Bukan Berita Online Biasa

40,000 Belia Sertai Malaysian United Run 2017

in Terkini

SEPANG – Larian Amal Malaysian United Run 2017 (MUR2017) hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 40,000 belia dari 60 universiti dan kolej di seluruh negara mengambil bahagian di Litar Sepang Antarabangsa di sini hari ini.

Program anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) yang diiktiraf sebagai Penyertaan Terbesar Belia Dalam Larian oleh BrandLaureate turut disertai Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang juga merangkap Penaung IOJ berkata kejayaan MUR2017 itu merupakan sesuatu yang membanggakan kerana berjaya menghimpunkan peserta berbilang bangsa, budaya, keturunan dan pelbagai peringkat umur.

“Ini merupakan petanda baik kepada negara kerana kita juga dapat terjemahkan penyatuan rakyat melalui acara sebegini, ia merupakan kekuatan negara kita.

“Saya berasa bangga dan sangat berpuas hati dengan MUR kali ini, bukan mudah untuk himpunkan seramai ini,” katanya pada sidang media selepas selesai mengambil bahagian dalam larian lima kilometer di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan dana yang dikumpul IOJ sebanyak RM250,000 kepada 50 kanak-kanak kurang bernasib baik.

Beliau mengharapkan program seperti MUR2017 dapat diteruskan dan diperbanyakkan lagi di masa akan datang dan lebih banyak pihak tampil menjayakan program amal sebegini.

“Sekalipun berbeza kepercayaan, budaya mahupun warna kulit, kita seharusnya berkongsi amanah dan tanggungjawab untuk membela nasib dan kebajikan golongan yang kurang bernasib baik di negara ini,” katanya.

MUR juga pernah mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Largest Participation of College Students in Volunterism Campaign Run’ pada 2015. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top