Bukan Berita Online Biasa

Hargai Sumbangan Anggota Keselamatan Wanita

Hargai Sumbangan Anggota Keselamatan Wanita

in Terkini

KUALA LUMPUR – Kepimpinan pasukan keselamatan diminta menghargai sumbangan wanita menjaga kedaulatan negara dan tidak sewenang-wenangnya meminggirkan anggota wanita yang berkelayakan untuk dinaikkan pangkat.

Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita (KIW) Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata ini kerana pengorbanan wanita menjaga keselamatan negara adalah setanding kaum lelaki.

“Sekarang, dalam menjaga keselamatan negara, wanita juga berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan lelaki.

“Pengorbanan mereka menjalankan tugas serta menjaga keluarga tidak harus dilupakan,” katanya ketika merasmikan Majlis Polis Wanita Kuala [email protected] Klinik anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Kuala Lumpur dan KIW di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Sementara itu ketika sidang media, Amar Singh berkata Polis Diraja Malaysia sememangnya sentiasa menjaga keselamatan dan kebajikan anggota wanita.

Katanya, di wilayah persekutuan Kuala Lumpur, daripada 24 balai polis, tiga daripadanya diketuai anggota wanita iaitu Balai Polis Travers, Balai Polis Putrajaya dan Balai Polis Cheras.

“Tiga balai ini merupakan balai utama dan kita menaruh keyakinan terhadap pegawai wanita untuk mengetuai kesemua balai ini,” katanya.

Menurutnya berdasarkan statistik sehingga kini, jumlah keseluruhan polis wanita di Malaysia ialah 13,348 orang dan di Kuala Lumpur terdapat 1,118 anggota wanita. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top