30 Pelajar UniSZA Ikuti Sijil Tahfiz Al-Quran

in Terkini

KUALA NERUS – Seramai 30 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang terpilih akan mengikuti Sijil Tahfiz al-Quran UniSZA bermula September ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniSZA, Profesor Dr Mahadzirah Mohamad berkata sijil tahfiz al-Quran UniSZA itu adalah kursus secara amali berpakej yang ditawarkan selama enam semester bermula pada semester satu setiap sesi pengajian.

“Pelajar ini perlu menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh enam semester untuk membolehkan mereka menerima sijil Tahfiz Al-Quran UniSZA.

“Sepanjang tempoh itu, kursus akan dikendalikan oleh tenaga akademik yang memiliki kepakaran dan berpengalaman dalam bidang al-Quran,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Waktu pembelajaran adalah selama dua jam pada waktu malam dan dijadualkan berlangsung setiap hari Ahad, Selasa dan Khamis.

Beliau berkata kaedah pembahagian juzuk pula adalah lima juzuk untuk setiap semester dan sehingga menjelang enam semester, kesemua pelajar ini akan berjaya menghafaz sehingga 30 juzuk.

“Penganugerahan Sijil Tahfiz al-Quran UniSZA ini turut mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mereka yang berjaya menghafal 30 juzuk.

“Bagi pelajar yang tidak khatam tetapi berjaya menghafaz 15 juzuk ke atas pula akan memperoleh Sijil Perakuan Hafazan al-Quran”, katanya.

Tambahnya lagi, dengan adanya program itu, ia akan mendukung imej keislaman UniSZA dalam melahirkan graduan seimbang dari sudut akademik dan rohani.

“Kita berharap ia akan menjadi satu universiti perdana yang diterjemahkan dalam bentuk imej dan ciri keunikan graduan UniSZA sebagai golongan profesional huffaz”, katanya. – BERNAMA

Loading...