Bukan Berita Online Biasa

Filipina, Indonesia Kerjasama Perangi Pengganas

Filipina, Indonesia Kerjasama Perangi Pengganas

in Jenayah/Terkini

MANILA – Filipina dan Indonesia sepakat untuk bekerjasama rapat bagi memerangi kumpulan pengganas Daesh, kata jurucakap Presiden Filipina Rodrigo Duterte, lapor agensi berita China Xinhua.

Kesepakatan itu dicapai menerusi perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin negara berkenaan, kata jurucakap presiden Ernesto Abella pada sidang akhbar di Istana Presiden Malacanang.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan pentingnya mesyuarat tiga hala (antara) Indonesia, Malaysia dan Filipina yang bakal diadakan di Manila pada Khamis.

Menteri Luar Filipina, Indonesia dan Malaysia bakal bertemu di Manila untuk mengatur strategi menghalang militan  Daesh daripada mengukuhkan kedudukan di rantau berkenaan.

Setiausaha Luar Filipina Alan Peter Cayetano pada minggu lepas berkata, “pegawai keselamatan tertinggi” tiga negara Asia Tenggara turut menyertai mesyuarat itu.

Cayetano berkata, pada mesyuarat itu, semua pihak akan berkongsi pandangan serta berbincang mengenai strategi bagaimana mengukuhkan kerjasama menentang Daesh.

Menurut Xinhua, Duterte sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat militan dari Indonesia, Malaysia dan Timur Tengah yang membantu militan tempatan di selatan Filipina.

Bandar Marawi di selatan Filipina menyaksikan pertempuran telah berlangsung selama sebulan antara tentera Filipina dan kumpulan militan yang setia dengan Daesh.

Pertempuran bermula selepas militan menawan bandar Marawi pada 23 Mei menyebabkan sekurang-kurangnya 369 orang terbunuh termasuk 67 anggota askar dan polis.

Pada Rabu, satu lagi kumpulan militan menyerang sebuah bandar di wilayah selatan Filipina di Utara Cotabato dan 31 orang awam dijadikan tebusan. Semua tebusan bagaimanapun dibebaskan selepas militan melarikan diri. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top