Bukan Berita Online Biasa

Banjir Kilat Berpunca Dari Masalah Sistem Saliran

in Terkini

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata masalah sistem perparitan yang tersumbat dan sungai yang dipenuhi sampah sarap menjadi antara punca berlakunya banjir kilat di beberapa tempat di negeri ini.

“Banjir di negeri ini tidak sama dengan negeri lain, banyak parit tersumbat dan jambatan tersangkut dengan sampah. Itu yang berlaku banjir kilat tetapi ia cepat surut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kilang Kibing Group (M) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Mohamad berkata Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi terlibat perlu melakukan kerja-kerja penyelenggaran sistem perparitan dengan lebih serius.

“Sebelum ini banjir di Bahau berpunca daripada rumput yang tumbuh di kawasan saliran, di Rembau pula disebabkan anak sungai tersumbat dan jambatan pula tersangkut dengan sampah.

Kita akan lihat dan meneliti perkara ini. Saya akan minta agensi dan jabatan terlibat agar sentiasa membuat kerja-kerja penyelenggaraan. Ini perlu dilakukan segera bagi mengelak banjir kilat berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr Awaludin Said berkata banjir kilat yang berlaku pagi tadi adalah sejarah pertama bagi Kampung Batu, Rembau, dekat sini memandangkan sebelum ini kampung berkenaan tidak pernah dilanda bencana itu.

“Setelah hampir 40 tahun, ini kali pertama dan saya difahamkan ia berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi,” katanya kepada Bernama selepas melawat mangsa banjir di kampung itu.

Awaludin juga telah meminta pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk menyenaraikan rumah-rumah yang dilanda bencana banjir.

“Dalam masa yang terdekat, kerajaan negeri akan memberi bantuan berupa barangan keperluan asas seperti beras dan gula kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

Sejumlah 200 penduduk di Kampung Batu dan Kampung Pulau di Rembau terjejas akibat banjir kilat yang mencecah ketinggian 0.62 meter. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top