Bukan Berita Online Biasa

31 Bayi Maulidur Rasul Dilahirkan Di HSNZ

in Terkini

KUALA TERENGGANU – Sejumlah 31 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada 12 Rabiul Awal yang merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Rata-rata ibu bayi bertuah itu menyatakan perasaan gembira dan bersyukur kerana melahirkan anak pada hari kebesaran umat Islam di seluruh dunia.

Ketika insan lain sibuk mengadakan pelbagai persiapan bagi memperingati hari keputeraan Rasulullah SAW malam tadi, seorang bayi lelaki seberat 2.8 kilogram merupakan bayi pertama yang selamat dilahirkan di hospital berkenaan pada pada hari bersejarah yang disambut seluruh umat Islam itu.


Ibu bayi itu Erma Dilla Awang, 25, dan suaminya Shamsul Amri Shahir, 28, tidak menyangka bayi sulung itu akan lahir pada hari Maulidur Rasul.

Erma yang merupakan seorang Pembantu Klinik di Besut berazam membesarkan anaknya dengan memberikan pendidikan yang sempurna supaya anaknya menjadi insan yang berguna apabila dewasa nanti.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya apabila anak yang dijangka lahir pada 5 Januari lahir dua hari awal dan lebih menggembirakan selain lahir pada 12 Rabiul Awal,” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini hari ini.

Sehingga pukul 5 petang tadi,17 bayi lelaki dan 14 bayi perempuan selamat dilahirkan di hospital berkenaan.

Dalam pada itu Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman bersama Isteri Toh Puan Harlina Zakaria turut meluangkan masa melawat bayi bertuah itu.

Beliau berkata bermula 1 Jan hingga hari ini lebih 100 bayi telah dilahirkan di Terengganu dihadiahkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Katanya langkah yang dilakukan itu sebagai jaminan pembelajaran dan persiapan awal pendidikan di masa depan.

“Ini juga bagi menggalakkan para ibu bapa untuk menabung bagi memberi jaminan kepada anak-anak mereka pada masa depan,” katanya. – BERNAMA

Terkini dari Terkini

Go to Top