Bukan Berita Online Biasa

Penagih Dadah

‘Geng Subuh’ Aktif Pecah Kereta Di Masjid Tumpas

in Jenayah/Terkini

YAN – ‘Geng Subuh’ yang aktif dalam kegiatan pecah kereta di dalam kawasan masjid sekitar daerah ini tumpas selepas tertangkapnya enam suspek pada 11 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Muhammad Halim Yatim berkata, modus operandi kumpulan terbabit ialah menaiki kereta ke masjid dan berpura-pura ingin solat Subuh namun memecahkan kereta menggunakan serpihan seramik pada palam pencucuh untuk mencuri ketika jemaah sedang bersolat.

“Kita menerima tujuh laporan kes sama pada tahun lalu, dan empat lagi kes pada tahun ini melibatkan beberapa buah masjid di daerah Yan yang terletak di tepi jalan utama.

Bagaimanapun laporan polis berhubung kejadian pecah kereta di kawasan parkir Masjid Abdul Rahman Putra, Sungai Yan, kira-kira pukul 6.12 pagi, 11 Mac lalu, kemudiannya membawa kepada penangkapan semua suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di sini, hari ini.

Tambahnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid terbabit, geng berkenaan bergerak menggunakan sebuah kereta jenis Honda, dalam kumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya empat suspek.

“Kita berjaya mengesan kereta yang digunakan suspek seterusnya menangkap suspek lelaki berumur 33 tahun dipercayai ketua Geng Subuh dan tiga lagi suspek lelaki masing-masing berumur 26, 28 dan 41 tahun serta dua wanita berumur 23 dan 29 tahun.

“Tangkapan kesemua suspek dibuat pada 11 Mac lalu di sebuah rumah di Sungai Petani dan ujian saringan mendapati kesemua suspek positif dadah,” katanya.

Penangkapan itu berjaya menyelesaikan empat kes pecah kereta di kawasan masjid iaitu satu kes pada 2016 dan tiga kes pada tahun ini melibatkan tiga buah masjid iaitu Masjid Guar Chempedak, Masjid Singkir dan Masjid Abdul Rahman Putra yang keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM12,000, katanya.

Muhammad Halim berkata, siasatan lanjut mendapati ketua geng terbabit mempunyai lima rekod kesalahan lampau iaitu dua kes jenayah dan tiga kes narkotik.

Kesemua suspek lain masing-masing mempunyai rekod kesalahan lampau kecuali seorang suspek perempuan berumur 29 tahun dan mereka semua direman selama 11 hari sehingga 22 Mac ini untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top