Cabaran Badminton Malaysia Di China Masters Berakhir

in Sukan/Terkini

KUALA LUMPUR – Cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Grand Prix Emas China Masters, berakhir selepas pasangan beregu lelaki negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen tumpas di suku akhir pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik di Jiangshu, China hari ini.

Pasangan pilihan ketujuh itu memberi tentangan sengit kepada pilihan utama, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin dari Taiwan sebelum tewas 19-21 dan 17-21, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfbadminton.org.

Chen-Wang akan berdepan pasangan ‘bidan terjun’ Malaysia/Indonesia, Tan Boon Heong dan Hendra Setiawan di separuh akhir, esok, selepas pasangan berkenaan mengejutkan pilihan keempat, Liu Cheng-Zhang Nan dari China 19-21, 21-16 dan 21-14 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berakhir Rabu, selepas pemain negara tewas kepada lawan masing-masing di pusingan awal.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam tiga acara – perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran – pada kejohanan itu yang menawarkan hadiah US$150,000 (RM659,849). – BERNAMA

Loading...