Sabah

in Terkini

KOTA KINABALU – Pihak berkuasa menemui 19 bangkai penyu hijau di Pulau Tiga di utara Pulau Balambangan dan Banggi dekat perairan Kudat, Khamis lalu.

Ia hasil pemeriksaan sepasukan renjer Jabatan Hidupan Liar dan Taman-Taman Sabah yang diiringi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) susulan maklumat berhubung penemuan bangkai hidupan marin terbabit.

Perjalanan ke pulau tanpa penghuni itu mengambil masa dua jam perjalanan dengan bot laju dari pekan Karakit di Pulau Banggi.


Pegawai Hidupan Liar Pantai Barat, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Roland Niun, berkata kes itu sama seperti penemuan 50 bangkai penyu di pulau sama tahun lalu.

“Kita mengesyaki penyu terbabit cuba diseludup secara hidup ke negara jiran melalui jalan laut, namun gagal berbuat demikian berikutan kekerapan rondaan oleh APMM dan PPM.

“Ini kerana pulau berkenaan terletak di kedudukan strategik iaitu paling hampir dengan Filipina dan tidak berpenghuni,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, William Baya, menyifatkan penemuan 19 bangkai penyu hijau itu sebagai tragedi apabila mengambil kira kes sama berlaku di pulau terbabit pada tahun lalu.

“Jabatan Hidupan Liar berharap dapat bekerjasama dengan APMM dan PPM serta agensi keselamatan lain untuk mengawal dan menangkap individu yang bertanggungjawab ke atas perbuatan kejam ini.

“Orang ramai yang mempunyai berhubung kes berkenaan boleh menghubungi talian 012-8019289 bagi membantu siasatan,” katanya. – BH Online

https://www.youtube.com/watch?v=mkEKT1AKVjE

Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top