Bukan Berita Online Biasa

Insiden Di Jempol: Pemandu Treler Mengaku Tak Salah

in Jenayah/Terkini

SEORANG pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jelebu, Negeri Sembilan hari ini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan lapan maut dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Ahad lalu.

Berita Harian melporkan, tertuduh, Norzailan Omar, 44, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian tentang segala hal termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta lalu lintas yang boleh dijangkakan atau mungkin ada di jalan itu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda minimum RM5,000 hingga RM20,000 serta lesen memandu digantung selama tiga tahun.

Dalam rayuannya, tertuduh meminta dibenarkan ikat jamin paling rendah kerana mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan ke mahkamah serta lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Nik Azhan Hakim Nik Mahmood dan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Julai untuk sebutan semula kes.

Baca: Lapan Maut Termasuk Enam Rentung Kemalangan

Dalam kejadian jam 2.20 petang Ahad lalu, treler yang dipandu tertuduh terbabit dalam kemalangan dengan tiga buah kenderaan lain iaitu Perodua Myvi, Proton Exora dan Toyota Vios.

Kemalangan tersebut menyebabkan lapan orang daripada dua keluarga maut dengan enam daripadanya rentung selepas kereta mereka dihempap treler itu sebelum terbakar. – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top