Bukan Berita Online Biasa

Hari Malaysia: Meraikan Perpaduan Dalam Kepelbagaian

in Terkini

KOTA KINABALU – Pada Sabtu ini, 16 Sept, rakyat Malaysia akan menyambut Hari Malaysia untuk memperingati pembentukan Persekutuan Malaysia pada tarikh berkenaan, pada tahun 1963. Hari Malaysia telah menjadi lebih bermakna sejak 2010 setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan tarikh itu sebagai cuti umum di seluruh negara.

Sambutan Hari Malaysia, walaupun lebih penting untuk Sabah dan Sarawak, kini, sebenarnya adalah lanjutan daripada sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan di Semenanjung pada 31 Ogos yang disambut dengan meriahnya oleh rakyat pelbagai kaum dari segenap pelosok Persekutuan.

Bagaimanapun, mungkin ada yang bertanya sama ada rakyat Malaysia menyambut dua Hari Kebangsaan? Pastinya tidak, seperti yang dijelaskan oleh Profesor Madya Dr Bilcher Bala dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bilcher menjelaskan beberapa perkara utama yang penting bagi setiap sambutan memperingati hari-hari berkenaan dalam temu bual dengan editor BERNAMA Newmond Tibin baru-baru ini.

BERNAMA: Tidakkah aneh bahawa kita mempunyai dua ‘Hari Kebangsaan’ berasingan, satu pada 31 Ogos dan satu lagi pada 16 Sept?

BILCHER: Bagi saya, ia bukan dua Hari Kebangsaan. Rujuklah pada perlembagaan, Hari Merdeka jatuh pada 31 Ogos dan ia adalah Hari Kebangsaan manakala Hari Malaysia pula jatuh pada 16 Sept dan merupakan cuti kebangsaan.

Secara umum, mungkin ramai yang menyangka bahawa kedua-duanya adalah cuti kebangsaan tetapi ia bukan begitu. Pada hari Merdeka, kita akan mendengar laungan “Merdeka”. Bagaimana pula kita hendak menyatakan “Merdeka” kepada rakyat pada Hari Malaysia sedangkan ia hanya untuk memperingati penggabungan 13 negeri di bawah Persekutuan Malaysia.

BERNAMA: Adakah pandangan para akademik mengenai perkara ini berbeza daripada orang ramai?

BILCHER: Saya rasa kebanyakan rakyat Malaysia dalam semua sektor masyarakat tidak menyedari perbezaan ini kerana mereka tidak benar-benar memahami konteks kedua-dua istilah yang tidak diajar dengan betul di peringkat persekolahan.

BERNAMA: Adakah menyambut dua perayaan itu penting untuk kebanggaan dan perpaduan negara? Apakah komen Prof mengenai perkara ini?

BILCHER: Tidak ada yang salah untuk menyambut dua atau lebih perayaan. Tujuannya adalah untuk menunjukkan yang terbaik dari segi kebanggaan dan perpaduan pelbagai kaum serta budaya di Malaysia. Kita meraikan Hari Merdeka untuk kebanggaan dan kebebasan; manakala Hari Malaysia pula untuk perpaduan dalam kepelbagaian. Perayaan Hari Malaysia membolehkan negara benar-benar meraikan dan menghargai keindahan pelbagai budaya dan kepelbagaian negara kita.

BERNAMA: Adakah dengan menyambut satu perayaan sahaja, akan mempunyai kesan yang sama?

BILCHER: Lebih banyak lebih meriah. Sudah tentu, jika kita mempunyai banyak sambutan, maka akan ada lebih banyak peluang untuk bersama-sama meraikan sekali gus menyatukan rakyat. Oleh itu, sambutan-sambutan itu dapat membantu mewujudkan persefahaman yang lebih utuh.

BERNAMA: Bagaimanakah caranya kita dapat mendidik rakyat terutamanya generasi muda mengenai makna sebenar perayaan Hari Malaysia?

BILCHER: Pertama, ia perlu diajar sejak di bangku sekolah. Buku teks sejarah KBSM lama kini diubah kepada buku teks sejarah KSSM yang baru bermula tahun ini (2017).

Kedua, media sebagai saluran harian yang efektif untuk menyebarluaskan pelbagai maklumat harus mendidik masyarakat dengan sentiasa menyediakan maklumat berkaitan perkara ini. Media perlu menjelaskan bahawa Hari Malaysia adalah acara atau hari untuk memperingati penyatuan 13 negeri di Persekutuan Malaysia. Manakala Hari Merdeka pula adalah hari menandakan kesyukuran kerana bebas daripada belenggu penjajah.

