Bukan Berita Online Biasa

FAMA

FAMA Sasar 40,000 Ahli Myagrosis Dalam Kalangan Siswazah

in Terkini

SANDAKAN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan keanggotaan Malaysia Agro Siswazah (Myagrosis) di seluruh negara mencecah 40,000 orang sehingga penghujung tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata pada masa sekarang, jumlah anggota Myagrosis adalah 26,685 orang sejak kelab itu ditubuhkan pada 2011.

Katanya keanggotaan kelab itu tidak hanya di peringkat universiti malah diperluaskan di maktab dan sekolah vokasional.

“Ia selaras dengan usaha kerajaan melahirkan usahawan khususnya lepasan universiti dalam bidang perniagaan,” katanya ketika merasmikan Myagrosis K-Shoppe Fakulti Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Tun Zaki Tun Azmi.

Badruddin berkata kerajaan juga telah memberikan geran berjumlah RM50 juta untuk program Myagrosis yang membolehkan usahawan siswazah yang berminat menjalankan perniagaan mendapatkan modal permulaan berjumlah RM50,000 daripada FAMA.

Katanya pinjaman itu diberikan tanpa penjamin dan faedah bagi membantu usahawan siswazah memulakan perniagaan.

Beliau berkata FAMA menyasarkan 250 usahawan siswazah akan dihasilkan melalui program Myagrosis bagi tahun ini dan sehingga kini 141 telah mendaftar.

Menurutnya Kampus UMS Lestari Sandakan UMS merupakan universiti pertama menerima peruntukan bagi pelaksanaan projek Myagrosis bagi Agroniaga menerusi pembukaan Myagrosis K-Shoppe.

Badruddin berkata Kampus UMS Kota Kinabalu merupakan Institut Pengajian Tinggi pertama menerima peruntukan bagi pelaksanaan Projek My Best Buy IPTA di Sabah. – BERNAMA

Loading...
Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top