Alunan Ayat Al-Quran Iringi Sambutan Hari Kebangsaan

Alunan Ayat Al-Quran Iringi Sambutan Hari Kebangsaan

in Gaya Hidup/Terkini

KUALA LUMPUR – “Allahu Akbar, Allahu Akbar,” azan Maghrib dilaungkan bilal Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur (MJSASKL) pada senja 31 Ogos lepas.

Suasana senja petang itu meriah. Ratusan umat Islam duduk bersila di atas tikar di perkarangan masjid, betul-betul di bawah ‘Payung Madinah’ yang menjadi mercu tanda baharu di masjid ikon bandaraya Kuala Lumpur itu.

Warga kota dan pelancong tanpa mengira warna kulit atau strata masyarakat duduk bersama menikmati juadah berbuka puasa sempena hari kesembilan bulan Zulhijjah, di mana umat Islam disunatkan berpuasa.

Berdiri di atas tangga masjid adalah Penolong Ketua Imam MJSASKL, Ustaz Ahamd Nizzam Rasali. Sejak beberapa hari lalu tidurnya tidak lena memikirkan perjalanan penganjuran acara ini. Dari riak wajahnya tampak puas.

“Saya gembira. Inilah yang kita impikan nak buat dari dahulu, hari ini sudah tercapai,” kata beliau kepada penulis.

Acara berbuka puasa berjemaah ini adalah satu daripada agenda di program Gema Wahyu yang dianjurkan di masjid ini sebagai pembuka tirai kepada acara besar Merdeka #QuranHour sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60 yang lalu.

DATARAN MERDEKA JADI SAKSI

Sebaik selesai solat Maghrib, orang ramai mula memenuhi astaka khas di Dataran Merdeka untuk memeriahkan acara Merdeka #QuranHour.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa acara World #QuranHour dilaksanakan pada setiap tanggal 9 Zulhijjah sejak 3 tahun yang lalu.

Tahun ini, bagaikan ada satu kuasa yang sengaja menyusun, tarikh 9 Zulhijjah jatuh tepat pada tarikh keramat negara Malaysia iaitu 31 Ogos.

Maka lahirlah acara Merdeka #QuranHour hasil kerjasama Sekretariat Merdeka Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan tema ‘Bangsa Berbudi Yang Penyayang’.

Antara tokoh yang hadir termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Shaikh Ismail Muhammad, Pencetus Ummah Ustaz Mohd Yusof Arbain dan Juara Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2011 Ustaz Amirahman Abas.

Beberapa artis turut hadir sebagai tanda sokongan kepada penganjuran acara ini seperti Johan As’ari, Shamsul Ghau Ghau dan vokalis kumpulan Spring, Ameng.

Bermula dengan solat Isya’ berjemaah, acara diteruskan dengan laungan takbir hari raya dipimpin Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bacaan Al-Quran beramai-ramai.

Slot ‘Solidariti Surah Yassin’ pula menyaksikan 83 ayat dibacakan secara bergilir oleh 21 pembaca terpilih, diselang selikan dengan tujuh sesi tadabur.

KEMBALIKAN BUDAYA MELAYU

Dari satu sudut pandang penganjuran siri program di bawah aktiviti #QuranHour dapat menghidupkan kembali budaya orang Melayu yang telah lama dilupakan.

Selain Gema Wahyu dan Merdeka #QuranHour, acara World #QuranHour juga berlangsung pada waktu pagi hari yang sama.

Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi [Eng: Deputy Rector (Research and Innovation) ] Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Professor Dr. Rahmah Ahmad H. Othman berkata orang Melayu pada waktu dahulu sentiasa menjadikan kemahiran membaca Al-Quran sebagai asas pembentukan karakter anak-anak.

“Bila pindah masuk ke kawasan tempat tinggal baharu, perkara pertama yang dicari adalah tempat mengaji Al-Quran. Walaupun ibu bapa belum tentu pandai baca kitab, tetapi kesedaran tentang kepentingan anak untuk pandai membaca Al-Quran itu memang ada,” kata beliau kepada Bernama.

Menjawab tentang penularan gejala sosial di kalangan remaja, Rahmah berkata itu adalah satu persoalan yang perlu dijawab bersama oleh anggota masyarakat.

“Anak-anak muda ini pada waktu mereka kecil telah pun diberi pendidikan tentang Al-Quran. Diajar cara membaca tetapi, what’s next for them?” soal beliau.

Pada Rahmah, penganjuran program seperti #QuranHour dapat memberi peluang untuk anak-anak muda yang mungkin selama ini segan untuk menunjukkan minat terhadap Al-Quran, mendekati dan menghayati kitab suci itu.

‘MEMBUMIKAN’ AYAT

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alumni dan Jaringan Global UIA Professor Madya Dr. Che Amnah Bahari pula berpendapat, sudah tiba masanya inti ajaran Al-Quran diaplikasikan dalam kehidupan seharian warga masyarakat.

“Dalam Bahasa Indonesia, ia dipanggil ‘membumikan ayat’. Pengajaran yang kita dapati daripada ayat-ayat Al-Quran, bagaimana ia boleh diguna pakai dalam kehidupan kita yang seharian.

“Sebagai contoh dalam Al-Quran ada sebut tentang adab menghormati ibu bapa. Ia banyak disebut dalam Al-Quran tetapi apakah suruhan ini telah dilaksanakan oleh orang yang membacanya?” kata beliau.

Untuk mencapai tahap penghayatan Al-Quran seperti ini, Che Amnah menyatakan proses membentuk minat masyarakat untuk kembali menelaah kitab suci ini amat penting.

Inilah proses yang dikenali sebagai ‘tadabur’, dan ‘tafakur’. Tadabur bermaksud memahami pengajaran daripada ayat-ayat Al-Quran dan diikuti proses berfikir iaitu mencari kaitan pengajaran-pengajaran yang didapati dengan rutin hidup seharian.

“Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh banyak pihak. Ini bukan kerja yang boleh dilakukan seorang diri. Ulamak, masyarakat, badan kerajaan, kementerian, pihak universiti, semuanya kena bergabung tenaga untuk menjadikan masyarakat tertarik dengan Al-Quran,” jelas Che Amnah lagi.

Rahmah dan Che Amnah ditemubual dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel pada 26 Ogos lepas.

KEJAYAAN PEMBANGUNAN ROHANI

Menurut Ketua Setiausaha KKMM Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, program ini adalah satu bentuk kejayaan pembangunan rohani masyarakat Malaysia setelah 60 tahun merdeka.

“Pada siang harinya kita meraikan kejayaan pembagunan dari segi ekonomi, sosial dan infrastruktur dan acara ini adalah kemajuan pembangunan rohani kita. Dengan bacaan doa, yasin dan ayat-ayat yang dikupas para ustaz menjadikan kita lebih dekat kepada Allah,” kata beliau ketika ditemui selepas selesai acara Merdeka #QuranHour.

Tambah beliau, melalui sesi tadabur ayat-ayat dari surah Yasin yang dibentangkan, terbukti bahawa kitab Al-Quran ini bukan hanya relevan kepada umat Islam tetapi juga bagi yang bukan Islam yang boleh melihat sendiri apa yang dianjurkan dalam ajaran Islam.

Tambah beliau, program Merdeka #QuranHour boleh dikembangkan lagi pada masa hadapan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menarik lebih banyak pihak berkolaborasi menjayakan program itu. – BERNAMA

Loading...