BERNAMA: Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept adalah hari ulang tahun Malaysia. Pada pandangan Prof, perlukah Hari Malaysia diraikan selama satu bulan sebagai Hari Merdeka atau adakah cara ia disambut sekarang ini sudah memadai? Bagaimanakah cara untuk memperbaikinya sebagai usaha menyatukan kesemua rakyat Malaysia dengan kasih sayang dan rasa hormat kepada Malaysia?

BILCHER: 16 Sept adalah “Hari yang ditetapkan” (termaktub) dalam Akta Malaysia atau MA63 termasuk Perlembagaan Malaysia. Hari itu dipanggil Hari Malaysia. Ia bukan satu hari kemerdekaan (Hari Kebangsaan) yang ditandatangani pada 9 Julai, 1963 untuk membentuk Persekutuan Malaysia”.

Perjanjian Malaysia telah dipinda daripada perjanjian perundingan antarabangsa kepada persetujuan domestik pada 20 Ogos 1963, iaitu pada hari di mana Parlimen Persekutuan Tanah Melayu meluluskan Akta No. 26 tahun 1963 (Akta Malaysia) yang berkuat kuasa pada 16 Sept 1963.

“Akta Malaysia” ini meminda semula Perlembagaan Merdeka 1957 (Persekutuan Tanah Melayu) dan menjadi Perlembagaan baharu untuk Persekutuan baharu, yang dinamakan Malaysia.

Dalam hal ini, persekutuan baharu melambangkan kesatuan 13 negeri Malaysia (tidak termasuk Singapura yang meninggalkan Persekutuan pada 1965). Saya menyokong idea mengadakan sambutan selama sebulan; terutamanya kerana ia akan memberi kesan yang berbaloi terhadap nasionalisme.

Kita perlu mengajar atau menggalakkan rakyat untuk memahami bahawa Hari Malaysia adalah hari perpaduan bagi negara dan ia tidak sama dengan hari kemerdekaan. Ini benar, terutamanya bagi rakyat Malaysia Barat yang harus menerima hakikat bahawa mereka memerlukan Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia untuk menghadapi ancaman dari Indonesia yang bercita-cita untuk membentuk Indonesia Raya pada masa itu.

Pada masa sama, rakyat Sabah dan Sarawak perlu menerima hakikat bahawa penggabungan bersama dengan Malaysia adalah keputusan paling bijak yang dibuat oleh pemimpin mereka pada masa itu. Keputusan itu jelas digubal dalam Perlembagaan Malaysia. Oleh itu, mereka perlu menuntut atau mempertahankan sebarang hak khusus untuk mereka seperti dalam perlembagaan.

BERNAMA: Pada 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti umum yang memberi pengiktirafan yang lebih besar untuk Hari Malaysia. Adakah langkah itu memberikan makna yang lebih penting untuk Hari Malaysia?

BILCHER: Sudah tentu, kesannya mungkin menimbulkan sedikit kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia. Bagi masyarakat di Semenanjung, mereka tidak pernah diberi cuti umum pada 16 Sept sebelum itu. Manakala, di Sabah dan Sarawak pula, orang ramai menyangka mereka merayakan ulang tahun TYT. Bagaimanapun, ia mungkin memerlukan sedikit masa untuk rakyat Malaysia menerima keputusan itu kerana ia akan memperkukuh lagi perpaduan rakyat Malaysia.

Jelas sekali, keseluruhan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada keputusan yang dibuat tujuh tahun yang lepas oleh Perdana Menteri. Realiti 1Malaysia pasti akan dapat diperkukuh pada masa hadapan selagi pihak-pihak tertentu dan media tidak menimbulkan sebarang salah faham.

BERNAMA: Bolehkah Prof jelaskan mengenai kepentingan Hari Malaysia?

BILCHER: Hari Malaysia adalah masa apabila masyarakat (Melayu, India, Cina) dari 11 buah negeri di Tanah Melayu bersetuju untuk bersatu dengan rakyat (Kadazandusun, Iban, Bidayuh, Bajau, Murut, Orang Ulu, Melanau, Berunai, dll) di Sabah dan Sarawak.

Pandangan neo-kolonialisme dibubarkan melalui proses rundingan yang panjang termasuk Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM), Suruhanjaya Cobbold, Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia (MA) dan Perlembagaan sebelum 16 Sept, 1963. Pendek kata, Hari Malaysia sepatutnya menjadi satu hari untuk perpaduan kepelbagaian budaya atau penjelmaan semangat 1Malaysia. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Terkini

Go to Top