Bukan Berita Online Biasa

80 Pelajar Kolej Komuniti Sertai Program BaTS

in Terkini

JELEBU – Seramai 80 pelajar Kolej Komuniti menyertai Program Back To Start (BaTS) yang menekankan kemahiran kepimpinan melalui pembelajaran di luar bilik kuliah bagi mengimbangi keperluan pendidikan sejajar dengan pembangunan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata program tiga hari yang berakhir hari ini disertai pelajar kolej komuniti dari empat buah negeri iaitu Selangor, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kem ini diadakan untuk memberi kemahiran yang berkaitan dengan kepimpinan untuk pelajar supaya mereka tidak sahaja berjaya di dalam kursus yang diambil tetapi matlamat utama kita supaya mereka menjadi seorang pemimpin kepada masyarakat setempat.

“Di akhir program ini diharap para pelajar dapat mengenal potensi diri serta bersedia menjadi pemimpin dalam pelbagai cabang dan dapat menghasilkan graduan yang holistik seiring dengan kemajuan negara,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan majlis penutupan Program BaTS di Kem D’Agroloka di sini, hari ini.

Turut hadir ADUN Klawang Datuk Yunus Rahmat dan Pengarah Kolej Komuniti Jelebu Lt.Kol.Bersekutu (PA) Muhammad Aznor Abdul Aziz.

Sementara itu, Muhammad Aznor berkata pelajar Kolej Komuniti merupakan salah satu kelompok belia yang akan menerajui negara Malaysia pada masa akan datang, justeru itu Program BaTS ini menjadi platform yang sesuai bagi mencapai hasrat tersebut.

“Program ini merupakan salah satu medium bagi para pelajar untuk mencungkil potensi diri, jatidiri dan keyakinan serta menonjolkan bakat-bakat kepimpinan melalui modul-modul yang disediakan.

“Selain memberikan kemahiran ‘soft skills’ kepada pelajar, ini merupakan satu alternatif yang saya kira cukup baik untuk diteruskan di masa akan datang dalam memberikan pendidikan kepada pelajar di luar bilik kuliah,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top