Bukan Berita Online Biasa

Ahmad Bashah Ziarah Keluarga Aminuddin

Ahmad Bashah Ziarah Keluarga Aminuddin Omar

in Terkini

​​​JITRA – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini menziarahi keluarga exco kerajaan negeri Kedah Datuk Aminuddin Omar yang kehilangan anak sulungnya dalam kemalangan jalan raya, semalam.

Muhammad Irfan Aminuddin, 20, bersama rakannya Wan Khuzairi Wan Chik, 27, maut selepas kenderaan mereka terbabas dan melanggar pokok di KM 12.7, Jalan Kampung Bendang Perang dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu Wan Khuzairi terbabas lalu melanggar sebatang pokok dalam keadaan hujan lebat.

Ahmad Bashah yang tiba di kediaman Aminuddin di Jalan Kampung Padang meluangkan masa kira-kira 20 minit turut menyampaikan ucapan takziah dan berharap keluarga Aminuddin tabah menerima dugaan ini.

“Saya dimaklumkan petang semalam tetapi tidak dapat hadir kerana berada di luar kawasan atas urusan kerja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata walaupun masih dalam keadaan bersedih Aminuddin akan hadir dalam perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri, esok.

“Saya sudah minta dia (Aminuddin) bercuti namun dia masih beri komitmen untuk hadir esok,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata dia berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam mempermudahkan urusan pengebumian arwah anaknya.

Jenazah Muhammad Irfan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Hijrah pada 11.30 malam tadi yang dihadiri kira-kira 500 orang. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top